Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Mei 18, 2009

#429. Filem Melayu Perlu 'NUR'

SABAN tahun, penggiat seni tidak pernah ketandusan idea menerbitkan filem Melayu dalam usaha memartabat serta merancakkan lagi dunia lakonan tanah air.

Namun begitu, ada yang mengatakan filem Melayu sudah malap, tidak glamor lagi dan tidak mempunyai masa depan kerana kualiti masih ditakuk lama sedangkan penonton kini sudah bijak menilai filem mana lebih baik, mana yang tidak bermutu.Tambah mengharukan apabila sebahagian filem dihasilkan gagal memenuhi selera peminat sedangkan bajet dikeluarkan tinggi. Contohnya ada yang hanya mampu mencatat kutipan RM300,000 sedangkan kos penerbitan mencecah RM1 juta, belum masuk kos promosi.

Bagi pengarah filem yang sukar difahami, U-Wei Shaari, pandangan mengatakan filem Melayu sudah tidak mampu menarik perhatian penonton sama sekali tidak berasas dan tidak boleh dipercayai langsung.

Katanya, dia melihat persoalan ini melalui skop pengeluaran filem Melayu yang tidak pernah putus dihasilkan untuk santapan penonton.

"Dari segi kuantitinya sudah boleh dikira sebagai suatu pencapaian membanggakan kerana semakin banyak filem Melayu diterbitkan untuk mewarnai dunia hiburan.

"Namun, saya dapati filem Melayu memerlukan 'nur' untuk mengubah dunia filem tempatan menjadi lebih bermutu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Subliminary: Sublime And Sensory di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.

Menyentuh sama ada filem tempatan ketika ini berkualiti ataupun tidak, beritahu pengarah yang mencetuskan kontroversi melalui filem Perempuan, Isteri dan ... serta Buai Laju-laju itu, ia sesuatu yang abstrak untuk diperkatakan.

"Melalui pengalaman, saya dapati kualiti sesebuah filem bergantung kepada keinginan dan kehendak masyarakat setempat.

"Sukar untuk dijelaskan kerana masyarakat melihat kualiti filem berdasarkan populariti diterima dan sekiranya mendapat sambutan hangat dari peminat filem, maka berkualitilah filem itu.

"Disebabkan itu, saya nyatakan kualiti sesebuah filem sangat abstrak dan tidak semestinya filem yang tidak menerima sambutan hangat dari penonton tidak berkualiti.

"Senang cerita, fenomena negara ketika ini yang menentukan filem itu berkualiti ataupun tidak, bergantung kepada peminat dunia seni sendiri," katanya.

Bercerita mengenai pandangannya terhadap filem mahupun drama tempatan, kata U-Wei, dia tidak pernah berputus asa dalam menghasilkan karyanya untuk dipersembahkan kepada masyarakat.

"Saya tidaklah optimistik dengan situasi filem sekarang dan pada masa sama, saya juga tidak pesimistik dengan bidang ini.

"Disebabkan itu, sehingga hari ini saya masih berjuang membuat filem berkualiti untuk tatapan masyarakat," katanya.

Mengenai projek terbarunya, kata U-Wei, dia sedang dalam perancangan mengarahkan filem adaptasi dari novel.

"Dalam bulan Mei ini, saya akan pergi ke Poland untuk membuat penyelidikan mengenai sebuah buku hasil penulisan Joseph Conrad yang akan diadaptasikan ke dalam filem terbaru saya.

"Di samping membuat penyelidikan, saya turut mencari peluang meminta bantuan beberapa pengarah seni foto bagi menolong saya dalam penghasilan filem ini.

"Mengenai pemilihan pelakon, sekarang sudah di peringkat akhir dan sejurus pulang dari Poland, penggambaran terus bermula," katanya.

Sementara itu pameran Subliminary: Sublime And Sensory yang berlangsung dari 7 Mei hingga akhir bulan ini menghimpunkan hasil karya lukisan kumpulan Satu dianggotai Isnian Ibrahim, Nurul Azmah Adnan dan Elias Yamani Ismail.

Pameran itu bertujuan menterjemahkan tindak balas minda dan psikologi kehidupan manusia dari sudut pandangan kumpulan ini melalui karya dihasilkan. Ia juga bertujuan mencari satu titik pertembungan antara Sublime dan Sensory melalui objek seni yang dipamerkan kumpulan ini.

Sumber : Harian Metro [14/05/09]
Oleh Sakini Mohd Said

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP