#384. Anugerah Seniman Timbul Pertikaian
BANYAK perkara yang tidak kena dengan penganjuran Anugerah Perdana Seniman 2009 (APS09) yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 April hingga semalam di Kuching, Sarawak .Ini kali keempat majlis anugerah anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) diadakan, selepas di Alor Setar, Kedah, Perlis dan Jakarta,Indonesia. Perkara ini turut menjadi bualan dalam kalangan 180 delegasi membabitkan beberapa artis veteran yang didatangkan khas dari Singapura. Antara rungutan dan rasa tidak puas hati ahli rombongan membabitkan pengurusan dan penyeliaan yang menimbulkan banyak masalah kepada mereka.
Tidak kurang ada beberapa anugerah diberikan pada malam itu menjadi pertikaian dengan beberapa pihak berkata ia majlis untuk seronok sendiri.Ia bermula apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diberikan Anugerah Khas Perdana Bintang Seniman Sokongan dan Bantuan Dalam Memartabatkan Industri Filem Tempatan. Menurut mereka, anugerah itu tidak seharusnya diberikan kepada Finas kerana ia sudah menjadi tanggungjawab badan kerajaan itu membantu penggiat filem sekali gus memastikan industri itu terus hidup dan subur.Begitupun paling hangat diperkatakan apabila Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof sendiri diberikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Perdana Seniman Pencapaian Abadi.
Menurut kenyataan yang dicatatkan Bendahari Seniman, Abu Bakar Omar, Mustapha pada peringkat awalnya enggan menerima anugerah itu atas tiga sebab. Pertamanya pembabitan dan sumbangannya dalam bidang seni tidak seberapa jika dibandingkan dengan penerima anugerah sama sebelumnya.Kedua, Mustapha beranggapan dia sebagai presiden dan sudah tentu ia akan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak apabila menerima anugerah tertinggi pada majlis anjuran sendiri.Mustapha tidak mahu dianggap seperti masuk bakul angkat sendiri memandangkan Anugerah Perdana Seniman adalah cetusan ideanya sendiri. Seharusnya jawatankuasa pemilihan penerima anugerah memikirkan semula pendapat yang diberikan Mustapha terhadap anugerah tertinggi yang mahu diberikan kepadanya kerana apa dinyatakan adalah benar.
Begitu pun majlis yang berlangsung di Stadium Perpaduan itu berjalan lancar dengan penerima anugerah lain menghargai usaha dilakukan Seniman.
Berlaku kejutan pada malam itu apabila tetamu kehormat, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika menerima penghargaan Anugerah Perdana Seniman Agung P Ramlee, APS09 mengumumkan kerajaan negeri Sarawak menganugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak membawa gelaran Datuk Amar Bintang Kenyalang kepada Seniman Agung itu.
Menerima anugerah itu bagi pihak Tan Sri P Ramlee adalah warisnya yang juga dramatis, Dian P Ramlee.Ditemui selepas majlis itu, Dian berkata dia terharu dan tidak menyangka apabila dipanggil untuk tampil ke pentas dan menerima anugerah diumumkan Ketua Menteri Sarawak untuk arwah bapanya.
"Secara jujurnya saya tidak mengetahui apa-apa sebaliknya disuruh datang kerana ada pengumuman hendak dibuat. Mereka tidak memberitahu langsung mengenai anugerah kedua tertinggi daripada Kerajaan Negeri Sarawak kepada arwah bapa.
"Sebagai warisnya sudah tentu saya terharu dan bangga dengan anugerah yang diberikan dan saya tahu ia diberikan kerana sumbangan besar Allahyarham terhadap perkembangan seni negara mahupun dalam kalangan masyarakat di Bumi Kenyalang ini. Malah umum tahu Tan Sri Abdul Taib sendiri adalah peminat setia karya Allahyarham.
"Anugerah ini akan saya serahkan kepada Arkib Negara dan diharapkan dapat dipamerkan di Muzium Peringatan P Ramlee untuk tatapan peminat setianya," katanya.
Anita Sarawak yang pernah mengharumkan rantau Nusantara dengan bakatnya apabila berjaya mencipta nama sebagai penghibur terkemuka di Ceaser Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat dan mengadakan konsert jelajah bersama penghibur Asia lain tahun lalu turut terharu dengan penghargaan diberikan Seniman kepadanya.
Ditemui sebaik menerima anugerah yang disampaikan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Anita yang menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Penyanyi Bertaraf Antarabangsa berkata, dia gembira dan tersentuh dengan penghargaan diberikan.
"Sepanjang pembabitan sebagai penyanyi, saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan. Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai yang terbaik. Selagi bergelar penyanyi, saya terus belajar untuk memperbaiki kelemahan diri. Begitupun, saya berterima kasih kepada Seniman atas anugerah ini," katanya
Yasmin pula yang menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Filem Globalisasi, tidak dapat menahan rasa terharu apabila menerima anugerah dalam kalangan artis yang selama ini amat diminati dan dihormati.
"Bayangkan bersama saya menerima anugerah ini, Datuk Aziz Sattar, yang memang saya minati dan saya panggil Pak Guru. Saya banyak belajar daripada filem yang pernah dia lakonkan. Ini satu penghargaan cukup manis," katanya yang filem terbaru arahannya Talentime baru ditayangkan.
Turut sama diiktiraf Allahyarham Sudirman bagi kategori Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan. Menerima bagi pihak Allahyarham, anak saudaranya, Fazren Adri.
Aziz pula menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Komedi Sepanjang Zaman.
Bagi Aziz atau lebih senang dengan panggilan Pak Aziz , walaupun sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah, baginya pengiktirafan yang baru diterimanya itu adalah pengalaman sangat manis.
"Saya gembira kerana anugerah ini diberikan rakan saya yang berada dalam Seniman. Sepanjang 60 tahun pembabitan dalam industri perfileman rasanya ini antara kenangan paling manis apabila bakat yang selama ini saya curahkan diiktiraf orang filem sendiri. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka atas penghargaan ini," katanya.
Tidak ketinggalan penggiat filem muda turut diiktiraf Seniman terutama apabila membabitkan bidang teknologi dan kepakaran. Untuk itu anugerah Pencapaian Cemerlang Pengarah Filem Visual Effect diberikan kepada pengarah Cicak-man, Yusry Abdul Halim.
"Pada saya anugerah ini lebih bermakna kerana ia datang daripada orang filem sendiri. Bukan saya tidak hargai anugerah yang datang atas sokongan peminat, tetapi apabila orang filem sendiri yang mengiktiraf karya yang dihasilkan sudah tentu ia lebih bermakna kepada saya secara peribadi.
"Bermakna usaha dilakukan KRU Movies untuk mempertingkatkan industri filem menggunakan kecanggihan teknologi terkini tidak dipandang sepi. Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya buktikan dengan kepakaran teknologi yang ada, kita mampu menghasilkan filem dengan lebih baik," katanya yang baru selesai menghabiskan kerja produksi filem terbaru, Magica.
Penerima anugerah lain, Seniwati Mariani Ismail yang mendapat anugerah Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan, David Teo (Pencapaian Cemerlang Bidang Penerbitan Filem Malaysia Yang Konsisten dan Box Office), James Lee (Pencapaian Cemerlang Pengarahan Filem Generasi Baru) dan Habsah Hassan (Pencapaian Cemerlang Penulis Lirik Terunggul) .
Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian lagu P Ramlee gabungan artis veteran dan 80-an seperti Hashimah Yon, Salwa Abdul Rahman, Azlina Aziz, Liza Aziz, Musley Ramlee, Ahmad Fauzee, Nassier Wahab dan Hail Amir.
Menggegarkan pentas, persembahan Impak Maksima menampilkan beberapa pelakon asal drama muzikal itu seperti Zarina, Dina dan kumpulan Fabulous Cat.
Sumber : Harian Metro [07/04/09]