Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#555. Epilog : Usah Gusar Lambakan Filem Seram Tempatan

AHAD lalu, saya turut dijemput menjadi panel program Fenomena Seni siaran TV1. Bersama saya ialah dua lagi ahli panel - pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pengkritik filem, Mansor Putih. Isu yang diperkatakan ialah mengenai 'Filem Seram Sejuk' iaitu mengenai lambakan filem seram tempatan yang memasuki pawagam dan drama seram menghiasi kaca TV sejak kebelakangan ini.

Pada masa sama, ada pihak mempertikai mengenai penghasilan filem seram dan drama seram yang terlalu banyak malah dianggap bukan karya bermutu dan merosakkan imej sinema Malaysia, hinggakan filem seram dilihat semakin tidak menarik sebaliknya menjadi cerita lucu pula. Ada pihak yang seolah-olah rimas trend filem seram kononnya membantutkan penghasilan filem dalam genre lain.

Antara hujah saya pada program itu ialah kebanjiran filem seram adalah cuma satu trend ketika masyarakat kita memang menggemari kisah mistik, dunia hantu dan apa saja berkaitan fantasi. Ini berkait dengan dunia Melayu dan alam Nusantara yang kaya dengan cerita hantu yang disampaikan secara tradisi lisan. Malah, puluhan jenis nama hantu muncul dalam masyarakat Melayu sejak dulu dan disampaikan secara mulut ke mulut sedangkan ramai di antara kita tidak pernah pun melihat hantu.

Persoalan seram merujuk kepada filem bertemakan hantu. Sebenarnya filem bertema hantu bukan isu baru dan dalam industri filem Melayu sebab pada era kegemilangan sekitar 1950-an dan awal 60-an dulu sudah ada trend filem seram apabila studio Malay Film Productions (MFP) menerbitkan Hantu Jerangkung arahan KM Basker pada 1957, kemudian muncul Anak Pontianak dan Sumpah Orang Minyak pada 1958, diikuti tahun sama dengan judul Gergasi dan Hantu Kubur. Studio Cathay Keris yang melihat sambutan baik diberikan pada filem seram keluaran MFP juga mengambil langkah sama dengan menerbitkan filem Pontianak pada 1957 menerusi arahan BN Rao, kemudian muncul Dendam Pontianak dan setahun selepas itu Sumpah Pontianak, Serangan Orang Minyak, Orang Minyak dan Orang Licin. Pendek kata, filem hantu ketika itu cuma trend buat seketika kerana ada sambutan baik daripada masyarakat.

Dalam sejarah industri filem Malaysia era moden, filem seram atau filem hantu yang cuba dihasilkan semula ialah menerusi Aziz M Osman berjudul Fantasia tetapi menjadi kontroversi hingga kerajaan tidak meluluskan tayangannya. Selepas ia dinilai semula dan arahan supaya beberapa babak tertentu dipotong lagi, akhirnya Fantasia bertukar judul menjadi Fantasi lalu ditayangkan di pawagam. Malangnya, ia tidak mendapat sambutan baik dan tidak mencetuskan trend.

Sekian lama sejak insiden Fantasia, kawalan agak ketat dibuat terhadap filem genre seram hinggakan akhirnya Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) memberi kelonggaran supaya kebebasan dibuka sedikit untuk karyawan filem menghasilkan genre seram, apatah lagi ketika itu negara jiran Thailand cemerlang dengan pembikinan filem seram, Nang Nak yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Filem seram Malaysia versi alaf baru dimulakan Shuhaimi menerusi Pontianak Harum Sundal Malam. Sejak itu filem seram atau filem hantu versi Malaysia mula menjadi trend. Maka, lahirlah pelbagai judul dan jenis hantu dipaparkan menerusi layar perak.

Tahun ini saja kita ada beberapa filem seram yang ditayangkan di pawagam. Pada April lalu, industri filem dihidangkan dengan filem Jangan Tegur dan sebelumnya Rasukan Ablasa. Kini, Jangan Pandang Belakang Congkak dan filem lain yang kini bersedia memasuki pawagam termasuklah Jin Hutan, Jin Notti, Skrip 7707, Momok The Movie, Eee... Hantu!, Misteri Dendam Balan-Balan, Serrrem dan Santau.

Trend filem seram kini menjadi begitu meriah sebab ada sambutan baik daripada masyarakat. Ini boleh dilihat berdasarkan kutipan kebanyakan filem seram yang dihasilkan sering mencapai kutipan box-office, malah dek filem seram jugalah kutipan tertinggi dalam sejarah industri filem Malaysia tercipta seperti dibuktikan menerusi Jangan Pandang Belakang yang meraih kutipan RM6.4 juta di Malaysia dan kutipan keseluruhannya termasuk tayangan di Singapura, Brunei dan Manila ialah RM7.5 juta. Ketika ini juga sambutan untuk Jangan Pandang Belakang Congkak dikatakan begitu baik dan tidak mustahil ia mampu meraih kutipan mencecah RM7 juta.

Ada pihak gusar menyifatkan lambakan filem seram boleh memberi kesan negatif termasuk memesongkan akidah, merendahkan minda, menghayati cerita tidak logik, tidak membantu mutu filem tempatan dan sekadar menguntungkan penerbit. Kita harus melihat sumbangan filem seram sebenarnya banyak merangsangkan industri filem dan menyuburkan kembali minat masyarakat untuk ke pawagam. Meskipun filem seram bukan menghantar pernyataan pemikiran yang tinggi tetapi sekurang-kurangnya filem genre seram dapat membawa kisah tradisi lisan itu ke dalam bentuk visual menerusi imaginasi pengkarya filem. Melaluinya juga masyarakat dapat melihat gambaran mengenai dunia mistik dan menerokai dunia fantasi alam ghaib, selain tahu mengenai sesuatu yang berkait dengan jin, roh dan ilmu hitam. Ini juga memberi satu pengajaran baik untuk penonton. Malah, filem hantu bukan saja di Malaysia kerana ia bersifat universal.

Dari sisi lain, filem seram juga berjaya dari aspek pembikinan menerusi naratif berkesan mahupun elemen dramatik berjaya dari segi memikat ramai penonton. Itu ada benarnya tetapi kita tidak boleh dengan sewenangnya menghukum filem seram dengan tuduhan negatif sebaliknya bersikap realistik untuk melihat trend filem seram berjaya memacu pertumbuhan filem tempatan dan sinema Malaysia menjadi meriah. Malah, ada persatuan filem mencadangkan supaya perlunya ada diwujudkan festival filem seram tempatan.

Kita juga tidak wajar melihat penerbitan filem seram yang berterusan ketika ini sebagai sesuatu yang negatif semata-mata kerana apa yang berlaku ini sekadar trend dan selagi ada permintaan di kalangan penonton. Pengisiannya masih dikawal oleh pihak LPF dan tidak perlu ada isu kononnya filem boleh menyebabkan akidah terpesong. Lagipun, ia dihasilkan bukan sekadar untuk suka-suka atau merapu kosong sebaliknya ada juga kebaikan yang boleh dilihat kerana selain elemen seram dan ada unsur tahyul, tetapi aspek keagamaan juga dikaitkan untuk membuktikan bahawa selagi kita berpegang teguh kepada tauhid, yakin pada Tuhan dan Islam, selagi itulah kita usah takut pada hantu mahupun orang yang berperangai hantu dan mengamalkan ilmu hitam.

Filem seram juga banyak mencabar kreativiti karyawan filem kita untuk menjadi lebih kreatif dan mahir bermain dengan visual dan mood karya genre seram, begitu juga pelakon tentunya ia juga mencabar mereka untuk beraksi dalam filem sedemikian seperti mana kita pernah lihat penampilan Maya Karin sebagai pontianak dan Ruminah Sidek sebagai wanita tua yang menjelma sebagai hantu belaan serta Azean Irdawaty menjadi ‘harimau jadian’.

Filem seram tetap relevan dengan dunia filem bukan saja di Malaysia malah di Thailand, Indonesia dan Brunei juga bersepah dengan karya seram yang ada kalanya melonjakkan nama dan bakat seseorang pengarah. Trend ini cuma riuh seketika dan apabila masyarakat mulai bosan serta sambutan makin merosot, penerbitannya juga juga akan ditinggalkan begitu saja kerana ia tetap dianggap sebagai sebuah karya sekadar untuk hiburan semata-mata. Begitulah yang kita pernah lihat apabila berduyun-duyun orang mengunjungi pameran hantu yang diadakan di Muzium Negara suatu ketika dulu.

Sebagai sebuah karya, lambakan filem seram tempatan bukan sesuatu yang membimbangkan sebaliknya ia cuma trend bermusim dan suatu ketika nanti mungkin dalam tempoh sehingga 2014 atau 2015, trend ini akan pudar dan karyawan filem kita pastinya beralih pada trend lain pula, mungkin masyarakat ketika itu menyukai pula filem bercorak sejarah, melodrama dan muzikal. Semuanya berkait dengan suasana dan selera semasa.

Kata orang, biar minat tengok filem hantu, bukan berperangai macam kacang hantu... - akmel@bharian.com.my

Sumber : Berita Harian [18/06/09]
Oleh Akmal Abdullah

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP