#584. 62 filem blockbuster
MASIH ingatkah anda watak Michael Clayton selaku pekerja licik di sebuah firma guaman berprestij, Detektif John McClane dengan pelbagai aksi menarik menerusi Die Hard 4.0: Live Free Or Die Hard, kisah romantik dan komedi menerusi lakonan Cameron Diaz dan Ashton Kutcher dalam What Happens In Vegas dan kisah ‘anak laut’ dalam Pirates of the Caribbean: At World’s End? Barangkali, deretan filem hebat berkenaan masih lagi kekal dalam ingatan. Sempena Star Movies Fan Fest 09, kenangan menarik menonton pelbagai filem berkenaan bakal diulangi.Sepanjang Julai dan Ogos ini, anda tidak perlu lagi beratur panjang untuk mendapatkan hiburan dengan menonton wayang sebaliknya, Star Movies menerusi saluran 413 bakal memeriahkan anda dengan 62 tayangan filem blockbuster menarik setiap malam — hanya di kaca televisyen anda.
Naib Presiden Pemasaran Star Regional, Nini Yusof, berkata Fan Fest 09 adalah kesinambungan daripada program sama sepanjang empat tahun lalu.
“Sebenarnya, objektif kami adalah untuk menghargai penonton yang setia dengan saluran ini. Kami juga mahu memberi segala yang terbaik kepada mereka sejajar dengan saluran hiburan kami.
“Jadi, sebanyak 62 filem Hollywood akan dipertontonkan kepada mereka setiap 10 malam bermula Julai ini hingga akhir Ogos.
“Lagipun, kami mempunyai hubungan baik dengan beberapa syarikat pengeluar filem utama Hollywood seperti 20th Century Fox, Weinstien Company, NGM, Buena Vista dan Walt Disney. Jadi, pastikan penonton tidak ketinggalan menyaksikan pelbagai cerita menarik,” katanya.
Tambah Nini, bagi menyemarakkan sambutan Fan Fest 09, band indie tempatan, Bunkface diangkat menyanyikan lagu tema program berkenaan.
“Sebelum ini kami menggunakan khidmat band dari seberang iaitu Nidji. Untuk musim ini pula, kami memutuskan untuk menggunakan penyanyi tempatan.
“Lagipun, Bunkface punya banyak lagu versi Inggeris yang menarik dan sesuai dengan tema kami. Jadi, lagu berjudul Bunk Anthem dipilih untuk siri promosi program itu. Dalam masa sama, kami menjadi produser bersama merakam video klip lagu berkenaan untuk tayangan di Channel V,” katanya.
Sementara itu, vokalis Bunkface, Shamsul Annuar, melahirkan bahagia mereka dengan perkembangan karier terkini.“Alhamdulillah, ia menjadi peluang terbaik untuk kami meneruskan impian ini. Kami turut difahamkan, ini kali pertama band tempatan diberi peluang menyanyikan lagu tema untuk saluran Star Movies.
“Lagipun, lagu itu akan turut diperdengarkan di seluruh asia. Sekurang-kurangnya, ia menjadi pendekatan terbaik untuk kami mengharumkan nama negara, selain memperluaskan muzik yang dibawa,” katanya.
Sepanjang Fan Fest 09, pelbagai filem menarik seperti The Chronicles Of The Narnia: Prince Caspian, The Nanny Diaries, 13 Going 30, P.S. I Love U, The Game Plan, The Man in The Iron Mask, The Transporter, When Harry Met Sally, Skinwalkers, Alien vs Predator: Requiem, Pathology, Jumper dan Bangkok Dangerous tentu akan memeriahkan malam anda.
Yang pasti, pelbagai lagi rancangan menarik menanti anda. Jadi, tunggu dan jangan melepaskan peluang menontonnya, hanya di Star Movies.
Sumber : Harian Metro