Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Talentime[2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Talentime[2009]. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 22, 2009

#459. Diskusi Filem Talentime

DALAM melunaskan tanggungjawab dan amanah diberikan kerajaan untuk memaju dan membangunkan industri filem tempatan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengadakan program Diskusi Filem Tempatan, Talentime dan Marathon Filem Seram 2009.Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abdul Aziz, berkata kedua-dua program itu diadakan selaras usaha Finas menarik minat penonton mendekati filem Malaysia.

"Ia bertepatan kempen berterusan Finas menerusi Program Merakyatkan Filem (PMF) yang diadakan secara tetap di Pawagam Coliseum pada Sabtu minggu keempat setiap bulan," katanya.Kata Fazli, selain itu Finas menerusi Bahagian Latihan Perfileman turut mengadakan siri diskusi filem membicarakan sudut pandangan pihak media, ahli akademik dan penggiat industri termasuk mengundang pengarah, pelakon dan tenaga produksi filem yang terpilih.

Kali ini, filem Talentime arahan sutradara kontroversi, Yasmin Ahmad akan dikupas pada 23 Mei ini (Sabtu), jam 3 petang di Pawagam Mini P Ramlee, Finas.

Program ini akan dimoderatorkan Profesor Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim dan dihadiri Yasmin Ahmad, wakil media dan pelakon utama Talentime, Magesh Jugal Kishor. Majlis diskusi ini diadakan percuma dan terbuka kepada orang ramai.

"Program ini akan dimulakan dengan tayangan filem Talentime, jam 3 petang disusuli diskusi filem dua jam selepas itu. Harapan Finas agar program seumpama ini dapat memberi peluang kepada orang ramai menonton dan berkongsi pandangan, idea dan pengalaman produksi filem Talentime.

"Secara tidak langsung menambahkan minat masyarakat menonton, menyokong dan menghargai karya filem tempatan. Malah, penonton juga boleh berinteraksi dengan barisan pelakon yang diundang," katanya.

Sementara itu, sempena Pameran Filem Seram 2009 yang berlangsung di Galeri Perfileman, Jalan Pahang Kechil, Kuala Lumpur, Finas menganjurkan Marathon Filem Seram bermula 23 dan 24 Mei ini.

Marathon dua hari ini bakal menayangkan lapan filem seram tempatan seperti Anak, Puaka Tebing Biru, Chermin dan Congkak pada hari pertama.

Manakala filem Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Susuk dan Jangan Pandang Belakang ditayangkan pada hari kedua. Jadual tayangan jam 11 pagi, 1 petang, 3 petang dan 5 petang.

Pameran filem seram ini dirasmikan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim pada 15 April lalu dan mendapat sambutan hangat.

Jelas Fazli, tujuan pameran ini diadakan untuk memberi pengetahuan mengenai sejarah perkembangan filem seram di Malaysia di samping memperlihatkan peranan dan pengaruh filem seram dalam kehidupan seharian masyarakat.

Antara koleksi bahan filem seram yang dipamerkan, Toyol (filem Toyol), Penunggu (Congkak), Orang Minyak(Sumpah Orang Minyak), Syaitan, Susuk (Susuk) dan Hantu Raya (Tarik-Tarik).

Pameran filem seram berlangsung dari 7 April hingga 30 Mei ini. Maklumat lanjut berhubung kedua-dua aktiviti ini boleh dilayari ini di www.sinemamalaysia.com.my

Sumber : Harian Metro [21/05/2009]

Baca Sepenuhnya...

Isnin, April 13, 2009

#387. Simpati Untuk Talentime

PAPA terkedu dan termenung seketika apabila memikirkan nasib filem Talentime yang khabarnya tidak mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan.Nak kata filem ini mendapat ulasan yang tidak begitu baik sehingga mampu mempengaruhi minda penonton dan peminat filem Melayu, tak boleh juga.Ini kerana rata-rata ramai yang memuji filem ini dan Talentime juga disifatkan sebagai karya terbaik Yasmin Ahmad.Papa terkejut apabila mendengar kutipan filem Talentime yang sehingga kini belum pun mencecah RM500,000.

Sayang seribu kali sayang apabila sebuah karya baik seperti Talentime perlu berdepan dengan situasi yang tidak menggembirakan seperti ini.Ada yang kata filem ini tidak laku adalah kerana barisan pelakon baru yang mewarnai filem ini selain daripada Talentime dikatakan sebagai sebuah filem yang bukan mass market.Mungkin juga ia berpunca kepada senario ekonomi kini yang tidak memberangsangkan. Tetapi, kalau Papa perhatikan di panggung-panggung wayang, tak pernah putus dengan pengunjung. Masih lagi ramai yang meluangkan masa menonton filem di pawagam.

Apalah salahnya luangkan masa untuk menonton filem kita sendiri. Papa faham ramai yang ada tanggapan skeptikal terhadap filem tempatan tetapi bukan semua filem kita teruk.

Sementara masih ada masa ini, apa kata luangkan masa anda menonton Talentime yang Papa percaya tidak akan merugikan wang anda kerana inilah filem Malaysia yang dicari selama ini.

Apa pun, Papa percaya, Yasmin seorang yang optimis dan yakin dengan kerjaya seninya walaupun filem-filemnya sering kali dikritik serta kurang mendapat sambutan.

Dengar cerita, Yasmin sudah pun ada projek filem terbaru dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd. Filem apalah agaknya ya? Tak sabarlah Papa.

Adakah seorang personaliti TV yang membuat kemunculan istimewa dalam Talentime akan diundang semula untuk filem ini? Sama-sama kita nantikan.

Sumber : Utusan Malaysia [08/04/09]

Baca Sepenuhnya...

#385. Talentime Gagal Tarik Penonton

SEJAK ditayangkan pada 26 Mac lalu, filem Talentime karya Yasmin Ahmad dikatakan kurang menarik minat kaki wayang menyaksikannya. Malah filem yang diuar-uarkan sebagai karya terbaik pengarah berbakat itu dilaporkan mencatat kutipan kurang memberangsangkan.Entah di mana silapnya filem terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Chilli Pepper Film hanya meraih RM400,000 kutipan tiket selepas 10 hari ditayangkan.

Berbeza dengan pencapaian karya Yasmin terdahulu seperti Mukhsin yang mencatat RM1.1 juta selepas seminggu ditayangkan sekalipun mengetengahkan konflik percintaan antara kaum dengan garapan penceritaan yang unik dan menaik.Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, pencapaian berkenaan tidak menjejaskan usaha pihaknya untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem yang menampilkan isu yang cukup relevan dengan masyarakat Malaysia itu.

"Kami mengakui kutipan tiket untuk filem ini kurang memberangsangkan. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti filem ini bercorak urban yang kurang diminati kebanyakan penonton kaki wayang yang terdiri daripada orang Melayu.

"Ia membariskan pelakon kurang terkenal yang menjayakan filem itu seperti kita sedia maklum, mentaliti penonton kita mahu menonton aksi pelakon terkenal.

"Ini adalah risiko perniagaan biarpun membawa isu yang cukup dekat untuk masyarakat hari ini. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan promosi dan maklum balas yang diterima daripada media mengenai filem ini. Malah, ia langsung tidak menjejaskan usaha kami untuk menerbit dan mengetengahkan filem tempatan yang berkualiti pada masa akan datang.

"Kami juga merancang usaha untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem ini menerusi tayangan di universiti dan institut pengajian tinggi swasta tempatan pada masa akan datang. Selain itu, menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem itu," katanya.

Sebelum ini filem yang memaparkan kisah cinta lelaki India, Mahesh lakonan Mahesh Jugal Kishor dengan gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur (Pamela Chong) itu ditayangkan di Festival Antarabangsa Hong Kong dan mendapat perhatian yang agak baik daripada pihak penganjur.

Menurut Puad lagi, filem berkenaan bakal mengikut jejak langkah filem Mukhsin yang dibawa ke pasaran antarabangsa.

"Jika tiada aral kami akan membawa filem ini ke pasaran antarabangsa dengan mempamerkannya bagi tayangan jualan pasaran antarabangsa di Festival Filem Cannes di Perancis Mei ini. Dengan cara ini kami akan mencari pengedar untuk memasarkan filem itu di luar negara supaya dapat disaksikan seluruh masyarakat dunia.

"Malah kami juga akan terus mencuba menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem yang membawakan kisah pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Pencapaian filem itu juga sekali gus gagal mengatasi pencapaian filem terbitan Primeworks Studio yang mula diterbitkan awal tahun ini bermula Sifu & Tongga yang mencatat kutipan RM3 juta dan Rasukan Ablasa (RM1 juta).

Biarpun bersyukur dengan pencapaian itu, Puad mengakui pencapaian itu diukur berdasarkan sambutan daripada penonton pasaran utama (mass market) di pawagam yang terdiri daripada golongan berusia 15 tahun ke atas.

Malah rekod membuktikan filem bercorak urban kurang mendapat tempat di kalangan kaki wayang. Contohnya, Red Kebaya. Filem itu juga kurang mendapat sambutan walaupun mempunyai kualiti tersendiri.

Talentime membabitkan perbelanjaan RM1.5 juta termasuk promosi adalah filem ketiga Yasmin bersama Primeworks Studios selepas Rabun dan Mukhsin.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini, Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Howard Hon Kahoe, Mohd Syafie Naswip, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander.

Sumber : Harian Metro [07/04/09]

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Mac 31, 2009

#372. Antara Realiti dan Bayangan

YASMIN Ahmad melalui filem-filem arahannya telah menunjukkan yang dia adalah tukang cerita yang menarik dengan cerita-ceritanya yang kaya dengan unsur kemanusiaan.

Melalui filem-filemnya dia mengangkat kisah keluarga-keluarga yang bahagia dan juga yang derita. Dia juga menuturkan kisah-kisah zaman kanak-kanak yang nakal tapi menyeronokkan dan kisah cinta zaman remaja yang melampaui sempadan kaum.Melalui filem-filemnya seperti Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin, Yasmin menonjolkan bentuk keluarga dan masyarakat Malaysia (imagined society) yang dibayangkannya, sebuah keluarga yang hubungannya tidak terikat pada satu kaum, sungguhpun tidak terlalu kaya tetapi terpelajar, berfikiran terbuka dan mampu bercakap dalam bahasa Inggeris yang baik.

Dalam Talentime, Yasmin meneruskan imej keluarga yang dibayangkannya itu. Keluarga Melur (Pamela Chong) boleh dianggap sebuah keluarga yang cukup bahagia. Ibu bapa (Harith Iskandar dan Mislina) yang mesra dan penyayang, adik beradik yang bijak dan mesra serta punya pembantu rumah Mei Ling dari keturunan China (sesuatu yang jarang sebenarnya, tetapi Yasmin memberikan alasan yang wajar tentang kehadiran Mei Ling dalam keluarga itu).Untuk menyediakan alasan yang wajar tentang ahli keluarga ini yang mampu bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik, maka didatangkan ibu Harith, wanita Inggeris dari Yorkshire, England yang pekat loghatnya.

Maka kita dapat melihat bentuk keluarga ini yang tidak terikat dengan tradisi Melayu, berfikiran terbuka dan yang membacakan puisi sebelum makan.

Namun dalam Yasmin menggambarkan sebuah keluarga moden yang terbuka dan melampaui batas kaum, satu perkara yang konsisten dalam filem Yasmin adalah nama-nama watak utama wanitanya tetap mengambil nama Melayu yang tradisi iaitu Melur, Mawar dan Melati yang diambil dari nama bunga sepertimana orang Melayu dahulu.

Dalam filem-filemnya yang terdahulu Yasmin menggunakan nama Orkid. Hal ini memberikan gambaran bahawa dalam keluarga yang terbuka dan punya kecenderungan Inggeris, tetapi masih diikat dengan budaya dan tradisi Melayu yang kukuh.

Tetapi dua buah keluarga lagi diberikan gambaran sebaliknya. Keluarga Hafiz dan Mahesh adalah sebuah keluarga tipikal masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan berbagai masalah, suram dan hampir menemui kemusnahan.

Keluarga Hafiz (Mohd. Shafie Naswip) adalah gambaran keluarga Melayu yang berpecah dan melalui masa-masanya yang suram. Wajah Hafiz adalah wajah yang suram walaupun dia sebenarnya bijak dan cukup berbakat.

Bapa Hafiz meninggalkan ibu Hafiz, Embun (Azean Irdawaty) ketika Hafiz masih dalam kandungan dan kini ibunya sedang bertarung dengan maut akibat menderita ketumbuhan otak.

Bukan itu sahaja, di sekolah Hafiz dicemburui oleh rakannya berketurunan Cina, Kahoe (Howard Hon Kahoe). Yasmin memberikan gambaran tipikal tentang kaum ini yang sukar menerima kekurangan tetapi diseimbangkan dengan gurunya Encik Tan yang bersifat toleransi dan akrab pula dengan seorang guru Melayu, Anuar.

Keluarga Mahesh (Mahesh Kishor) juga tidak jauh bezanya dengan Hafiz, yang berdepan dengan kehidupan yang suram dan masalah yang tersendiri.

Mahesh yang bisu dan pekak berhadapan dengan ibunya (Sukania Venugopal) yang hidup dengan penyesalan kerana gagal memahami adiknya , Ganesh yang menyintai seorang gadis dari keturunan India Muslim.

Apabila Ganesh mati akibat pergaduhan dengan jirannya, keluarga ini hidup dalam trauma dan menjadikan si ibu tambah derita.

Tetapi Yasmin sebenarnya tidak membiarkan trauma dan penderitaan berterusan dalam keluarga ini. Mahesh mempunyai Melur dan keluarganya yang cuba memahami penderitaan mereka.

Begitu juga Embun yang menderita sakit, cuba digembirakan oleh Ismail (Jiid Murad) si pesakit misteri di hospital tersebut.

Kesemua perca-perca kehidupan keluarga ini diikat melalui hubungan persahabatan antara Melur, Mahesh, Hafiz dan Kahoe.

Perca-perca kehidupan ini bagaikan memori buat Yasmin kerana Talentime yang sengaja dibezakan ejaan "n" dengan huruf kecil membawakan maksud kisah dan masa, dan bukan hanya tentang pertandingan bakat nyanyian di kalangan para pelajar di sekolah tersebut.

Hal ini kerana cara filem ini dimulakan dengan adegan petikan suiz lampu yang menyalakan lampu kelas dan kemudian syot koridor sekolah dan tingkap yang terbuka dengan lambaian daun ditiup angin dan kemudian filem ini ditamatkan dengan petikan suiz lampu yang memadamkan bilik darjah yang tinggal kerusi-kerusi kosong adalah gambaran sebuah perjalanan kenangan yang datang dan kemudian pergi.

Imej-imej dalam filem ini seakan membawakan period dekad 70-an kecuali penggunaan komputer yang membawa imej kemodenan. Bandar Ipoh yang menjadi latar filem ini sendiri masih banyak tidak berubah fasadnya yang masih mengekalkan bangunan-bangunan lama.

Kekuatan Talentime selain alur cerita dan lagu-lagunya yang penuh emosi, dilengkapkan oleh kecermerlangan pelakonnya terutama Mohd. Syafie Naswip, Sukania Venugopal, Jacklyn Victor (penampilan yang hebat sebagai Bhavani kakak Mahesh) dan Mahesh Kishor.

Biarpun filem ini tidak memaparkan aksi dramatik secara fizikal tetapi konflik emosi yang dipaparkan oleh Sukania, Mahesh, Azean dan Syafie Naswip sudah cukup menggetarkan.

Apabila ada ruang, Yasmin nampaknya tidak lupa menjentik masyarakat tentang realiti hubungan kaum dan sifat kepura-puraan seperti dialog antara Hafiz dan Kahoe, guru yang mengelat semasa mengundi sedangkan pelajar diingatkan tidak menipu serta persoalan nama orang Islam dan agama.

Seperti filem-filemnya terdahulu, dalam filem Talentime, Yasmin terus memperlihatkan keyakinan terhadap satu bentuk keluarga dan hubungan masyarakat Malaysia. Dan secara halus pula dia mengkritik realiti dan permasalahan dalam hubungan tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

#370. Cerita Keluarga Yang Mengasyikkan

Jaclyn Victor menampilkan lakonan mantap dalam filem Talentime

Filem: Talentime
Pengarah: Yasmin Ahmad
Pelakon: Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Mohd Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong, Sukania Venu Gopal dan Susan Chong
Genre: Drama & Romantik
Tarikh tayangan: 26 Mac 2009

JIKA anda penggemar karya pengarah Yasmin Ahmad, mungkin filem Talentime patut ditonton dan hayatilah sendiri di sebalik apa yang mungkin boleh dilabelkan sebagai cap dagangnya selama ini.

Hasil manifestasi pengarah ini penuh dengan aspek kemanusiaan seperti cinta yang paling asas perlu ada dalam setiap manusia. Malahan paksi majmuk seperti filem terdahulunya masih dikekalkan.

Ingat lagi anda pada cinta gadis Melayu dan lelaki Cina menerusi filem Sepet. Buah tangan terbarunya ini sudah ditayangkan sejak Khamis lalu. Ia mengetengahkan cinta versi lelaki India bernama Mahesh lakonan sulung Mahesh Jugal Kishor dan Melur (Pamela Chong, adik kepada Vince AF1), gadis Melayu berdarah campuran Inggeris.

Percubaan sulung Mahesh di layar perak sebagai lelaki bisu mungkin dilihat agak senang kerana tidak perlu berdialog atau menghafal skrip. Namun, lakonannya masih boleh dianggap membanggakan kerana biarpun tanpa sebarang pengucapan dialog, mainan emosi tetap perlu dijaga kesinambungannya.

Lakonan Pamela pula dianggap biasa saja. Dia kadang-kadang dilihat sebagai gadis yang memberontak tidak tentu fasal. Namun begitu, ia masih dianggap permulaan yang baik kepada Pamela.

Paling mengesankan ialah lakonan sulung juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor yang nampaknya patut diberi perhatian. Nampaknya ada sisi lain yang sudah mula diserlahkan penyanyi bersuara lantang ini. Memegang watak Bhavani, bakat lakonannya berjaya dibentuk dengan baik oleh Yasmin.

Dalam filem ini, Jaclyn memikul tanggungjawab sebagai kakak yang sangat menyayangi adiknya iaitu Mahesh. Disebabkan keadaan adiknya, Bhavani cuba mengelak soal perkahwinan seperti mana yang dikehendaki oleh ibunya. Lakonannya memang nampak bersahaja. Bahkan pertuturannya dalam bahasa Tamil atau bercakap bahasa Melayu dengan pelat Tamil, membuatkan kita terlupa seketika bahawa itu adalah Jaclyn.

Seperti kebiasaan Yasmin masih mengekalkan pelakon yang selalu muncul dalam setiap naskhah skripnya contoh seperti Adibah Noor, Harith Iskander, Ida Nerina termasuk Mohd Syafie Naswip yang dipuji lakonannya oleh Azean Irdawaty.

Rentak jalan cerita yang indah ini dicacatkan sedikit dengan babak Melur tidur sebantal dengan Mahesh di ruang tamu. Ia sebenarnya sangat kontras dan tiada ada apa alasan kukuh mengapa ia perlu diadakan. Ini kerana emak Melur digambarkan sebagai seorang ibu yang alim dengan pegangan Islam, manakala Mahesh pula adalah seorang lelaki yang tidak ada masalah untuk pulang ke rumahnya.

Entah kenapa Yasmin perlu menyelitkan babak tidak perlu ini, apatah lagi secara realitinya adegan itu tidak molek untuk dipaparkan.

Aspek lain yang cukup menarik perhatian ialah lagu latar yang menghiasi filem ini terutamanya lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Sekali pandang, filem ini saling tak tumpah seperti filem Bollywood yang sinonim dengan adegan air mata dan meruntun jiwa. Ada adegan yang mungkin membuatkan air mata anda akan jatuh tertumpah.

Meneliti bait-bait lirik ini yang diterjemahkan dalam sari kata bahasa Melayu, ia cukup melankolik dan indah susunan bahasanya. Tidak dilupakan hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo. Hasil ciptaannya dipersembahkan cukup baik oleh kedua penyanyi tanah air kita, Aizat dan Atilia.

Sumber : Berita Harian

Baca Sepenuhnya...

Jumaat, Mac 27, 2009

#343. The Best Yet From Yasmin

BRING tissues. Lots of them. For this is perhaps the most powerful display of love, loss and forgiveness of all of Yasmin Ahmad’s emotionally-charged movies.One particular scene is so achingly raw that you feel you are right there with your heart torn to shreds, wondering how you can go on with your life when the person you love so much is taken away from you. The pain is real that tears start to flow.

Let’s not divulge more into that scene, executed brilliantly without the unnecessary melodrama and cheesiness usually seen in local films. Suffice it to say that the talents — mostly newcomers to the celluloid world — did a decent job in this family musical. Jaclyn Victor and Mahesh Jugal Kishor demonstrate huge potential with their untapped talents. Their performances as brother and sister Mahesh and Bhavani are effortless, natural and so likeable that you’d want to hug them.Renowned theatre actress Sukania Venugopal (you’d remember her unforgettable performance as Bayan in the first season of Puteri Gunung Ledang the Musical) plays the siblings’ mother who is a victim of tragic circumstances.

Sukania’s performance is of high standard and although it seems an act tough to follow, the bar that she has raised in this film is reflected by dazzling performances from the newcomers.

Love forms the backbone in this movie — between family members, lovers as well as teachers and their students.

Talentime goes behind the story of three families, all inter-connected through a talent competition helmed by a no-nonsense teacher Cikgu Adibah (played by Adibah Noor) at a secondary school in Ipoh.

Taking part in the musical event is the bubbly Melur (Pamela Chong), who comes from a non-conventional Malay-English parentage; introverted Mahesh (Mahesh), who hails from a traditional Indian family; and a straight-A Malay student Hafiz (Mohd Shafie) with a dying mother (Azean Irdawaty).

Each of the families has its own story that eventually intertwines to form a bigger picture in the end.

Running in tandem to this is a subplot on the school teachers with their romantic dreams, aspirations and antics.

True to the traditional Yasmin storytelling ways, there’re elements of hope, optimism, dreams, family dynamics and faith — all connected to form a solid base without coming across sounding too preachy and pretentious.

Yasmin scores without saying much, although there are times that she seems to spell things out to get her points across.

It’s better not to read too much into it, but if you do you’d soon realise how superficial they are in the grander scale of things that the film eventually brings.

Social commentary and race relations are treated with subtle tongue-in-cheek humour, biting earnestness and cynicism, all the while keeping the good faith that there is always a rainbow after the torrential rain.

Funny, heartfelt and entertaining, the movie has dialogues in Malay, English (Yorkshire accent, in some) and Tamil, but what really pierced the heart was when no word is spoken.

Executed in that signature style synonymous with great Hindi love stories, it is both poetic and powerful. It is the same reason why you wept uncontrollably during Mann and Devdas, with the achingly beautiful Hindi number O Re Piya (from the 2007 movie Aaja Nachle) playing in the background.

Source : The New Straits Times

Baca Sepenuhnya...

#342. Manifestasi Yasmin Terhadap Perpaduan

FILEM Yasmin Ahmad? Secara peribadi, saya harus mengakui kekaguman saya terhadap, kerja-kerja seni sentuhannya. Rasional saya sangat mudah. Yasmin merupakan antara sutradara negara yang berjaya memberi nafas baru dalam sinema tempatan.Katalah apa sahaja kepadanya kerana ia sedikit pun tidak mampu merobah pendirian saya terhadap karya seninya yang banyak mencabar minda untuk memikirkan apa yang tersirat di dalam setiap filemnya.

Bermula dengan filem Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin semuanya memberikan pendekatan yang berbeza dan seorang yang bijak seperti Yasmin, dia tidak akan mengitar semula filem-filemnya.Begitu juga dengan pengisian filem Muallaf yang saya sifatkan begitu berani dan sempat saya menontonnya tahun lalu.Sehingga kini kedudukannya filem itu menjadi tanda tanya di Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Lupakan seketika soal Muallaf meskipun filem tersebut mendapat sambutan di luar dugaan sewaktu di tayangkan di Singapura tidak berapa lama dulu (khabarnya di ulang tayang atas permintaan yang tinggi terhadap filem tersebut).Kerana apa yang lebih penting kini adalah perjuangan Yasmin yang tiada kesudahan dalam usahanya untuk melahirkan filem berjiwa Malaysia yang sudah lama tidak saya nikmati menerusi filem-filem tempatan.

Naskhah terbaru Yasmin, Talentime terbitan Chilli Pepper Film untuk Primeworks Studios Sdn. Bhd., akan mula menemui penonton filem tempatan mulai esok (26 Mac).

Judulnya sahaja sudah menarik perhatian saya untuk menyelami dan menyelongkar apa yang cuba diketengahkan oleh Yasmin.

Hampir dua jam menikmati santapan enak yang disediakan Yasmin, saya cukup kagum hasil karya Yasmin kali ini. Tidak keterlaluan dikatakan, inilah filem terbaik Yasmin setakat ini.

Bukan itu sahaja, pada hemat saya, inilah juga satu-satunya filem tempatan terbaik setakat tiga bulan pertama tahun 2009 membuka tirainya.

Bukan sengaja mahu memuji melangit, tetapi, Talentime cukup segala rencahnya untuk diangkat sebagai sebuah filem Malaysia yang tidak perlu memaksa penonton untuk memahami intipati dan jalan cerita Talentime kerana aliran cerita ini cukup lancar.

Ikatan Talentime disimpul dengan cukup rapi dan kemas kerana kesemua elemen yang terkandung di dalamnya dijalin dengan begitu baik sekali serta seimbang.

Ada ketikanya anda akan ketawa tetapi sampai ke satu tahap, anda akan merasai pula kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh karakter utama dalam filem ini sehingga air mata yang tertahan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan.

Selain daripada cerita dan lakon layar yang mantap, kekuatan dan kelebihan Talentime terletak pada kekuatan para pelakonnya meskipun sebahagian daripadanya merupakan pelakon baru yang masih lagi mentah dalam dunia lakonan.

Sememangnya Yasmin begitu bertuah kerana dikelilingi oleh barisan pelakon yang hebat dan bukannya calang-calang nama membintangi Talentime.

Nama-nama seperti Azean Irdawaty, Sukania Venugopal, Harith Iskander, Mislina Mustaffa, Adibah Noor, Ida Nerina dan Jit Murad (walaupun tampil hanya seketika) telah memberikan impak yang besar menerusi filem ini selain daripada lakonan berkesan pelakon baru seperti Mohd. Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor, Jaclyn Victor, Pamela Chong dan Elza Irdalynna.

Ini sendiri diakui Yasmin tatkala diajukan soalan tentang pandangan peribadinya terhadap filem keenam arahannya itu.

"Memang saya begitu bertuah dan saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang cukup hebat untuk menghidupkan Talentime. Sudah lama saya mahu bekerja dengan Azean, Jit dan Sukania yang memang saya hormati dan kagumi dengan bakat mereka.

"Begitu juga dengan pelakon baru yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup hebat membuatkan saya tabik dan percaya mereka adalah bakat pelapis di negara ini.

"Apabila mereka bersetuju untuk berlakon dalam filem Talentime, ia adalah satu penghormatan tertinggi buat diri saya. Maka dengan itu, tiada apa lagi yang mampu saya lafazkan," kata anak kelahiran Muar, Johor itu penuh makna.

Menyaksikan Talentime, ceritanya akan membuatkan kita terus memikirkan tentang realiti hidup yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Di kala polemik dan permainan politik tentang agama, budaya dan latar belakang yang hebat diperkatakan kini dalam masyarakat di negara ini, kehadiran Talentime dilihat sebagai cukup tepat.

Ini kerana ia merupakan manifestasi terhadap perpaduan dan kemasyarakatan menerusi watak yang dibawakan oleh golongan remaja selaku pewaris negara di masa hadapan.

"Memang itu tujuan saya sebenarnya. Saya mengangkat tema tentang pencarian bakat baru di sebuah sekolah sebagai latar ceritanya tetapi Talentime adalah lebih daripada itu.

"Saya mahu mengetengahkan nilai persahabatan itu sebenarnya mampu terjalin dengan baik tanpa mengira bangsa dan agama walaupun ada ketikanya, kita akan berdepan dengan situasi serta masalah yang mampu menggugat jalinan itu.

"Tetapi, ia berbalik kepada diri kita sendiri bagaimana untuk menguatkan kembali perhubungan itu tanpa melibatkan sebarang pergaduhan mahupun pertumpahan darah," jelas Yasmin panjang lebar.

Mengenali Yasmin, setiap kali filemnya ditayangkan akan timbul provokasi sehingga mencetuskan kontroversi dan polemik yang dicipta oleh 'musuh-musuhnya' sehingga menjadikan ia satu perkara yang memualkan.

"Saya buat filem dari hati yang tulus dan saya mahu orang menontonnya mendapat mesej yang berguna daripadanya.

"Kalau Talentime dijadikan kontroversi, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

"Kalau penonton saya terhibur, menangis dan ketawa, itu sudah cukup baik dan membuatkan saya gembira," katanya penuh makna.

Elemen cinta dan kekeluargaan juga tidak dapat lari daripada filem-filem Yasmin dan kali ini, dia mengangkat kisah cinta seorang pemuda India yang cacat pendengaran bernama Mahesh (lakonan Mahesh) dengan seorang gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur yang dijayakan oleh Pamela.

Cinta Mahesh dan Melur digambarkan Yasmin begitu luhur dan suci walaupun mendapat tentangan hebat oleh ibu Mahesh yang dilakonkan Sukania yang memberikan persembahan yang cukup cemerlang.

Biarpun kehadirannya hanyalah untuk beberapa adegan sahaja, namun kesannya sangat besar.

Kelainan yang dibawakan Yasmin kali ini juga terletak kepada rangkaian lagu-lagu indah dan mesra telinga ciptaan Pete Teo yang disenandungkan Aizat dan Atilia yang 'meminjamkan' suara mereka kepada Syafie dan Pamela.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Talentime kerana saya mahu anda pergi ke pawagam, tonton dan menilainya sendiri kerana saya percaya, setiap wang yang anda laburkan pastinya berbaloi.

Talentime akan membuatkan anda bangga kerana masih lagi ada anak tempatan yang berpijak di bumi nyata tatkala kebanyakan filem tempatan hanyut dengan pengisian serta pendekatan yang tidak mampu mencerminkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Mac 24, 2009

#327. Cinema : Bawa tisu saksi Talentime

Filem papar aspek kemanusiaan arahan Yasmin pasti meruntun jiwa penonton

LATAR lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan cukup menyentuh perasaan kala menonton buah tangan terbaru, Yasmin Ahmad menerusi filem Talentime. Kala meniti bait lirik lagu ini di dalam terjemahan bahasa Malaysia semasa pratonton filem itu minggu lalu, ternyata ia cukup membuai rasa. Seakan menonton filem Bollywood yang cukup sinonim dengan drama air mata. Sebaiknya, kalau merancang untuk menonton filem ini mungkin seelok-eloknya pastikan ada tisu di tangan.

Malah lagu lain yang melatari filem ini cukup mengesankan termasuk dendangan lagu daripada Aizat dan Atilia hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo. Sentuhan pengarah yang cukup kontroversi ini seperti biasa cukup meruntun jiwa malah berpaksikan aspek kemanusiaan yang begitu dekat di hati kita. Dalam hilai tawa mengecapi kegembiraan pasti terselit kedukaan yang tak terduga.

Kata Yasmin, idea menggunakan lagu Ore Piya itu tidak dirancang dan berlaku secara kebetulan. Menurut pengarah Rabun dan Sepet itu, ia diumpamakan seperti rezeki terpijak yang sudah ditetapkan berada di depan kita. Malah menerusi Talentime, Yasmin buat pertama kalinya dapat bekerjasama dengan pelakon pujaannya, Azean Irdawaty.

“Kita selalunya merancang, Tuhan juga menentukan. Begitu juga dengan kesudahan filem ini dan filem saya yang sebelum ini yang berakhir tidak seperti yang dirancang awal sebagaimana tertulis dalam skrip. Saya menulis skrip berdasarkan pengalaman dan ia ada kalanya mungkin pernah dilalui kita sendiri. Kalau filem ini mendapat sambutan, alhamdulillah. Niat yang baik insya-Allah akan disusuli dengan perkara baik.

“Saya bangga dapat bersama dengan krew dan pelakon produksi filem ini biarpun hanya bersama 12 hari untuk menjalani penggambaran di Ipoh. Tapi sebelum itu selama dua bulan, pelakon yang terbabit menjalani latihan berlakon termasuklah sesi mengolah dan menukar skrip pada saat akhir.

“Rezeki saya untuk bekerjasama dengan pelakon hebat juga bagaikan rahmat. Termasuklah dengan dua bintang yang saya sudah lama nantikan iaitu Kak Yan (Azean Irdawaty) dan Jaclyn Victor. Begitu juga dengan Syafie Naswip yang saya rasakan antara pelakon pelapis tempatan yang boleh menjadi yang terbaik suatu masa nanti. Kak Yan sendiri memuji kemampuan pelakon muda itu,” kata Yasmin Ahmad sewaktu sidang media filem ini diadakan.

Filem yang dipersembahkan Primeworks Studios melalui pembabitan Chilli Pepper Film ini bakal menemui peminat wayang tempatan mulai 26 Mac ini. Dibintangi pelakon baru dan lama termasuk Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong, Adibah Noor, Sukania Venu Gopal, Susan Chong, Mislina Mustaffa dan Harith Iskander, ternyata satu paduan hebat yang terus membuatkan filem ini mengalir dengan jalur yang tersendiri.

Selain kehebatan Shafie Naswip yang cukup sinonim menerusi filem Mukhsin arahan pengarah yang sama, percubaan sulung penyanyi, Jaclyn Victor tidak mengecewakan. Pelakon baru, Mahesh yang diperkenalkan Vernon Kedit Jolly cukup baik melakonkan watak lelaki bisu.

Ditanya kepada Yasmin sendiri apa yang dititik beratkan dalam mendapatkan pelakon yang diimpikan bagi merealisasikan naskhah skripnya, jawabnya ialah karisma.

“Sebagai contoh, letak saja Harith Iskander di depan kamera dia ada perasaan semula jadi untuk menarik minat orang menonton lakonannya. Sesetengah pengarah mungkin memandang kebolehan seseorang pelakon untuk membuat penyelidikan watak yang diberi, tapi saya tekankan soal karisma.

“Saya belajar perkara ini daripada seorang pengarah dari Chekolosvakia bernama Jiri Menzel. Karisma ini tidak dibuat-buat, ia mungkin datang secara semula jadi. Sharifah Amani juga mempunyai ciri apa yang disebut tadi kerana kehadirannya dalam sebuah babak mampu membuat orang terpana,” katanya yang turut dibantu pelakon Sharifah Amani sebagai pembantu pengarah.

Seperti kebiasaan filem terdahulu, Yasmin begitu tegar memaparkan jalinan pelbagai bangsa yang ada di Malaysia. Jika di dalam Sepet dijelmakan cinta antara orang Melayu dan Cina, Talentime pula melihat versi cinta lelaki India bernama Mahesh dan Melur, gadis Melayu kacukan Inggeris. Mahu atau tidak, ini mungkin cap dagang atau label Yasmin Ahmad sendiri. Dalam erti kata lain, inilah cara Yasmin yang setia mengetengahkan paksi majmuk.

Pelbagai mesej yang cuba disampaikan Yasmin di dalam filem ini termasuklah erti persahabatan dan cinta yang begitu dekat dengan sesiapa saja yang bergelar manusia. Begitu juga kasih sayang seorang anak terhadap ibu yang sedang berperang dengan kesakitan. Cinta si bisu dengan manusia sempurna yang memberi simbolik kepada cinta hadir secara diam dan tanpa kata-kata. Pertemuan mereka mula berputik dalam satu pertandingan mencari bakat di sekolah yang dipanggil sebagai ‘talentime’.

Filem ini juga dicalonkan untuk Anugerah Signis di Festival Filem Hong Kong pada 22 Mac ini. Kata Yasmin, pertandingan talentime itu hanyalah subjek yang pada dasarnya bukanlah hanya kepada bersaing sesama sendiri untuk menjadi juara. Katanya lagi, ia lebih daripada itu sebagai contoh dalam mengenal erti persahabatan yang tidak boleh dijual beli.

Filem terakhir Kak Yan?

SEMENTARA itu, Kak Yan yang mengidap penyakit barah payu dara bangga dapat berlakon di bawah arahan Yasmin Ahmad buat julung kalinya. Dengan keadaan dirinya yang tidak mengizinkan hingga terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, pelakon berbakat besar ini belum pasti bila lagi dia akan kembali berlakon.

Malah, jika ditakdirkan tidak boleh berlakon lagi, Kak Yan tetap boleh tersenyum dan berpuas hati mengatakan filem Talentime bakal menjadi filem terakhirnya. Berkongsi pengalaman bekerja di bawah seliaan Yasmin Ahmad, Kak Yan memberitahu dia menerima tawaran Yasmin tanpa banyak soal.

“Kebiasaannya Kak Yan kalau menerima tawaran berlakon pelbagai soalan akan ditanya. Kak Yan memang cerewat bab ini termasuklah bertanya siapa pengarah, pelakon, pengangkutan, makanan, tempat tidur dan berapa hari penggambaran memakan masa. Kalau ada 71 soalan, soalan yang terakhir barulah Kak Yan sentuh mengenai bayaran.

“Berlainan dengan Yasmin, dapat saja tawaran Kak Yan terus cakap setuju tanpa tengok skrip langsung. Kalau dia (Yasmin) cakap dia tergila-gilakan Kak Yan untuk diambil berlakon, Kak Yan pun tertunggu-tunggu peluang berlakon di bawah arahannya.

“Cuma apa yang Kak Yan minta untuk filem ini ialah dapat disesuaikan dengan keadaan Kak Yan yang tak mengizinkan. Dia memahami dan hanya sehari saja babak membabitkan Kak Yan diselesaikan membabitkan babak di atas katil dan kerusi roda. Di set penggambaran, Kak Yan dilayan bagaikan primadona,” katanya sambil tersenyum, sambil memberitahu pengarah Shuhaimi Baba yang menonton filem ini sewaktu pratonton kali pertama diadakan turut memuji mutu lakonannya.

Sumber : Berita Harian

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP