Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, April 13, 2009

#386. Gagal Bayar Balik Pinjaman Filem

DANA Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) berjumlah RM50 juta yang diwujudkan oleh kerajaan pada tahun 2007 bertujuan membantu para penerbit filem tanah air.Sejak skim itu diperkenalkan, sebanyak 36 syarikat telah pun memohon dana yang secara puratanya berjumlah RM1.5 juta bagi setiap permohonan.Selepas hampir dua tahun SPFC diperkenalkan, baki dana yang diuruskan oleh Bank SME itu kini hanya tinggal RM15 juta sahaja.Daripada 36 syarikat yang meminjam dana itu pula, difahamkan hanya tiga syarikat sahaja setakat ini yang berjaya membayar semula pinjaman yang keseluruhannya berjumlah RM3.2 juta.

Ini bermakna, ada sekitar RM32 juta lagi daripada dana itu yang telah dipinjam tetapi sayangnya ia gagal dibayar semula oleh para peminjam.Kesemua fakta itu didedahkan oleh Bank SME menerusi wakilnya, Abdul Jalal Atan pada Majlis Taklimat dan Sesi Penerangan bank itu bersama ahli-ahli Persatuan Sutradara Malaysia (Fdam) baru-baru ini.Justeru, selaku agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan memantau kelulusan pinjaman SPFC, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) haruslah peka dengan perkembangan yang sedang berlaku itu.

Sebabnya, SPFC bukanlah berupa geran atau subsidi kerajaan, sebaliknya peruntukan itu adalah pinjaman yang sepatutnya dapat digunakan semula oleh para peminjam seterusnya.Dana berjumlah sekitar RM38 juta yang telah dikeluarkan itu sepatutnya masuk semula ke dalam akaun asalnya beserta kadar faedah empat peratus setahun yang turut dikenakan ke atas peminjam.

Pelbagai alasan

Sayangnya, dana itu kini bukan sahaja semakin susut nilainya, malah para peminjam yang gagal melangsaikan pinjaman tersebut juga senyap dan seolah-olah dibiarkan begitu sahaja.

Dalam hal ini, Finas haruslah bersikap tegas bagi menjejaki para peminjam dana SPFC yang liat untuk membayar semula pinjaman itu dengan mengemukakan pelbagai alasan.

Banyak faktor telah dikenal pasti punca mengapa ramai peminjam dana SPFC gagal membayar pinjaman selepas sesebuah filem yang dibiayai itu tamat tempoh tayangannya di pawagam.

Antaranya disebabkan sikap dan komitmen penerbit atau pengarah filem yang berganding bahu dalam menerbitkan sesebuah filem.

Ketidaksefahaman itu antara lain timbul kerana kurangnya pengalaman seseorang penerbit dalam usahanya untuk menjadikan bidang perfileman sebagai suatu kerjaya yang serius.

Bagi mengatasi masalah itu, Finas selepas ini haruslah lebih fokus, teliti dan mengenakan syarat-syarat yang ketat sebelum menyokong sesuatu pinjaman daripada dana tersebut.

Menurut Presiden Fdam, Ahmad Ibrahim, masalah itu contohnya, boleh diatasi daripada peringkat awal sebelum syarikat produksi itu mahu menerbitkan sesebuah filem.

"Setakat ini Finas tidak pernah mengadakan briefing atau penjelasan lebih lanjut kepada para penerbit dalam program pitching yang mereka telah adakan.

"Misalnya, genre filem apa yang sesuai dan diperlukan, skim pinjaman SPFC dan sebagainya. Ahli-ahli jawatankuasa pitching pula ramai yang tidak mahir dalam bidang perfileman.

"Sebab itu mereka tidak tahu selok-belok bagaimana mahu menerbitkan filem yang mampu untuk membayar semula pinjaman SPFC," katanya ketika ditemui di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Mereka yang terbabit dalam pitching sebelum mana-mana penerbit layak membuat pinjaman dana SPFC juga haruslah diberi perhatian oleh perbadanan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) itu.

Mereka ini pula mestilah sekurang-kurangnya mempunyai lima tahun pengalaman dalam bidang pengarahan atau penerbitan drama, telemovie atau filem.

Latarbelakang peminjam dana SPFC juga patut diselidiki bagi memastikan hanya penerbit filem yang benar-benar mempunyai rekod cemerlang dan jujur dalam bidang ini diberi peluang tersebut.

Kita tidak mahu dana SPFC berjumlah RM50 juta itu disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menggunakan peluang tersebut demi meluaskan cabang perniagaan mereka.

Selain itu, baik Finas yang telah diamanahkan oleh KPKKW dan Bank SME juga haruslah melakukan sesuatu ke atas peminjam yang degil atau gagal melunaskan pinjaman mereka.

Contohnya, nama-nama peminjam dana SPFC yang gagal melangsaikan hutang didedahkan kepada umum, selain mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka.

Campur tangan

Pada masa sama, pihak Bank SME juga boleh campur tangan dengan cara mengawal serta mengetatkan lagi pinjaman daripada dana itu.

Finas dengan kerjasama Bank SME juga sepatutnya mewujudkan kategori ke atas para penerbit filem mengikut kelas A, B, C dan sebagainya berdasarkan prestasi kewangan syarikat dan pencapaian mereka dalam bidang penerbitan filem.

Cara itu sedikit sebanyak akan memberi ruang lebih luas kepada para penerbit atau peminjam yang benar-benar diyakini mampu membayar semula pinjaman untuk meminjam dana tersebut.

Harus diingat bahawa, SPFC merupakan suatu amanah kerajaan dan juga para peminat filem tempatan yang ingin melihat lebih ramai penerbit tampil menerbitkan filem-filem yang bukan sahaja berkuantiti besar tetapi juga berkualiti tinggi.

Sebab itu, sebelum ini ada juga usul daripada kalangan penerbit yang mahu supaya dana SPFC ditambah daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Namun, jika tiada tindakan tegas, kawalan ketat dan juga pemantauan daripada Finas, maka walau banyak mana sekalipun dana yang diperuntukkan ia mungkin akan lesap begitu sahaja.

Sumber : Utusan Malaysia [08/04/09]

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP