Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Dimensi Cinta [2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dimensi Cinta [2009]. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 22, 2009

#463. 'Saya Tak Pernah Larikan Diri '

Eddie Pak adakan sidang akhbar perjelas kontroversi yang melanda filem Dimensi Cinta

SEJAK majlis pelancaran hinggalah selesainya penggambaran, filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak tak henti-henti dilanda kontroversi. Bermula dengan misteri kehilangan pelakon utamanya, Hairee Othman hinggalah membawa kepada kemelut di antara penerbit filem ini yang juga Pengerusi Harian Inovatif Sdn. Bhd, Raja Lela Raja Shahrom dan Eddie sendiri.

Sebelum ini ada akhbar (bukan terbitan Kumpulan NSTP) menyiarkan artikel yang memaparkan perang dingin antara kedua-dua pihak ini. Pelbagai perkara dibangkitkan termasuklah soal bayaran serta dakwaan kononnya Eddie melarikan diri dan meminda perjanjian yang dipersetujui awal tanpa pengetahuan membuatkan cerita sensasi ini terus berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian.

Justeru, atas dasar ingin membersihkan nama yang sudah tercalar, Eddie pagi Rabu lalu mengadakan sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar. Ditemani dua orang peguam yang juga sahabat baiknya, Leong Sir Ley dan Irwin Lo dari SL Leong, Kartina & Partners, Eddie meleraikan segala kekeliruan yang selama ini menjadi tanda tanya.

“Tujuan saya mengadakan sidang media ini adalah untuk memberikan penjelasan terhadap khabar angin berkaitan dengan saya serta syarikat saya Sunday To Sunday Services.

“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah melarikan diri seperti yang didakwa. Saya ada di sini, di rumah saya yang juga beroperasi sebagai sebuah pejabat. Jika saya melarikan diri apakah saya masih boleh mengadakan sidang media ini.

“Begitu juga dengan soal kononnya pihak Harian Inovatif sudah pun membayar kepada pihak Sunday To Sunday seperti yang disiarkan dalam sebuah artikel. Ingin saya jelaskan di sini juga bahawa segala khabar yang mengatakan penerbit sudah membayar kami sama ada bayaran penuh, 75 peratus atau 78 peratus adalah tidak benar.

“Dan andai benar mereka sudah membayar, saya harap mereka dapat tunjukkan bukti,” pinta Eddie.

Pun begitu, menurut Eddie atau nama Islamnya, Aliff Najmi, apabila dia memilih cara ini (sidang media) untuk membersihkan nama bukanlah bermakna ada pertelingkahan berlaku antara mereka. Sebaliknya, dia tidak mahu perkara ini berpanjangan dan sekali gus menjejaskan filem Dimensi Cinta yang ketika ini menunggu masa untuk proses pos-produksi.

“Saya harap selepas ini, penerbit dapat datang berjumpa dengan saya bagi meleraikan segala kekusutan ini. Selagi perkara ini tidak selesai, banyak perkara yang akan tertangguh.

“Rushes filem Dimensi Cinta kini menunggu masa untuk disunting. Produksi kami sentiasa menunggu kehadirannya kerana di sini pun dia ada bilik sendiri. Jadi saya harap selepas ini, kami dapat bersemuka sekali gus meleraikan segala kekeliruan yang timbul,” ujarnya sekali gus menafikan mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Harian Inovatif.

Ditanya mengenai isu masih tidak mendapat bayaran seperti yang dibangkitkan pelakon dan kru filem itu sebelum ini sedangkan filem sudah pun selesai menjalani penggambaran, Eddie berkata perkara itu terlalu sulit untuk diperkatakan.

“Soal bayaran adalah perkara sulit kerana ia membabitkan soal kontrak yang sudah dipersetujui awal. Cuma apa yang boleh saya katakan, kami sedaya upaya mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik dan harap pelakon dan juga kru boleh mempercayai kami dengan kesabaran,” janji Eddie.

Bagaimanapun ketika ditanya apakah pihaknya sudah membuat bayaran kepada pelakon terbabit memandangkan syarikatnya juga menjalankan peranan sebagai ejen, Eddie enggan mengulas lanjut perkara itu. Sebaliknya dia mengharapkan supaya kemelut yang berlaku itu segera selesai.

“Seperti yang saya katakan tadi, kami tidak dapat menjelaskan apa yang sudah termaktub di dalam kontrak kerana tidak mahu melanggar undang-undang. Harapan saya, biarlah masalah ini selesai dan saya percaya semua masalah yang timbul akibat kontroversi ini juga akan selesai,” ujar Eddie positif.

Dimensi Cinta dibintangi Awie, Fahrin Ahmad, Eman Manan, Adam (AF2), Catriona Ross, Memey Suhaiza dan Scha selesai menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu.

Menyedari tentu akan ada yang memandang serong terhadapnya ekoran kontroversi itu, Eddie bagaimanapun tetap bersikap positif.

“Biarlah orang hendak kata saya apa saja kerana saya percaya, saya ini ibarat cermin buat mereka. Apa yang lebih penting, filem ini dapat disiapkan secepat mungkin kerana sebagai pengarah tidak ada apa yang lebih bermakna selain melihat filem arahannya siap dan ditayangkan kepada khalayak,” ujar Eddie penuh bermakna.

Sumber : Berita Harian [22/05/2009]
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Baca Sepenuhnya...

#462. Kami Mahu Lihat Bukti

PELBAGAI cerita kurang enak menghambat pengarah filem Dimensi Cinta, Eddie Park atau Alif Najmi. Seawal pembikinan sehinggalah tamat penggambaran Dimensi Cinta, pengarah filem itu tidak sudah-sudah dilanda musibah.Bermula isu penarikan pelakon utamanya, Hairie Othman yang dikatakan meninggalkan set untuk membintangi filem lain, kini timbul pula cerita Eddie tidak melunaskan bayaran kepada pelakon serta kru yang terbabit dalam filem itu.Tidak cukup dengan itu, dia dikatakan berhutang dengan along sehingga menyelewengkan sebahagian wang yang diberikan produser selain melarikan diri.

Menyedari khabar angin yang menghambat dirinya sejak kebelakangan ini dan menjadi semakin tidak terkawal sejak dua minggu lalu , Eddie yang selama ini mendiamkan diri akhirnya tampil memberi kenyataan dan menjawab segala tuduhan dilemparkan kepadanya.
Dalam sidang media di kediaman merangkap pejabatnya, Sunday To Sunday Services (STS) Sdn Bhd di Subang Jaya Rabu lalu, Eddie turut ditemani peguam dari Tetuan S.L. Leong dan Kartina & Partners, Leong Sir Ley dan Irwin Lo selaku peguam yang mengendalikan kesnya.

"Pasti ramai yang hairan mengapa baru sekarang saya mengadakan sidang media. Terdapat dua penjelasan, pertama niat saya untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

"Sebelum ini peguam saya sudah pun menulis surat kepada penerbit pada 5 Mei lalu justeru, mengikut prosedur kami perlu menunggu maklum balas daripada mereka.

"Penerbit diberikan satu jangka masa yang munasabah untuk memberi jawapan, tetapi kami tidak menerima sebarang jawapan sehinggalah saya dan peguam mengambil keputusan mengadakan sidang media ini.

"Bagaimanapun, pada 19 Mei, jam 5.39 petang, peguam penerbit menghantar surat melalui faks untuk menjawab surat peguam kami.

"Sebab kedua, saya dan pihak guaman saya berasa khabar angin ini semakin di luar kawalan. Oleh itu, kami mengambil keputusan mengadakan sidang media ini bagi menjelaskan perkara sebenar di sebalik isu yang tersebar," katanya.

Eddie berkata, dia tidak pernah lari sebagaimana didakwa dalam artikel yang diterbitkan akhbar mingguan baru-baru ini. Bahkan tidak tahu menahu dari mana khabar angin ini bermula termasuk isu berkaitan along.

"Apa yang saya boleh katakan ialah semua ini tidak benar. Jika saya melarikan diri mengapa sidang media ini diadakan di pejabat saya? STS masih beroperasi di lokasi sama dan tidak berpindah ke mana-mana seperti didakwa.

"Kedua, semua khabar angin mengenai penerbit sudah membayar STS sama ada bayaran penuh 75 peratus atau 78 peratus daripada RM1.8 juta adalah tidak benar.

"Jika penerbit mempunyai bukti yang dikatakan, kami sendiri mahu melihat bukti itu kerana kami benar-benar tidak tahu sama ada jumlah berkenaan dibayar kepada kami.

"Ketiga, khabar angin mengenai STS meminda perjanjian tanpa pengetahuan mereka adalah tidak benar. Semua artis terbabit mempunyai satu salinan perjanjian. Jika STS pernah meminda perjanjian itu, artis tidak patut menandatanganinya. Ini hak mereka.

"Buat apalah saya hendak merosakkan integriti serta reputasi saya serta syarikat dengan berbuat demikian. Keempat, kami tidak mengelak panggilan telefon daripada penerbit kerana kami juga ingin menyelesaikan perkara ini dengan baik," katanya.

Eddie berkata, dia ada menghubungi penerbit untuk berbincang menyelesaikan masalah itu, tetapi peguamnya menasihatkannya supaya tidak mendedahkan inti pati perbualan itu.

Katanya, pada 5 Mei lalu peguamnya ada menulis surat kepada penerbit, tetapi sehingga hari ini (Rabu) masih menunggu panggilan telefon daripada pihak penerbit dan tiada sebarang maklum balas diterima.

"Apa yang menghairankan, penerbit membuat perjumpaan dengan pelakon dan kru pada 10 Mei tanpa memaklumkan kepada saya atau membalas surat kami pada masa itu.

"Terus terang, saya tidak tahu menahu mengenai perjumpaan itu. Di sini, saya juga ingin menegaskan tidak pernah meninggalkan pelakon dan kru atau tidak mempedulikan permintaan mereka.

"Walau apapun yang terjadi, perkara ini antara penerbit dengan STS. Kami sedang cuba sedaya upaya menyelesaikan perkara ini dengan baik. Saya berharap pelakon dan kru mempercayai kami dan berharap mereka bersabar," katanya.

Mengenai bayaran 78 peratus sebagaimana didakwa penerbit, Eddie menyerahkan soalan itu dijawab peguamnya, Irwin Lo.

Kata Irwin, sudah tentu produser ada membayar kalau tidak bagaimana penggambaran dapat dijalankan.

Bagaimanapun, pembayaran itu tidak 78 peratus daripada RM1.8 juta sebagaimana diperkatakan sebaliknya sebahagian sahaja dan semua wang itu digunakan sepenuhnya sepanjang penggambaran.

Sumber : Harian Metro [22/05/2009]
Oleh Norhadiani Baharom

Baca Sepenuhnya...

Isnin, Mei 18, 2009

#431. Eddie Pak Jangan Lari !

“KECEWA”! Itulah yang keluar daripada mulut Raja Lela Raja Shahrom, penerbit filem Dimensi Cinta apabila para pelakon filem itu mendakwa tidak mendapat bayaran sebaik sahaja selesai penggambaran.Raja Lela menganggap namanya dan syarikat Harian Inovatif Sdn. Bhd. turut tercalar gara-gara agensi penerbitan filem Sunday To Sunday yang dimiliki pengarah Eddie Pak (Alif Najmi) tidak melunaskan bayaran kepada pelakon dan krew terlibat.

Sedangkan sebahagian besar bayaran kepada para pelakon dan kos penerbitan filem berkenaan yang dianggar menelan belanja RM1.8 juta telah dijelaskan kepada Sunday To Sunday oleh Harian Inovatif Sdn. Bhd.Dalam hal ini syarikat tersebut tidak bertanggungjawab terhadap semua masalah yang dihadapi pelakon dan krew kerana 78 peratus bayaran sudah diberikan kepada Alif Najmi melalui syarikatnya itu.

Jadi dalam hal tersebut yang berhutang dengan para pelakon ialah Sunday To Sunday kerana ia merupakan agensi yang dipertanggungjawab menguruskan soal kebajikan pelakon dan kelancaran pembikinan filem berkenaan.

“Kami rasa terhina,” kata Raja Lela ringkas sewaktu ditemui wartawan NIEZAM ABDULLAH dan jurufoto pelatih AFNAN SHAH QAZI MUMTAZ.

Dalam masa yang sama Raja Lela dan penerbit eksekutif syarikat berkenaan, Mohd. Fairuz Mohd. Yusof telah menemui pelakon dan krew pada 10 Mei lalu untuk mendengar masalah yang dihadapi.

Malah mereka amat terkejut apabila mendengar rungutan pelakon yang mendakwa agensi tersebut gagal melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan.

Dimensi Cinta dibintangi oleh Awie, Fahrin Ahmad, Eman Manan, Adam (AF2), Catriona Ross, Memey Suhaiza dan Scha selesai menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Apa yang dimaksudkan terhina itu? Ikuti penjelasan Raja Lela yang ditemani Mohd. Fairuz dalam pertemuan dengan Pancaindera Selasa lalu.

Boleh jelaskan macam mana Dimensi Cinta ni terhasil?

Kami sebenarnya bukan syarikat produksi filem atau syarikat penerbitan drama. Kami ada bisnes lain. Tapi kami minat untuk memeriahkan industri hiburan. Jadi kami laburkan peruntukan untuk menerbitkan filem Dimensi Cinta dengan melantik Eddie Pak dari Sunday To Sunday menguruskan filem ini.

Maknanya tak ada pengetahuan tentang dunia hiburan tetapi mahu hasilkan filem? Begitu?

Lebih kurang begitulah. Kami rasa ia cara terbaik untuk sumbangkan sesuatu kepada industri hiburan.

Kenapa pilih Eddie Pak (Alif Najmi) arahkan filem tu sedangkan ramai lagi pengarah lain?

Masa nak buat filem kami dah cari pengarah dan syarikat produksi yang boleh bekerjasama sehinggalah kami dipertemukan dengan Eddie melalui seorang rakan. Selepas membaca proposal dari Sunday To Sunday, kami tertarik dan percaya untuk melantik agensi itu.

Apa peranan Sunday To Sunday?

Kami bayar kepada mereka untuk menguruskan dari A sampai Z. Soal pelakon, pengarahan, pemilihan lokasi dan proses suntingan akhir. Malah segala pembayaran kepada pelakon adalah urusan Sunday To Sunday.

Pelakon merungut. Dia orang tak dapat bayaran. Krew pun naik angin. Mereka salahkan Harian Inovatif. Macam mana tu?

Pelakon semua tak faham. Dia orang sign kontrak dengan Sundah To Sunday. Bukan dengan kami (Harian Inovatif Sdn. Bhd.) Dia orang kena tuntut dengan agensi yang terlibat sebab bayaran kami dah bagi pada agensi tu. Cuma tinggal 22 peratus lagi belum dilangsaikan. 22 peratus tu untuk proses suntingan dan kerja-kerja akhir filem. Soal bayaran sepatutnya tidak timbul.

Kenapa ada artis yang kaitkan Harian Inovatif? Sedangkan dia orang sepatutnya dapat duit daripada pihak Eddie Pak?

Itu yang saya kesalkan. Tak pasal-pasal kami yang nampak buruk sedangkan segala bayaran kepada artis dah pihak kami jelaskan melalui Sunday To Sunday. Kami ada segala bukti dan dokumen pembayaran. Masalahnya artis kita tak baca kontrak (dengan Sunday To Sunday) masa dia orang sign. Ada kontrak pembayaran yang kami tengok diubah suai tanpa pengetahuan artis. Artis kita lain kali jangan ghairah nak terima duit tanpa baca kontrak. Itu masalahnya artis-artis kita. Bila timbul masalah dia orang salahkan orang lain. Salahkan kami kononnya tak bayar. Tapi dalam kontrak, yang sepatutnya bayar kepada dia orang ialah Sunday To Sunday.

Ada desas desus kononnya pelakon nak bawa perkara ini ke mahkamah. Macam mana tu?

Kalau dia orang nak saman, dia orang kena saman agensi tu. Kami tak terlibat apa-apa. Silap-silap hari bulan kami akan saman juga Sunday To Sunday kerana masalah ni. Tapi kami tak nak panjangkan cerita. Kami mahu selesai masalah ni dengan baik.

Pihak you ada berhubung dengan Eddie Pak untuk selesaikan masalah?

Kami dah banyak kali telefon dia nak berbincang tapi dia tak angkat (telefon). Staff dia pula kata Eddie tak boleh jumpa kami. Kami pun tak faham apa masalah dia sebenarnya? Kami tak mahu apa-apa daripada dia. Kami nak filem ni selesai cukuplah. Soal dia dengan pelakon, dia selesaikan sendiri. Kami tak mahu campur. Takkan kami nak keluarkan duit lagi nak bayar pelakon yang dia hutang tu? Kami harap semua pihak faham dalam soal ini.

Ada artis mendakwa agensi berkenaan memberi alasan produser iaitu Harian Inovatif Sdn. Bhd. tak bayar kepada agensi tu?

Artis tu sebenarnya tak faham. Saya tahu bila artis tanya agensi tu, dia orang akan bagi jawapan kononnya kami yang tak bayar. Nak tutup masalah dia orang. Tapi selepas kami buat pertemuan dengan artis dan tunjuk segala bukti dan dokumen yang disahkan oleh peguam syarikat kami, barulah dia orang terkejut dan faham. Ini bermakna ada pihak yang tak jujur dalam hal ini.

Apa jadi dengan Dimensi Cinta? Takkan nak biarkan senyap macam tu saja?

Kami nak jumpa Eddie Pak. Harap dia jangan lari. Nak selesaikan masalah ni. Kami nak filem ini ditayangkan mengikut perancangan. Masih ada jalan nak bincang hal ini. Harap-harap Eddie faham keadaan sekarang. Masalah Eddie dengan pelakon dia selesaikan sesama mereka. Sekarang biar filem ini dapat diuruskan dengan cara baik. Kami tak mahu Eddie terus bersembunyi. Ada masalah, kita boleh berbincang. Nak lari ke mana pun? Kami tak mahu masalah yang berlaku turut heret syarikat kami dalam kemelut itu sedangkan syarikat kami bersih daripada sebarang masalah. Kami tak mahu perkara itu berlaku.

Sumber : Utusan Malaysia [17/05/09]

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP