Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Mahkota Seri Helang[2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahkota Seri Helang[2009]. Papar semua catatan

Rabu, Februari 04, 2009

# 73. Hype : Dari muzik ke dunia filem

04hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Adnan Abu Hassan berbelanja besar untuk terbitkan karya mengenai alam bunian

SEBAGAI seorang komposer, nama Adnan Abu Hassan begitu gah dengan pelbagai anugerah sudah pun berada dalam genggaman. Begitu juga ramai penyanyi yang berhutang budi dengan pencipta lagu ini.Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar ialah antara deretan penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu ciptaan komposer ini.

Dia sendiri sudah menceburkan diri dalam dunia seni sejak kira-kira tiga dekad lalu. Sama ada sebagai pencipta, penulis lirik, produser album, guru vokal dan juri pertandingan nyanyian, semuanya pernah dilakukan. Begitu juga dengan penghasilan muzik latar untuk filem cereka, dia turut mencubanya, sehingga mendapat pengiktirafan pada festival filem (menerusi filem Femina, 1994).

Kini, dia mengorak setapak lagi ke depan dengan memberanikan diri bergelar penerbit filem pula.

Menerusi syarikat Fantasy Films Sdn Bhd, Adnan menerbitkan filem sulung bercorak kembara fantasi yang diberi judul Bunian: Mahkota Seri Helang.

Membariskan ramai pelakon popular seperti Nasha Aziz, Rusdi Ramli, Ridzuan Hashim, Beego, Erry Putra, Maimon Talib, Hisham Ahmad Tajudin serta pelakon baru Mimi Rahzia, filem yang menelan belanja sekitar RM3.5 juta itu diarahkan Zaharil Izham Zainon atau lebih dikenali sebagai Jantan.

Sejak zaman kanak-kanak, Adnan sebenarnya sudah mula menyimpan kecenderungan pada muzik dan filem. Dia sering menghasilkan cerita untuk koleksi peribadi. Tidak pernah disangka olehnya, minat menulis itu membawanya kepada penghasilan cerita Bunian, seterusnya diangkat ke layar perak sebagai sebuah filem.

"Saya mula menulis dengan giatnya kira-kira tiga tahun lalu. Daripada perbincangan dengan Jantan, kami akhirnya berasakan projek itu mampu dijadikan sebuah cerita fantasi dan aksi kembara yang menarik untuk tontonan ramai," katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran filem terbabit di Hotel Legend, baru-baru ini.

Menjadikan filem Tan Sri P Ramlee, Sumpah Orang Minyak, sebagai rujukan, Adnan berkata, amat rugi sekiranya teknologi terkini dalam penghasilan filem seperti imejan janaan komputer (CGI) tidak digunakan bagi meneroka lebih jauh dalam dunia orang bunian, seterusnya membolehkan penonton berhibur dengan hasilnya.

Keyakinannya cukup tinggi untuk filem itu menerima sambutan hebat daripada penonton, apatah lagi setelah kajian dilakukan dengan mendalam, termasuk oleh pengarahnya sendiri. Jantan dikatakan sanggup ‘memasuki’ alam bunian demi mendapatkan gambaran sebenar serta memperoleh keizinan makhluk halus itu sebelum filem terbabit diangkat ke layar lebar.

Adnan juga tidak menolak kemungkinan filem terbabit dijadikan filem trilogi, sebagaimana filem hebat Lord of the Rings.

"Filem Bunian: Mahkota Seri Helang ini hanyalah pembuka ceritanya. Apabila pembukanya sudah ada, penutup cerita juga pasti menyusul kemudian. Jika peruntukan mengizinkan kami untuk terus menerbitkan filem, mungkin judul susulan akan menjelma," kata Adnan yang tidak menganggap filem itu sesuai untuk tontonan semua peringkat usia.

Menyentuh peruntukan sehingga RM3.5 juta (tidak termasuk kos promosi), Adnan memberitahu, dia tidak mahu berbelanja rendah bagi menghasilkan sesuatu yang begitu besar.

Penggunaan helikopter, pembinaan set kampung bunian, penghasilan prop yang banyak serta kehadiran ramai pelakon ternama, memerlukan bajet yang bukan sedikit.

"Kami juga akan menggunakan banyak kesan khas bagi menjadikannya benar-benar hidup. Semua itu memerlukan belanja besar. Saya boleh menghasilkannya dengan peruntukan RM1.5 juta, tetapi mungkin hasilnya nanti tidak seberapa.

“Jadi, baiklah saya mengeluarkan belanja yang lebih, tetapi mutunya boleh dibangga. Dalam hal ini, kami di Fantasy Films berani menanggung risikonya yang bukan kecil," ujarnya.

Adnan tidak berasakan penonton hari ini berat tangan untuk mengeluarkan RM10 bagi menonton filem itu, yang dikatakannya amat menarik bukan hanya kerana elemen makhluk halus serta kesan khas, malah oleh jalan cerita yang meyakinkan.

Dari segi pemilihan pelakon, Adnan berkata, mereka yang hadir pada majlis prapelancaran itu sebenarnya dipilih bukan menerusi uji bakat. Sebaliknya, sejak awal lagi mereka dipilih bagi menjayakan beberapa watak yang dicipta. Uji bakat diadakan bagi mencari pelakon pembantu saja.

Penggambaran filem ini dijadualkan bermula pada minggu kedua bulan ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Perak.

Runut Bunyi Bunian

BAGI menguatkan lagi filem pertamanya, Adnan juga menghasilkan runut bunyi (soundtrack) untuk Bunian: Mahkota Seri Helang. Artis yang terbabit dalam pembikinannya pula terdiri daripada penyanyi wanita nombor satu negara, Siti Nurhaliza, serta bakat baru yang dicungkil Adnan, Sheila Abdul, Nurul dan Ian Helmy.

Lima lagu dicipta khas untuk filem terbabit iaitu Farha Marha, Ke Awan Biru, Semuanya Kerana Mu, Seloka Budi dan Gadis Itu.

Manakala bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan terkini pembikinan filem berkenaan, Adnan dan krewnya mewujudkan laman sesawang khas filem terbabit, www.bunianthemovie.com.

Di samping catatan serta foto terkini di sebalik tabir penerbitan, Adnan turut berharap dapat mengadakan siaran secara langsung secara online dari tapak lokasi penggambaran.

Bunian: Mahkota Seri Helang antara lain mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang pergi mendaki gunung, tercedera dalam pengembaraannya. Dia diselamatkan seorang puteri bunian, yang membawa lelaki itu ke dunianya. Di alam bunian itu, konflik bermula apabila wujud perasaan cemburu antara dua beradik yang sama-sama menagih perhatian lelaki berkenaan.

Baca Sepenuhnya...

Khamis, Januari 22, 2009

#34. Skoop : Jantan Masuk Alam Bunian

22hb Januari, 2009
Harian Metro
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Walaupun bergenre epik purba, tetapi ada sesuatu rahsia sangat istimewa dan menarik di sebaliknya.Justeru, menyedari tanggungjawab besar digalas, Jantan tidak hanya menyelidik menerusi pembacaan, tetapi sanggup menerokai alam ghaib.Bertitik tolak pada sifat ingin tahu mendalamnya, pengarah drama Tarantula berkenaan sudah ‘melangkah’ ke alam bunian sekitar Ramadan lalu.

Semuanya atas bantuan seorang ustaz selepas dia menyuarakan hasrat untuk melihat kebenarannya.Jantan berkata alam bunian memang wujud.

Pada pengembaraan singkatnya selama 45 minit di alam itu, dugaan sangat besar.

Katanya, mujur ustaz terbabit sudah memberi peringatan awal dan dia berpegang dengannya demi keselamatan.

“Ketika di alam itu (bunian), saya diingatkan banyak perkara. Umpamanya, tidak boleh menoleh ke belakang untuk menyahut suara yang memanggil saya. Ini kerana ditakuti niat hati akan berubah dan sesuatu tidak baik akan menimpa diri.

“Apapun, mengembara di alam itu juga sangat menginsafkan diri saya betapa besarnya keagungan Tuhan Maha Pencipta. Bahkan, paling tidak dapat saya lupakan ialah dapat bertemu dengan puteri dan pendekar bunian. Memang cantik dan kacak.

“Namun, saya juga diingatkan supaya apa yang dilihat di alam mereka tidak dipaparkan secara langsung dalam filem ini nanti dan cuma jadikan panduan saja. Oleh itu, perasaan saya sangat berdebar menghitung hari penggambaran Bunian: Mahkota Seri Helang,” katanya.

Menurut Jantan lagi, dia sebenarnya pernah menolak pelawaan penerbit, Adnan Abu Hassan sebanyak tiga kali untuk mengarahkan filem pertama terbitan produksi Fantasy Films Sdn Bhd itu.

Akuinya, ia gara-gara jalan cerita skripnya yang dirasakan amat berat.

“Bagaimanapun, atas persahabatan yang lama dengan Adnan dan kepercayaannya terhadap bakat pengarahan saya menyebabkan akhirnya diterima juga. Malah, jika tiada aral Bunian: Mahkota Seri Helang akan mula masuk lokasi penggambaran Februari ini.

“Dijangkakan penggambaran berlangsung selama dua bulan di lokasi seperti Gunung Kinabalu, Sabah, Perak serta New Zealand.

“Malah, mengikut tuntutan skrip 10 hingga 15 peratus menggambarkan membabitkan alam nyata manakala 85 peratus alam bunian,” katanya.

Menyentuh mengenai visinya pula, tanpa berselindung Jantan mengakui dia mahu melihat filem tempatan maju. Justeru, dia akan berusaha merealisasikan Bunian: Mahkota Seri Helang dengan baiknya bersandarkan pilihan pelakon yang mantap.

Terdahulu, majlis pelancaran filem Bunian: Mahkota Seri Helang dilakukan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Hotel Legend, kelmarin.

Hadir sama, barisan pelakon yang menjayakan filem itu.

Antaranya, Nasha Aziz sebagai Puteri Manja Sakti, Rusdi Ramli (Rosman), Mimi Rahzia (Puteri Mawar Putih), Ary Putra (Salman), Beego (Zack) dan Ridzuan Hashim (Jugra Maut).

Tidak ketinggalan tiga artis baru iaitu Sheila Abdull, Ian Helmy dan Nurul yang dipilih menyanyikan lagu runut bunyi filem.

Sementara itu, dalam sidang media diadakan juga Adnan memaklumkan Bunian: Mahkota Seri Helang menelan belanja pembikinan sebanyak RM3.5 juta.

Katanya, itu tidak termasuk lagi dengan kos promosi filem yang dianggar mencecah RM2 juta.

Katanya komposer terkenal itu, dia tidak mampu mengelak kos tinggi kerana banyak benda perlu disediakan seperti mewujudkan perkampungan bunian, mereka cipta senjata khas bunian, menggunakan khidmat persatuan silat dan paling utama, teknik janaan komputer (CGI).

“Inilah pengorbanan saya untuk menghasilkan filem Bunian: Mahkota Seri Helang yang menjadi impian selama ini. Saya sudah menyiapkan skripnya tiga tahun lalu dan syukur akhirnya ia terlaksana juga. Selain cipta lagu, saya suka menulis cerpen.

“Seingat saya, seawal usia lapan tahun lagi saya sudah mula menulis. Saya sukakan cerita epik seperti bunian ini kerana percaya karya sebegini memang mempunyai kelompok peminat tersendiri. Bukan saja diminati kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga.

“Saya yakin semua orang mahu tahu apa dia alam bunian itu. Jadi, diharapkan filem ini berhasil dengan kos pembikinan sedia ada. Apa yang pasti, saya berani ambil risiko ini selepas melihat kos yang ada. Andai kata hanya RM1.5 juta saja, saya takkan buat,” katanya.

Adnan berkata menghasilkan filem bukan perkara mudah dan boleh dibuat main.

Selain kos pembikinan tinggi, ia juga harusnya mengikut citarasa penonton.

Katanya, jika jalan cerita filem itu bagus berserta garapannya yang menarik, pasti orang ramai akan datang menonton.

Baca Sepenuhnya...

#20. Skoop : Nasha Dan Rusdi Di Alam Bunian

15hb Januari, 2009
Berita Harian
Normah Becok

TERUJA Cik Normah dengar mengenai filem Bunian.. Mahkota Seri Helang arahan Jantan atau nama sebenarnya Zaharil Izham Zainon. Cik Normah dengar filem ini akan dibuat secara trilogi mirip filem Lords Of The Ring 'gitu'. Wah, terus Cik Normah 'feeling' seperti perwira wanita cantik dengan busana yang hebat.

Tapi Cik Normah nak ingatkan, yang penting siapkan filem itu dulu baru boleh cakap fasal sambungannya. Bukanlah apa, Cik Normah sudah biasa sangat dengan cakap sesetengah produser mengatakan filem mereka ada sambungan sedangkan yang pertamanya tak ditayang, malahan belum tentu pun siap lagi.

Sementara itu, filem Bunian diterbitkan oleh Fantasy Films Sdn Bhd, syarikat perkongsian tiga rakan diketuai komposer terkenal, Adnan Abu Hassan. Kewujudan Fantasy Films sebagai menyahut seruan kerajaan untuk terus memartabatkan nilai dan kuantiti filem yang dikeluarkan di dalam tempoh setahun.

Filem bergenre aksi, kembara dan fiksyen akan memulakan penggambaran pada Februari ini dan satu majlis sidang media akan diadakan pada 20 Januari ini. Pelancarannya dijangka dilakukan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Serentak dengan itu, sebuah web portal mengenai filem itu akan turut dilancarkan. Amboi kelas ‘gitu’. Oh, lupa Cik Normah nak cakap filem ini akan melakukan penggambaran di Kota Kinabalu, Sabah dan Perak. Nak tahu tak, siapa teraju utama filem ini dan oleh kerana Cik Normah dapat lampu hijau maka Cik Normah pun tulislah.

Pelakon utama yang diberi tanggungjawab untuk menghidupkan filem ini ialah Nasha Aziz dan Rusdi Ramli. Turut berlakon ialah Latif Borgiba dan pelakon baru, Mimi Rahzia.

Mungkin kalau sebut filem ini, mesti ada yang ingat gosip yang mengatakan Datuk Siti Nurhaliza juga turut diundang berlakon. Cik Normah selidik juga. Sebenarnya Siti tak berlakon, tapi menjadi penyanyi lagu runut bunyi untuk filem ini. Judul lagu yang dinyanyikan Siti ialah Seloka Budi.

Mulanya, Cik Normah ingat Siti akan berlakon dalam filem ini, tapi nampak gayanya isteri kesayangan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa belum terbuka hati nak berlakon filem. Tak apa, kalau Siti tak nak, Cik Normah kan ada!

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP