Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Jangan Pandang Belakang Congkak [2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jangan Pandang Belakang Congkak [2009]. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 19, 2009

#543. Kutipan JPBC DiJangka 'Meletup'

David Teo yakin filem arahan Ahmad Idham bakal catat sejarah baru

METROWEALTH Movies Production berkeyakinan filem Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) akan mencatat sejarah baru dari segi kutipan filem Melayu di negara ini. Keyakinan itu bersandar pada kemampuan filem komedi seram arahan Ahmad Idham itu mengatasi pencapaian kutipan harian filem seram Jangan Pandang Belakang, dua tahun lalu.Begitupun, penerbitnya, David Teo enggan mendedahkan jumlah kutipan filem lakonan Cat Farish, Shaheizy Sam, Lan Pet Pet dan Lisa Surihani itu kerana katanya, jumlah sebenar tidak penting.

"Apabila saya memaklumkan JPBC berjaya mengatasi pencapaian Jangan Pandang Belakang, dengan sendiri orang ramai sudah boleh mengagak berapa banyak filem itu mampu melakukannya," katanya ketika dihubungi Selasa lalu.Pada minggu pertama tayangannya, Jangan Pandang Belakang berjaya mengumpul kira-kira RM2.7 juta dan apabila tayangannya di negara ini selesai, filem itu memungut sejumlah RM6.4 juta untuk muncul filem Melayu paling berjaya di pasaran. Dicampur jumlah kutipan hasil tayangan di luar negara, produser itu mampu tersenyum lebar dengan jumlah RM7.5 juta.

Katanya, dia amat berkeyakinan JPBC berupaya mencatat sejarah baru dalam kutipan filem Melayu sejak 1933, melihat kepada sambutan cukup hangat diberikan kepada judul berkenaan.

"Saya sebagai penerbit amat terkejut dengan kemampuan filem ini mencatat pungutan sebegitu baik. Jadi, saya minta maaf kepada peminat yang gagal memasuki panggung kerana saya dimaklumkan pihak pempamer, ramai penonton kecewa apabila tidak dapat menonton JPBC akibat kehabisan tiket.

"Pada hari biasa juga, sambutannya amat baik. Panggung pula tidak mencukupi kerana pihak pempamer menjangkakan filem besar seperti Terminator Salvation akan menarik lebih ramai penonton. Jadi mereka tidak menyediakan skrin tambahan untuk filem ini. Nampaknya, JPBC mampu mengalahkan filem Hollywood itu pada minggu kedua tayangannya," katanya.

David menjangkakan, sambutan yang baik akan berterusan untuk beberapa minggu lagi dan berdasarkan pola tontonan sehingga semalam, tidak mustahil JPBC tampil filem paling cemerlang kutipannya pada tahun ini.

Ketika ini, filem yang turut dijayakan Zarina Zainoordin, Dina, Mas Muharni, Azlee, Den Wahab dan Piee itu diputarkan di 58 pawagam di bawah payung Skim Wajib Tayang.

Ditanya apakah Metrowealth mungkin mengeluarkan filem susulannya berikutan sambutan hebat diterima JPBC saat ini, David tidak berasakan mereka perlu mengikut trend sebegitu.

"Menghasilkan filem sekuel JPBC bukanlah sesuatu yang wajib kepada kami ketika ini. Sebaliknya, lebih baik Metrowealth menghasilkan filem atau jenama baru pula untuk hiburan penonton," katanya.

Menyentuh filemnya yang dijangka menemui penonton dalam masa terdekat, David memberitahu, tiga lagi judul bakal menemui peminat di pawagam sebelum berakhirnya 2009. Tiga filem terbabit ialah Senario Episode II: Beach Boys arahan Ahmad Idham, diikuti Remp-It V3 (Farid Kamil) dan Remp-It Nan Sempit (Ahmad Idham). Semuanya dijangka ditayangkan selepas musim Aidilfitri nanti.

"Saat ini, kami giat menjalankan penggambaran filem seram terbaru berjudul Santau yang diarahkan Azahari Zain. Pada Julai pula, kami akan melancarkan sebuah lagi filem komedi, manakala sebuah drama berat lakonan bintang ternama akan mula dirakam pada Oktober," katanya.

Santau muncul filem ke-34 keluaran syarikat berkenaan dan sehingga kini 30 judul sudah ditayangkan kepada umum.

Pada 2010, David berazam menerbitkan 10 judul dan dia tidak berasakan wujudnya sebarang halangan untuk Metrowealth merealisasikan impian berkenaan. Tambahan pula, dia sendiri sudah mengenal pasti beberapa pengarah baru yang mampu diketengahkan syarikat itu dalam membantu membangunkan industri perfileman Malaysia.

Sumber : Berita Harian [11/06/09]
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Baca Sepenuhnya...

#533. Seram Yang Melucukan

SEBUAH lagi filem arahan Ahmad Idham berada di pawagam. Sebelum ini Ahmad Idham menghasilkan filem Jangan Pandang Belakang, antara filem seram yang paling berjaya di pasaran dan filem seram Congkak. Kali ini Ahmad Idham menggabungkan judul dua buah filem seram terbitan Metrowealth yang cukup berjaya di pasaran untuk menjadi judul sebuah filem dalam genre komedi seram. Bagaimanapun filem Jangan Pandang Belakang Congkak bukan sebuah parodi sebaliknya sebuah spoof daripada genre seram.

Dalam keadaan pembikin filem banyak tertumpu kepada pembikinan filem-filem seram (lambakan filem seram di pasaran), menghasilkan filem komedi seram barangkali satu tindakan pemasaran yang bijak. Hal ini terbukti apabila Mamat Khalid menghasilkan filem komedi seram Zombie Kampung Pisang dan filem ini berjaya di pasaran.

Dalam sejarah filem Melayu, filem komedi seram yang awal adalah Pusaka Pontianak. Kebanyakkan filem komedi seram lebih merupakan filem kelas B, yang tidak dianggap filem utama, yang dihasilkan lebih sebagai spoof atau parodi untuk bersifat sinikal daripada filem A yang asli dan berjaya di pasaran. Namun terdapat juga filem komedi seram yang cukup menarik dan berjaya di pasaran seperti filem An American Werewolf in London, Ghostbusters dan Fright Night.

Warisan ilmu saka

Filem Jangan Pandang Belakang Congkak menggunakan elemen seram untuk menghasilkan suasana kelucuannya. Imej-imej daripada watak-watak yang menyeramkan seperti hantu raya, toyol dan orang minyak dimunculkan bukan untuk tujuan menakutkan sebaliknya untuk menimbulkan suasana lucu. Jadi tumpuan filem ini lebih kepada elemen komedi, bukan elemen seram tersebut.

Jangan Pandang Belakang Congkak yang ditulis oleh Zulkefli M. Said hanya mengambil aspek saka dan permainan tradisi congkak daripada dua buah filem seram terdahulu dan kemudian mengolah semula ke dalam bentuk cerita yang lain. Tiga sepupu iaitu Punai (Cat Farish), Asmat (Shaheizy Sam) dan Johan (Mazlan Pet Pet) yang dipanggil oleh pembantu datuknya, Mustika (Lisa Surihani) kembali ke kampung untuk menerima wasiat dan pusaka datuk mereka iaitu Pak Sudir.

Bagaimanapun pusaka yang diwariskan kepada mereka itu sebenarnya warisan ilmu saka yang sebelum ini diamalkan oleh datuk mereka. Akibat daripada menyentuh alat permainan congkak yang terdapat di rumah datuk mereka, ketiga-tiga pemuda ini telah berubah menjadi hantu raya, toyol dan orang minyak yang mengganggu penduduk kampong di waktu malam sahaja.

Filem Jangan Pandang Belakang Congkak adalah filem arahan Ahmad Idham yang ke-11, yang bermula dengan filem Mr. Cinderella pada 2002. Filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham sedang ditayangkan di pawagam. Ini bermakna Ahmad Idham antara pengarah filem yang cukup pantas mengarahkan filem iaitu satu setengah filem setahun dalam tempuh tujuh tahun.

Bagaimanapun kepantasan Ahmad Idham menghasilkan filem belum mampu mengatasi pembikin filem yang paling pantas bekerja iaitu A. Razak Mohaideen yang telah menghasilkan 25 buah filem sejak dua belas tahun lalu dengan filem pertamanya Gemerlapan (1997). Bukan itu sahaja filem mereka juga secara umumnya berjaya di pasaran.

Jika filem Jangan Pandang Belakang Congkak dihasilkan sebagai sebuah parodi sudah tentu filem ini akan membawa kritikan sinis sebaliknya filem ini hanyalah sebuah spoof yang tidak lebih untuk hiburan mudah dan ketawa semata-mata.

Sumber : Utusan Malaysia [09/06/09]

Baca Sepenuhnya...

Khamis, Jun 18, 2009

#528. " Saya Malas Berfikir " - Ahmad Idham

SAYA mahu pengunjung pawagam berasa puas hati selepas menonton Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) di pawagam. Biarlah mereka hendak kata filem itu bodoh dan saya secara peribadi rela dikritik kerana mengarahkan filem sedemikian," kata Ahmad Idham penuh yakin.Pengarah itu juga mengakui filem JPBC memang kelihatan tidak logik dan sengaja mengamalkan elemen 'suka hati' kerana melalui cara itu penonton berasa terhibur selain dapat mengingati setiap lawak yang dibawa oleh pelakon yang membintangi filem berbelanja RM1.85 juta ini.Apa yang penting baginya, filem yang diarahkan itu dapat membuatkan penonton ketawa kerana perkara itu sebenarnya amat sukar dilakukan melainkan menerusi pengisian dialog atau gerak lakonan yang berkesan.Filem JPBC menggunakan konsep komedi seram dan tidak mempunyai kaitan dengan filem Jangan Pandang Belakang atau Congkak yang mencapai kutipan box-office sebelum ini.

Walaupun ia menggunakan judul filem yang dikitar semula, Ahmad Idham berkata, ia sememangnya tidak berkaitan dengan sikap dirinya yang malas berfikir untuk mencipta sesuatu yang baru. Bahkan pemilihannya kali ini amat bertepatan dengan cita rasa sasaran penonton yang mahukan sesuatu yang santai.

''Saya mahu cipta fenomena yang membuatkan penonton yang mendengar judul filem saya kemudian terus mengingatinya sampai bila-bila.

''Sebelum ini, filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak mendapat perhatian orang ramai. Apa salahnya saya gunakan judul yang sama yang boleh membuatkan semua orang mengingati filem terbaru kali ini," jelasnya yang kini sedang mengarahkan filem terbaru Remp-it dan Sempit.

Tambahnya, ia juga merupakan satu strateginya untuk menarik penonton baru dengan menggabungkan dua judul filem menjadi satu dengan harapan ia menjadi box-office.

Beliau juga menafikan JPBC berbentuk spuf (spoof) yang menggabungkan lima atau enam adegan daripada filem besar. Hakikatnya ia hanya menyentuh dua sahaja.

Sebaliknya, JPBC mempunyai jalan cerita baru sepenuhnya dan tidak berkaitan dengan Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Beliau juga tidak menerapkan sebarang mesej dalam filem ini kerana apa yang ditekankan ialah elemen pop yang amat mencuit hati.

Filem JPBC yang memulakan tayangan bermula Khamis lalu itu menampilkan tiga pelakon komedi iaitu Mazlan Pet-Pet yang melakonkan watak Punai, Cat Farish (Asmat) dan Sam Shaheizy (Johan).

Ia diperkukuhkan dengan penampilan Lisa Surihani (Mustika), Dina Malaysian Idol, (Ziana), Zarina AF2 (Wati), Piee (Pak Sudir), Azlee Jaafar (Pak Mor), Den Wahab (Latiff), Belalang (Megat) dan Mas Muharni (Wawa).

Sumber : Utusan Malaysia [07/06/09]
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

Baca Sepenuhnya...

#524. Mesti Tonton : Filem Seram Yang Melucukan



Filem: Jangan Pandang Belakang Congkak
Arahan: Ahmad Idham
Pelakon: Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Shahiezy Sam, Dina, Zarina AF, Mas Muharni, Lisa Surihani dan Azlee
Genre: Komedi Seram
Tarik Tayangan: 4 Jun 2009

GAYA lawak berbeza Lan Pet Pet memegang watak Punai, Cat Farish (Asmat) dan Shahiezy Sam (Johan) menjadikan filem ini menarik untuk ditontoni. Lawak spontan mereka akan membuatkan penonton tidak kering gusi.Bagaimanapun Lan ada ketikanya berlebih membawakan watak Punai sehingga ada kalanya membingitkan. Cat pula, seperti biasa berjaya membawakan wataknya dengan baik. Sementara Shahiezy pula membuktikan kredibilitinya sebagai seorang pelakon serba boleh, muka selambanya saja sudah cukup untuk membuatkan penonton tertawa.

Gandingan Shahiezy bersama Dina yang memegang watak Ziana menjadikan beberapa babak begitu mencuit hati terutama ketika adegan Ziana cuba membunuh diri kerana kecewa. Dina juga tidak mengecewakan biarpun masih baru dalam dunia lakonan.

Memandangkan JPBC adalah sebuah filem komedi, jadi janganlah bandingkan filem ini dengan cerita serius. Mungkin ada sesetengah adegan yang kelihatan tidak logik tetapi ia memang sengaja diwujudkan untuk menjadikannya lucu. Bagaimanapun, ada sesetengah babak sedikit meleret dan membosankan tetapi secara keseluruhan filem ini berbaloi ditontoni.

Biarpun ia sebuah filem komedi, Idham tidak mengambil mudah kesan khas pada solekan dan bunyi dalam filem ini supaya tidak lari dari genre seram yang masih menjadi perjalanan filem ini. Bagaimanapun Idham tidak menggunakan teknik CGI untuk gambaran hantu toyol sebaliknya fizikal Cat sebagai toyol dikekalkan bagi menimbulkan unsur jenaka.

Filem yang menelan kos sebanyak RM 1.85 juta ini mengisahkan mengenai seorang tua bernama Pak Sudir. Seorang yang kaya dan dikatakan memelihara saka. Melihat raut wajahnya, tiada siapa menyangka usianya hampir mencecah 125 tahun. Pak Sudir tinggal bersama seorang pembantu bernama Mustika (Lisa Surihani). Di saat kematiannya, pelbagai kejadian aneh berlaku menggemparkan penduduk kampung.

Pak Sudi kononnya dikatakan sudah meninggal dunia dan yang terlantar sakit adalah sakanya. Seorang bomboh terkenal, Pak Mor dipanggil dan berlaku pertarungan dahsyat. Akhirnya saka berjaya dikeluarkan dan Pak Sudir akhirnya meninggal dunia.

Di Kuala Lumpur, tiga pemuda mendapat sepucuk surat setiap seorang daripada Pak Sudir yang menjemput mereka ke rumahnya. Pada hari ditetapkan Punai, Asmat dan Johan tiba di rumah Pak Sudir. Di saat itu barulah mereka mengetahui Pak Sudir adalah datuk mereka sementara mereka bertiga adalah sepupu.

Mustika memberitahu bahawa mereka bakal mewarisi harta pusaka peninggalan Pak Sudir sekiranya berjaya mematuhi syarat ditetapkan. Syarat itu ialah mereka perlu bermalam di rumah peninggalan Pak Sudir selama tiga malam berturut-turut dengan syarat tidak menyentuh apa-apa di dalam rumah itu termasuk sebuah congkak usang.

Oleh kerana syarat itu dianggap terlalu mudah, inilah peluang mereka untuk hidup senang tanpa mengetahui mereka sebenarnya mewarisi ilmu saka Pak Sudir jika berjaya mengharungi tiga malam itu.

Pada malam pertama, mereka terjumpa congkak usang yang dimaksudkan Mustika. Mereka membelek-belek congkak itu yang tertera perkataan dalam bahasa Sanskrit. Ketika itu tulis berkenaan mengeluarkan cahaya dan terkena pada muka mereka bertiga lalu pengsan. Sejak itu kampung menjadi gempar dengan kemunculan orang minyak, hantu raya dan juga toyol.

Apakah nasib Punai, Asmat dan Johan? Siapakah sebenarnya Mustika? Untuk mengetahuinya saksikan komedi seram Jangan Pandang Belakang Congkak di pawagam mulai 4 Jun.

Sumber : Berita Harian [06/06/09]

Baca Sepenuhnya...

#523. Tengok Hantu Tapi Ketawa

AHMAD Idham Ahmad Nazri boleh dikategorikan sebagai pengarah yang versatil kerana mengarahkan pelbagai genre filem seperti cinta, komedi, aksi, seram dan fantasi selepas hampir sedekad melibatkan diri dalam bidang tersebut.Sebagai contohnya, filem terbaru arahan beliau berjudul Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 4 Jun (hari ini) pula bergenrekan komedi seram.Menurut Ahmad Idham, JPBC bukan sahaja tiada kena mengena dengan filem seram arahannya bertajuk Jangan Pandang Belakang atau Congkak, tetapi ia juga suatu genre yang jarang diketengahkan oleh pengarah filem di negara ini.Justeru, beliau menganggap JPBC sebagai suatu cabaran baru buatnya dalam usaha menarik para penonton ke pawagam bagi menyaksikan karya arahan terbarunya itu yang diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd.

"Ini merupakan antara filem arahan saya yang memberi tekanan kepada saya. Ini kerana, bukannya mudah untuk menghasilkan sebuah filem seram. Saya terpaksa memerah idea bagai mana mahu membuatkan orang ketawa apabila melihat hantu dalam filem ini.

"Sebelum ini apabila saya arahkan filem hantu, orang kata saya mahu menyesatkan akidah para penonton. Saya harap tidak timbul lagi isu seperti itu. Saya mahu para penonton ketawa menonton filem ini," katanya ketika ditemui Hits selepas pratonton JPBC di Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ahmad Idham turut menjelaskan, filem yang diterbitkan dengan kos sebanyak RM1.85 juta itu bukanlah berteraskan genre spoof (olok-olok).

Rasional beliau ialah, jalan ceritanya berlandaskan kepada suatu cerita baru dan tiada kaitan dengan filem-filem lain.

Tambah Ahmad Idham lagi, beliau sengaja meletakkan JPBC sebagai judul filem itu kerana sambutan hangat atas filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak yang diarahkannya sebelum ini.

"Kalau mahu buat filem spoof, kita kena ada banyak filem untuk dirangkumkan menjadi satu. Sedangkan JPBC merupakan sebuah filem baru. Tetapi saya sengaja menggunakan JPBC sebagai judul filem ini untuk menarik perhatian penonton.

"Mungkin dengan menggunakan judul JPBC orang akan lebih mudah mengingatinya berdasarkan sambutan terhadap dua filem itu sebelum ini. Saya belajar formula ini pun daripada penerbit Mohd. Noor Kadir sewaktu berkerja dengannya dulu. Judul filem memang memainkan peranan amat penting," ujarnya.

JPBC menampilkan ramai pelakon popular seperti Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Sam Shaheizy, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Piee, Dina (Malaysian Idol), Zarina (Akademi Fantasia), Mas Muharni, Den Wahab, Bob Kuman serta penerbit MIG sendiri iaitu David Teo.

Biarpun bergelar penerbit, namun David tiada masalah untuk mengikut segala arahan Ahmad Idham demi melakonkan watak pelakon tambahan sebagai seorang remaja berimej hip hop dalam JPBC.

"Walaupun saya penerbit filem ini, tetapi sebagai pelakon saya harus mengikut arahan Idham. Saya sengaja mencuba bakat berlakon dalam filem ini untuk merasai sendiri pengalaman sebagai pelakon. Daripada situlah saya tahu apakah masalah yang dihadapi oleh para pelakon.

"Contohnya, kalau pelakon datang lambat di lokasi penggambaran, maka saya dapat memahami tentang masalah itu. Mereka (pelakon) pun mungkin susah mahu tipu saya. Sebagai pelakon, saya tidak pilih watak dan saya juga akan cuba melakonkannya dengan sebaik mungkin," ujarnya.

JPBC bukanlah filem pertama lakonan David, sebaliknya, penerbit berasal dari Segamat, Johor ini juga pernah berlakon dalam filem seperti Kala Malam Bulan Mengambang, Remp-It 2, I'm Not Single dan Jin Notti.

Mazlan Pet Pet (Lan) yang melakonkan watak Punai dalam JPBC juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan Ahmad Idham bagi memastikan gaya lakonannya dalam filem itu tidak sama seperti dalam filem Senario.

Kata Lan, kalau boleh dia mahu lari daripada gaya lakonan atau lawak stereotaip yang biasa dilakonkannya bersama kumpulan Senario dalam filem-filem lakonannya sebelum ini.

"Idham banyak ajar saya melakonkan watak Punai dalam filem ini. Saya sentiasa memberi kerjasama kepada Idham sepanjang penggambaran filem ini dijalankan. Misalnya, watak Orang Minyak lakonan saya memerlukan saya disolek hampir dua jam lamanya.

"Saya cuma minta pada Idham kalau mahu solek saya biarlah waktunya lepas waktu Maghrib supaya senang saya mahu ambil wuduk solat. Selepas itu shooting sampai tengah malam pun saya tidak kisah," katanya dalam nada bergurau.

Kelainan watak Punai lakonan Lan dalam JPBC begitu ketara kerana tidak banyak gaya slapstik yang ditonjolkannya dalam filem itu.

Sebaliknya, Lan lebih banyak memperlihatkan kreativiti tersendiri beliau ketika melakonkan watak tersebut.

"Dalam filem ini, saya melakonkan watak orang lain (Punai) dan bukannya Lan Pet Pet dalam filem-filem Senario sebelum ini. Saya harap para penonton akan dapat melihat perbezaan gaya lakonan saya itu," jelasnya lagi.

Sumber : Utusan Malaysia [04/06/09]
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Baca Sepenuhnya...

#522. Mangsa Saka Pak Sudir

Lisa Surihani, Zarina Zainoordin, Shaheizy Sam kongsi pengalaman beraksi dalam filem seram komedi, Jangan Pandang Belakang Congkak[foto]. MENGGUNAKAN formula gabungan filem seram dan komedi, Metrowealth Movies Production sudah pasti mengharapkan kejayaan besar apabila filem terbaru mereka, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC), menemui penonton mulai hari ini.Sekali lagi diarahkan Ahmad Idham, sutradara yang sinonim dengan deretan filem box-office daripada syarikat terbabit, JPBC dikatakan menghidangkan hiburan berbeza buat penggemar filem tempatan.Menggabungkan pelakon baru dan lama, filem yang menelan belanja sekitar RM1.8 termasuk kos promosi ini dijayakan Cat Farish, Mazlan Pet Pet, Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Dina, Zarina, Mas Muhari, Piee, Azlee dan ramai lagi.

Berlakon dalam JPBC menjadi pengalaman pertama buat aktres meningkat naik, Lisa Surihani, beraksi dalam judul seram. Walaupun dia seorang yang boleh dianggap penakut (Lisa tidak gemar menonton filem hantu), tetapi peluang dihulurkan David Teo dilihat cabaran terbaik untuk mempelbagaikan keupayaannya dalam dunia lakonan. Justeru, biarpun dalam hati kegelisahan menghimpit, wanita muda meneruskan langkah menyudahkan filem berkenaan."Apatah lagi, dalam filem ini, ada babak memerlukan saya berlakon bersama tiga ekor ular di Gua Cenderawasih. Dua daripadanya pula cukup besar. Sudah tentulah saya begitu takut, bimbang jika secara tiba-tiba haiwan itu membelit tubuh.

"Biarpun perut saya kecut mengenangkan aksi bersama haiwan terbabit, saya kena kuatkan semangat. Saya juga bernasib baik sebab Lan Pet Pet banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk mengendalikan haiwan ini. Seorang pengendali ular juga turut bersedia di lokasi, bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini terjadi," kata Lisa ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Memegang watak jahat buat julung kalinya, Lisa juga tidak dapat melupakan penggambaran di sebatang sungai di Perlis, yang berlanjutan sampai ke pagi hari.

"Penggambaran di kawasan sungai itu bermula jam 8 malam dan hanya berakhir pada 5 pagi. Jadi, bayangkan berapa lama saya perlu berendam dalam air yang sejuk, bagi mendapatkan pelbagai sudut rakaman? Selepas babak itu berakhir, otak saya terasa macam beku dan saya sendiri demam panas selama tiga hari," cerita Lisa sambil disulam ketawa manja.

Namun, gadis peramah ini percaya, pengalaman itu pastinya bukan paling teruk pernah dihadapi mana-mana pelakon. Dia yakin masih ada pengalaman lebih memeritkan terpaksa ditelan pelakon lain dan kemungkinan besar, suatu hari nanti, dia juga akan berdepan dengan keadaan serupa.

Ketika ini, pelakon yang mencipta nama menerusi filem I’m Not Single itu sibuk di lokasi filem Legenda Budak Setan bersama Farid Kamil, Shikin, Que Haidar dan Fazura.

Tunggu Virus Zarina

ZARINA Zainoordin yang memegang watak Wati pula, dia seronok menjayakan babak ‘mengacau’ Lan Pet Pet dalam filem berkenaan.

"Bagi menjayakan adegan terbabit, saya disolek hampir dua jam lamanya walaupun ia untuk babak yang amat pendek saja. Solekan itu dilakukan bagi menutup mulut saya. Yang kelakarnya, sebelum mulut saya ditutup, saya terlupa yang saya belum pun menyentuh apa-apa makanan," cerita Zarina.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua ini bagaimanapun bersyukur, sepanjang penggambaran filem komedi seram itu dilakukan, tidak ada pengalaman menyeramkan terpaksa dilaluinya. Sebaliknya, dia ‘jatuh cinta’ pada negeri Perlis yang menjadi lokasi utama filem terbabit, dek keindahan negeri di Utara semenanjung. JPBC muncul projek seram kedua untuk Zarina, selepas terbabit dalam siri Niyang Rapik.

Menyentuh karier nyanyiannya, artis dari Selatan tanah air ini memberitahu, dia masih aktif sebagai penyanyi dan baru-baru ini, suaranya digunakan bagi rakaman lagu tema siri Zati & Si Mawas, yang turut dilakonkan bersama-sama Liyana Jasmay dan Kamal Adli.

"Lagu berjudul Kasih Antara Kita itu menyaksikan saya berduet bersama anggota Fabulous Cats, Adeeb. Lagu ciptaan Cat itu mungkin akan dihantar ke radio dalam masa terdekat. Jadi, selepas kemunculan di televisyen, bolehlah peminat mendengarnya di radio pula.

"Kini, saya menunggu masa untuk masuk ke studio bagi merakam single terbaru berjudul Virus. Berentak rancak, lagu ini juga dicipta oleh Cat. Saya memang merancang untuk menghasilkan album, menggunakan khidmat komposer berbakat itu. Sebab sering sangat bekerja dengannya, dan saya juga senang dengan cara dia bekerja, jadi, baiklah saya gunakan saja khidmat Cat untuk menghasilkan album itu nanti," kata Zarina.

Wira baru filem Melayu?

BAGI Shaheizy Sam, JPBC menandakan pembabitan pertamanya dalam filem bercorak seram komedi. Sebelum ini, dia banyak membintangi judul yang lebih bersifat aksi dan drama. Bermula dengan Bohsia, langkahnya diteruskan dengan Syurga Cinta, JPBC, Evolusi KL Drift II dan Remp-it Nan Sempit.

Dilihat kepada deretan filem dibintanginya dalam masa yang agak singkat, lalu terkeluar andaian mungkinkah anak muda ialah wira baru dalam filem Melayu?

"Saya tidak berani hendak mengulas jika ada yang mengandaikan saya begitu. Layak atau tidak saya untuk digelar hero baru filem Melayu, biarlah peminat yang menentukannya. Secara jujur, saya masih mempunyai banyak kelemahan sebelum boleh diangkat memegang gelaran berkenaan.

"Saya belajar ilmu lakonan di lokasi penggambaran. Daripada teguran dan tunjuk ajar kawan-kawan, saya juga belajar berdasarkan pemerhatian dan pemikiran. Jika berseorangan di rumah pula, saya banyak belajar daripada filem yang ditonton menerusi DVD. Saya tanya pada diri sendiri, mengapa sesuatu watak itu ditonjolkan sebegitu rupa dan sebagainya," katanya.

Adik pelakon Zizie Ezette ini juga tidak berasakan, berlakunya pendedahan yang berlebih-lebihan pada dirinya apabila sebuah demi sebuah judul lakonannya menemui penonton pada tahun ini. Bohsia, Syurga Cinta dan JPBC kini sudah pun ditayangkan. Sebelum tirai 2009 dilabuhkan, Evolusi KL Drift II pula akan menjengah pawagam.

"Pada dasarnya, saya agak risau apabila beberapa filem lakonan saya akan menemui penonton pada tahun yang sama. Namun, mengenangkan watak yang dijayakan itu agak berlainan bentuk, jadi saya percaya, peminat tidak akan jemu menontonnya," katanya akan difahamkan bakal membintangi Niyang Rapik versi filem pula selepas ini.

SINOPSIS:

FILEM ini antara lain mengisahkan bagaimana tiga pemuda berlainan latar belakang mendapat sepucuk surat setiap seorang daripada Pak Sudir, seorang lelaki yang dikatakan mengamalkan ilmu saka. Sebelum kematiannya yang dahsyat, orang tua itu menjemput tiga pemuda berkenaan datang ke rumahnya.

Punai ialah penyeluk saku, manakala Asmat bekerja di tempat letak kereta dan Johan pula seorang jurujual. Pada hari yang ditetapkan, ketiga-tiga mereka tiba di rumah Pak Sudir. Di sana baru mereka tahu Pak Sudir ialah datuk mereka dan mereka bertiga sebenarnya sepupu. Pembantu Pak Sudir, Mustika, memberitahu mereka bertiga bakal mewarisi harta pusaka peninggalan Pak Sudir sekiranya berjaya mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka hendaklah bermalam di rumah itu selama tiga malam berturut-turut dan tidak boleh menyentuh apa-apa barang terutamanya sebuah congkak usang. Oleh kerana syarat itu dianggap terlalu mudah bagi mereka dan ia peluang untuk hidup senang, mereka bersetuju dengan syarat itu. Apa yang tidak diketahui tiga pemuda ini, mereka akan mewarisi ilmu saka Pak Sudir jika berjaya mengharungi tiga malam berkenaan.

Sumber : Berita Harian [04/06/09]
Oleh Nurulhisham Abdul Latif

Baca Sepenuhnya...

#516. Bukan Soal Judul Kitar Semula

Mungkin ada yang membayangkan jalan cerita filem arahan pengarah berbakat, Ahmad Idham Ahmad Nazri mirip filem seram yang mendapat perhatian positif daripada penonton sewaktu tayangannya. Bagamanapun, sangkaan itu ternyata meleset apabila Ahmad Idham mengambil langkah berani memilih menghasilkan genre komedi seram.Menurut Ahmad Idham, selepas dua filem seram itu ramai yang bertanya apakah filem mereka seterusnya. Begitupun, ketika berbincang secara tidak formal bersama Pengarah Urusan MIG, David Teo tajuk berkenaan menjadi pilihan untuk dihasilkan.

"Bermula dari sana kami mula membuat rangka dan membayangkan jalan ceritanya yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa."Mesej dalam filem JPBC begitu kecil iaitu mengenai penurunan Saka, tetapi untuk filem ini saya tidak begitu menekankan kepada aspek keagamaan berbanding komedi. Tujuan saya adalah supaya penonton yang datang ke pawagam dapat berhibur bersama keluarga."Filem ini juga tiada langsung serpihan daripada dua filem yang pernah ditayangkan sebelum ini. Ia satu cerita yang benar-benar baru dengan pemilihan pelakon yang berbeza dan menampilkan karakter tersendiri," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan tajuk filem yang disifatkan diguna semula pula, dia menyifatkania bukan perkara utama sebaliknya apa saja tajuk yang mudah dan dekat dengan penonton akan sentiasa menjadi pilihannya.

"Apabila menyebut soal judul, saya mahu orang mudah faham. Jadi peluang untuk filem berkenaan menjadi tarikan kepada penonton cukup dekat. Sebelum ini saya pernah belajar dengan sutradara Mohd Noor Kadir yang sentiasa menyarankan saya supaya memilih tajuk yang sesuai dan mudah diingati.

"Memang saya meletakkan cabaran kepada diri sendiri untuk menghasilkan pelbagai genre filem tidak terhad kepada genre komedi semata-mata. Sebelum ini saya pernah menghasilkan pelbagai filem seperti seram, kanak-kanak, komedi dan cinta (Syurga Cinta) yang ternyata mempunyai sasaran penonton berbeza menyaksikan filem di pawagam.

"Secara tidak langsung saya mewujudkan platform pengikut filem itu tersendiri. Filem Syurga Cinta misalnya mendapat maklum balas positif selepas berjaya meraih kutipan RM1.2 juta selepas seminggu ditayangkan. Malah saya berharap angka berkenaan akan meningkat seterusnya dapat mengatasi rekod filem Cinta yang difahamkan mencatat kutipan sekitar RM2.5 juta," katanya.

Sebagai karyawan Ahmad Idham juga mahu mencuba menghasilkan filem berbentuk kisah hidup atau genre yang lebih berat. Bagaimanapun, dia perlu mengambil kira daripada pelbagai sudut membabitkan kemampuan menarik penonton untuk menyaksikan filem di pawagam selain perlu mementingkan aspek komersial.

Ahmad Idham ditemui ketika prebiu filem JPBC di Cathay Cineplex Damansara mengakui sebelum ini ada dalam kalangan karyawan seni yang menghasilkan filem dengan genre serupa malah mendapat maklum balas yang positif daripada penonton. Dia juga tidak kisah jika ada penonton yang masih membayangi filem Senario.

Dia yakin filem komedi seram mempunyai pengikut yang tersendiri. Kebetulan pula tempoh tayangan pada waktu itu menurut pengusaha panggung adalah masa yang paling sesuai serentak dengan cuti sekolah.

Sementara itu, Pengarah Urusan MIG, David Teo menyifatkan jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami menjadikan filem JPBC bakal mendapat sambutan tersendiri. Filem JBPC membabitkan kos sekitar RM1.85 juta dan mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 4 Jun ini.

"Di samping JBPC kami juga sedang menghasilkan filem aksi komedi, Remp-it Nan Sempit. Selain penggambaran filem Senario The Movie Episod II: Beach Boys sudah siap dan menanti masa tayangannya.

Sementara Remp-it V3 di peringkat akhir suntingan," kata David yang turut tampil menjayakan beberapa babak penggambaran dalam filem ke-33 MIG itu.

Sumber : Harian Metro [02/06/09]
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Baca Sepenuhnya...

#511. Filem : Lawak Seram

JANGAN terkeliru dengan tajuk filem ini. Meskipun menggabungkan judul dua filem seram Jangan Pandang Belakang dan Congkak, karya sutradara Ahmad Idham kali ini sungguh berbeza.Tambah menarik, ia bukan kombinasi dua filem itu, sebaliknya Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) menggabungkan dua elemen — seram dan komedi.Ketika menonton filem ini, penulis dihidangkan dengan pelbagai komedi menarik. Meskipun ada babak seram dipaparkan, keseluruhan ceritanya lebih tertumpu kepada komedi.

JPBC mengisahkan Punai (Mazlan Pet Pet), Asmat (Cat Farish) dan Johan (Shaheizy Sam) mewarisi harta milik datuknya selepas orang tua berkenaan, Pak Sudir (lakonan Piee) meninggal dunia dalam keadaan misteri.Begitupun, tiga saudara ini tidak tahu hajat sebenar datuk mereka. Hakikatnya, Pak Sudir mahu mewariskan saka miliknya kepada seorang daripada cucunya.Ketika di rumah orang tua berkenaan, mereka dinasihatkan supaya tidak mengusik barang di dalam bangunan itu. Bagaimanapun, kerana sifat ingin tahu, mereka membelek sebuah congkak usang, kemudian terbaca jampi yang tertera di belakangnya. Dalam masa sama, ketiga-tiganya bertukar menjadi hantu.

Punai akhirnya berubah menjadi orang minyak, Asmat menjadi toyol manakala Johan pula bertukar menjadi hantu raya. Dengan cara tersendiri, mereka mampu berubah menjadi manusia mahupun hantu.

Meskipun solekan dan kostum ketiga-tiga hantu itu menyeramkan dan realistik, hakikatnya filem ini melucukan. Gelagat dan kerenah ketiga-tiga pelakon ini senantiasa mencuit hati.

Malah, selain seram dan komedi, Idham berjaya mengadunkan pelbagai elemen menarik dalam filem ini. Babak serius dan romantik turut dipaparkan. Lebih menarik, pelakonnya berjaya membawa watak yang diberi dengan sempurna.

Barangkali, filem ini tidak lagi memaparkan komedi ‘bodoh’ yang membosankan. Sebaliknya jalan cerita yang dipertaruhkan, di samping barisan pelakon berbakat pasti dapat menarik perhatian penonton.

Penulis difahamkan, teknik imej janaan komputer (CGI) tidak digunakan dalam cerita ini. Begitupun, penulis beranggapan jika beberapa babak dalam filem ini disulami dengan teknik CGI, ia pasti lebih menarik.

Data

FILEM: Jangan Pandang Belakang Congkak

ARAHAN: Ahmad Idham

LAKONAN: Shaheizy Sam, Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Piee, Lisa Surihani, Azlee, Zarina AF dan Mas Muharni

GENRE: Komedi / Seram

TAYANGAN: 4 Jun 2009

ULASAN: Firdaus Sahat

Sumber : Harian Metro [31/05/09]

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP