Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Akhbar Utusan Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhbar Utusan Malaysia. Papar semua catatan

Rabu, Mac 04, 2009

#201. Isu : Geng perlu pembelaan di pawagam

GENG: Pengembaraan Bermula merupakan filem yang sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

GENG: Pengembaraan Bermula (Geng) merupakan filem animasi pertama yang berjaya mencipta fenomena dalam industri perfileman tanah air.Buktinya, filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., (LCPSB) itu merupakan filem tempatan termahal dengan kos hampir RM4 juta.Malah, sejak ditayangkan pada 12 Februari lalu di pawagam-pawagam seluruh negara, Geng berjaya mengaut kutipan tiket lebih RM4 juta.Difahamkan kebanyakan tiket tayangan filem itu pada hujung minggu juga habis dijual walaupun adakala jumlah tayangannya tujuh kali sehari!

Ada juga pawagam yang terpaksa menambah jumlah pawagam kerana tidak mampu menampung bilangan penonton yang bertambah.Filem arahan Mohd. Nizam Abd. Razak itu berjaya membuatkan tauke pawagam-pawagam tersenyum lebar kerana sambutan diluar dugaan itu.Namun agak menghairankan ketika sambutan Geng semakin hangat,pihak pawagam kononnya dikatakan mahu menarik tayangan filem tersebut.Antara alasan tidak masuk akal yang diberi kerana mereka mahu 'memberi laluan' kepada banyak filem lain termasuklah filem tempatan dan asing.

Persoalannya, mengapa perlu ditarik tayangan filem yang sedang mendapat sambutan ramai berbanding filem lain yang mereka belum pasti untungnya?

Biasanya filem tempatan yang melalui Skim Wajib Tayang dan bermasalah kalau tayangannya di pawagam selama 14 hari tidak mendapat sambutan para penonton.

Ini kerana, pihak pawagam boleh menarik tayangan sesebuah filem itu jika sambutannya dingin dan akan digantikan pula dengan filem lain.

Bagaimanapun, dalam kes Geng ia terbalik kerana biarpun sambutannya hebat tetapi tayangannya pula mahu ditarik kerana alasan yang tidak logik itu.

Secara logiknya, pawagam tentulah akan memanjangkan tayangan sesebuah filem jika sambutannya baik kerana ia akan menguntungkan mereka.

Dalam kes ini, seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena apabila masalah seperti itu timbul kerana ia jarang-jarang berlaku dalam industri perfileman tempatan.

Pihak-pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) haruslah tampil ke depan bagi membantu masalah yang sedang dihadapi oleh filem seperti Geng.

Sebabnya, bukan selalu filem tempatan seperti Geng mencipta fenomena dengan mengalahkan kutipan tiket filem-filem hebat dari luar negara.

Geng misalnya, mengutip kutipan tiket RM1.75 juta pada minggu pertama tayangannya mengalahkan filem Hollywood seperti Valkyrie.

Dimaklumkan, Geng turut menewaskan filem seperti The Curious Case of Benjamin Button dan Slumdog Millionaire yang turut ditayangkan serentak ketika itu.

Apa pun tahniah kepada Finas kerana mewujudkan Skim Wajib Tayang selama 14 hari kepada filem-filem tempatan untuk dipatuhi oleh pihak pawagam.

Tetapi nampaknya ia masih belum memadai dan Finas harus mengemaskini skim itu supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa.

Finas misalnya, boleh menambah peraturan skim itu dengan mensyaratkan pihak pawagam melanjutkan tayangan filem jika sambutannya baik.

Lanjutan tayangan itu boleh diberi kepada filem yang berjaya menarik lebih 30 peratus penonton ke pawagam selepas sahaja tempoh Skim Wajib Tayang tamat.

Senario itulah yang berlaku kepada Geng kerana biarpun selepas 14 hari ditayangkan, tetapi filem animasi itu terus mendapat sambutan hebat para penonton.

Biarpun selepas tamat Skim Wajib Tayang, namun filem itu masih mampu menarik lebih 30 peratus penonton dalam kapasiti sesebuah pawagam ketika ia ditayangkan.

Selain Finas, persatuan seperti Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) juga sepatutnya tampil ke depan membantu Geng.

PFM mahupun Finas seharusnya campur tangan membela filem Melayu seperti Geng dan berdepan dengan pihak pawagam supaya masalah itu dapat diatasi.

Tindakan segera perlu diambil kerana filem edaran Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu mampu meraih kutipan tiket lebih RM5 juta dalam waktu terdekat ini jika ia terus ditayangkan.

Jika tidak, ia bukan sahaja akan merugikan pihak penerbit seperti LCPSB dan pawagam daripada segi kutipan tiket yang bakal mereka raih.

Malah, para peminat watak popular Upin dan Ipin dalam filem itu juga akan berputih mata kerana masih ramai lagi yang belum menontonnya di pawagam.

Sumber :
Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Mac 03, 2009

#191. Berita Filem : Jalan kaki 10km kerana AFP

PARA pemenang utama Anugerah Filem Pendek 2008/2009 (dari kiri) Shuhaimi Zulkefli, Farizie Morinding dan Christopher Low.

DARIPADA lebih 120 peserta yang menyertai Anugerah Filem Pendek 2008/2009 (AFP 2008/2009), Farizie Morinding memang layak muncul juara pertandingan anjuran Astro Kirana itu.

Sebabnya, pengarah berasal dari Ranau, Sabah ini telah mengharungi pelbagai dugaan untuk menyertai pertandingan itu sebelum filem arahannya berjudul Odoi Odu (Oh Grandma) muncul juara pertandingan tersebut. Menurut Farizie, dia berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) dari kampungnya di pedalaman Sabah semata-mata untuk mengepos penyertaan filem pendek arahannya itu.

"Saya terpaksa berjalan kaki keluar dari kampung saya di Ranau untuk ke stesen bas bagi mengirim filem pendek arahan saya itu menggunakan pos laju pada Januari lalu.

"Semuanya bermula pada awal pagi selepas saya habis mengedit filem pendek saya itu pada tengah malamnya," cerita Farizie pada sidang media selepas berakhirnya anugerah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas pemuda keturunan kaum Dusun ini, dia turut melalui pelbagai kesukaran termasuklah tidak mempunyai peralatan seperti komputer untuk menghasilkan Odoi Odu (Oh Grandma).

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini, terpaksa meminjam komputer rakannya bagi melakukan proses suntingan filem pendeknya itu.

"Untuk menerbitkan filem itu, peralatan yang saya ada hanyalah sebuah handycam (camera tangan) yang saya beli dengan harga RM1,500 pada 2003. Sehingga kini handycam itu tidak pernah rosak.

"Tetapi saya tidak mempunyai komputer dan terpaksa pinjam daripada seorang kawan. Mula-mula kawan saya itu tolong edit (sunting) tetapi selepas itu dia melarikan diri.

"Begitu juga dengan seorang lagi kawan saya juga melakukan perkara yang sama menyebabkan saya terpaksa membuat plan a, b dan c. Ketika itu, saya hampir-hampir putus asa dan patah hati. Saya duduk di suatu tempat mencari kekuatan dan melihat kelemahan diri," katanya.

Halangan-halangan itu tidak mematahkan semangat Farizie, sebaliknya beliau terus bangkit sehingga akhirnya beliau bertemu dengan seorang kawan lama yang mempunyai sebuah komputer riba di kampungnya.

Berkat sabar, bertawakal kepada Allah dan menggunakan sepenuhnya bakatnya dalam bidang pengarahan yang dipelajarinya sewaktu di UiTM, Farizie kemudiannya berjaya menyiapkan proses suntingan filem pendeknya itu.

"Kebetulan ketika itu saya bertemu dengan seorang kawan lama yang sudah hampir 10 tahun tidak jumpa. Dengan menggunakan laptop (komputer riba) miliknya saya melakukan proses editing (suntingan).

"Kaedah yang saya gunakan sangat basic (asas) iaitu hanya dengan menggunakan perisian Windows Movie Maker. Masa editing itu pula malam Jumaat. Selepas habis editing sudah tengah malam.

"Saya terpaksa pulang ke rumah dengan melalui kawasan kubur. Ketika itu saya bertawakal sahaja kepada Allah kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lenggan. Keesokan paginya barulah saya mengepos filem saya itu untuk menyertai anugerah ini," ujarnya.

kisah sedih

Odoi Odu (Oh Grandma) mengisahkan tentang kisah sedih seorang wanita tua yang kematian suami. Dia mendakwa boleh melihat roh suaminya menyebabkan orang kampung menganggapnya gila.

Selain muncul juara AFP 2008/2009, filem arahan Farizie itu turut merangkul tiga lagi anugerah iaitu kategori Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Ketika ditanya rancangannya selepas memenangi geran RM100,000 untuk pembikinan filem pendek seterusnya, anak jati Negeri Di Bawah Bayu itu bercadang untuk menjadikan Odoi Odu 0sebuah sekuel.

"Mungkin kesukaran saya membikin filem ini boleh dijadikan sebuah cerita dalam filem saya yang seterusnya. Saya juga ada rancangan untuk sambung filem ini kerana saya sudah ada skrip baru. Saya akan kekalkan pelakon lama dalam filem itu nanti," jelasnya.

Selain Farizie Morinding, AFP 2008/2009 untuk tempat kedua dimenangi filem Mirror arahan Christopher Low dan tempat ketiga pula diraih oleh filem Aku arahan Shuhaimi Zulkefli.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah berkata, anugerah seperti itu bukan sahaja semakin menggalakkan sambutannya.

Malah, anugerah masuk tahun kedua itu juga bukan setakat menggalakkan penyertaan daripada pembikin filem amatur tetapi ia juga terbuka kepada golongan profesional bagi mengetengahkan lebih banyak penyertaan semua pihak.

"Penyertaan anugerah ini terbuka kepada umum dan tiada had kelayakan yang ditetapkan. Filem pendek suatu pendekatan yang berbeza kerana tidak semua pengarah filem profesional yang pernah mengarah filem pendek.

"Lagipun filem pendek tidak sama dengan filem cereka dan mempunyai disiplin tersendiri," katanya yang gembira kerana penyertaan tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

Selain tiga filem tersebut, tujuh lagi finalis yang terpilih ke peringkat akhir AFP 2008/2009 ialah filem Eyefinger, Burp, Satu, Qalam, Permata Bonda, Kalsom, Michelle dan Khilaf.

Selain penyampaian anugerah, ramai artis terkenal turut dijemput mengadakan persembahan seperti kumpulan Meet Uncle Hussain, Bunkface, Nikki, Misha Omar, Saiful Apek, Adam, Aizat dan Stacy.

Sumber :
Utusan Malaysia
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

Baca Sepenuhnya...

#190. Skoop : OTR - Mampukah Dimensi Cinta tarik penonton?

PELAKON utama Dimensi Cinta, Fahrin dan Catriona.

BELUM pun bergerak menjalani penggambaran, filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak yang dianggarkan menelan belanja pembikinan sebanyak RM1.8 juta, sudah 'dirempuh' kontroversi. Berlatarkan kisah benar kehidupan seorang ibu tunggal, kontroversi yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan 'misteri' kehilangan pelakon Hairie Othman.

Dikatakan telah mengambil 10 peratus bayaran sebaik menandatangani kontrak lakonan, Hairie kemudiannya gagal dihubungi oleh pihak produksi untuk dimaklumkan tentang perkembangan penggambaran Dimensi Cinta.

Sebagai jalan penyelesaian, tempat Hairie diganti oleh pelakon kacak, Fahrin Ahmad untuk menggalas watak sebagai rakan bisnes kepada seorang ibu tunggal bernama Raja Soffhie lakonan Catriona Ross yang menjadi latar dalam filem terbabit.

Diaju soalan mengenai perihal Hairie, Pengerusi Harian Inovatif Sdn. Bhd., yang juga penerbit Dimensi Cinta, Raja Lela Raja Shahrom menjelaskan pihaknya sudah berkali-kali cuba menghubungi pelakon itu tetapi gagal.

Malah, ujarnya, notis dan khidmat pesanan ringkas (SMS) juga telah dihantar tetapi pelakon itu berterusan membisu.

"Justeru, kita sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hairie," katanya pada majlis pelancaran Dimensi Cinta di Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dimensi Cinta merupakan kisah benar mengenai liku-liku hidup yang dilalui seorang ibu tunggal bernama Raja Soffhie.

Selepas bercerai, dia merasakan dirinya bebas daripada penjara yang dicipta oleh bekas suaminya, Redhuan.

Perceraian juga membuatkan Raja Soffhie menjadi seorang yang kuat serta tabah sehingga bergelar usahawan berjaya.

Mengulas lanjut, Raja Lela berkata, walau berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang, pihaknya memberi peluang kepada Hairie untuk menjelaskan segala-galanya.

Selain Catriona dan Fahrin, Dimensi Cinta turut dibintangi Awie, Eman Manan, Chaq, Memey Suhaiza, Scha, Adam AF2 dan Zarina AF2.

Filem kerjasama Harian Inovatif dan Sunday 2 Sunday ini menjalani penggambaran selama 25 hari bermula 23 Februari lalu di sekitar Lembang Kelang dan Putrajaya.

Apa kata Eddie Pak?

Sementara itu, Eddie ketika dilontar soalan mengenai perkara tersebut berkata, pihaknya tidak kisah siapakah pengganti Hairie asalkan penggambaran berjalan lancar.

"Sebagai pengarah, saya terima apa yang ada. Saya yakin ia tidak akan menjejaskan perjalanan Dimensi Cinta,'' jelasnya.

Kepada persoalan tentang gandingan Fahrin dan Catriona yang dilihat kurang 'menyengat' dalam memujuk penonton ke pawagam, Eddie memberitahu pihaknya mempunyai alternatif lain untuk membolehkan Dimensi Cinta tampak lebih menarik.

"Fokus utama Dimensi Cinta adalah tentang penderitaan seorang ibu tunggal. Namun, kita ada 'umpan' untuk menarik minat penonton muda menonton dilem ini.

"Untuk itu, kita tonjolkan Adam, Zarina , Memey serta Chaq sebagai remaja yang menganggotai dua buah kumpulan penari hip hop serta shuffle," ujarnya.

Mengenai pemilihan Memey yang kini berhadapan dengan dakwaan khalwat, Eddie berkata, pelakon tersebut seharusnya diberikan peluang untuk terus aktif dalam dunia lakonan.

"Dalam filem ini, Memey bertindak sebagai teman wanita Hanif lakonan Chaq. Hanif adalah anak kepada Raja Soffhie.

Sumber :
Utusan Malaysia
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

Baca Sepenuhnya...

#189. Berita Filem : Filem terbaik kerana nasib atau suratan?

BARISAN pelakon dan krew meraikan kejayaan filem Slumdog Millionaire yang di nobatkan sebagai Filem Terbaik pada Akademi Award ke 81 di Hollywood, Isnin lalu.

Filem ini memeranjat semua orang. Tiba-tiba sahaja menjadi sebutan dan sambutan yang hebat di seluruh dunia. Setelah memenangi filem terbaik di Anugerah Globe, Slumdog Millionaire dicalonkan untuk 10 kategori di Anugerah Akademi ke-81 iaitu hanya satu pencalonan di belakang filem Ghandhi (Richard Attenborough) dan A Passage to India (David Lean).

Seperti yang telah diketahui Slumdog Millionaire memenangi lapan Anugerah Akademi, antaranya untuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik. Pencapaian ini menyamai rekod yang dimenangi oleh Ghandhi. Apa yang menarik ketiga-tiga filem tersebut yang berlatarkan India memenangi anugerah filem terbaik dan kesemuanya diarahkan oleh pengarah British.

Jadi, apakah menjadikan filem ini filem terbaik? Nasib atau suratan?

Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle (Shallow Grave, Trainsporting & The Beach) dan skrip filem ini diadaptasi oleh Simon Beaufoy daripada novel Q & A tulisan Vikas Swarup. Selain daripada Danny Boyle dan Simon Beaufoy adalah warga Britain yang mengadaptasi sebuah novel India, hampir keseluruhan pelakon dan tenaga produksi filem ini terdiri daripada orang India. Malah pengarah bersama filem ini Loveleen Tandan adalah warga India.

Meromantiskan kemiskinan

Tidak hairan jika filem ini mendapat pelbagai reaksi di kalangan orang-orang India dan malah penonton lain di seluruh dunia. Ada yang melihat Boyle sengaja meromantiskan kemiskinan di India. Tidak seperti dalam filem-filem Hindi yang digunakan sebagai sumber pelarian oleh penonton India daripada masalah kemiskinan yang menghimpit mereka. Bagi Boyle, dia melihat ada tenaga dan semangat yang kuat di sebalik kemiskinan itu. Yang menariknya seperti kebanyakkan filem-filem Hindi, Slumdog Millionaire juga mengangkat watak underdog (golongan miskin dan kelas bawahan yang terpinggir) yang berusaha memenuhi impian dan berjaya meningkatkan kedudukan rendah mereka ketahap yang tinggi. Tiga watak utama filem ini Jamal Malik (semasa kecil dimainkan oleh Azharuddin Mohammed kemudian Dev Patel), Salim Malik (Madhur Mittal) dan Latika (Rubina Ali dan kemudian Freida Pinto) adalah kanak-kanak yang tinggal di kawasan setinggan yang cukup miskin di Mumbai (mereka ini digelar slumdog istilah hybrid daripada perkataan underdog). Jamal (18 tahun) adalah peserta rancangan Who Wants To Be A Millioanaire? versi India, sebuah program kuiz TV yang cukup popular di seluruh dunia beberapa tahun lepas. Jamal menyertai program tersebut hanya untuk menarik perhatian Latika yang telah terputus hubungan dengannya yang diketahuinya adalah antara jutaan yang menggilai program realiti tersebut. Sementara menunggu untuk menjawab soalan terakhir, Jamal ditahan polis (Irrfan Khan) yang mengesyaki Jamal menipu kerana dapat menjawab kesemua soalan walaupun pada satu ketika Prem Kumar (dimainkan oleh Anil Kapoor, hos sebenar program ini di India adalah Amitabh Bachchan dan kemudian Shah Rukh Khan) cuba memberikan tip yang salah. Apakah Jamal menipu atau dia memang seorang yang pintar? Bagi Jamal semua soalan yang ditujukan kepadanya adalah sebahagian daripada kehidupan pahit yang pernah dilaluinya. Setiap soalan yang dikemukakan akan membawa kepada imbas kembali (flashback) kehidupan masa silamnya di kawasan setinggan miskin di Mumbai.

Elemen stereotaip

Plot Slumdog Millioanaire seakan plot filem-filem Hindi. Di satu lapisan filem ini adalah kisah cinta remaja dan perjalanan hidup dua beradik yang berlainan arah kerana keadaan yang kemudian bertemu semula. Doyle mengolah struktur naratifnya dengan elemen komedi, aksi dramatik dan impian romantis heronya dengan segala elemen kemungkinan dan kepastian bagi mencapai impiannya. Dengan latar muzik oleh Komposer terkenal A.R. Rahman, Doyle membentuk tempo filem ini dengan kepantasan dan tenaga yang hebat sepertimana yang pernah dilakukannya dalam Trainspotting. Boyle kemudian kembali kepada elemen stereotaip filem Bollywood diakhir filem ini dengan adegan nyanyian dan tarian ribuan pelakon. Filem ini dapat diterima dan dikongsi oleh ramai orang kerana filem ini mengangkat golongan underdog yang berjaya mengenepikan aturan sosio-politik untuk mencapai impian dan kejayaan.

Slumdog sempat mencipta kontroversi di India kerana dianggap mengeksploitasi kemiskinan. Tetapi yang membezakan filem Hindi dengan Slumdog, filem ini tidak mengangkat cerita sentimental yang dicantikkan untuk menjadi sumber eskapisme sepertimana banyak filem Hindi, sebaliknya filem ini mengangkat subjek yang menjadi realiti dan biasa dengan mereka. Ingat filem City of Joy (1992, Roland Joffe) juga pernah mengangkat isu kemiskinan melarat di Calcutta dan filem dokudrama Salaam Bombay (1988, Mira Nair) yang mengisahkan tentang realiti kemiskinan kanak-kanak jalanan di bandaraya Bombay (Mumbai sekarang).

Tetapi apa yang menarik nasib filem Slumdog ini juga seakan selari dengan nasib Jamal dalam filem Slumdog. Filem berbudget kecil RM54 juta ini dan dianggap filem bebas hampir sahaja diedarkan dalam bentuk DVD. Tetapi kemenangannya di Globe dan Akademi telah menjadikan filem ini perbualan dunia. Hingga perkataan slumdog telah menjadi perbendaharaan Inggeris yang baru.

Sumber :
Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

Sabtu, Februari 28, 2009

#163. Skoop : OTR - Gandingan kedua Sean, Naomi

PROJEK filem biografi tentang kisah seorang agen CIA bernama Valerie Plame Wilson kini semakin menghampiri kemuncak apabila bekas calon Oscar, Naomi Watts sudah pun menyatakan persetujuannya untuk membintangi filem tersebut.Dan, sudah pasti, Naomi akan membawakan watak agen CIA tersebut yang merupakan kisah benar yang diangkat daripada memoir hasil tulisan Valeris sendiri.

Untuk menguatkan lagi filem yang menggunakan judul Fair Game ini, pihak penerbit telah sepakat untuk memilih aktor berwibawa, Sean Penn memegang watak utama dalam filem tersebut di samping Naomi.Jika Sean, yang baru sahaja memenangi Oscar keduanya Ahad lalu bersetuju untuk membintangi filem ini, ia bermakna, gandingan antara dirinya dan Naomi merupakan yang kedua selepas filem 21 Grams.

Dalam filem ini, Sean telah ditawarkan dengan watak sebagai suami kepada Valerie, iaitu seorang duta bernama Joseph Wilson. Fair Game mengisahkan bagaimana seorang agen CIA yang meminta pentadbiran bekas presiden, George W. Bush merahsiakan statusnya setelah suaminya menulis surat terbuka kepada New York Times yang mendakwa pentadbiran Bush telah memanipulasi fakta tentang kewujudan senjata pemusnah di Iraq pada tahun 2003.

Sumber :
28hb Februari, 2009
Utusan Malaysia

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Februari 24, 2009

#140.Menghibur dan mengkagumkan

24hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
A. WAHAB HAMZAH
linto73@yahoo.co.uk


DENGAN premis cerita yang mudah, tetapi dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, kelucuan, seram dan penuh suspens serta elemen emosi, filem animasi 3D, Geng: Pengembaraan Bermula bukan sahaja menarik perhatian penonton kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Filem Geng: Pengembaraan Bermula adalah filem animasi komputer 3D sepenuhnya produksi tempatan yang pertama. Filem terbitan Les' Copaque Production diarahkan oleh pengarah muda Mohd. Nizam Abdul Razak graduan Universiti Multimedia Malaysia dalam usia 25 tahun (filem ini dimulakan ketika usianya 23 tahun), malah sebahagian besar karyawan yang terlibat dalam menghasilkan filem animasi ini masih muda (dalam lingkungan 20-an) dan ini memperlihatkan prospek animasi produksi tempatan yang cukup berpotensi dan luas.

Sebuah filem animasi seperti juga filem-filem dalam genre yang lain perlu bertolak daripada sebuah kerangka skrip yang baik. Dalam sebuah filem yang mengangkat elemen cerita kanak-kanak dan kekeluargaan maka naratifnya lazimnya mengandungi unsur-unsur pengembaraan yang akan berhadapan dengan peristiwa yang tidak terduga yang penuh aksi dan suspens, misteri dan mencemaskan dan malah unsur fantasi. Inilah elemen yang sering digunakan oleh Enid Blyton dalam menghasilkan cerita-cerita pengembaraan yang telah berjaya menarik perhatian ramai pembaca kanak-kanak dan remaja. Filem Geng: Pengembaraan Bermula mengambil pendekatan Enid Blyton dengan kisah dua sahabat baik iaitu Badrol (disuarakan oleh Amir Izwan) dan Lim (suara Kee Yong Pin) bercuti ke kampung Durian Runtuh untuk menemui Tok Dalang iaitu datuk kepada Badrul. Perjalanan pulang ke kampung itu mereka menaiki bas dan apabila bas tersebut bermasalah mereka kemudian menumpang lori yang dipandu oleh Singh dan bosnya, Pak Mail. Di kampung Durian Runtuh mereka bertemu pula dengan watak-watak seperti Muthu, Ah Thong, Salleh atau Sally, nenek, Ros yang merupakan gadis paling jelita di kampung itu dan tiga watak istimewa iaitu Rajoo, Upin dan Ipin.

Badrul dan Lim kemudiannya bersahabat dengan Rajoo (suara Kannan), Upin dan Ipin (suara Nur Fadhiah Diaz) serta Ros (kakak Upin dan Ipin - suara Balkis Fadhullah) dan kumpulan mereka ini kemudian berusaha membongkar misteri hantu durian yang heboh berlaku dan misteri sebuah rumah di kampung tersebut. Misteri yang perlu dibongkar oleh mereka inilah plot yang membawa unsur suspens dan menyeramkan serta elemen adventure yang menarik dalam filem ini. Siapakah sebenarnya hantu tersebut dan mengapa rumah tersebut berhantu? Daripada jejak yang penuh misteri dan kemunculan makhluk aneh yang kelihatan ganas dan menyeramkan dan kejayaan mereka membongkar misteri tersebut berjaya memberikan kesan dramatik yang menarik. Yang terbongkar adalah perbuatan jenayah memburu binatang liar untuk diseludup yang dilakukan oleh orang-orang yang memang mereka kenali tetapi tidak disangka. Sebuah filem animasi perlu mempunyai elemen komedi dan kelucuan yang menarik.

Watak Badrul dan Lim mewakili watak remaja, tetapi kemunculan watak yang ikonik Upin dan Ipin dua budak nakal berkepala botak serta Rajoo yang mempunyai keistimewaan yang cakapnya difahami oleh lembu pedatinya berjaya menyuntik elemen komedi dan humor yang cukup menghiburkan. Apa yang penting watak Upin dan Ipin adalah dua watak yang sudah cukup dikenali oleh khalayak penonton terutamanya kanak-kanak. Dua watak ini juga menjadi faktor utama yang berjaya memikat dan menarik perhatian kanak-kanak dan keluarga mereka ke pawagam.

Dalam sebuah filem animasi yang menarik selain keupayaan animasinya berkomunikasi dengan penonton, ia juga perlu mempunyai elemen spektakular yang mengkagumkan. Dalam Geng, adegan spektakular telah dibentuk dari awal lagi iaitu ketika dalam perjalanan Badrul dan Lim menaiki bas dan lori ke kampung. Tetapi unsur spektakular dan kekaguman lebih menyerlah ketika adegan kumpulan Upin, Ipin, Rajoo dan Oopet perlu menyelamatkan diri daripada buruan ular gergasi dengan menaiki upih berlatarkan hutan tropika dalam gerakan roller-coaster yang pantas dan cukup menarik. Kecantikan hutan tropika dan keindahan waktu malam yang disinari oleh kelip-kelip adalah momen yang mengasyikkan serta original dalam filem ini. Sebuah filem animasi yang berjaya juga perlu mempunyai adegan-adegan yang mampu membangkitkan unsur emosional. Kemunculan watak Oopet seekor binatang comel seakan beruang yang suka makan durian tetapi terpisah dengan ibunya yang telah ditangkap oleh pemburu binatang liar dan kemudian dengan bantuan kanak-kanak tersebut berjaya mempertemukan Oopet dengan ibunya merupakan antara adegan yang menyentuh emosi penonton. Keupayaan membina plot yang disulami antara kelucuan, dramatik dan emosi menjadikan Geng: Pengembaraan Bermula sebuah filem animasi yang cukup menghiburkan. Yang menjadikan Geng lebih menarik adalah kerana filem ini bergerak daripada cerita yang bersifat universal dan diberikan latar sosio-budaya dan lanskap tempatan.

Bagaimanapun apa yang menjadikan filem ini lebih bermakna dan mengkagumkan kita tentulah kerana keupayaan dan kreativiti karyawan muda kita menghadapi cabaran membuktikan kemampuan menghasilkan filem animasi yang mencabar produksi mahal dari Disney dan Pixar. Walaupun dalam kos pembikinan yang relatif kecil RM4juta dan dengan kemudahan teknologi komputer yang terhad mereka mampu melakukan dengan cemerlang. Keupayaan menghasilkan produk animasi beginilah yang menyemarakkan lagi industri animasi dan industri pasca-produksi tempatan untuk berkembang maju dan seterusnya pasti mampu menarik keyakinan pembikin filem dari luar untuk menggunakan kemahiran karyawan filem tempatan. Geng: Pengembaraan Bermula adalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang gemilang untuk industri filem tempatan.

Baca Sepenuhnya...

#139. Perjuangan Jins belum bernoktah

24hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my



SEBELUM perbualan kami diteruskan pada pagi yang cukup mendamaikan itu, anak seni terbilang ini mahu ucapan yang lahir dari hati tulusnya itu diungkapkan dalam tulisan ini.Walaupun, dia sendiri mengakui bahawa sudah pun menulis dan mengirimkan warkah terima kasihnya kepada pihak yang mengangkat namanya ke puncak tertinggi, tetapi, dia menginginkan juga agar kata penghargaannya dirakamkan.

Ia menggambarkan betapa terharunya dan bertuahnya dirinya sebagai anak seni apabila menjadi tokoh perfileman pertama yang menerima Anugerah Seniman Negara kali ke-8 yang berlangsung minggu lalu.

"Saya ingin menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana menyerahkan anugerah istimewa ini kepada saya.

"Begitu juga untuk Menteri Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memilih saya sebagai penerima Anugerah Seniman Negara tahun ini.

"Tidak dilupakan kepada Ketua Setiausaha, Datuk Dr. Muzahet Masruri bersama panel lain yang sepakat mencadangkan nama saya.

"Anugerah yang saya terima ini juga adalah sebagai mewakili karyawan filem tempatan tidak kira yang muda mahupun veteran," demikian luahan penuh jujur yang keluar dari bibir insan seni bernama Senator Tan Sri Jins Shamsudin ketika ditemui di kediamannya di Hulu Kelang, pagi Sabtu lalu.

Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepadanya, ia telah melayakkan anak kelahiran Taiping, Perak ini menerima trofi perak berukir emas di samping warkah penghormatan negara serta wang tunai berjumlah RM60,000.

Bukan sekadar itu, beliau juga menerima sepasang persalinan lengkap baju Melayu siap bersongket yang bermotif tradisi dan kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan.

Selain itu juga, dengan pengalaman yang cukup luas dalam bidang perfileman juga menjadikan Jins pengkarya, pencipta tamu kehormat dan pakar rujuk dalam bidangnya selain menjadi wakil KPKKW di seminar atau forum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ditanya, apakah hajat yang mahu dilakukannya dengan wang besar itu, tanpa berfikir panjang, Jins memberitahu: "Kami sekeluarga akan menunaikan umrah bersama-sama. Itu memang niat saya kerana ini rezeki daripada Allah. Saya mahu berkongsi dengan keluarga."

Menyingkap kehidupan peribadinya, Jins merupakan bapa kepada empat orang anak hasil daripada tiga perkahwinannya.

Perkahwinannya yang pertama bersama seniwati Allahyarham Rahmah Rahmat pada 6 Februari 1961 dikurniakan dengan seorang putera bernama Mohamed Jefri yang kini menetap di Singapura.

Namun, jodoh mereka tidak lama apabila kedua-duanya sepakat membawa haluan masing-masing pada tahun 1963.

pilihan hati

Sedekad selepas itu, dia bertemu dengan pilihan hatinya, Jamilah Sukor dan hasil perkahwinan keduanya itu juga memberikan Jins seorang lagi anak lelaki yang diberi nama Hang Tuah @ Shazrin.

Gagal sekali lagi dalam perkahwinannya, tidak membuatkan anak seni ini berputus asa dan pada tahun 1986, dia bertemu dengan isterinya kini, Puan Sri Halijah Abdullah.

Mungkin sudah tertulis rezeki Jins akan memiliki anak lelaki, maka dengan itu, perkahwinan ini juga dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lelaki bernama Putera Hang Jebat,21, dan Putera Hang Nadim,17.

Melihat trek rekod seninya, tiada apa yang mampu dipertikaikan lagi tentang insan seni yang bernama Jins Shamsudin ini.

Menyambung perbualan yang semakin rancak, sebagai anak seni yang sekian lama mendamba diri dalam bidang yang amat diminatinya itu membuatkan dia terasa benar dihargai apabila menerima anugerah tersebut.

"Tetapi itu semua tidak datang bergolek. Malah, kenikmatan hidup dan kejayaan yang diraih selama 56 tahun menjadi anak wayang, adalah datangnya dari kuasa Yang Maha Esa.

"Kalau semua kerja kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, nescaya, Allah akan memberikan kita seribu kerahmatan dan melancarkan segala kerja kita," katanya dalam nada bersungguh.

Malah, penulis begitu kagum melihat figura ini yang tetap segak pada usia 73 tahun walaupun kelihatan agak sedikit susut.

Apa yang membuatkan penulis begitu kaget adalah apabila Jins memberitahu dia tidak mempunyai sebarang penyakit serius.

"Saya amalkan cara hidup yang sihat sejak muda lagi. Disebabkan itu, saya tidak berdepan dengan sebarang penyakit. Perkara pokoknya, makan kenalah sihat," katanya yang cukup dikenali kerana memiliki wajah yang serius.

Di sebalik kerancakan perbualan kami, Jins yang dilahirkan pada 5 November 1935, tiba-tiba teringatkan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang merupakan guru yang telah membawanya ke persada seni.

Malah, seniman terulung itu jugalah merupakan insan pertama yang berjaya mengesan bakatnya dan terus menawarkannya berlakon dalam filem Pancha Delima pada tahun 1956.

"Alangkah indahnya jika saya dapat berkongsi kemenangan ini bersama arwah kerana tanpanya, saya tidak mungkin akan menjadi seperti mana hari ini.

"Dia bukan sekadar guru, tetapi juga sebagai seorang bapa, abang dan sahabat yang banyak membantu. Sudah pasti, saya tidak mungkin akan dapat melupakan apabila dia sanggup berlakon dalam filem arahan pertama saya, Bukan Salah Ibu Mengandung pada tahun 1969," luahnya dengan penuh makna.

Jelas Jins, mengenali seorang yang bernama P. Ramlee bukan mudah untuk mengajak dia berlakon di bawah arahan pengarah lain kecuali dirinya sahaja, tetapi apabila tawaran Jins itu disambut, sememangnya membuatkan Jins begitu terharu dan akan terus mengenangnya.

"Selain P. Ramlee, saya juga mahu berkongsi kemenangan ini bersama rakan seangkatan saya yang masih lagi ada dan juga yang telah kembali ke rahmatullah," katanya sambil mengimbas memori silam di zaman kegemilangannya.

Memenangi Anugerah Seniman Negara, bagi Jins bukanlah satu tiket untuk berasa megah dan mendabik dada, tetapi ia merupakan penambahan tanggungjawab untuk terus membela dan memperjuangkan nasib orang filem di negara ini.

"Sejak diperkenalkan, Anugerah Seni Negara tidak membuka pencalonan untuk memilih calon dalam dunia perfileman kerana mereka fikir kita mempunyai festival filem untuk mengiktiraf anak-anak seni.

Sudah berubah

"Namun, kini semuanya sudah berubah. Apa yang penting, kini dunia perfileman tempatan sudah mula dipandang dan diiktiraf oleh kerajaan. Alasan tidak boleh melakukan yang mustahil sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

"Apa yang saya perkatakan ini bukan untuk diri saya sahaja tetapi ia sebagai wakil kepada semua karyawan seni. Semoga ia menjadi perangsang dan pembakar semangat kepada mereka terutama generasi muda hari ini," ujarnya bersungguh.

Menyambung bicara tentang dunia perfileman tempatan yang ada pasang surutnya, jauh di hati empunya nama penuh Mohamed Jins Shamsudin ini mahu melihat karyawan seni untuk bangkit dan menghasilkan filem yang menerapkan serta mengangkat nilai-nilai budaya ini dalam setiap karya mereka.

Ini kerana katanya, elemen-elemen inilah merupakan resipi terbaik untuk membawa filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus meletakkan dunia perfileman negara di peta dunia.

Sambil memberikan contoh terbaik filem kelahiran negara Iran, Jins begitu optimistik dengan kreativiti anak seni tempatan yang dilihat mampu melahirkan filem-filem yang mempunyai nilai artistik yang begitu tinggi.

Tambahnya, Iran telah mencetuskan satu revolusi baru dalam pembikinan filem-filem mereka yang berjaya meyakinkan masyarakat Barat khususnya tentang intipati serta mesej yang ditonjolkan dalam setiap filem mereka.

"Industri perfileman kita sudah pun berusia lebih dari lima dekad. Berbanding pada zaman saya dahulu, teknologi yang ada hari ini semuanya canggih dan semuanya kini boleh didapati di depan mata.

"Semuanya ini saya perjuangkan untuk masa depan industri kita dan kemudahan infrastruktur yang diperolehi ini adalah untuk jangka masa panjang dalam memastikan industri kita akan terus berdiri teguh," katanya panjang lebar.

Malah, tambahnya, karyawan filem di negara ini seharusnya mempunyai visi dan misi dalam menerbitkan filem mereka serta jangan sesekali cuba untuk mencedok idea mahupun hasil karya Barat.

"Negara kita sudah cukup mampu untuk memberikan inspirasi kepada pembikin filem untuk menerbitkan filem yang mampu mengangkat tema perpaduan dan kemasyarakatan. Secara tidak langsung, ia mampu membuka mata masyarakat dunia terhadap negara kita menerusi filem yang dihasilkan.

"Bukan tidak boleh melahirkan filem-filem yang berunsurkan hiburan semata-mata tetapi biarlah ia sebuah filem yang bijak serta mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan," kata Jins lagi.

Apabila diajukan persoalan tentang filem artistik yang kurang mendapat sambutan di negara ini seperti mana yang sering diperkatakan pembikin filem tempatan, sambil tersenyum, Jins memberikan buah fikirannya.

"Pengarah, penerbit, pelakon dan semua yang terlibat seharusnya mendidik masyarakat menerusi karya mereka. Memang, saya akui, pada mulanya, agak sukar untuk diterima, tetapi, kalau ia dilakukan dengan perlahan-lahan, saya yakin penonton akan mampu membuka mata dan menghargai karya mereka.

"Di sinilah, idea dan kreativiti harus digunakan dengan sebaik mungkin agar ia terpancar dalam karya mereka. Jika semua bersikap positif dan optimistik, saya yakin, filem-filem kita mampu diterima dengan baik," jelasnya.

Ditambah pula dengan kehadiran anak-anak muda hari ini yang mempunyai pendidikan dalam bidang perfileman, Jins menganggap ia sebagai satu tanda aras untuk meningkatkan kualiti penerbitan filem tempatan.

“Cuma, mereka harus diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka. Sekadar teori sahaja yang dipelajari tidak mencukupi kerana ia harus ditambah dengan praktikal,” ujarnya lagi.

Menyingkap sejarah yang terlakar dalam hidup tokoh yang tiada tolok bandingannya ini, sememangnya senarai kejayaannya cukup panjang.

Rasanya dalam ruang yang terhad ini juga tidak mampu mendokumentasikan segala kecemerlangan yang dikecapi oleh Jins.

Siapa yang boleh lupa dengan kejayaan filem Bukit Kepong pada tahun 1982 yang telah menelan belanja sebanyak RM1.3 juta pada ketika itu dan apa yang membanggakan, filem tersebut berjaya membuat kutipan box-office sebanyak RM1.7 juta.

Bukan itu sahaja, nama Jins juga cukup sinonim dengan rangkaian filem arahannya yang menggunakan judul esok iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa.

Tidak cukup dengan itu, siapa yang dapat lupa dengan filem Ali Setan yang masih lagi diminati sehingga ke hari ini.

“Kalau anda mahu tahu, hasil daripada keuntungan Bukit Kepong sebanyak RM400,000 itulah saya bangunkan Studio Pancha Delima yang terletak di berdekatan dengan rumah saya. Bayangkan nilainya pada ketika itu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga mempunyai tiga lagi syarikat iaitu Jins Shamsudin Productions, Film Centre Sdn. Bhd., dan Caturan Warna Sdn. Bhd.

“Saya tidak perlu bimbang kerana saya akan menyerahkan segalanya kepada anak saya, Hang Jebat untuk meneruskan legasi seni saya memandangkan dia juga kini menuntut dalam bidang perfileman di Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Selangor,” jelasnya apabila bercerita perihal anak-anaknya.

Malah, Jins juga memberitahu projek filem Pasir Salak yang tertangguh sejak hampir 14 tahun lalu juga akan diteruskan dan ia juga bakal menjadi filem terakhir arahannya.

“Segalanya sudah siap. Cuma perlu menyelesaikan beberapa perkara dan saya akan meneruskan projek ini,” katanya ringkas.

Satu yang pasti tentang Jins adalah beliau sememangnya tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. Malah, dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menoktahkan perjalanan seninya.

Ketokohan Jins dalam bidang perfileman sewajarnya diambil dari sudut yang positif kerana kegemilangan dan kejayaan yang dikecapinya adalah daripada usahanya sendiri.

Lebih membanggakan, pada usianya kini, dia masih lagi meneruskan pengajiannya di peringkat doktor falsafah di Universiti Utara Malaysia pengkhususan di dalam bidang perfileman dan kebudayaan.

“Saya tidak akan berhenti dan saya akan terus berjuang selagi nyawa saya dikandung badan. Itu janji saya,” ungkapnya penuh makna.

Baca Sepenuhnya...

Jumaat, Februari 20, 2009

#133. Saingan hebat Pengarah Terbaik

20hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

CEMERLANG...Danny Boyle dilihat pemerhati filem sebagai calon utama untuk memenangi kategori Pengarah Terbaik.

ANUGERAH Academy ke-81 atau Oscar semakin menghampiri ke kemuncaknya dan sudah pasti, peminat dan pemerhati filem di seluruh dunia menantikan saat ini untuk mengetahui siapakah yang bakal membawa anugerah keramat ini.Menariknya tentang Oscar, bukan sahaja pelakon yang dicalonkan sahaja menjadi sebutan tetapi dari semua sudut dalam sebuah penerbitan filem juga tidak dipandang sepi.

Baik mereka yang terlibat dalam lakon layar, rekaan busana, solekan, rekaan set, suntingan bunyi, muzik, animasi sehinggalah ke dokumentari. Semuanya diiktiraf Oscar dan memenangi Oscar sememangnya menjadi idaman karyawan seni di Hollywood.

Kategori Pengarah Terbaik juga tidak terlepas daripada pemerhatian kerana ia juga memperlihatkan kehebatan pengarah yang mencurahkan idea dan kreativiti menerusi filem arahan mereka.

Jika tanpa sentuhan sang sutradara, mustahil filem berkenaan mampu dijiwai oleh penonton selain daripada keberkesanan lakon layar yang merupakan penentu kejayaan sesebuah filem itu.

Tahun ini kategori ini menyaksikan kelima-lima pengarah filem yang dicalonkan kesemuanya mewakili lima filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana ada filem yang dicalonkan untuk Filem Terbaik tetapi pengarahnya gagal ditempatkan dalam antara lima yang terbaik.

Nama-nama hebat yang tercalon tahun ini adalah Danny Boyle yang mempamerkan kehebatannya menerusi filem Slumdog Millionaire, Stephen Daldry (The Reader), David Fincher (The Curious Case of Benjamin Button), Ron Howard (Frost/Nixon) dan Gus Van Sant (Milk).

Sudah pasti, sinar kecemerlangan akan menyinari Danny yang menjadi sebutan kali ini untuk membawa pulang gelaran yang menjadi idaman ramai pengarah di Hollywood.

Golden Globe menjadi miliknya malah BAFTA juga berada kemas dalam genggamannya. Selain itu, dia turut menerima anugerah Director's Guild of America (DGA) yang sering kali menjadi penentu bagi seseorang pengarah itu untuk dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Oscar.

Jadi, daripada trek rekod cemerlang itu tidak mustahil untuknya dianugerahkan dengan Oscar sekali gus melengkapi gelaran itu untuk musim anugerah tahun ini.

Namun, harus diingat. Penganjuran Oscar akan sentiasa berdepan dengan kejutan kerana calon yang diramalkan tidak semestinya akan membawa pulang anugerah tersebut.

Sebagai contoh, pada tahun 2003, Rob Marshall memenangi DGA menerusi filem Chicago manakala Martin Scorsese pula menerima Golden Globe bagi hasil kerjanya untuk filem Gangs of New York.

Sebaliknya, di Oscar, dua nama itu kecundang apabila nama Roman Polanski ditabalkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem The Pianist yang ternyata telah mengejutkan ramai pihak.

Melihatkan sejarah yang pernah terlakar itu, tidak mustahil seandainya ia berulang lagi tahun ini dan jika itu berlaku, Danny nampaknya terpaksa berputih mata.

Mungkinkah juga Oscar akan menjadi milik David Fincher yang begitu menyerlah hasil seninya dalam filem hebat, The Curious Case of Benjamin Button, filem yang paling banyak menerima pencalonan dalam 13 kategori.

Apatah lagi kali pertama dicalonkan, mungkin pihak akademi mahu memberinya pengiktirafan di atas hasil kerja kerasnya menghasilkan filem seindah The Curious Case of Benjamin Button.

Ron Howard yang pernah menerima Oscar dalam kategori ini pada tahun 2002 turut dicalonkan sekali lagi menerusi filem Frost/Nixon. Walaupun filem ini mendapat kritikan pelbagai, namun, di mata Oscar ia tetap mempunyai nilai dan sentuhannya yang tersendiri dan atas alasan itu, Ron juga mampu mencipta kejutan.

Dua calon lain iaitu Stephen Daldry dan Gus Van Sant memang bukan asing lagi dalam bidang pengarahan kerana masing-masing mempunyai pendekatan artistik dalam filem The Reader dan Milk yang diarahkan mereka.

Kalaulah mereka menang sekalipun, bukanlah sesuatu yang harus diperdebatkan kerana masing-masing sudah dikenali dengan penghasilan filem-filem yang hebat dan bermutu.

Pilihan Hits: Danny Boyle (Slumdog Millionaire).

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Februari 17, 2009

#122. Oscar milik Penelope?

17hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my



SEMALAM, Hits telah menyorot kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang memperlihatkan saingan dan calon-calon yang bukan sembarangan meskipun, pemenangnya bagaikan sudah boleh diramal.Hari ini, Hits akan membawa pembaca budiman untuk melihat senarai calon-calon bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang mempunyai kekuatan masing-masing.

Mereka yang bertuah kali ini adalah Amy Adams yang dicalonkan menerusi lakonannya dalam filem Doubt, Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Viola Davis (Doubt), Taraji P. Henson (The Curious Case of Benjamin Button) dan Marisa Tomei (The Wrestler).Agak menarik untuk memperkatakan tentang kategori ini kerana berdasarkan dua acara anugerah sebelum ini iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild, pemenangnya adalah Kate Winslet yang memenanginya menerusi filem The Reader.

Akan tetapi, nama Kate tidak dicalonkan untuk kategori ini memandangkan beberapa pengkritik filem telah mempersoalkan kemenangan Kate dengan mengatakan dia tidak layak dicalonkan dalam kategori pembantu.

Ini adalah kerana dalam filem The Reader, dia merupakan fokus kepada jalan cerita dan justeru itu, dia adalah watak utama dalam filem berkenaan.

Dengan tiadanya nama Kate dalam senarai ini, sudah pasti lima calon yang bertanding mampu menarik nafas lega memandangkan masing-masing mempunyai peluang yang sama rata untuk membawa pulang trofi idaman ramai itu.

Berdasarkan ulasan dan ramalan pihak pengkritik di Amerika Syarikat, Penelope dilihat sebagai calon utama untuk memenangi kategori ini. Apatah lagi, dia baru sahaja dinobatkan dengan gelaran yang sama dalam anugerah BAFTA yang baru sahaja berlangsung.

Membawakan watak sebagai Maria Elena, seorang janda yang masih terperangkap dalam hubungan yang cukup kompleks bersama bekas suaminya, lakonan Penelope dilihat cukup menarik perhatian juri untuk memilihnya sebagai pemenang.

Bersahaja namun dalam masa yang sama impak yang diberikan cukup besar dalam filem arahan Woody Allen itu, ia merupakan antara lakonan terbaik Penelope sepanjang dia bergelar pelakon.

Bukan itu sahaja, filem Vicky Cristina Barcelona telah membuktikan bahawa Penelope sememangnya seorang pelakon yang cukup berbakat dan tidak hanya mempertaruhkan kejelitaannya semata-mata.

Malah, dia juga pernah menerima pencalonan Oscar pada tahun 2006 tetapi untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Volver.

Jika bukan Penelope yang menjadi pilihan, mungkin juga Oscar akan berpihak kepada Marisa yang berjaya memberikan lakonan cemerlang dalam filem The Wrestler.

Pernah memenangi kategori ini pada tahun 1992 bagi filem My Cousin Vinny, tidak mustahil untuk Marisa menerimanya untuk kali kedua.

Watak Cassidy iaitu seorang penari bogel pertengahan umur yang terlibat dalam perhubungan singkat dengan seorang ahli gusti dilihat cukup berkesan dibawakan Marisa.

Amy Adams yang juga pernah dicalonkan dalam kategori ini pada tahun 2005 juga mampu memberikan kejutan pada malam Oscar nanti.

Dicalonkan menerusi filem Doubt, Amy telah berjaya membawakan watak Sister James dengan penuh berkeyakinan sehingga pengkritik menyifatkan lakonannya merupakan antara yang terbaik pada tahun lalu.

Dalam filem Doubt, Amy merupakan seorang rahib yang baru sahaja dilantik dan tidak mempunyai sebarang pengalaman telah terlibat dalam kes yang telah mencemarkan kesucian institusi keagamaan di sebuah gereja.

Hanya kerana mempunyai pandangan yang negatif terhadap seorang paderi yang begitu mengambil berat tentang seorang pelajar, akhirnya, ia merubah menjadi satu kes yang cukup besar apabila Sister James telah melaporkannya kepada ketua rahib.

Seorang lagi pelakon filem Doubt yang dicalonkan, Viola Davis tidak kurang hebatnya. Pertama kali dicalonkan, lakonan Viola tidak seharusnya dipandang sebelah mata dan siapa tahu, rezeki mampu berpihak kepadanya pada malam bersejarah itu.

Lakonannya sebagai seorang ibu yang berdepan dengan situasi yang sungguh menyulitkan apabila mendapat tahu anaknya menjadi mangsa penderaan di sebuah gereja memang cukup dramatik.

Sebagai Queenie iaitu orang gaji kepada Benjamin Button dalam filem hebat, The Curious Case of Benjamin Button, ia sememangnya cukup menyerlahkan bakat pelakon berasal dari Washington ini.

Lebih menyerlah dalam bidang televisyen sebelum ini, Taraji membuktikan bahawa dia hadir dengan bakat yang tersendiri. Sememangnya, lakonannya dalam filem berkenaan cukup berkesan dan memperlihatkan sisi lain seorang yang bernama Taraji P. Henson.

Pilihan Hits: Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona).

Baca Sepenuhnya...

Isnin, Februari 16, 2009

#118. Senario mahu jadi Lagenda

16hb Februari, 2009
Utusan Malaysia

Kebanyakan pelawak di negara ini tidak mampu menafikan kehidupan sebagai pelawak bukan sesuatu yang mudah.Berusaha mencuit hati penonton dengan pelbagai aksi spontan dan lucu, kadangkala diakui 'menjadi' tetapi kalau tidak kena gaya, pasti mengundang suara-suara nakal yang pantas melabelkan lawak mereka sebagai lawak bodoh.Nama-nama besar seperti Datuk Aziz Satar, S. Shamsudin, M. Zain, Ahmad Nisfu, A.R Tompel dan Ibrahim Din adalah antara pelawak veteran yang begitu sinonim dengan filem-filem komedi arahan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.

Menjadikan barisan pelawak trio filem-filem P. Ramlee sebagai idola, anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar dan rakan-rakannya meluahkan hasrat untuk menuruti jejak langkah idola mereka sebagai bintang legenda pada masa akan datang.

Optimis dengan kerjaya yang dilalui, Azlee bersama dua rakannya,Wahid dan Lan Pet Pet ketika ini selesa bergandingan sementelah penglibatan mereka kini sudah pun menjangkau usia 13 tahun.

Diam tak diam, kata Azlee, menginjak ketahun yang ke-13 menjadikan kumpulan tersebut sebagai kumpulan lawak yang berjaya mempertahankan populariti untuk satu tempoh yang lama.

"Saya percaya Senario akan jadi legenda pada masa akan datang. Dalam banyak kumpulan lawak, setakat ini Senario adalah kumpulan yang paling lama bertahan.

"Jika kami dapat pertahankan persahabatan dan mutu lakonan sampai bila-bila, saya yakin Senario boleh mencapai hasrat itu," kata Azlee mewakili rakan-rakannya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem Senario The Movie Episod 2 di Lemon Restaurant, The Mines, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Wahid yang turut serta dalam perbualan itu sependapat dengan Azlee.

"Pada saya, Senario sudah pun legenda. Daripada karakter lawak kanak-kanak, separa lawak dan juga yang tak lawak langsung.., semuanya kami dah buat.

"Malah ada pelawak baru yang menganggap kami sebagai mentor. Sebagai contoh, dahulu ramai yang ingin menyertai rancangan Sinaran sebab nak jadi seperti Senario," kata Wahid.

Bukan sahaja sebagai kumpulan pelawak tetapi mereka turut dikenali sebagai kumpulan penyanyi.

Sebelum lahirnya Senario, bakat anggotanya dicungkil menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar tahun 1995.

Disatukan sebagai sebuah kumpulan pada tahun 1996, anggota asalnya terdiri daripada Azlee, Wahid, Ilya, Hamdan dan Mazlan Pet Pet.

Biarpun menempuh pelbagai cabaran terutamanya kemunculan bakat-bakat pelawak pelapis tanah air, kumpulan itu masih lagi bertahan biarpun anggotanya kini hanya tinggal trio Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet sahaja.

Pencapaian rating yang memberangsangkan menerusi sitkom Senario di TV3, menurut Azlee, jika tiada aral, tidak lama lagi nama Senario bakal tercatat dalam Malaysia Book Of Record kerana penghasilan siri komedi mereka adalah yang tertinggi berbanding siri komedi lain di Malaysia.

Bercerita tentang kerjaya sebagai pelawak, kata Azlee: "Bukan senang nak buat lawak dan buat orang ketawa. Pada saya, dalam banyak-banyak kerjaya, kerja sebagai pelawak adalah yang paling susah.

"Kadang-kadang risau juga jika kita buat lawak tetapi tak ada orang yang nak gelak. Bagaimanapun kami bersyukur pada Allah kerana sehingga kini kami masih berikan idea untuk terus berlawak dan kami rasa puas jika dapat membuat orang ketawa," katanya.

Sebelum ini, Senario pernah lahir dengan tiga buah album nyanyian yang memuatkan lagu-lagu hit seperti Sebelum dan Sesudah, Joget Toleh Menoleh, Zapin Usik Mengusik dan Dikir Barat Siang Malam.

Tidak ketinggalan ialah filem-filem yang mengangkat Senario sebagai pendukung utama antaranya Senario The Movie, Senario Lagi dan Lagi-lagi Senario.

Terbaru, kumpulan tersebut bakal muncul dalam filem Senario The Movie Episod 2: Beach Boys arahan pengarah yang tidak asing lagi, Ahmad Idham.

Kejayaan filem terbitan Metrowealth (MIG), Senario The Movie Episod 1 yang pertama kalinya mendapat sentuhan sutradara Ahmad Idham ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengaut kutipan sebanyak RM4.5 juta.

Menurut Idham, episod kedua filem arahannya yang berkonsepkan pengembaraan cinta itu bakal mengetengahkan elemen laut dan pantai.

"Setiap kali saya buat filem, yang selalu saya pastikan ialah kelainan dan saya kena percaya bahawa saya boleh buat filem yang lebih baik berbanding episod pertama.

"Seperti Senario episod pertama yang telah mendapat tempat di hati peminat, sudah tentu penonton mengharapkan sesuatu yang lebih besar sumbangannya dalam filem kali ini.

"Saya percaya bahawa ada sesuatu yang saya boleh tonjolkan untuk watak Datuk Jamali Shadat di mana saya rasa ia agak menarik," kata Idham tentang filem arahannya itu.

Selain itu, watak tiga gadis yang bakal menjadi pasangan kepada Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet turut diwujudkan. Mereka ialah Nik Sayyidah (Mek), Maria Farida dan Marsha.

Memulakan pengambaran di sekitar Pulau Pangkor, Perak pada 9 Februari lalu, filem tersebut sekali lagi menggunakan khidmat Raja Mukhriz Raja Kamaruddin sebagai pengarah sinematografi sementara skripnya ditulis oleh Zulkeflee M. Said.

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP