Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label 3 Budak Melayu [2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 3 Budak Melayu [2009]. Papar semua catatan

Khamis, Jun 18, 2009

#514. Usaha Ikhlas Pelajar UITM

Filem 3 Budak Melayu dihasilkan oleh pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan (Seni Layar dan Penulisan Seni Layar) dibawah seliaan Prof. Dr Hatta Azad Khan.Filem 3 Budak Melayu dibintangi oleh pelajar FACT Aizam Othman, Syahiera Abu Hassan, Noor Fariza Hishamudin, Zaidi Omar dan Liza Othman serta Radhi Khalid.Pada sidang media dan tayangan filem, pengarahnya, Muhamad Faizal Lockman Hakim, 25, berkata dia berpuas hati dengan filem yang dihasilkan.Menurutnya, hasil kerjasama erat antara krew produksi serta hubungan mesra sesama mereka membantu mengatasi masalah yang berlaku ketika proses penghasilan ini dijalankan."Kami lakukan yang terbaik untuk filem ini. Kami mendapat tunjuk ajar dari tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam persada seni tanah air. Kami umpama cawan kosong. Kamilah yang bakal menghiasi persada seni.

"Pelbagai halangan berjaya kami tempuhi. Antaranya kesuntukan waktu, kekurangan peruntukan dan kelengkapan barangan produksi serba sedikit menghalang kreativiti kami untuk menghasilkan filem ini. Selain itu, tekanan tugasan yang perlu disiapkan dan pelajaran sedikit mengganggu tumpuan kami," kata Faizal.Masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan filem ini sangat singkat. Kurang dari tiga minggu, penggambaran selama 12 hari dan proses suntingan (post) selama dua minggu.Pertama kali mengarahkan filem, Faizal berterima kasih atas kepercayaan diberikan penyelia dan kerjasama krew.

Faizal berpengalaman mengarahkan filem pendek, Film Life dan menjadi pelakon tambahan dalam beberapa buah drama TV.

"Kelebihan filem ini adalah kekuatan jalan ceritanya. Cerita berkisar bagaimana pelajar jurusan perfileman membikin filem sekiranya kekurangan bajet. Unsur realiti kehidupan diselitkan dalam filem ini," katanya.

Pelakon drama TV, filem dan teater, Zaidi Omar memuji filem ini. Beliau menyifatkan cubaan berani pelajar menghasilkan filem walaupun kekurangan kewangan dan pengalaman kerana baginya untuk menghasilkan filem di Malaysia.

"Saya lihat filem ini satu keberanian. Untuk menghasilkan filem yang bagus, kita perlukan pendidikan formal. Ini kerana ilmu yang dipelajari dipraktikkan dalam pembikinan filem. Masalah seperti pelakon lewat, bayaran lambat, bajet kurang dan masalah teknikal adalah punca kurangnya kualiti sesebuah filem atau drama. Sekiranya masalah ini dapat diatasi, tidak mustahil filem yang berkualiti terhasil," katanya.

Pelakon yang baru selesai pementasan teater Merong Mahawangsa, Radhi Khalid turut memuji komitmen yang diberikan krew semasa penggambaran. Radhi berharap pelajar akan terus diberikan pendedahan sedemikian kerana bakal menggantikan orang lama.

"Apabila menerima tawaran daripada pelajar, saya cuba penuhi. Ini kerana pelajar melakukan kerja dengan ikhlas. Mereka menghasilkan filem untuk mendapatkan filem yang berkualiti. Saya harapkan cita-cita dan hasil kerja mereka berjaya," katanya.

Sumber : Harian Metro [01/06/09]
Oleh Ahmad Shazwan Md Yusof

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Jun 02, 2009

#494. Modal, Ilmu Terbit Filem Bermutu

TIGA pelakon utama Tiga Budak Melayu (dari kiri) Syahiera Abu Hassan, Aizam Othman dan Noor Fariza Hisamuddin.TIDAK dinafikan, untuk menghasilkan sesebuah filem yang berkualiti dan mampu menghiburkan para penonton, kalangan pembikinnya mestilah mempunyai ilmu serta kepakaran dalam bidang tersebut.Dua faktor itu, menurut Dekan Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif (FACT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Hatta Azad Khan, juga haruslah disokong oleh dana kewangan yang mencukupi jumlahnya.

Bagaimanapun, tambah pengarah filem Wayang ini, gabungan dua elemen itu belum dipraktikkan sepenuhnya dalam industri perfileman tempatan menyebabkan mutu filem yang diterbitkan setakat ini belum mencapai tahap sepatutnya."Kalau kita dapat formula khusus cara-cara untuk membangunkan filem kita, ia akan menjadi mudah bagi mencapai hasrat tersebut. Caranya ialah dengan menggabungkan ilmu para pembikin filem kita dengan golongan pemodal yang ada banyak duit."Kerjasama seperti itu perlu ada," katanya pada sidang media selepas pratonton filem Tiga Budak Melayu terbitan FACT di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Senario itu jelas Dr. Hatta sering berlaku dalam industri perfileman tanah air apabila ada pembikin filem yang mempunyai modal besar gagal menerbitkan filem bermutu ekoran kurang ilmu dalam bidang itu.

Sebaliknya kata beliau, ada juga di kalangan pembikin filem daripada golongan terpelajar yang mahu menghasilkan filem-filem bermutu tetapi ia terbantut kerana adanya kekangan daripada segi kewangan.

Pendapat Dr. Hatta itu turut dipersetujui oleh pelakon Tiga Budak Melayu, Zaidi Omar yang tidak menafikan peri pentingnya pendidikan formal di kalangan pembikin filem di negara ini.

"Untuk menghasilkan filem, kita mesti ada keberanian tetapi pada masa sama pendidikan formal tetap diperlukan. Soal bajet mungkin perkara yang berasingan tetapi ilmu dalam bidang ini amat diperlukan," ujarnya.

Kerjasama erat

Justeru, para karyawan terutamanya graduan perfileman haruslah menjalin kerjasama erat dengan golongan pemodal bagi menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu pada masa akan datang.

Jika pendekatan itu diambil secara serius, tidak mustahil katanya, industri perfileman tanah air mampu untuk menghasilkan filem-filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga lebih berkualiti tinggi pada masa depan.

Tiga Budak Melayu merupakan filem terbaru terbitan FACT yang membariskan para pelajar fakulti itu dengan kos penerbitan sekitar RM15,000, 40 tenaga kerja selama 12 hari penggambarannya dijalankan di Shah Alam, baru-baru ini.

Pengarah Tiga Budak Melayu, Mohd. Faizal Lockman Hakim berkata, beliau bangga kerana mempelajari bidang perfileman dan mahu membabitkan diri secara serius dalam industri tersebut.

"Saya merupakan muka baru yang akan menghiasi industri perfileman di negara ini pada masa depan. Sebagai 'cawan kosong', dan ini juga filem pertama arahan saya, maka saya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menerbitkan filem-filem berkualiti.

"Mujurlah selain krew, para pelakon berpengalaman seperti Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid yang berlakon filem ini banyak membantu kami semua. Dengan adanya gabungan tenaga pengajar di FACT yang bagus dan pelakon berpengalaman ia mampu merealisasikan hasrat tersebut," ujarnya.

Selain gabungan tenaga kerja profesional dalam penerbitan semasa di lokasi penggambaran, Tiga Budak Melayu juga menyelitkan banyak mesej serta sindiran semasa dalam industri perfileman yang harus direnungi bersama oleh semua penggiatnya.

Filem itu antara lain menyindir dengan menggunakan watak-watak seperti penagih dadah yang memberi cadangan kepada watak Epol (lakonan Aizam Othman) iaitu seorang pengarah muda tentang cara-cara membikin filem.

Zaidi Omar turut mengulas senario itu yang sering berlaku dalam industri perfileman di negara hingga menyebabkan usaha menerbitkan sesebuah filem bermutu sukar untuk dilaksanakan.

"Untuk menerbitkan filem di Malaysia, banyak kacau bilaunya. Ramai sangat yang beri nasihat daripada golongan penagih dadah hinggalah kepada mereka yang langsung tidak ada kena mengena dalam bidang ini," katanya dalam nada kecewa.

Di samping, Aizam Othman, dua lagi pelajar FACT yang berlakon dalam filem ini ialah Syahiera Abu Hassan yang melakonkan watak Zurin dan Noor Fariza Hisamuddin (Nana).

Sumber : Utusan Malaysia [28/05/2009]
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Baca Sepenuhnya...

#485. Semangat Penuntut Perfileman

Beranikan diri hasilkan filem 3 Budak Melayu dengan kos RM15,000

MEREKA umpama cangkir kosong yang cuba mengisi ruang dalam industri perfileman tempatan.Berbekalkan minat serta ilmu yang digali sepanjang menuntut di Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, mereka berpakat untuk berkongsi idea, lalu muncullah filem cereka dengan judul 3 Budak Melayu.Bukan sedikit halangan terpaksa mereka tempuh. Namun dengan kesungguhan serta kecintaan yang mendalam, impian itu berjaya direalisasikan dan filem 3 Budak Melayu akan menjadi kebanggaan 40 penuntut semester akhir fakulti berkenaan.

Pembikinan filem yang menampilkan tiga pelakon utama iaitu Aizam Othman, Syahiera Abu Hassan dan Noor Fariza Hisamuddin arahan Mohd Faizal Lockman Hakim atau Mamu pada dasarnya dihasilkan sebagai memenuhi keperluan subjek, Honour Showcase di bawah seliaan Profesor Dr Hatta Azad Khan.Ditangani 40 tenaga produksi, filem 3 Budak Melayu dihasilkan dengan bajet kecil iaitu kurang RM15,000 serta waktu penggambaran yang cuma memakan masa 12 hari.

Dalam usaha menyiapkan filem itu, mereka juga berdepan pelbagai cabaran besar kerana pada sama harus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan beberapa projek lain yang berkaitan.

“3 Budak Melayu adalah cerita kami, gambaran kesungguhan kami yang masih menuntut untuk membikin filem. Ia membanggakan kami sebagai muka baru yang bakal menghiasi industri perfileman,” kata Mamu.

Katanya, peruntukan bajet, waktu, tenaga kerja serta kelengkapan yang terhad selain tekanan dalam pelajaran memberikan cabaran dalam menyiapkan filem itu.

Justeru, melihat produksi itu direalisasikan, kata Mamu, memberikan mereka kepuasan kerana segala halangan mampu dihadapi dan akhirnya filem itu dapat dipertontonkan.

Besar harapannya untuk membawa 3 Budak Melayu ke ruang lebih luas. Justeru katanya, dia tidak akan sesekali berkecil hati dengan kritikan bakal diterima.

“Tidak mengapa jika filem ini dilihat lemah supaya orang lain dapat belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dari situ industri kita akan lebih berjaya dan berkembang baik,” katanya positif.

Sekali pun masih kurang jelas ke mana arah penerbitan pertama itu, mereka tetap menaruh harapan projek sulung itu akan dapat ditonton umum sama ada di layar lebar atau televisyen.

“Ia bukan projek terakhir kami kerana kami akan terus memberikan yang terbaik untuk membangunkan industri. Di luar ramai yang cuba meruntuhkan semangat dan moral namun kami bertekad untuk meneruskan segala usaha bagi mencapai kejayaan,” katanya.

Bakat pelajar kreatif perlu 'dijual'

MENGULAS mengenai karya anak didiknya, Profesor Dr Hatta berkata, kumpulan pelajar itu cuma dibekalkan dengan skrip kasar tulisannya kerana dia mahukan terjemahan serta interpretasi terhadap filem itu datang daripada diri mereka sendiri.

Akui Hatta, beliau tidak banyak campur tangan dalam pembikinan filem 3 Budak Melayu sebaliknya cuma membantu dari belakang untuk memastikan usaha itu menjadi satu kenyataan.

“Saya memegang amanah ibu bapa mereka hingga satu peringkat saya berasakan bakat pelajar ini perlu ‘dijual’ untuk dinilai oleh mereka yang berminat menerbitkan filem.

“Saya melihat perlu ada gabungan antara mereka yang profesional dan berkemampuan dengan pelajar yang berilmu untuk membawa industri ke peringkat kecemerlangan.

“Pada masa sama saya berharap usaha ini dibantu dan bakat serta kreativiti mereka dapat dijual untuk membangunkan industri perfileman kita,” katanya.

Filem 3 Budak Melayu turut disokong tiga nama hebat dalam lakonan iaitu Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid yang jelas berbangga dengan iltizam kesemua penuntut berkenaan.

Zaidi yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai pelakon berkata, dalam setiap apa juga pekerjaan yang dilakukan, ilmu penting kerana usaha semata-mata tidak memadai.

Turut meluahkan perasaan kesal kerana disiplin industri perfileman tempatan tidak dititikberatkan, Zaidi menyelar sikap sambil lewa mereka yang berada di bahagian teknikal sesebuah produksi.

“Tidak sepatutnya berlaku kesilapan dalam aspek teknikal kerana mereka bermain dengan objek mati, sedangkan luahan lakonan seseorang aktor itu banyak bermain dengan jiwa dan emosi.

“Malangnya di negara ini, kebanyakan penggiat industri tidak mengenali tugasan masing-masing. Luahan mesej dalam 3 Budak Melayu harus dilihat pada sudut positif,” katanya.

Liza pula melihat pendekatan filem itu sebagai luahan penceritaan jiwa anak muda, malah berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan barisan peneraju 3 Budak Melayu.

“Bagaimanapun, saya kurang berpuas hati dengan sudut teknikal terutama di bahagian akhir filem yang sedikit memeningkan kepala. Tekstur sebegitu wajar dielakkan,” katanya memberikan pandangan.

Sinopsis: 3 Budak Melayu

DICERITAKAN daripada sudut pandangan tiga anak muda Melayu iaitu Epol, Nana dan Zurin yang juga penuntut tahun akhir jurusan perfileman. Mereka menumpang di sebuah rumah kampung milik sepasang suami isteri yang mengusahakan kedai runcit. Epol, Nana dan Zurin berdepan pelbagai ragam manusia di sekitar kehidupan mereka. Tiga anak muda ini berusaha keras berjimat cermat mengumpul wang untuk membiayai projek filem mereka. Pelbagai cara dilakukan di samping terpaksa menangani pelbagai masalah.

Sumber : Berita Harian [26/05/2009]
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP