Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Geng Pengembaraan Bermula[2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Geng Pengembaraan Bermula[2009]. Papar semua catatan

Isnin, Mac 16, 2009

#263. Skoop : Kutipan filem Geng boleh cipta rekod baru

DALAM industri filem ketika ini, sebenarnya ramai terkejut dan tidak menyangka kutipan filem animasi, Geng: Pengembaraan Bermula mampu mencapai kutipan lebih RM6 juta sehingga tayangannya pada Jumaat lalu. Filem yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda ini juga kini mampu mengalahkan filem box-office lain sebelum ini iaitu Sembilu 2 yang pernah meraih kutipan tertinggi di Malaysia - RM6.2 juta pada era pertengahan 1990-an serta dua lagi filem lain, Jangan Pandang Belakang serta filem Cicakman.

Filem itu bertahan lebih sebulan di pawagam sejak ia mula memasuki pawagam di seluruh negara sejak 12 Februari lalu. Usah terkejut kerana filem animasi ini masih terus ditayangkan termasuklah sempena musim cuti persekolahan yang bermula esok. Maknanya, kutipannya juga akan lebih meningkat lagi dan tidak mustahil sehingga selesai tayangannya kelak, ia mampu meraih hampir RM7 juta. Jika berhasil, ia satu rekod baru dan sejarah baru juga tercipta dalam industri filem kita iaitu sebagai filem tempatan paling tinggi kutipannya berdasarkan tayangan di pawagam dalam negara dan mengikut skim Syarat Wajib Tayang.

Filem yang berkisar daripada animasi siri TV, Upin dan Ipin itu terus mendapat sambutannya dengan purata sehari kutipannya sekitar RM100,000. Inilah penangan hasil anak muda kita. Walaupun baru setahun jagung berada dalam industri filem tetapi mereka yang terdidik menerusi ilmu filem dan teknologi ICT mempunyai idea bagus dan hasil filem ini juiga bermutu dan menarik ramai penonton. Ia mampu mengalahkan kutipan filem lain yang dihasilkan oleh profesional yang jauh lebih berpengalaman.

Syabas buat team produksi atas kejayaan ini. Tahniah juga kepada masyarakat kita yang memberi penghargaan dan sokongan cukup baik untuk filem ini dengan membantu mencatat kejayaan menerusi kutipan. Kejayaan ini bukan sekadar box-office tetapi jauh lebih bererti kerana hasil kerja filem animasi 3D ini boleh dibanggakan, malah mampu memperkenalkan industri filem Malaysia di pasaran luar negara.

Meskipun sewaktu tayangan filem ini bermula pada tengah bulan dan ia bukan dalam musim cuti perayaan tetapi hasilnya memang mengejutkan. Bayangkan kalau filem ini ditayangkan musim cuti panjang persekolahan pada Disember lalu, barangkali kutipannya tentu jauh lebih bagus, mungkin mencecah sampai RM10 juta, siapa tahu?

Saya sendiri yang menonton filem ini di pawagam pada minggu ketiga tayangannya di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, juga terkejut kerana mendapati masih ramai penonton yang memenuhi pawagam, malah saya sekeluarga terpaksa menunggu tayangan sebelah malah malam kerana tiket tayangan untuk sebelah siang sudah habis ditempah.

Jelas, penangan Geng: Pengembaraan Bermula bukan sembarangan. Perhatian harus diberikan kepada team anak muda yang hasilkan produksi filem animasi ini kerana mencipta sesuatu yang tidak dijangka. Ramai yang tak jangka ia boleh mendapat sambutan begitu hebat memandangkan filem animasi sebelum ini seperti silat Legenda, Putih dan Budak lapok kecundang di pawagam. Finas sebagai badan pembangunan filem nasional, harus membuka mata dan memberi sokongan padu kepada mereka untuk menghasilkan karya seterusnya apatah lagi mereka kini bersiap sedia untuk menghasilkan pula judul Upin & Ipin The Movie.

Kejayaan Geng: Pengembaraan Bermula membuktikan bukan ukuran pengalaman yang menjadi isu, bukan juga bajet besar menjadi taruhan untuk melihat hasil filem yang baik dan diterima ramai penonton. Ada pihak yang memperlekeh sesuatu filem apabila karya itu mendapat kutipan box-office tetapi box-office yang diperoleh Geng: Pengembaraan Bermula membuktikan jika filem yang dihasilkan ada daya tarikan, elemen budaya, menghiburkan dan bersifat cerdik, masyarakat akan beri sokongan dan pengkritik juga akan memberi pujian.

Kejayaan filem terbitan Les Copaque ini menandakan masa depan perfileman nasional yang terus meyakinkan apatah lagi ketika ini juga beberapa filem bertemakan sejarah, mitos dan legenda semakin rancak untuk diterbitkan lagi. Semoga kejayaan manis ini akan dikongsi dengan filem berkenaan.

Sumber : Berita Harian

Baca Sepenuhnya...

Rabu, Mac 04, 2009

#201. Isu : Geng perlu pembelaan di pawagam

GENG: Pengembaraan Bermula merupakan filem yang sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

GENG: Pengembaraan Bermula (Geng) merupakan filem animasi pertama yang berjaya mencipta fenomena dalam industri perfileman tanah air.Buktinya, filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., (LCPSB) itu merupakan filem tempatan termahal dengan kos hampir RM4 juta.Malah, sejak ditayangkan pada 12 Februari lalu di pawagam-pawagam seluruh negara, Geng berjaya mengaut kutipan tiket lebih RM4 juta.Difahamkan kebanyakan tiket tayangan filem itu pada hujung minggu juga habis dijual walaupun adakala jumlah tayangannya tujuh kali sehari!

Ada juga pawagam yang terpaksa menambah jumlah pawagam kerana tidak mampu menampung bilangan penonton yang bertambah.Filem arahan Mohd. Nizam Abd. Razak itu berjaya membuatkan tauke pawagam-pawagam tersenyum lebar kerana sambutan diluar dugaan itu.Namun agak menghairankan ketika sambutan Geng semakin hangat,pihak pawagam kononnya dikatakan mahu menarik tayangan filem tersebut.Antara alasan tidak masuk akal yang diberi kerana mereka mahu 'memberi laluan' kepada banyak filem lain termasuklah filem tempatan dan asing.

Persoalannya, mengapa perlu ditarik tayangan filem yang sedang mendapat sambutan ramai berbanding filem lain yang mereka belum pasti untungnya?

Biasanya filem tempatan yang melalui Skim Wajib Tayang dan bermasalah kalau tayangannya di pawagam selama 14 hari tidak mendapat sambutan para penonton.

Ini kerana, pihak pawagam boleh menarik tayangan sesebuah filem itu jika sambutannya dingin dan akan digantikan pula dengan filem lain.

Bagaimanapun, dalam kes Geng ia terbalik kerana biarpun sambutannya hebat tetapi tayangannya pula mahu ditarik kerana alasan yang tidak logik itu.

Secara logiknya, pawagam tentulah akan memanjangkan tayangan sesebuah filem jika sambutannya baik kerana ia akan menguntungkan mereka.

Dalam kes ini, seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena apabila masalah seperti itu timbul kerana ia jarang-jarang berlaku dalam industri perfileman tempatan.

Pihak-pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) haruslah tampil ke depan bagi membantu masalah yang sedang dihadapi oleh filem seperti Geng.

Sebabnya, bukan selalu filem tempatan seperti Geng mencipta fenomena dengan mengalahkan kutipan tiket filem-filem hebat dari luar negara.

Geng misalnya, mengutip kutipan tiket RM1.75 juta pada minggu pertama tayangannya mengalahkan filem Hollywood seperti Valkyrie.

Dimaklumkan, Geng turut menewaskan filem seperti The Curious Case of Benjamin Button dan Slumdog Millionaire yang turut ditayangkan serentak ketika itu.

Apa pun tahniah kepada Finas kerana mewujudkan Skim Wajib Tayang selama 14 hari kepada filem-filem tempatan untuk dipatuhi oleh pihak pawagam.

Tetapi nampaknya ia masih belum memadai dan Finas harus mengemaskini skim itu supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa.

Finas misalnya, boleh menambah peraturan skim itu dengan mensyaratkan pihak pawagam melanjutkan tayangan filem jika sambutannya baik.

Lanjutan tayangan itu boleh diberi kepada filem yang berjaya menarik lebih 30 peratus penonton ke pawagam selepas sahaja tempoh Skim Wajib Tayang tamat.

Senario itulah yang berlaku kepada Geng kerana biarpun selepas 14 hari ditayangkan, tetapi filem animasi itu terus mendapat sambutan hebat para penonton.

Biarpun selepas tamat Skim Wajib Tayang, namun filem itu masih mampu menarik lebih 30 peratus penonton dalam kapasiti sesebuah pawagam ketika ia ditayangkan.

Selain Finas, persatuan seperti Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) juga sepatutnya tampil ke depan membantu Geng.

PFM mahupun Finas seharusnya campur tangan membela filem Melayu seperti Geng dan berdepan dengan pihak pawagam supaya masalah itu dapat diatasi.

Tindakan segera perlu diambil kerana filem edaran Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu mampu meraih kutipan tiket lebih RM5 juta dalam waktu terdekat ini jika ia terus ditayangkan.

Jika tidak, ia bukan sahaja akan merugikan pihak penerbit seperti LCPSB dan pawagam daripada segi kutipan tiket yang bakal mereka raih.

Malah, para peminat watak popular Upin dan Ipin dalam filem itu juga akan berputih mata kerana masih ramai lagi yang belum menontonnya di pawagam.

Sumber :
Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Februari 24, 2009

#140.Menghibur dan mengkagumkan

24hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
A. WAHAB HAMZAH
linto73@yahoo.co.uk


DENGAN premis cerita yang mudah, tetapi dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, kelucuan, seram dan penuh suspens serta elemen emosi, filem animasi 3D, Geng: Pengembaraan Bermula bukan sahaja menarik perhatian penonton kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Filem Geng: Pengembaraan Bermula adalah filem animasi komputer 3D sepenuhnya produksi tempatan yang pertama. Filem terbitan Les' Copaque Production diarahkan oleh pengarah muda Mohd. Nizam Abdul Razak graduan Universiti Multimedia Malaysia dalam usia 25 tahun (filem ini dimulakan ketika usianya 23 tahun), malah sebahagian besar karyawan yang terlibat dalam menghasilkan filem animasi ini masih muda (dalam lingkungan 20-an) dan ini memperlihatkan prospek animasi produksi tempatan yang cukup berpotensi dan luas.

Sebuah filem animasi seperti juga filem-filem dalam genre yang lain perlu bertolak daripada sebuah kerangka skrip yang baik. Dalam sebuah filem yang mengangkat elemen cerita kanak-kanak dan kekeluargaan maka naratifnya lazimnya mengandungi unsur-unsur pengembaraan yang akan berhadapan dengan peristiwa yang tidak terduga yang penuh aksi dan suspens, misteri dan mencemaskan dan malah unsur fantasi. Inilah elemen yang sering digunakan oleh Enid Blyton dalam menghasilkan cerita-cerita pengembaraan yang telah berjaya menarik perhatian ramai pembaca kanak-kanak dan remaja. Filem Geng: Pengembaraan Bermula mengambil pendekatan Enid Blyton dengan kisah dua sahabat baik iaitu Badrol (disuarakan oleh Amir Izwan) dan Lim (suara Kee Yong Pin) bercuti ke kampung Durian Runtuh untuk menemui Tok Dalang iaitu datuk kepada Badrul. Perjalanan pulang ke kampung itu mereka menaiki bas dan apabila bas tersebut bermasalah mereka kemudian menumpang lori yang dipandu oleh Singh dan bosnya, Pak Mail. Di kampung Durian Runtuh mereka bertemu pula dengan watak-watak seperti Muthu, Ah Thong, Salleh atau Sally, nenek, Ros yang merupakan gadis paling jelita di kampung itu dan tiga watak istimewa iaitu Rajoo, Upin dan Ipin.

Badrul dan Lim kemudiannya bersahabat dengan Rajoo (suara Kannan), Upin dan Ipin (suara Nur Fadhiah Diaz) serta Ros (kakak Upin dan Ipin - suara Balkis Fadhullah) dan kumpulan mereka ini kemudian berusaha membongkar misteri hantu durian yang heboh berlaku dan misteri sebuah rumah di kampung tersebut. Misteri yang perlu dibongkar oleh mereka inilah plot yang membawa unsur suspens dan menyeramkan serta elemen adventure yang menarik dalam filem ini. Siapakah sebenarnya hantu tersebut dan mengapa rumah tersebut berhantu? Daripada jejak yang penuh misteri dan kemunculan makhluk aneh yang kelihatan ganas dan menyeramkan dan kejayaan mereka membongkar misteri tersebut berjaya memberikan kesan dramatik yang menarik. Yang terbongkar adalah perbuatan jenayah memburu binatang liar untuk diseludup yang dilakukan oleh orang-orang yang memang mereka kenali tetapi tidak disangka. Sebuah filem animasi perlu mempunyai elemen komedi dan kelucuan yang menarik.

Watak Badrul dan Lim mewakili watak remaja, tetapi kemunculan watak yang ikonik Upin dan Ipin dua budak nakal berkepala botak serta Rajoo yang mempunyai keistimewaan yang cakapnya difahami oleh lembu pedatinya berjaya menyuntik elemen komedi dan humor yang cukup menghiburkan. Apa yang penting watak Upin dan Ipin adalah dua watak yang sudah cukup dikenali oleh khalayak penonton terutamanya kanak-kanak. Dua watak ini juga menjadi faktor utama yang berjaya memikat dan menarik perhatian kanak-kanak dan keluarga mereka ke pawagam.

Dalam sebuah filem animasi yang menarik selain keupayaan animasinya berkomunikasi dengan penonton, ia juga perlu mempunyai elemen spektakular yang mengkagumkan. Dalam Geng, adegan spektakular telah dibentuk dari awal lagi iaitu ketika dalam perjalanan Badrul dan Lim menaiki bas dan lori ke kampung. Tetapi unsur spektakular dan kekaguman lebih menyerlah ketika adegan kumpulan Upin, Ipin, Rajoo dan Oopet perlu menyelamatkan diri daripada buruan ular gergasi dengan menaiki upih berlatarkan hutan tropika dalam gerakan roller-coaster yang pantas dan cukup menarik. Kecantikan hutan tropika dan keindahan waktu malam yang disinari oleh kelip-kelip adalah momen yang mengasyikkan serta original dalam filem ini. Sebuah filem animasi yang berjaya juga perlu mempunyai adegan-adegan yang mampu membangkitkan unsur emosional. Kemunculan watak Oopet seekor binatang comel seakan beruang yang suka makan durian tetapi terpisah dengan ibunya yang telah ditangkap oleh pemburu binatang liar dan kemudian dengan bantuan kanak-kanak tersebut berjaya mempertemukan Oopet dengan ibunya merupakan antara adegan yang menyentuh emosi penonton. Keupayaan membina plot yang disulami antara kelucuan, dramatik dan emosi menjadikan Geng: Pengembaraan Bermula sebuah filem animasi yang cukup menghiburkan. Yang menjadikan Geng lebih menarik adalah kerana filem ini bergerak daripada cerita yang bersifat universal dan diberikan latar sosio-budaya dan lanskap tempatan.

Bagaimanapun apa yang menjadikan filem ini lebih bermakna dan mengkagumkan kita tentulah kerana keupayaan dan kreativiti karyawan muda kita menghadapi cabaran membuktikan kemampuan menghasilkan filem animasi yang mencabar produksi mahal dari Disney dan Pixar. Walaupun dalam kos pembikinan yang relatif kecil RM4juta dan dengan kemudahan teknologi komputer yang terhad mereka mampu melakukan dengan cemerlang. Keupayaan menghasilkan produk animasi beginilah yang menyemarakkan lagi industri animasi dan industri pasca-produksi tempatan untuk berkembang maju dan seterusnya pasti mampu menarik keyakinan pembikin filem dari luar untuk menggunakan kemahiran karyawan filem tempatan. Geng: Pengembaraan Bermula adalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang gemilang untuk industri filem tempatan.

Baca Sepenuhnya...

Sabtu, Februari 14, 2009

#111. Mesti Tonton: Telatah Upin, Ipin tak membosankan

14hb Februari, 2009
Berita Harian
Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my



SETIAP aspek yang dipaparkan menerusi filem pertama terbitan Les'Copaque Production Sdn Bhd ini mendapat penelitian yang cukup rapi daripada 40 animator tempatan. Sebenarnya pembabitan tenaga kreatif dalam filem ini adalah sesuatu yang patut kita banggakan.Hasil kerja atau kreativiti mereka bukan saja dilihat sempurna dari segi teknikal malahan adunan elemen yang kompleks turut diserapkan menjadikan filem ini hampir sehebat filem animasi barat.

Patut juga kita kagumi kerana filem Geng: Pengembaraan Bermula ini mempunyai jati diri, terutama dalam memaparkan budaya ketimuran.

Sekalipun kos yang dilaburkan agak rendah berbanding filem animasi barat, filem ini masih lagi berjaya menyajikan kualiti yang diharapkan.

Elemen seram, thriller (suspen), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan bunyi dan suara yang mantap turut menaikkan mood penonton yang menontonnya.



Tambahan permainan cahaya, warna, latar, jalan cerita, watak dan perwatakan adalah kesempurnaan yang dapat dilihat dalam Geng Pengembaraan Bermula...

Filem yang mengambil tempoh masa tayangan selama 90 minit ini turut mendapat usaha sama daripada Multimedia Development Corporatian (MDeC), Mimos Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengiktiraf filem ini sebagai pencetus kepada penerbitan filem animasi tempatan.

Filem edaran Grand Brilliance Sdn Bhd (GB) ini mengisahkan pengembaraan Badrol, Lim, Rajoo, Ros, Upin dan Ipin yang tersesat di dalam hutan.

Badrul dan Lim yang baru saja sampai ke kampung Durian Runtuh untuk berjumpa datuknya berhajat untuk melihat suasana kampung di samping meninjau dusun durian datuknya. Badrul dan Lim ditemani Rajoo untuk ke dusun. Upin dan Ipin yang mengetahui hajat mereka untuk ke dusun turut sama mengikutinya.

Ros yang pada mulanya ingin mencari adiknya Upin dan Ipin turut sama dalam perjalanan mereka ke dusun.

Pengembaraan mereka bermula apabila Rajoo, Upin dan Ipin ternampak seekor binatang yang pelik sedang membawa durian. Mereka mengekori sehingga tersesat ke dalam hutan. Badrul, Lim dan Ros mula mencari dan turut sama tersesat di dalam hutan.

Semuanya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran di dalam hutan apabila bertembung dengan pelbagai makhluk yang ingin mengecam mereka. Apakah dan siapakah makhluk itu yang sebenar?

INFO

Filem: Geng: Pengembaraan Bermula...

Genre: Animasi

Pengarah: Mohd Nizam Abdul Razak

Watak: Badrol, Lim, Rajoo, Ros, Upin dan Ipin

Tayangan: 12 Februari

Terbitan: Les'Copaque Production Sdn Bhd

Baca Sepenuhnya...

Isnin, Februari 02, 2009

#63.Skoop : Filem animasi Geng sasar RM5 juta

02hb Februari, 2009
Harian Metro
Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

IMPIAN produksi Les'Copaque Production Sdn Bhd untuk merealisasikan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula... menjadi kenyataan apabila ia bakal menjengah pawagam tempatan di seluruh negara bermula 12 Februari ini.Ternyata segala pahit getir mereka lebih dua tahun untuk menyiapkan filem itu berbaloi apabila melihat kualitinya setanding dengan filem animasi barat.

Kemampuan Les'Copaque menghasilkan filem animasi ini adalah sesuatu yang positif dan membanggakan industri seni tanah air kerana mereka menghasilkan filem berkenaan dengan sumber kewangan terhad dan tidak menggunakan peralatan teknologi animasi yang canggih.

Pengarah filem animasi ini, Mohd Nizam Abdul Razak mengakui Geng: Pengembaraan Bermula... berjaya disiapkan lebih awal daripada jangkaan mereka.

"Semuanya hasil komitmen terbaik rakan dalam pasukan produksi ini dengan bantuan 40 animator tempatan yang sebahagiannya adalah graduan universiti tempatan.

"Jika di barat, mereka menggunakan khidmat lebih kurang 130 hingga 150 animator dan tempoh untuk menyiapkan filem animasi mereka juga mengambil masa selama tiga hingga lima tahun," katanya.

Apapun, kata Mohd Nizam, pihaknya berharap penonton tempatan tidak membandingkan filem Geng: Pengembaraan Bermula... dengan filem animasi dari barat.

"Filem animasi barat selalunya membabitkan kos sekitar RM15 juta hingga RM40 juta bagi sebuah filem sedangkan kos filem animasi Geng hanya membabitkan RM4 juta saja.

"Sekalipun kos tidak sehebat filem animasi barat, filem animasi Geng tetap mempunyai kekuatannya dari segi adunan elemen seram, thriller (suspen), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan bunyi dan suara yang mantap.

"Sokongan padu penonton tempatan sangat diperlukan kerana filem ini dihasilkan dengan daya kreativiti karyawan muda tanah air. Menerusi filem animasi dihasilkan ini, kami berharap ia dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk membiayai kos penerbitan filem animasi tempatan pada masa depan," katanya.

Mohd Nizam ditemui ketika sesi pratonton Geng: Pengembaraan Bermula...,baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Les'Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, perancangan untuk menerbitkan filem itu bermula ketika Mohd Nizam dan dua rakannya bertemu dengannya dan menyuarakan impian mereka untuk menghasilkannya.

"Melihatkan kesungguhan dan daya kreativiti yang ada pada tiga anak muda berkenaan terus meyakinkan saya untuk menerbitkan filem animasi ini.

"Selaku penerbit, pihak kami mempunyai strategi tersendiri untuk menjimatkan kos filem berkenaan.

"Semua peralatan seperti komputer hanya dibeli di Plaza Low Yatt dan mereka (karyawan muda) juga mengubahnya menjadi sistem sendiri.

"Selain itu, pihak kami mendapat bantuan dan sokongan Multimedia Development Corporatian (MDeC), Mimos Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar," katanya.

Ketika ditanya kenapa mereka tidak mendapatkan khidmat suara artis atau personaliti popular sebagai elemen komersial dalam filem itu, Burhanuddin berkata, pihaknya mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk mendapatkan khidmat mereka.

"Jika kami mempunyai sumber kewangan yang banyak, sudah pasti kami ingin mendapatkan khidmat artis popular untuk ditampilkan dalam filem animasi ini.

"Tapi, tanpa penampilan artis popular pun, pelakon baru yang terdiri dari rakan terdekat kami sendiri tetap mampu menampilkan kualiti suara seperti diharapkan," katanya.

Melihatkan kualiti filem animasi itu, Burhanuddin juga berani mensasarkan kutipan filem itu akan mencecah sebanyak RM5 juta dalam masa dua minggu menjengah pawagam nanti.

"Pihak kami juga merancang memasarkan filem animasi ini ke luar negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan India nanti," katanya.

Filem Geng Pengembaaraan Berrmula... ini menceritakan pengembaraan Badrol, Lim, Rajoo, Ros, Upin dan Ipin yang tersesat di dalam hutan.

Semuanya bermula apabila Badrul dan Lim yang baru saja sampai ke kampung Badrul iaitu Kampung Durian Runtuh berhasrat untuk melihat suasana kampung di samping meninjau dusun durian datuknya.

Badrul dan Lim ditemani Rajoo untuk ke dusun. Upin dan Ipin yang mengetahui hajat mereka untuk ke dusun turut sama mengikutinya.

Ros yang pada mulanya ingin mencari adiknya Upin dan Ipin turut menyertai mereka ke dusun terbabit.

Pengembaraan mereka bermula apabila Rajoo, Upin dan Ipin berjumpa haiwan yang pelik di hutan. Mereka mengekorinya sehingga tersesat di sana.

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP