#461. Filem Sudirman Di TV2
BAKAT seni milik Allahyarham Sudirman Haji Arshad pasti segar daripada ingatan peminat seni tanah air. Kemerduan suaranya meninggalkan kesan yang cukup besar dalam dunia seni tanah air.Malah bakatnya diiktiraf sebagai penghibur nombor satu Asia dan penyanyi pertama rakyat Malaysia memenangi Anugerah Penyanyi Terbaik Asia pada 19 Mac 1989 di Royal Albert Hall, London.Selain mendapat jolokan sebagai Seniman Rakyat, daripada sisi berbeza, berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, Sudirman memegang watak utama sebagai Tookoo dalam filem Kami bergandingan dengan Zul Zamrin Huri yang diarahkan oleh Patrick Yeoh pada 1982.
Filem yang memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ketiga mengungguli kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. Mengimbas kembali kegemilangan penghibur tersohor ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menayangkan semula filem Kami mengisi slot Sinema Jumaat di TV2 pada 22 Mei jam 12.30 tengah hari.Siri ini mengisahkan Tookoo, remaja yang inginkan kebebasan dan mencari kehidupan sendiri. Namun taraf pelajaran Tookoo yang terkandas sehingga darjah lima tidak menjanjikan apa-apa dalam hidupnya. Lalu dia cuba berjuang meneruskan hidup dengan melakukan sebarang kerja yang dapat memberikannya sesuap nasi.
Satu hari dia bertemu Din, kanak-kanak berusia 11 tahun yang buta huruf. Din dipelihara oleh Mak Ciknya yang garang sehingga membuatkan dia melarikan diri dari rumah. Bertemu Tookoo membuatkan Din berasa dihargai meskipun pada mulanya kehadirannya kurang disenangi Tookoo.
Mereka tinggal dan mencari pekerjaan bersama dalam situasi gembira malah Din menganggap Tookoo umpama seorang abang dan juga bapa bagi dirinya.
Begitupun kehadiran pegawai kebajikan masyarakat untuk mengambil Din yang dianggap tidak memiliki keluarga menimbulkan kesedihan. Mereka terpaksa berpisah kerana Tookoo juga beranggapan Din wajar tinggal bersama keluarga angkat untuk meneruskan persekolahannya.
Selain Sudirman dan Zul Zamrin Huri, turut membintangi filem itu adalah Kwee Leng (Ibu tiri Tookoo), Ibrahim Din (Mamak), Shariff Babu (Pak Du) dan Azmi Mohamad (Abang Husin).
Sumber :Harian Metro [22/05/2009]