#460. Cinema : Impak Syurga Cinta
Filem terbaru arahan Ahmad Idham terbitan MIG Production berputar di pawagam mulai hari ini.TIDAK memerlukan nama besar untuk melariskan filem terbaru arahannya, sutradara muda Ahmad Idham berani menanggung risiko dengan menggandingkan Awal Ashaari dan Heliza dalam filem Syurga Cinta.
Percubaan berani Ahmad Idham itu tidak sia-sia. Awal yang memegang watak Irham dan Heliza sebagai Cikgu Syuhada berjaya memberikan lakonan berkesan biarpun kali pertama bergandingan. Ahmad Idham juga tidak silap percaturan memilih Heliza, walaupun gadis berasal dari Kuala Terengganu itu kali pertama beraksi di layar perak.
Sebelum bersetuju mengarahkan sebuah naskhah cinta, Ahmad Idham akui mengambil masa mempertimbangkan tawaran MIG Production itu kerana filem cinta sering kali mendapat pandangan prejudis. Dengan genre cinta yang sering menjadi latar filem mahupun drama, Ahmad Idham tidak mahu Syurga Cinta dilihat sebagai sebuah lagi filem cinta yang tidak berkembang.
“Sudah lama saya berhasrat kembali mengarahkan filem cinta setelah Mr Cindarella. Memandangkan pasaran untuk filem cinta tidak begitu memberangsangkan, hasrat itu dipendamkan dulu. Setelah menghasilkan 10 buah filem, saya bertanya pada diri apa lagi yang masih belum dicuba. Jadi saya beranikan diri untuk kembali mengarahkan filem berunsurkan cinta, kebetulan ketika itu industri sedang disuakan dengan filem Ayat-Ayat Cinta jadi saya kira ini masa sesuai.
“Bagaimanapun fikiran saya berlegar memikirkan cinta macam mana mahu ditonjolkan. Saya tidak mahu cerita berat, yang terlintas di fikiran saya bagaimana kalau dibuat sebuah cerita cinta dengan permainan dialog yang artistik.
“Pada mulanya kami mencuba dialog biasa, kemudian timbul pula idea bagaimana sekiranya digunakan firman dan hadis bagi mencantikkan lagi dialog itu. Setelah dimasukkan hadis dan firman, kita jadi seronok membaca skripnya. Selepas itu kita mula cari pelakon, wajah yang terlintas di fikiran saya pada ketika itu ialah Awal kerana dia seorang hero baru yang boleh berkembang. Bagi watak wanita pula ada beberapa artis bertudung yang difikirkan sesuai tetapi setelah berbincang, calon yang dirasakan berkelayakan adalah Heliza,” katanya.
Nama Awal di layar perak bukanlah baru. Jejaka kelahiran Kampung Baru itu pernah membintangi enam buah filem sepanjang lima tahun menceburi arena hiburan tanah air. Setiap filem lakonannya mempunyai keunikan tersendiri namun perasaan berbeza dirasakan tatkala menjayakan watak Irham seorang jejaka yang terlalu kebaratan, bagaimanapun berubah sikap sejak menemui wanita yang teguh pegangan agama dan ciri ketimuran.
“Saya menyesal tidak serius sepanjang lima tahun berlakon. Saya menerima tawaran sebelum ini semata-mata untuk memenuhkan portfolio dan juga kerana wang. Tetapi dalam Syurga Cinta, barulah saya dapat rasakan apakah yang dimaksudkan dengan berlakon.
“Jika menerima tawaran selepas ini, saya akan menerimanya kerana benar-benar mahu berlakon dan menikmati kepuasan setelah melakukannya. Bait-bait kata yang terkandung di dalam skrip filem ini amat menusuk kalbu, saya cepat berasa sebak dan air mata juga mudah mengalir.
“Saya tidak perlu untuk mengingatkan kisah sedih yang berlaku dalam hidup seperti kehilangan keluarga terdekat semata-mata untuk membuatkan air mata mengalir. Sebaliknya saya hanya perlu ingat apa yang sudah saya lakukan pada Cikgu Syuhada, ia seakan benar-benar berlaku dalam hidup saya dan perkara itu sudah cukup untuk membuatkan saya menangis,” kata Awal.
Bergandingan pertama kali dengan Heliza adalah satu pengalaman baru yang juga banyak mengajarnya. Jika sebelum ini dia tidak kisah melakukan kerja rumah untuk menghayati watak diberikan, sebaliknya apabila bersama Heliza, dia menjadi tekun dan berasa tercabar melihat kesungguhan gadis bermata cantik itu yang serius dengan tanggungjawab diberikan.
“Heliza suka bertanya apabila dia kurang faham. Pada mulanya saya berasa rimas juga tetapi lama-kelamaan saya pula berasa risau kerana tidak bersungguh-sungguh sebagaimana dia. Sejak itu kami mula berbincang untuk memantapkan lagi karakter masing-masing. Kesungguhan yang ditunjukkan Heliza memang tidak sia-sia kerana dia berjaya membawakan watak dengan baik.
“Baru sekarang saya merasakan kepuasan berlakon dan ini juga pertama kali saya sibuk bertanya pendapat orang mengenai lakonan saya. Jika tidak sebelum ini saya paling tidak suka acara gala filem lakonan saya kerana saya tahu betapa teruknya lakonan saya tetapi tidak untuk kali ini,” katanya.
Kehadiran Awal di dalam filem ini pula menyebabkan si cilik Haziq tidak sabar-sabar untuk menjalani penggambaran filem Syurga Cinta sebaik menyedari idolanya itu bakal berlakon di sampingnya. Si kecil berusia sembilan tahun, anak sulung dari tiga beradik itu mengakui seronok dan begitu menyayangi Awal seperti abangnya sendiri.
Berdebar tunggu reaksi penonton
BEKAS peserta program realiti Akademi Fantasia, Heliza pula mengakui sedang berdebar menantikan reaksi peminat mengenai lakonan sulungnya.
Menceritakan pengalaman pertamanya beraksi di depan kamera, kata gadis manis ini perasaannya bercampur baur malah dia juga tidak ketinggalan ditegur pengarah kerana gagal menghayati babak romantis.
Apa yang menyukarkan kata penuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS), watak Cikgu Syuhada berbeza dengan karakter asalnya seorang yang gila-gila.
“Pertama kali berlakon adalah satu pengalaman yang menakutkan. Bayangkan saya perlu bergandingan dengan orang yang sangat berpengalaman sedangkan saya pula kosong. Mujur Awal mudah serasi dengan orang, setidak-tidaknya saya berasa selesa.
“Selain babak romantik, satu lagi perkara yang mencabar apabila saya dikehendaki menangis. Dua perkara saja yang akan membuatkan saya menangis pertama emak dan kedua pelajaran. Bagaimanapun tetap sukar juga untuk saya menitiskan air mata.
“Manakala menghafal skrip bukan sesuatu yang sukar buat saya kerana sudah biasa menghafal untuk peperiksaan. Disebabkan tawaran ini datang pada waktu yang suntuk, semuanya dipadatkan untuk memudahkan saya menghafal,” kata Heliza yang bakal menjalani kursus amali sebagai guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Sabah selama tiga bulan bermula 15 Jun depan.
Setelah bekerja di bawah Ahmad Idham, Heliza mengakui seronok dapat menimba pengalaman dalam dunia lakonan dan sekiranya diberi kesempatan pada masa akan datang, wanita bermata galak ini ingin mencuba watak komedi pula.
Sinopsis
Filem Syurga Cinta menceritakan kehidupan dua anak Melayu Islam dengan dua
pegangan hidup berbeza. Seorang mengagungkan gaya hidup Barat dan seorang
lagi masih teguh mempertahankan keimanan kepada Islam dan nilai ketimuran.
Watak utamanya Irham dilakonkan Awal, sementara Heliza pula yang memegang
watak Syuhada mengakui berasa sangat takut apabila kali pertama berada di lokasi
penggambaran Syurga Cinta.
Irham, anak hartawan berwajah tampan yang dibesarkan di luar negara sejak kecil
dan mengamalkan cara hidup Barat, menerima cabaran daripada dua kawannya Alex
(Shaheizy Sam) dan Zainal (Fizz Fairuz) supaya memikat gadis bertudung yang selama
ini dipandang rendah oleh mereka.
Syuhada yang dibesarkan datuknya (Hisham Ahmad Tajuddin) tidak menyedari niat
sebenar Irham yang cuba merapatinya dengan bantuan adik Irham, Ikmal (Hadziq)
yang juga pelajar di sekolah tempat Syuhada mengajar.
Melihat usaha Irham untuk mendalami ilmu agama, Syuhada banyak membantu
sehingga menimbulkan perasaan kasih antara kedua-duanya. Irham juga tidak
menyedari dia melaksanakan tanggung jawab sebagai Islam tanpa lalai dan mula
selesa dengan kehidupan barunya, namun dia terpaksa menunaikan janji kepada
Alex dan Zainal lalu memberitahu niat sebenarnya kepada Syuhada. Ketika itu timbul
konflik antara pasangan ini dengan Irham terpaksa menghadapi situasi itu kerana
hatinya juga terpaut dengan gadis berkenaan.
INFO
Syurga Cinta
* Filem ini menelan kos RM1.5 juta.
* Turut dibintangi oleh Fizz Fairuz, Hisham Ahmad Tajuddin dan Shaheizy Sam.
* Mula ditayangkan hari ini. Ia filem ke-30 terbitan Metrowealth.
* Bergenre komedi romantis keagamaan.
* Penampilan pertama Heliza di layar perak.
* Dalam filem ini, Awal begitu murah dengan air mata kerana tuntutan watak yang memerlukan dia menangis untuk lima hingga enam babak.
Sumber : Berita Harian [21/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin