Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Jomla C.I.U.M [2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jomla C.I.U.M [2009]. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 26, 2009

#553. Filem Kecil Berjiwa Besar

DARI kiri; Subash, Surenthar sebagai pengarah, Ibrahim dan Maimunah yang menjadi teraju utama Jomlah C.I.U.M!

Jomlah C.I.U.M buah tangan terbaru Genius Parade temui penonton 23 Julai.DEMI minatnya yang mendalam dalam penghasilan filem yang beridentiti Malaysia dengan rakyatnya yang kaya dengan nilai hidup mulia, M Subash menerusi syarikat produksi Genius Parade Sdn Bhd terus menghasilkan filem kecil berjiwa besar.Bermula dengan Pensil dan kemudiannya Syirik, Subash bersama penerbit, M Surenthar, terus bekerjasama untuk menghasilkan pula Jomlah C.I.U.M (Carilah Identiti Untuk Malaysia)! yang baru saja dipertontonkan kepada wakil media dan sebilangan pelajar di Kompleks Finas, baru-baru ini.

Difahamkan, mereka berdua sebenarnya sudah mempunyai sebuah lagi filem, berjudul Mannaan, untuk tayangan seterusnya selepas ini.

Jomlah C.I.U.M! bakal ditayangkan di empat panggung antarabangsa GSC bermula 23 Julai. Selain Subash sendiri, filem terbabit turut dijayakan Ibrahim Mat Isa, Kenchana Dewi, Maimunah Ahmad dan Wahi Aziz.

Menerusi filem terbaru itu, niat murni pengarah dan pelakon berbakat ini harus dipuji. Dia memperjuangkan filem Malaysia dengan acuan sendiri, yang bertunjangkan nilai hidup bangsa Malaysia yang tinggi. Penggiat seni ini tidak mahu menjadikan filem Barat yang bersifat komersial sebagai kiblat, lalu menekankan kepada nilai budaya Timur dalam setiap produknya.

Kali ini, Subash cuba bermain dengan topik agama, di mana tiga watak dan cerita berbeza sebenarnya bersatu dalam mengajak masyarakat hidup dengan penuh kasih sayang serta bersatu padu. Agama, bagi lelaki keturunan India yang baru saja memeluk Islam ini, bukan penghalang untuk penganutnya membantu antara satu sama lain, sebaliknya ia bisa menjadi pencetus kasih sayang sesama manusia.

Telahan Subash, Malaysia cukup bertuah kerana dihuni rakyat pelbagai bangsa dan agama. Kelebihan itu seharusnya dipertaruhkan untuk mencipta satu masyarakat saling menyayangi, berpandukan ajaran agama masing-masing. Dengan institusi agama juga, permasalahan sosial dapat diatasi.

Jomlah C.I.U.M! bercerita mengenai seorang ustaz cacat penglihatan yang menjadi tempat penduduk sekitar meminta tolong. Dia berpegang kepada fahaman, agama mampu mengubah masyarakat menjadi lebih baik. Lalu, impiannya adalah untuk membina surau agar kebaikan itu lebih mudah diperoleh.

Di sudut lain, seorang sami yang menunggu maut dek penyakit barah, cuba menyebarkan fahaman kasih sayang sesama insan, manakala seorang rahib Kristian pula membantu kanak-kanak yang tidak berkemampuan belajar dan mencari masa depan lebih sempurna.

Cita-cita ustaz tadi menarik kedua-duanya untuk turut membantu, walaupun pegangan agama mereka cukup berbeza. Mungkin nampak agak janggal pada satu sisi, tetapi Subash menyatakan, ia sesuatu yang tidak mustahil.

Tidak mahu mengusik tema yang sudah semestinya begitu baik, namun sedikit masalah tetap ada pada cara pembikinannya. Pada ketika jalan cerita sudah pun kelihatan, sayangnya ia dirasa sedikit mendatar, tanpa ada sedikit pun konflik yang umpamanya mampu menghalang niat suci tiga watak tadi daripada direalisasi.

Begitu juga wujud beberapa babak agak panjang dan meleret. Alangkah baiknya jika babak itu dipendekkan, supaya perjalanan cerita tampak lebih pantas dan kemas. Tidak semestinya filem yang panjang itu lebih baik kerana gaya penyampaiannya juga perlu dititikberatkan sekali.

Babak sami bersembahyang di kuil, babak bekas penagih mengerjakan solat buat kali pertama dan babak rahib meniup buih sabun dengan kanak-kanak perempuan memang meleret. Lebih manis rasanya jika ia disunting sedikit. Namun, kata Subash, dia mahu penonton sama-sama menghayatinya tatkala babak terbabit diputarkan di layar. Atas alasan itu, dia mahukan adegan berkenaan mempunyai durasi agak lama.

Berlaku juga pengulangan babak yang sebenarnya boleh digambarkan dalam sekali dua saja. Sami yang batuk dalam lima atau enam babak, kelihatan seperti diulang-ulang dengan sengaja, sedangkan penonton sudah tahu, nyawanya tidak panjang apabila kali pertama dia dipaparkan mengalami sakit batuk berdarah.

Subash juga tidak perlu mewujudkan babak di mana watak menuturkan mesej secara terang-terangan. Penonton sudah disogokkan dengan begitu banyak babak yang memberikan pesanan sedemikian. Lalu, penambahan babak seperti si ustaz menegur perbuatan ibu bapa mengabaikan anak di rumah kelihatan seperti program pendidikan televisyen saja.

Begitupun, pujian harus diberikan kepada pelakon yang menjayakan watak ustaz, Ibrahim, 49, yang kini mengusahakan pusat urut di Kajang. Pertama kali berlakon, persembahannya cukup bersahaja. Tidak ada lakonan berlebihan, tidak juga nampak kaku, sebaliknya Ibrahim menuturkan dialog sebagaimana dia bercakap di luar sana.

"Apabila Subash datang berjumpa, saya tidak tahu pun siapa dia sebenarnya. Dia memperkenalkan diri sebagai pembikin filem. Ketika dia menceritakan hajatnya untuk menghasilkan filem yang berunsur keagamaan, kemasyarakatan dan kasih sayang, saya cukup gembiralah.

"Saya sendiri sedia memberikan kerjasama, tanpa mengetahui pun saya juga kena berlakon. Ingatkan, mereka perlukan nasihat dalam bab keagamaan saja, maklumlah saya juga pernah mengajar di sekolah rakyat, selain mengajar di surau. Apabila dia membawakan skrip, barulah saya tahu saya juga perlu berlakon. Saya bersetuju berlakon dalam filemnya dengan satu matlamat, agar ia sedikit sebanyak dapat menyatukan hati masyarakat kita.

"Saya mendoakan agar Tuhan membuka hati kita semua manusia kerana asalnya kita adalah daripada punca yang satu saja, iaitu Nabi Adam," kata Ibrahim yang diberikan kebebasan untuk menuturkan dialognya, asalkan kena dengan kehendak cerita.

Jomlah C.I.U.M yang dirakam menggunakan teknologi definisi tinggi dan membabitkan perbelanjaan keseluruhan sekitar RM250,000 akan diedarkan sendiri Genius Parade.

Sumber : Berita Harian [18/06/09]
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Baca Sepenuhnya...

#552. Orang Buta Pelakon Utama Jomla C.I.U.M

USAH nilai buku berdasarkan kulit depan. Barangkali begitulah persepsi kita sebaik mendengar tajuk filem Jomlah C.I.U.M, tidak dapat tidak fikiran kita akan terarah ke gejala negatif. Namun, ia berbeza dengan filem kedua Mannan Subash Abdullah atau M Subash, 39, selepas Pensil.Jomlah C.I.U.M dimaksudkan Subash ialah Jomlah Cari Identiti Untuk Malaysia.

Seperti Pensil, Subash masih menerapkan isu keagamaan dalam filem ini.Cerita berkisar kehidupan ustaz buta mengambil anak angkat yang sebelumnya adalah penagih dadah. Bermula daripada itu, ustaz mahu mendirikan surau bagi menghalang kegiatan tidak bermoral di kampungnya.

Usaha ustaz berkenaan mendapat simpati paderi dan sami di kampungnya. Atas sikap saling membantu tidak mengira bangsa dan agama, sami dan paderi itu menghulurkan sumbangan membina surau.

Kesudahan cerita menelan kos RM200,000 ini dapat anda saksikan di panggung Golden Screen Cinema (GSC) mulai 23 Julai ini.

Menurut Subash, filem berkenaan membawakan mesej perpaduan sesuai dengan slogan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, filem masa kini kebanyakannya tidak melambangkan identiti Malaysia kerana tidak membabitkan pelbagai kaum untuk menunjukkan perpaduan.

“Filem ini bukan tertumpu kepada perkataan cium. Apa yang cuba kita tekankan di sini cium dengan definisi merapatkan hubungan antara kaum di Malaysia. Kita tidak mahu slogan yang dibawakan seperti ‘datang dan pergi.’ Tiada memberi kesan kepada masyarakat. Kalau boleh, kita mahu rakyat Malaysia semua bersatu padu seperti yang ditunjukkan dalam filem ini,” katanya.

Filem terbitan Genius Parade Sdn Bhd ini mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Ini termasuk praproduksi selama seminggu, produksi (tiga hari) dan suntingan (dua minggu).

Subash berkata, sumber kewangan yang terbatas memaksanya menayangkan filem dalam format digital seperti filem Oscar, Slumdog Millionaire.

Filem berkenaan hanya akan dicetak untuk menyertai festival.

Subash mengolah sudut pemikirannya di mana wujud persoalan mengenai apakah filem sebenar dan apakah wayang?

Menurutnya, terdapat perbezaan ketara antaranya. Contohnya, filem sebenar merangkumi segala aspek diperlukan dalam perfileman seperti mis-on-scene (apa yang kita lihat di skrin), naratif, cara penyampaian dan sebagainya.

Ia jauh berbeza dengan wayang seperti yang kita sedia maklum hanya mementingkan nilai komersial sehingga terlupa nilai seni yang patut ditonjolkan.

Namun begitu, Subash mengakui pasaran kini menuntut wayang lebih daripada filem sebenar. Ini kerana nilai komersial membantu pengkarya memperoleh keuntungan.

Dia turut menghasilkan filem komersial untuk mendapatkan modal bagi menghasilkan cereka yang lebih punyai nilai estetika seperti Pensil dan Jomlah C.I.U.M.

“Kita hasilkan filem ini bukan untuk keuntungan. Kita hasilkan untuk kepuasan kita berkarya. Justeru, filem ini tidak boleh disamakan dengan filem komersial lain kerana ini adalah karya seni.

“Sama seperti Pensil, Jomlah C.I.U.M kami hasilkan untuk menyertai festival di seluruh dunia. Kita mahu masyarakat antarabangsa tahu orang Malaysia mampu hasilkan filem setanding filem mereka,” katanya.

Perkara menarik dalam filem ini adalah pelakon utamanya yang membawakan watak ustaz, Ibrahim Mat Isa, 49, adalah golongan kurang upaya (OKU).

Ini secara tidak langsung membuktikan OKU tidak diabaikan di negara kita.

Bagi Ibrahim meskipun tidak mampu melihat keindahan dunia, namun ia tidak menghalang dirinya daripada melakonkan watak utama filem berkenaan.

“Mannan datang ke rumah saya pada tahun lalu dan memperkenalkan dirinya sebagai pengarah filem Pensil. Saya sebenarnya tidak menonton filem atau drama kerana keupayaan membataskan saya. Dia bercerita segalanya mengenai wayang dan saya mengiyakan saja.

“Akhirnya, dia memberikan skrip kepada saya dan menawarkan watak utama kepada saya. Saya mulanya menolak, tetapi akur kerana menganggap ini kurniaan Tuhan kepada saya,” katanya.

Bekas guru agama, Ibrahim kini mengajar dan memberi ceramah agama di masjid berkata, skrip yang diberikan tidak mampu dihafal, tetapi Subash menyuruh dia menggunakan ayat sendiri setelah diterangkan babak yang akan dilakonkannya.

Tambah Ibrahim, ini secara tidak langsung menampakkan dialog yang semula jadi lakonan.

Filem Jomlah C.I.U.M membariskan pelakon baru dan lama seperti wartawan hiburan Cinema Online, Wahi Aziz, Maimunah Ahmad dan Subash sendiri.

Sumber : Harian Metro [17/06/09]
Oleh Ahmad Shazwan Md Yusof

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP