#383. Harapan Baru Industri Filem
PADA 4 April 2009 iaitu hari Jumaat lepas negara telah melalui hari yang bersejarah apabila Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.Najib memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada ketika ekonomi dunia berhadapan dengan kemerosotan dan negara ini berhadapan kesan teruk daripada gelombang dan kecamuk ekonomi global.Tetapi kita percaya inilah juga ketika dan masa yang terbaik bagi seorang perdana menteri yang baru bertindak dengan penuh strategi memacu kemajuan negara dalam menghadapi gelombang ketidak tentuan ekonomi dunia.
Di bawah kepimpinan Najib diharapkan negara ini akan terus memacu dan memperkasa perkembangan ekonomi yang berasaskan pengetahuan (K-economi). Salah satu sektor yang terlibat secara langsung di bidang k-ekonomi ini adalah bidang perfileman.Najib yang selama ini merupakan pendorong kuat di sebalik pembangunan multimedia seharusnya melihat peranan penting yang dimainkan oleh industri perfileman dalam pembangunan multimedia. Memang filem selalunya dikaitkan dengan bidang hiburan dan sering tidak dilihat secara serius.
Namun, perlu diingat industri perfileman bukan sekadar hiburan, seni perfileman melibatkan kegiatan intelektual, seni budaya, kreativiti dan kemahiran. Ketika ini industri perfileman memerlukan kemantapan modal insan yang bukan sahaja mengetahui perkembangan teknologi maklumat dan komputer terkini, tetapi juga memahami strategi pemasaran yang kompleks. Konsep pengetahuan dan kreativiti serta hiburan merupakan industri masa depan.
Menyedari hakikat inilah mengapa mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menubuhkan MSC dan menggerakkan pembangunan multimedia.
Malah kerana menyedari potensi industri perfileman sebagai salah satu faktor yang akan menggerakkan perkembangan industri multimedia, Tun Mahathir telah menubuhkan E-Village, tetapi sayang E-Village tidak dimanfaatkan sebaiknya dan akhirnya hilang begitu sahaja.
Pada ketika ini industri perfileman negara bergerak dengan perlahan. Para pembikin filem berhadapan dengan pelbagai masalah, daripada masalah modal, pinjaman dan hinggalah kepada masalah pemasaran.
Pada ketika ini kerajaan menyediakan dana pinjaman sebanyak RM50 juta ringgit melalui SME Bank dengan kelulusan pinjaman sebanyak RM1.5 juta untuk setiap permohonan di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC).
Sementara itu, Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia (MOSTI) juga menyediakan geran pembikinan filem animasi sebanyak RM1 juta. Bagaimanapun jumlah dana tersebut cukup kecil dan jauh daripada mencukupi untuk kita menggerakkan industri perfileman ke tahap yang mampu menyaingi Bangkok sekalipun, apatah lagi untuk menjadikan negara ini sebagai hub industri animasi digital yang bergantung kepada kreativiti dan kemahiran serta pembangunan teknologi komputer.
Setanding
Bayangkan secara purata kos sebuah filem yang dihasilkan oleh pembikin filem Thailand tidak kurang daripada RM10juta. Filem King Nerusuan sahaja dihasilkan dengan kos tidak kurang daripada RM60 juta. Hari ini Bangkok menjadi hub perfileman Asia yang penting.
Singapura juga sedang berusaha membangunkan kota tersebut sebagai hub animasi digital melalui kerjasama dengan Lucas Film. Hasilnya mereka telah berjaya menghasilkan filem Star Wars: The Clone Wars. Tetapi bagaimana dengan kita?
Setakat ini filem yang paling menguntungkan hanya memberikan pulangan sekitar RM10juta. Kita sebenarnya mempunyai banyak pembikin filem muda yang telah membuktikan kemampuan mereka, tetapi mereka memerlukan lebih banyak sokongan.
Bagaimanapun tahun ini sebuah filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda tempatan dan diterbitkan oleh Les' Copaque telah mencipta fenomena.
Keupayaan karyawan muda ini membuktikan kemampuan kreatif anak tempatan setanding dengan pembikin filem animasi di Amerika atau Jepun. Produk animasi beginilah yang memungkinkan industri perfileman terutamanya animasi dan industri pasca-produksi filem tempatan berkembang maju dan seterusnya membina keyakinan pembikin dan pelabur filem dari luar untuk menggunakan perkhidmatan karyawan tempatan.
Saban tahun institusi pengajian tinggi baik kerajaan atau swasta seperti UiTM, UTM, USM, UPM, KDU, LKW dan Aswara menghasilkan ramai graduan di bidang kreatif, multimedia dan perfileman. Tetapi ke manakah perginya para graduan ini? Bekerja di pasaraya atau pejabat kerajaan?
Mereka adalah tenaga kreatif yang diharapkan mampu mengisi dan merancakkan industri kreatif di negara ini. Tetapi industri kreatif negara ini terpaksa berhadapan dengan segala masalah dan hambatannya sendiri.
Untuk melihat industri kreatif berkembang maju, kita tidak boleh melihat pada satu bidang sahaja. Industri ini melibatkan banyak bidang yang saling berkait. Industri perfileman akan berkembang sihat jika dunia kesusasteraan, seni budaya, seni teater, seni lukis, muzik dan teknologi multimedia turut dibangunkan.
Kreativiti dan keupayaan bakat penulisan dan kesusasteraan merupakan asas kepada pengisian kandungan (content) dalam pembangunan perfileman atau media yang lain.
Dalam hal ini saya percaya Najib yang sejak sekian lama telah memberikan komitmen dan minat yang mendalam dalam perkembangan kesusasteraan tanah air akan melihat kelesuan yang sedang berlaku dalam dunia kesusasteraan tempatan.
Seperti bapanya, Allahyarham Tun Abd. Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua yang bertanggungjawab memperkenalkan Hadiah Karya Sastera Malaysia pada tahun 1971 dan komitmen ini kemudian diteruskan oleh Dato Seri Najib dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Kita mengharapkan Najib akan melakukan sesuatu untuk merangsang perkembangan intelektual, kesusasteraan dan seni budaya negara kerana inilah komponen yang akan menggerakkan pembangunan dan kemajuan industri perfileman negara.
Kerajaan perlu menyediakan dana yang besar dan berbelanja untuk menggalakkan perkembangan industri ini. Setiap produk filem yang dihasilkan bukanlah pelaburan yang merugikan.
Melalui setiap produksi ini kita sebenarnya membina dan membangunkan sejumlah tenaga kreatif yang kompetetif. Dan untuk meningkatkan penyertaan mereka, maka dana pinjaman di bawah SPFC harus boleh ditukar menjadi geran perfileman kepada produk yang telah mencapai tahap kualiti tertentu.
Sumber : Utusan Malaysia [07/04/09]