Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, April 13, 2009

#385. Talentime Gagal Tarik Penonton

SEJAK ditayangkan pada 26 Mac lalu, filem Talentime karya Yasmin Ahmad dikatakan kurang menarik minat kaki wayang menyaksikannya. Malah filem yang diuar-uarkan sebagai karya terbaik pengarah berbakat itu dilaporkan mencatat kutipan kurang memberangsangkan.Entah di mana silapnya filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film hanya meraih RM400,000 kutipan tiket selepas 10 hari ditayangkan.

Berbeza dengan pencapaian karya Yasmin terdahulu seperti Mukhsin yang mencatat RM1.1 juta selepas seminggu ditayangkan sekalipun mengetengahkan konflik percintaan antara kaum dengan garapan penceritaan yang unik dan menaik.Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, pencapaian berkenaan tidak menjejaskan usaha pihaknya untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem yang menampilkan isu yang cukup relevan dengan masyarakat Malaysia itu.

"Kami mengakui kutipan tiket untuk filem ini kurang memberangsangkan. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti filem ini bercorak urban yang kurang diminati kebanyakan penonton kaki wayang yang terdiri daripada orang Melayu.

"Ia membariskan pelakon kurang terkenal yang menjayakan filem itu seperti kita sedia maklum, mentaliti penonton kita mahu menonton aksi pelakon terkenal.

"Ini adalah risiko perniagaan biarpun membawa isu yang cukup dekat untuk masyarakat hari ini. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan promosi dan maklum balas yang diterima daripada media mengenai filem ini. Malah, ia langsung tidak menjejaskan usaha kami untuk menerbit dan mengetengahkan filem tempatan yang berkualiti pada masa akan datang.

"Kami juga merancang usaha untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem ini menerusi tayangan di universiti dan institut pengajian tinggi swasta tempatan pada masa akan datang. Selain itu, menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem itu," katanya.

Sebelum ini filem yang memaparkan kisah cinta lelaki India, Mahesh lakonan Mahesh Jugal Kishor dengan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur (Pamela Chong) itu ditayangkan di Festival Antarabangsa Hong Kong dan mendapat perhatian yang agak baik daripada pihak penganjur.

Menurut Puad lagi, filem berkenaan bakal mengikut jejak langkah filem Mukhsin yang dibawa ke pasaran antarabangsa.

"Jika tiada aral kami akan membawa filem ini ke pasaran antarabangsa dengan mempamerkannya bagi tayangan jualan pasaran antarabangsa di Festival Filem Cannes di Perancis Mei ini. Dengan cara ini kami akan mencari pengedar untuk memasarkan filem itu di luar negara supaya dapat disaksikan seluruh masyarakat dunia.

"Malah kami juga akan terus mencuba menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem yang membawakan kisah pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Pencapaian filem itu juga sekali gus gagal mengatasi pencapaian filem terbitan Primeworks Studio yang mula diterbitkan awal tahun ini bermula Sifu & Tongga yang mencatat kutipan RM3 juta dan Rasukan Ablasa (RM1 juta).

Biarpun bersyukur dengan pencapaian itu, Puad mengakui pencapaian itu diukur berdasarkan sambutan daripada penonton pasaran utama (mass market) di pawagam yang terdiri daripada golongan berusia 15 tahun ke atas.

Malah rekod membuktikan filem bercorak urban kurang mendapat tempat di kalangan kaki wayang. Contohnya, Red Kebaya. Filem itu juga kurang mendapat sambutan walaupun mempunyai kualiti tersendiri.

Talentime membabitkan perbelanjaan RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini, Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Sumber : Harian Metro [07/04/09]

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP