Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Januari 21, 2009

#6. Isu : Kemelut Filem Melayu

04hb Januari, 2009
Utusan Malaysia

DALAM kita berlumba-lumba menerbitkan filem berikutan peningkatan dalam industri perfileman tempatan, sebenarnya kita juga menghadapi masalah baru khususnya dalam menjana kutipan memberansangkan.Sejak kebelakangan ini khususnya pada penghujung tahun 2008, beberapa filem yang ditayangkan hanya mendapat kutipan sekitar RM2 juta.

Malah filem-filem yang mendapat komen positif seperti Los dan Faun yang sesetengahnya menganggap antara karya terbaik Afdlin Shauki hanya mengutip sekitar RM1.1 juta (berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Finas) apabila ditayangkan di 43 buah panggung di seluruh negara.

Begitu juga dengan filem arahan Yusry Abdul Halim, Cicakman 2: Planet Hitam yang gagal memperoleh jumlah kutipan hebat dan hanya mengaut sebanyak RM2 juta sekalipun 60 buah panggung menayangkannya.

Antoo Fighter juga hanya mendapat kutipan RM1.1 juta. Cuma penerbit filem Histeria optimis filem itu mampu melepasi sasaran RM2.8 kerana filem itu akan berada di pawagam sehingga 15 Januari ini. Di manakah silapnya apabila filem tempatan khususnya filem Melayu tidak mendapat kutipan tiket yang memberansangkan? Kualiti filem kita, plot cerita atau terlalu banyak filem Melayu disajikan pada satu masa?

Jika menyentuh soal mutu, rasanya sudah ada filem-filem tempatan kita yang memberi satu anjakan baru, memberikan wajah baru. Malang sekali, filem-filem itulah juga yang kurang mendapat penjualan tiketnya.

Afdlin Shauki pernah menyuarakan isu Skim Wajib Tayang yang dikatakan patut dikemaskinikan. Malah dalam blognya, Afdlin memberitahu Los dan Faun hanya bertahan selama tiga minggu di pawagam dengan alasan untuk memberi laluan filem tempatan yang lain.

Sedangkan filem Twillight yang ditayangkan seminggu awal daripada filemnya itu masih dimainkan dan para penonton yang mahu menyaksikan filem terbaru Afdlin itu sudah beratur panjang mahu membeli tiket di kaunter.

Atau apakah jalan cerita yang ditonjolkan tidak lagi menarik minat penonton? Sekali lagi, rasanya filem-filem seperti Los dan Faun dan Cicakman 2: Planet Hitam malah Antoo Fighter dan jelas sekali Histeria, arahan James Lee tidak mengalami masalah itu.

Atau mungkinkah impak Cicakman 2 itu sudah hilang dan idea Afdlin bagi Los dan Faun yang bagi sesetengah orang terbaik itu tidak dapat diterima?

Tetapi Wanda percaya, walaupun kita menganggap klise alasan kemasukan rancak filem-filem barat yang memenuhi panggung, ia adalah salah satu sebabnya. Lebih-lebih lagi kerana filem luar mampu mendapat peluang tayangan yang lebih lama kerana sambutan yang memang menggalakkan daripada audiens.

Sedangkan filem-filem Melayu pula, (sudahlah perlu bersaing dengan filem luar), mereka juga perlu bersaing dengan kemasukan filem Melayu yang lain, bak kata Afdlin kerana terikat dengan Syarat Wajib Tayang.

Lihat sahaja Antoo Fighter yang ditayangkan pada 27 November lepas dan seminggu kemudian (4 Disember), Los dan Faun pula masuk panggung di ikuti Cicakman 2: Planet Hitam (11 Disember) dan Histeria (18 Disember) dan kini menghadapi saingan daripada filem Brainscan (25 Disember).

Saban minggu setiap filem tempatan khususnya filem Melayu harus menghadapai situasi yang sama malah ada filem tempatan seperti filem seni mempertahankan diri berjudul Kinta yang mungkin sesetengah daripada kita tidak mengetahuinya.

Apakah kerana jumlah panggung yang sedikit memberikan kesan kepada kutipan tiket? Tetapi menurut Finas, dari Januari 2007 hingga Oktober 2008, jumlah pawagam juga telah meningkat sebanyak 27 peratus iaitu 87 pawagam berbanding 68 pawagam tahun lepas.

Dengan kemunculan empat filem dalam tempoh empat minggu, rasanya penerbit dan pengarah bukan sahaja perlu optimis malah perlu kompetitif dalam melahirkan karya masing-masing.

Atau mungkinkah itu sebenarnya tanda-tanda awal kemerosotan ekonomi yang semakin dirasai oleh khalayak yang sudah mula ‘melabur’ untuk mendapatkan yang terbaik sahaja.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP