Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Februari 18, 2009

#126. Fragmen: Peranan Filem Negara perlu diperkukuhkan, perluas

18hb Februari, 2009
Berita Harian
Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my


Janet Khoo dalam Filem Paloh

Kementerian Penerangan patut gerakkan agensi untuk hasilkan filem, program TV bertema sejarah negara.

FILEM Negara adalah antara agensi di bawah pentadbiran Kementerian Penerangan yang peranannya adalah menjadi pusat penyimpanan dokumen atau arkib dalam bentuk visual yang membabitkan kepentingan kerajaan.Begitupun, Filem Negara juga sebenarnya boleh menjadi agensi penting untuk menyebar propaganda atau dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. Memang sehingga hari ini kita masih boleh melihat peranan Filem Negara dalam menyebarkan atau menghebahkan pelbagai program kerajaan seperti yang diumumkan dalam pembentangan belanjawan negara bagi tahun 2009.

Dalam erti kata lain, Filem Negara adalah satu lagi alat penting di bawah Kementerian Penerangan selepas Jabatan Penyiaran untuk menghebahkan program atau propaganda kerajaan. Jabatan Penyiaran adalah agensi yang mentadbir Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Bagaimanapun, disebabkan terlalu memberi tumpuan terhadap RTM, Kementerian Penerangan agak terlupa bahawa Filem Negara boleh memainkan peranan besar dalam menyebarkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan nasional. Cuma cara dan pendekatannya mungkin agak berbeza sikit.

Peranan dan fungsi Filem Negara sejak dua dekad kebelakangan ini tidaklah begitu menonjol, lebih-lebih lagi dengan kemunculan stesen TV dan radio swasta. Apabila Kementerian Penerangan menaungi Filem Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kedua-dua agensi ini pernah dilihat sebagai bergerak agak seiringan. Ketika Finas berperanan sebagai pentadbir segala aktiviti perfileman tanah air, Filem Negara pula menjadi institusi yang mampu menerbitkan filemnya sendiri.

Pernah pada satu ketika Kementerian Penerangan memperuntukkan sehingga RM12 juta kepada Finas untuk menerbitkan filem bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan. Finas kemudian bekerjasama dengan Filem Negara dan akhirnya terhasillah filem Embun dan Paloh.

Sebenarnya, Kementerian Penerangan masih boleh menyediakan peruntukan khusus kepada Filem Negara untuk terus menerbitkan filem-filem kenegaraan walaupun Finas sudah berada di bawah kementerian lain. Walaupun berbeza kementerian, kita berpandangan bukanlah susah sangat untuk Finas dan Filem Negara berpadu tenaga menerbitkan filem khusus untuk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menekankan betapa pentingnya sejarah kepada rakyat Malaysia. Penekanan terhadap aspek sejarah tidak semata-mata disebarkan di sekolah atau institusi pengajian tinggi iaitu dalam bentuk teks atau bertulis saja, tetapi juga sepatutnya diiringi dalam medium visual.

Filem atau program TV adalah satu daripada medium yang boleh mempopular mata pelajaran Sejarah, terutama sejarah membabitkan negara kita.

Bagaimanapun, berapa banyak program TV kita yang memaparkan sejarah kenegaraan? Dalam filem pula, selepas 1957: Hati Malaya arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, belum ada lagi pengarah yang sudah menyiapkan filem sejarah negara.

Kekosongan dalam menghasilkan filem, program TV atau dokumentari sejarah negara ini sepatutnya dimulakan oleh Filem Negara. Ini kerana Filem Negara bukan saja agensi kerajaan tetapi juga mempunyai banyak bahan yang dapat dieksploitasikan sebagai bahan untuk tatapan umum.

Melihat kepada keadaan semasa, apabila generasi muda semakin lupa dan lalai dengan sejarah negara, sudah tiba masanya Kementerian Penerangan menggerakkan atau sekurang-kurangnya mengkaji semula peranan Filem Negara.

Proses ini bukanlah bermakna Kementerian Penerangan perlu mengambil semula Finas seperti yang dihebahkan sebelum ini, tetapi boleh diadakan satu bentuk kerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk menghasilkan program TV, dokumentari atau filem bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan.

Dalam sejarah Filem Negara, agensi ini memang pernah menerbitkan filem cereka yang bertemakan kemasyarakatan. Harus diingat apabila menyebut filem kenegaraan atau patriotik, ia tidak semestinya cerita mengenai perjuangan askar, polis atau cerita berkaitan dengan perjuangan politik menuntut kemerdekaan saja. Cerita seperti itu memang penting, tetapi dalam perspektif sekarang, kita harus ada cerita dalam filem, TV atau apa saja program TV yang mencerminkan pencapaian negara kita sehingga hari ini yang patut jadi kebanggaan dan kemegahan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita juga perlu ada cerita yang memperlihatkan betapa kita sebenarnya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara luar. Kita juga berasa bangga dan bersyukur dengan apa yang ada serta yang sudah dicapai oleh negara kita berbanding negara ornag lain.

Pada tahun 1982, Filem Negara menerbitkan filem Gelombang iaitu filem cereka yang mengisahkan kehidupan nelayan. Filem ini cuba mengangkat cara untuk memperbaiki kehidupan masyarakat nelayan dengan menubuhkan koperasi supaya hasil jualan ikan dapat dipasarkan dengan sistematik.

Filem Bila Hati Telah Retak yang diterbitkan oleh Filem Negara pada tahun 1983 adalah satu contoh mengenai sebuah filem yang memaparkan kegigihan dan kecekalan jururawat desa menjalankan tugasnya di kampung dengan penduduknya belum terdedah dengan dunia perubatan moden sepenuhnya.

Filem Negara mungkin mungkin mempunyai tenaga kreatif yang mencukupi, manakala Finas pula memiliki kemudahan produksi yang moden. Kita percaya dua agensi kerajaan ini apabila bergabung, sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk menghasilkan filem-filem cereka yang berlatarkan sejarah negara.

Kita bukan saja ketandusan, bahkan tidak ada filem atau program TV bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan. Apa yang kita ada atau tonton adalah filem atau program lama yang asyik di ulang tayang saja. - zainuri@bharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP