Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Upin Ipin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Upin Ipin. Papar semua catatan

Selasa, Jun 02, 2009

#496. Upin & Ipin : Angkasa

Pengarah Kreatif dan Pemasarannya, Mohd Nizam Abdul Razak, berkata apa yang menarik kali ini, pihaknya mengetengahkan karakter kembar Upin & Ipin sebagai watak utama dalam filem berkenaan."Pihak kami memutuskan untuk menampilkan karakter adik beradik kembar Upin &Ipin sebagai watak utama dalam filem Upin & Ipin Angkasa berdasarkan maklum balas positif dari peminat setia karakter berkenaan.

"Filem ini adalah animasi 3D selama 90 minit yang membawa karakter Upin & Ipin dan rakan-rakannya mengembara dan meneroka ruang angkasa lepas dengan pelbagai pengalaman menarik termasuk bertemu makhluk asing."Setakat ini, filem ini masih dalam proses pra produksi termasuk dari segi penulisan skrip dan jalan cerita lebih universal termasuk untuk pasaran luar negara."Ia juga lebih hebat dari filem terdahulu membabitkan jalan cerita, kesan animasi dan teknologi penerbitan digunakan termasuk aplikasi teknologi stereo tiga dimensi (3D)," katanya.

Berbanding filem Geng: Pengembaraan Bermula, Upin & Ipin: Angkasa membabitkan bajet yang lebih besar iaitu mencecah sebanyak RM6 juta.

"Apa yang penting, kualiti filem ini dijamin setanding dengan filem animasi luar negara kerana kita ingin menembusi pasaran global.

"Sekalipun untuk pasaran global, pihak kami tetap mengekalkan imej tempatan dalam filem berkenaan.

"Selain melabur semula keuntungan hasil kutipan dari filem Geng: Pengembaraan, pihak kami juga akan berbincang dengan pihak TM untuk menaja sebahagian daripada kos filem ini nanti.

"Tidak ketinggalan, bantuan kepakaran dari pihak Mimos Berhad untuk membantu dari segi teknologi baru yang digunakan," katanya.

Tidak dinafikan, kata Mohd Nizam, ramai pihak yang membuka mata kepada mereka sejak kejayaan filem Geng: Pengembaraan Bermula di pawagam tempatan.

"Kini, ramai pihak yang berminat untuk menjadi penaja filem animasi kami termasuk dari pihak kerajaan sendiri," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Nizam, dia tetap berhadapan dengan tekanan kerana semua orang menaruh harapan tinggi pada filem Upin & Ipin: Angkasa apabila menjengah pawagam.

"Apapun, saya melihat tekanan itu dari sudut yang positif kerana ia membantu pihak kami memperbaiki kelemahan sedia ada terutama dari segi skrip dan watak pada masa depan. "Contohnya, ada pihak luar negara yang berpendapat format filem Geng: Pengembaraan juga kurang sesuai untuk pasaran luar negara," katanya.

Mohd Nizam berkata demikian ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Upin & Ipin dan pertukaran dokumen Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Les' Copaque di Menara Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, TM, Datuk Bazlan Osman; Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda; Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi; Ketua Pegawai Operasi PT Cipta (TPI Indonesia) Nana Putra dan Ketua Pegawai Eksekutif Jive! (pengedar filem, teater, TV dan home video Indonesia) yang juga wakil Blitzmegaplex, Wendy Soeweno.

Lebih memberangsangkan, kata Mohd Nizam, filem Geng: Pengembaraan Bermula akan menjengah sebanyak 50 pawagam Indonesia bermula September nanti.

"Pihak kami belum mempunyai sebarang sasaran dari segi kutipan untuk filem ini di Indonesia kerana ia bergantung kepada sambutan mini siri Upin dan Ipin yang ditayangkan di stesen TPI Indonesia selama dua bulan bermula Ramadan nanti.

"Sekalipun filem Geng dipasarkan di Indonesia untuk menguji pasaran filem kita di sana, pihak kami tetap mengharapkan pulangan dari segi kutipannya nanti," katanya.

Sumber : Berita Harian [29/05/2009]
Oleh Ramlah Zainal

Baca Sepenuhnya...

#495. Upin & Ipin Terap Nilai 1 Malaysia

KARAKTER animasi kembar Upin dan Ipin yang menjadi kegilaan ramai bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa ternyata berjaya mencetus satu lagi revolusi baru terhadap seni hiburan tempatan.Dua watak comel tersebut telah mula diperkenalkan di TV9 menerusi mini siri yang berdurasi selama tujuh minit di rangkaian itu sepanjang bulan Ramadan sejak dua tahun lalu.Kekuatan jenamaUpin dan Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama yang turut menampilkan dua watak tersebut, Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Kejayaan berganda apabila filem terbitan Les' Copaque Productions (LCP), arahan Mohd. Nizam Abdul Razak itu menerima sijil Malaysia Book Of Records setelah muncul sebagai filem animasi 3D pertama diterbitkan di negara ini.Di atas permintaan ramai , siri yang berjaya mencatat rating melebihi 1.5 juta itu sekali lagi bakal menemui peminat setianya sebanyak 42 episod untuk musim ketiga yang bakal memulakan siarannya di TV9 mulai Ogos ini.

Berbeza dengan tayangan dahulu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda, selain penayangan mini siri selama tujuh minit pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, ada penambahan satu lagi slot ulang tayang selama 30 minit.

Tambah menarik, siaran untuk musim ketiga itu mendapat tajaan daripada syarikat telekomunikasi terbesar negara, Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Bazlan Osman pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan LCP memberitahu, kerjasama tersebut dilakukan kerana pihaknya percaya dengan kandungan nilai-nilai budaya yang diterapkan dalam siri tersebut sejak mula disiarkan.

"Siri tersebut yang mengetengahkan kehidupan kanak-kanak kembar dan rakan-rakannya yang berbilang bangsa di kampung melambangkan konsep 1 Malaysia.

"Malah, lebih separuh daripada tenaga kerja di belakang tabir siri tersebut merupakan graduan daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU), milik TM," katanya.

Tambah Bazlan, TM yang menyokong penerbitan produk-produk animasi turut merancang penggunaan high speed broadband bagi memudahkan tujuan mempromosi siri tersebut.

"Selain itu, ia dapat membantu membina jenama TM di kalangan kanak-kanak dan remaja, perkhidmatan tersebut membuka ruang jalur komunikasi untuk mendekati mereka," katanya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie ketika berucap pada majlis yang sama berkata, sudah tiba masanya para penerbit animasi menghasilkan produk 'berwajah' tempatan.

"Animasi merupakan medium yang mampu mempengaruhi minda kanak-kanak. Nilai-nilai moral produk animasi barat tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"Upin dan Ipin diselitkan dengan kandungan asas budaya serta nilai-nilai kehidupan yang sesuai dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Upin & Ipin: Angkasa pada 2011

Belum lagi reda khalayak memperkatakan tentang kehebatan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula, LCP sudahpun merancang untuk penerbitan filem yang menampilkan si kembar Upin dan Ipin sebagai subjek utama.

Menariknya, filem yang bakal menerima sentuhan teknologi stereoscopic 3D yang dikatakan bakal menelan belanja RM6 juta itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 2011.

Pengarah Eksekutif LCP yang juga pengarah Upin & Ipin, Nizam ketika ditemui memberitahu, filem yang bakal membawa pengembaraan Upin dan Ipin di angkasa lepas itu masih lagi dalam proses penulisan skrip.

Malah, katanya filem tersebut bakal diterbitkan dalam dwi bahasa (Melayu dan Inggeris) untuk memudahkan pasaran di peringkat global.

"Kalau boleh untuk filem akan datang ini kita (LCP) nak buat sebaik mungkin. Ramai yang gemarkan watak Upin dan Ipin dan ramai juga peminat yang mahukan kedua-dua watak itu dijadikan watak utama dalam filem sebab untuk filem Geng, Upin dan Ipin hanyalah sebagai watak tambahan.

"Atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menghasilkan Upin dan Ipin dalam bentuk filem pula," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia [28/05/2009]
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

Baca Sepenuhnya...

Rabu, Februari 25, 2009

#144. Upin, Ipin semakin popular

25hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


NUR FATHIAH (kanan) bersama karakter yang menggunakan suaranya, Upin dan Ipin.

Wajah comel bintang filem animasi ini mampu pungut hampir RM4 juta dalam tempoh dua minggu.SEHINGGA Ahad lalu, filem animasi terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Geng: Pengembaraan Bermula, sudah pun berjaya memungut RM3.7 juta selepas 11 hari tayangan.

Ia dilihat berada pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamat syarikat berkenaan yang meletakkan angka RM5 juta sebagai kutipan sasaran. Dengan kutipan yang baik diterima sejak hari pembukaan, 12 Februari lalu, tidak mustahil pihak pempamer akan menyambung tempoh tayangan walaupun sesudah tempoh wajib tayang berakhir nanti.

Jika boleh, pengarah filem itu, Mohd Nizam Abd Razak mahu melihat Geng terus diputarkan di pawagam seluruh negara sehingga cuti sekolah bermula tidak lama lagi.

Katanya, jika tempoh tayangan filem terbabit dipanjangkan, dia berkeyakinan kutipan sasaran akan berjaya dicapai.

"Dengan sambutan baik yang diterima sehingga kini, kami percaya jumlah RM4 juta dapat dipungut dalam dua minggu. Lebih-lebih lagi, lebih banyak sesi tayangan diadakan oleh pihak pempamer pada minggu kedua," kata Nizam yang ditemui pada siri promosi filem terbabit di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Ketika ini, filem yang menelan belanja sekitar RM4.2 juta untuk disiapkan itu menemui penonton di kira-kira 56 panggung seluruh negara. Ia mengambil masa dua tahun setengah untuk dihasilkan.

Menurut Nizam, Geng juga akan memasuki pasaran Indonesia pada 16 September depan. Pada tarikh yang sama, dia turut berharap filem terbabit dapat ditayangkan di Singapura dan Brunei.

"Kami terpaksa menunggu sehingga September sebelum dapat menayangkan Geng di negara luar kerana Les’ Copaque ingin membawa Geng menyertai Festival Animasi Annecy di Perancis, Jun ini. Antara syarat penyertaan ialah filem yang dicalonkan tidak boleh ditayangkan di luar negara pengeluar sebelum Jun.

"Kami sudah pun menghantar filem terbabit kepada pihak penganjur dan dalam masa beberapa bulan kami akan mendapat tahu jawapannya, sama ada ia terpilih untuk pertandingan atau sebaliknya. Rasanya, inilah kali pertama filem animasi Malaysia yang ditayangkan di panggung menyertai pertandingan ini," ujarnya.



Pada ketika ini, Les’ Copaque turut mengadakan perbincangan dengan pengedar dari Korea Selatan dan India. Permintaan juga turut diterima daripada pengedar dari Amerika Syarikat dan Argentina, hasil kunjungan syarikat terbabit ke Festival Filem Cannes di Perancis dan acara Pasaran Filem Amerika di Santa Monica.

Geng dilakonkan Amir Izwan sebagai Badrol, Balqis (Ros), Kee Yong Pin (Lim), Kannan (Rajoo) dan Nur Fathiah (Upin & Ipin).

Kisahnya bermula apabila ada sesuatu mengganggu ketenteraman Kampung Durian Runtuh. Penduduk kampung menyebarkan cerita mengenai kewujudan makhluk yang menggerunkan menjelang waktu malam, namun tiada siapa yang berani mencari kebenaran di sebalik cerita itu.

Sehinggalah Badrol, Lim serta rakan baru mereka terjerumus ke dalam misteri terbabit tanpa disengaja. Seekor haiwan aneh yang tidak diketahui asalnya, menjalin persahabatan bersama Rajoo, lantas membawa mereka mengembara jauh ke dalam hutan hujan Malaysia yang penuh dengan hidupan liar, termasuk ular gergasi mistik.

Apabila filem sulung Les’ Copaque ini menunjukkan prestasi yang baik, sudah tentu syarikat berkenaan mempunyai projek susulan, bagi menyambung kejayaan yang dicatat judul pertama mereka.

Nizam sendiri mengiyakan hakikat itu dengan memaklumkan, ketika ini dia dan pasukannya sedang membangunkan sebuah lagi projek filem animasi.

Kali ini, watak utamanya bukan lagi manusia sebagaimana dapat disaksikan menerusi Geng. Sebaliknya, watak haiwan akan mengambil alih sebagai tarikan utama, dengan watak manusia muncul sebagai pembantu saja.

"Filem kedua ini seakan hikayat lama yang diangkat ke layar lebar dengan memasukkan tema sejagat," dedah Nizam yang menganggap filem kedua itu nanti cukup berbeza daripada arahan pertamanya.

Sebagaimana Geng, projek kedua ini akan terlebih dulu menemui peminat dalam bentuk siri televisyen. Selepas dua atau tiga tahun, barulah ia muncul pula dalam versi layar lebar pula.

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP