Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Februari 04, 2009

# 73. Hype : Dari muzik ke dunia filem

04hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Adnan Abu Hassan berbelanja besar untuk terbitkan karya mengenai alam bunian

SEBAGAI seorang komposer, nama Adnan Abu Hassan begitu gah dengan pelbagai anugerah sudah pun berada dalam genggaman. Begitu juga ramai penyanyi yang berhutang budi dengan pencipta lagu ini.Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar ialah antara deretan penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu ciptaan komposer ini.

Dia sendiri sudah menceburkan diri dalam dunia seni sejak kira-kira tiga dekad lalu. Sama ada sebagai pencipta, penulis lirik, produser album, guru vokal dan juri pertandingan nyanyian, semuanya pernah dilakukan. Begitu juga dengan penghasilan muzik latar untuk filem cereka, dia turut mencubanya, sehingga mendapat pengiktirafan pada festival filem (menerusi filem Femina, 1994).

Kini, dia mengorak setapak lagi ke depan dengan memberanikan diri bergelar penerbit filem pula.

Menerusi syarikat Fantasy Films Sdn Bhd, Adnan menerbitkan filem sulung bercorak kembara fantasi yang diberi judul Bunian: Mahkota Seri Helang.

Membariskan ramai pelakon popular seperti Nasha Aziz, Rusdi Ramli, Ridzuan Hashim, Beego, Erry Putra, Maimon Talib, Hisham Ahmad Tajudin serta pelakon baru Mimi Rahzia, filem yang menelan belanja sekitar RM3.5 juta itu diarahkan Zaharil Izham Zainon atau lebih dikenali sebagai Jantan.

Sejak zaman kanak-kanak, Adnan sebenarnya sudah mula menyimpan kecenderungan pada muzik dan filem. Dia sering menghasilkan cerita untuk koleksi peribadi. Tidak pernah disangka olehnya, minat menulis itu membawanya kepada penghasilan cerita Bunian, seterusnya diangkat ke layar perak sebagai sebuah filem.

"Saya mula menulis dengan giatnya kira-kira tiga tahun lalu. Daripada perbincangan dengan Jantan, kami akhirnya berasakan projek itu mampu dijadikan sebuah cerita fantasi dan aksi kembara yang menarik untuk tontonan ramai," katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran filem terbabit di Hotel Legend, baru-baru ini.

Menjadikan filem Tan Sri P Ramlee, Sumpah Orang Minyak, sebagai rujukan, Adnan berkata, amat rugi sekiranya teknologi terkini dalam penghasilan filem seperti imejan janaan komputer (CGI) tidak digunakan bagi meneroka lebih jauh dalam dunia orang bunian, seterusnya membolehkan penonton berhibur dengan hasilnya.

Keyakinannya cukup tinggi untuk filem itu menerima sambutan hebat daripada penonton, apatah lagi setelah kajian dilakukan dengan mendalam, termasuk oleh pengarahnya sendiri. Jantan dikatakan sanggup ‘memasuki’ alam bunian demi mendapatkan gambaran sebenar serta memperoleh keizinan makhluk halus itu sebelum filem terbabit diangkat ke layar lebar.

Adnan juga tidak menolak kemungkinan filem terbabit dijadikan filem trilogi, sebagaimana filem hebat Lord of the Rings.

"Filem Bunian: Mahkota Seri Helang ini hanyalah pembuka ceritanya. Apabila pembukanya sudah ada, penutup cerita juga pasti menyusul kemudian. Jika peruntukan mengizinkan kami untuk terus menerbitkan filem, mungkin judul susulan akan menjelma," kata Adnan yang tidak menganggap filem itu sesuai untuk tontonan semua peringkat usia.

Menyentuh peruntukan sehingga RM3.5 juta (tidak termasuk kos promosi), Adnan memberitahu, dia tidak mahu berbelanja rendah bagi menghasilkan sesuatu yang begitu besar.

Penggunaan helikopter, pembinaan set kampung bunian, penghasilan prop yang banyak serta kehadiran ramai pelakon ternama, memerlukan bajet yang bukan sedikit.

"Kami juga akan menggunakan banyak kesan khas bagi menjadikannya benar-benar hidup. Semua itu memerlukan belanja besar. Saya boleh menghasilkannya dengan peruntukan RM1.5 juta, tetapi mungkin hasilnya nanti tidak seberapa.

“Jadi, baiklah saya mengeluarkan belanja yang lebih, tetapi mutunya boleh dibangga. Dalam hal ini, kami di Fantasy Films berani menanggung risikonya yang bukan kecil," ujarnya.

Adnan tidak berasakan penonton hari ini berat tangan untuk mengeluarkan RM10 bagi menonton filem itu, yang dikatakannya amat menarik bukan hanya kerana elemen makhluk halus serta kesan khas, malah oleh jalan cerita yang meyakinkan.

Dari segi pemilihan pelakon, Adnan berkata, mereka yang hadir pada majlis prapelancaran itu sebenarnya dipilih bukan menerusi uji bakat. Sebaliknya, sejak awal lagi mereka dipilih bagi menjayakan beberapa watak yang dicipta. Uji bakat diadakan bagi mencari pelakon pembantu saja.

Penggambaran filem ini dijadualkan bermula pada minggu kedua bulan ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Perak.

Runut Bunyi Bunian

BAGI menguatkan lagi filem pertamanya, Adnan juga menghasilkan runut bunyi (soundtrack) untuk Bunian: Mahkota Seri Helang. Artis yang terbabit dalam pembikinannya pula terdiri daripada penyanyi wanita nombor satu negara, Siti Nurhaliza, serta bakat baru yang dicungkil Adnan, Sheila Abdul, Nurul dan Ian Helmy.

Lima lagu dicipta khas untuk filem terbabit iaitu Farha Marha, Ke Awan Biru, Semuanya Kerana Mu, Seloka Budi dan Gadis Itu.

Manakala bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan terkini pembikinan filem berkenaan, Adnan dan krewnya mewujudkan laman sesawang khas filem terbabit, www.bunianthemovie.com.

Di samping catatan serta foto terkini di sebalik tabir penerbitan, Adnan turut berharap dapat mengadakan siaran secara langsung secara online dari tapak lokasi penggambaran.

Bunian: Mahkota Seri Helang antara lain mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang pergi mendaki gunung, tercedera dalam pengembaraannya. Dia diselamatkan seorang puteri bunian, yang membawa lelaki itu ke dunianya. Di alam bunian itu, konflik bermula apabila wujud perasaan cemburu antara dua beradik yang sama-sama menagih perhatian lelaki berkenaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP