#583. Jarum Emas: Krisis emosi Jacko
SEKIAN lama tidak muncul di konsert, cuma tinggal 19 hari lagi Michael Jackson (Jacko) akan beraksi di 02 Arena, London pada 13 Julai. Melalui sidang akhbar, Jacko beritahu konsert itu yang terakhir di London, lalu ribuan peminatnya bertempik mahu Jacko menarik kembali apa yang dikata.Kurang dari dua bulan juga, Jacko akan meraikan ulang tahunnya ke 51 pada 29 Ogos ini. Kini usahkan menanti 13 Julai, apatah lagi 29 Ogos, kerana Raja Pop Dunia yang sekian lama menceriakan jutaan penggemarnya dengan aksi seninya yang unik menghembuskan nafas terakhir pada Khamis lalu.Hampir semua stesen TV kita pada pagi Jumaat kelmarin beri fokus mengenai kematian Jacko yang dikatakan menghadapi komplikasi jantung. Ikutkan, pada hari sama bintang Charlie’s Angels, Farrah Fawcett (1947-2009) juga meninggal dunia akibat kanser, namun kematian Jacko lebih hangat diperkatakan.
Sebagaimana ketika hayatnya ada, begitulah selepas rohnya dikembalikan kepada yang Esa kerana saya percaya ramai keliru mengenai status agama Jacko untuk menyebutnya Allahyarham atau mendiang?
Sehingga catatan ini ditulis saya sekitar jam 3 pagi Sabtu, masih belum dapat dipastikan cara bentuk pengebumian selebriti terhebat pada abad ini. Cuma sedikit kelegaan pada warga Islam berikutan abang Jacko, Jermaine yang beragama Islam ketika sidang akhbar bagi memaklumkan berita kematian adiknya menyebut: “And Allah be with you Michael, always, I Love you.”
Berita pengIslaman Jacko mula mendapat perhatian sejak 21 November 2008. Beliau mengucap dua kalimah syahadah dengan nama Mikaeel, sementara nama Islam Jermaine ialah Muhammad Abdul Aziz.
Melalui kolum ini November lalu, dikait ringkas pengIslaman Jacko yang menambah lagi saudara Muslim kita di kalangan artis antarabangsa selepas Cat Stevens memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam.
Sememangnya kehadiran Jacko di persada seni cukup mengelirukan kita. Cuba renung kembali Jacko ketika bersama Jacksons 5 pada era 1960-an dan 1970-an berbanding kini, memang lain daripada yang lain.
Pada awal kemunculannya, Jacko dipotretkan di minda kita sebagai budak lelaki berkulit hitam, hidung tidak mancung dan berambut afro. Jika tidak kerana lagu I’ll Be There dan Ben, pasti era itu saya lebih menumpukan pada Donny & Marie yang juga dari kumpulan adik beradik The Osmonds.
Tanggal 28 Mei 1975 mencatat sejarah buat Jacko dan Epic Records apabila Jacksons 5 menukar nama kepada The Jacksons. Melalui The Jacksons muncul album The Jacksons (1976), Goin’Places (1977), Destiny (1978), Triumph (1980), Live (1981) dan Victory (1984), sementara album solo Jacko bermula dengan Off The Wall (1979), Thriller (1982), Bad (1987), Dangerous (1991), History (1995) dan lain-lain.
Sukar menidakkan langkah Jacko beraksi solo mencetuskan fenomena baru hingga dia dilabel ikon muzik antarabangsa. Aksi ‘moon walk’,topi, menari memakai sarung tangan adalah imej Jacko yang baru.
Jika filem Hindustan menyajikan tari, nyanyi dan mimpi, Jacko pula tari, nyanyi dan kontroversi. Dalam dunia hiburan, kontroversi penting bagi mempertahankan populariti.
Boleh dikatakan satu demi satu kontroversi yang disensasikan membuatkan Jacko sentiasa diburu media. Kes mencabul kanak-kanak, isu anak angkat, status perkahwinannya serta pelbagai lagi.
Jika difikir, Jacko seperti berdepan krisis emosi yang kronik dengan pelbagai kontroversi dihadapinya, namun saya pula menilai Jacko seperti berperang dengan emosi sendiri berikutan diskriminasi negara ‘Uncle Sam’ yang masih membezakan antara kulit hitam dan putih.
Tindakan Jacko membuat pembedahan pada wajah, menyuntik kulit daripada hitam kepada putih, siapa tahu adalah psikologi terbalik daripada Jacko bagi membolehkan dia diterima bukan saja peminat berkulit putih di benua Amerika, malah Eropah, bahkan dapat berkahwin dengan wanita kulit putih.
Jacko pernah dikait dengan Diana Ross, kemudian Elizabeth Taylor, tetapi agak mustahil dia nak memperisterikan selebriti seperti kakak dan makcik itu. Hubungan mesra Jacko dengan Brooke Shields ketika hadir bersama berpegangan tangan di Anugerah Grammy 1984 memulakan episod cinta baru.
Tertarik menatap gambar Jacko di majalah luar negara, mencium mesra pipi Brooke berserta komen peribadinya, “Let’s give love a chance... or we’ll never know what can be between us.”
Jelas seperti Jacko begitu menagih cinta. Sekalipun Jacko dikait dengan beberapa wanita, kehadiran Brooke dan puteri tunggal Elvis Presley iaitu Lisa Marie dalam hidup Jacko paling menarik diperkatakan. Lisa menjadi isteri Jacko pada Julai 1994 tetapi tidak bertahan lama.
Jika selama ini Jacko seperti takut dengan bayang-bayang sendiri, apakah keturunan kunta kinte sepertinya boleh menjadi raja di Amerika, apatah lagi boleh memperisterikan anak Raja Rock N Roll, namun pengakhir hayatnya Jacko barangkali terfikir betapa orang kulit hitam kini menjadi presiden.
Percaturan Tuhan sukar dijangkau akal. Ia sama pada ketika Jacko bersiap-siap untuk kembali menggegarkan pentas muzik antarabangsa dengan rangkaian konsert bergeraknya, dia menghembus nafas terakhir dan siapa tahu kalimah syahadah dilafazkannya itu diterima, lalu membersihkan dirinya sebelum menghadap Ilahi.
ADAM: Sekalung tahniah buat Datuk Syed Yusof Nasir membawa Michael Jackson ke KL 1996.
Sumber : Harian Metro