Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#556. Festival Pertandingan Filem Klasik

DARI kiri; Salmah, Maria, Jins Shamsuddin, Mustapha, De Zilva, Kuswadinata dan Aziz melihat poster Festival Filem Klasik

Langkah Hotel Paradise Sandy Beach Resort wajar disokong semua pihak.PENGANJURAN Festival Filem Klasik (FFK) yang memasuki tahun kelima tahun ini akan diangkat sebagai sebuah festival pertandingan filem klasik dari era 50 hingga 70-an bermula tahun depan.Sebelum ini, FFK yang dianjurkan Hotel Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang bermula tahun 2005 hanyalah sebuah majlis makan malam dan persembahan istimewa bersama pelakon filem klasik.

Penganjur yang juga pengurus hotel itu, Jeff De Zilva berkata, pihaknya berharap usaha dalam memulihara karya klasik tanah air akan sentiasa mendapat sokongan banyak pihak terutama kementerian.

“Idea asal mengadakan festival ini pada mulanya hanyalah untuk mencari satu pengisian yang dapat diisi sempena sambutan bulan kemerdekaan pada Ogos setiap tahun.

“Namun festival itu hanyalah untuk menayangkan filem klasik kepada pengunjung hotel selain majlis makan malam dan melihat persembahan istimewa pelakon veteran yang diundang.

“Setiap tahun kami akan merancang kelainan untuk menjadikan festival ini sebagai majlis yang lebih berilmiah. Bermula tahun ini kami merancang untuk mengadakan sesi diskusi bersama pelakon asal filem klasik yang terpilih selepas penayangan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Melihat sambutan masyarakat setempat yang memberikan reaksi positif dengan inisiatif memulihara filem klasik dan mengundang pelakon veteran ke Pulau Pinang, pihaknya berhasrat untuk mengangkat festival ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita berharap dengan bantuan kementerian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta agensi tertentu agar festival ini menjadi sebagai sebuah festival yang mempertandingkan karya klasik sebagai salah satu usaha pemuliharaan,” katanya.

Senator Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, usaha yang dilakukan Hotel Paradise ini adalah usaha yang seharusnya disokong oleh semua pihak termasuklah kementerian.

“Seperti kita sedia maklum, filem klasik dari era 50 hingga 70-an sebelum ini tidak pernah dipertandingkan di mana-mana festival kerana pada masa itu tiada festival dianjurkan.

“Jadi inilah masanya filem kita akan dipertontonkan kepada generasi baru dalam bentuk sebuah pertandingan. Sebenarnya kita mahu mengadakan ia pada tahun ini juga namun disebabkan kesuntukan masa dan kurangnya bahan ia akan ditunda tahun depan,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof pula berkata, perbincangan dengan pelbagai pihak secara terperinci akan dilakukan tidak lama lagi bagi membincangkan penganjuran pertandingan di dalam festival.

“Klasifikasi klasik yang akan ditentukan pada sesebuah filem itu akan bermula tahun 1950-an hingga 1970-an.

“Sepanjang tempoh ini kita mempunyai banyak filem klasik yang rata-ratanya dilakukan tanpa kemudahan teknologi terkini dan semuanya menggunakan manual saja. Setiap tahun kita boleh memilih lima filem yang dihasilkan pada tahun 1950 untuk dipertandingkan mengikut kategori yang boleh dicipta.

“Mungkin kita boleh memberi kategori filem terbaik klasik, teknik terbaik, fighting terbaik, pelakon lelaki dan wanita serta banyak lagi kategori yang boleh dicipta,” katanya.

FFK Paradise yang akan berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos ini dijangka dihadiri lebih 15 artis veteran seperti Datuk Maria Menado, Uji Rashid, Hail Amir, Imuda, Kuswadinata, Sofia Ibrahim, Mariani Ismail, Salmah Lagio, Rozi Rozhaized, Omar Putih dan Rosyam Nor.

Selain itu penganjur sudah menetapkan tiga filem yang akan dijadikan bahan diskusi sepanjang majlis itu bersama pelakon asalnya iaitu Pendekar Bujang Lapok bersama Datuk Aziz Sattar, Sumpah Pontianak (Mustapha Maarof) dan Panca Delima (Jins Shamsuddin)

Sementara itu, Hotel Paradise turut menawarkan promosi kepada peminat filem klasik yang ingin sama-sama menikmati kemeriahan festival ini berupa pakej dua hari satu malam pada 13 Ogos. Harga dikenakan sebanyak RM350 berserta bilik untuk dua orang termasuk sarapan dan tiket ke majlis kemuncak makan malam nanti.

Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh menghubungi terus Pegawai Perhubungan Awam, Paradise Sandy Resort, Pulau Pinang, Virgina Ann di talian 019-5434833.

Sumber : Berita Harian [19/06/09]
Oleh Rozdan Mazalan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP