Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#557. Baik Buruk Filem Seram

FILEM Nang Nak yang diterbitkan pada 2001 boleh dianggap sebagai penyelamat dan pemangkin kepada industri perfileman Thailand yang dilihat hampir mati apabila secara drastik berjaya menarik penonton memenuhi segenap ruang panggung, sekali gus mengangkat fenomena filem seram.Senario sama berlaku di negara kita, namun corak persembahan sambutan serta garapan jalan ceritanya sedikit berbeza dan lebih menjurus ke arah mistik dan kepercayaan nenek moyang seperti hantu yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu atau lokasi yang sering dikaitkan dengan pemujaan makhluk halus itu.

Bagaimanapun, genre seram atau filem bertemakan hantu dan misteri ini dilihat sebagai pengganti filem romantik yang selama ini menjadi santapan ramai hinggakan ada kalanya memualkan dan seakan-akan tangkap muat daripada aspek penceritaannya serta hanya sekadar bersandarkan nilai komersial yang diwujudkan. Kualitinya? Mengecewakan!

Pengarah yang cukup sinonim dengan filem seram, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih mesra disapa Shumi, berkata genre yang pernah suram ini disegarkan kembali bagi memberi lebih pilihan kepada kaki wayang tempatan.

“Tidak wujud soal tahyul, karut dan sebagainya apabila kita menonton atau mengarah filem seram kerana ia bergantung kepada jalan cerita serta garapan pengarah. Cereka ini cukup dekat dengan masyarakat, malah majoriti penduduk nusantara mempercayai kewujudan dunia mistik,” katanya yang menerima pengiktirafan Festival Filem Malaysia menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) dan Waris Jari Hantu.

Berbeza pula dengan pengkritik bebas serta penulis, Mansor Puteh yang melihat filem bergenre seram tidak seharusnya terus didedahkan kepada penonton kerana ia mampu melemahkan industri, sekali gus melalaikan penonton dengan penceritaan yang berkisar elemen sempit, tahyul dan tidak realistik.

Bagaimanapun, katanya, daripada perspektif seni dan komersial, filem seram mampu mengghairahkan penonton dengan penyediaan alternatif lain daripada filem klise sedia ada.

“Tema seram, hantu dan mistik adalah satu kepercayaan dan peninggalan zaman pra-Islam yang tidak perlu diagung-agungkan untuk tatapan generasi baru. Lebih menjengkelkan apabila ramai pembikin filem seram hanya memfokus kepada aspek solekan bagi menghasilkan wajah hantu yang hodoh atau bunyian yang kadangkala hilang realistiknya.

“Sepatutnya, kita perlu menilai dan membaikpulih tahap atau darjah keseraman, lokasi yang lebih dekat dengan perasaan takut dan objek yang mampu menimbulkan rasa was-was untuk menghasilkan karya yang jauh bermutu dan tinggi nilainya,” kata Mansor yang menolak menghasilkan naskhah bercorak seram.

Apapun pandangan Mansor, fakta bahawa filem seram adalah pilihan majoriti kaki wayang masa kini tidak dapat diketepikan. Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur umpamanya meraih kutipan pecah panggung, sekali gus merangsang ramai pembikin filem untuk terus berkarya dan melihat genre ini daripada pelbagai sudut.

Melalui genre sama juga memberi ruang kepada pengarah berkaliber, Ahmad Idham mengukir nama sehingga ke peringkat antarabangsa apabila filem arahannya, Jangan Pandang Belakang mendapat sambutan di Filipina.

Genre ini turut mengangkat nama pemenang pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia baru-baru ini, Maya Karin yang juga teraju utama PHSM apabila mendapat pengiktirafan Asia Pasifik.

Menurut Shumi, penampilan serta sifat yang digambarkan menerusi watak pontianak menerusi PHSM adalah berdasarkan interpretasi mereka yang berpengalaman dan bahan rujukan tertentu bagi menghasilkan sesuatu yang lebih dekat dengan penonton dan lebih realistik pada mata penilai.

Selera penonton menjadi keutamaan bagi mereka yang terbabit dalam organisasi perniagaan, termasuk penerbit filem, malah cita rasa itu titik tolak yang dikehendaki untuk terus meraih keuntungan dan membeli penonton.

Karya atau skrip seram perlu terus dieksploitasi dalam bentuk visual yang pada asalnya hanya sebuah cerita disampaikan penglipur lara.

Terima atau tidak, genre seram mampu menjana industri perfileman negara dan ia terbukti berdasarkan beberapa pencapaian menerusi jualan tiket dan sambutan mengejutkan. Namun, sentimen agama dan isu sensitif perlu dipantau agar garapan jalan ceritanya menepati panduan yang ditetapkan.

Sumber : Harian Metro [21/06/09]
Oleh MURSHID EUNOS

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP