Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Februari 17, 2009

#122. Oscar milik Penelope?

17hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my



SEMALAM, Hits telah menyorot kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang memperlihatkan saingan dan calon-calon yang bukan sembarangan meskipun, pemenangnya bagaikan sudah boleh diramal.Hari ini, Hits akan membawa pembaca budiman untuk melihat senarai calon-calon bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang mempunyai kekuatan masing-masing.

Mereka yang bertuah kali ini adalah Amy Adams yang dicalonkan menerusi lakonannya dalam filem Doubt, Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Viola Davis (Doubt), Taraji P. Henson (The Curious Case of Benjamin Button) dan Marisa Tomei (The Wrestler).Agak menarik untuk memperkatakan tentang kategori ini kerana berdasarkan dua acara anugerah sebelum ini iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild, pemenangnya adalah Kate Winslet yang memenanginya menerusi filem The Reader.

Akan tetapi, nama Kate tidak dicalonkan untuk kategori ini memandangkan beberapa pengkritik filem telah mempersoalkan kemenangan Kate dengan mengatakan dia tidak layak dicalonkan dalam kategori pembantu.

Ini adalah kerana dalam filem The Reader, dia merupakan fokus kepada jalan cerita dan justeru itu, dia adalah watak utama dalam filem berkenaan.

Dengan tiadanya nama Kate dalam senarai ini, sudah pasti lima calon yang bertanding mampu menarik nafas lega memandangkan masing-masing mempunyai peluang yang sama rata untuk membawa pulang trofi idaman ramai itu.

Berdasarkan ulasan dan ramalan pihak pengkritik di Amerika Syarikat, Penelope dilihat sebagai calon utama untuk memenangi kategori ini. Apatah lagi, dia baru sahaja dinobatkan dengan gelaran yang sama dalam anugerah BAFTA yang baru sahaja berlangsung.

Membawakan watak sebagai Maria Elena, seorang janda yang masih terperangkap dalam hubungan yang cukup kompleks bersama bekas suaminya, lakonan Penelope dilihat cukup menarik perhatian juri untuk memilihnya sebagai pemenang.

Bersahaja namun dalam masa yang sama impak yang diberikan cukup besar dalam filem arahan Woody Allen itu, ia merupakan antara lakonan terbaik Penelope sepanjang dia bergelar pelakon.

Bukan itu sahaja, filem Vicky Cristina Barcelona telah membuktikan bahawa Penelope sememangnya seorang pelakon yang cukup berbakat dan tidak hanya mempertaruhkan kejelitaannya semata-mata.

Malah, dia juga pernah menerima pencalonan Oscar pada tahun 2006 tetapi untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Volver.

Jika bukan Penelope yang menjadi pilihan, mungkin juga Oscar akan berpihak kepada Marisa yang berjaya memberikan lakonan cemerlang dalam filem The Wrestler.

Pernah memenangi kategori ini pada tahun 1992 bagi filem My Cousin Vinny, tidak mustahil untuk Marisa menerimanya untuk kali kedua.

Watak Cassidy iaitu seorang penari bogel pertengahan umur yang terlibat dalam perhubungan singkat dengan seorang ahli gusti dilihat cukup berkesan dibawakan Marisa.

Amy Adams yang juga pernah dicalonkan dalam kategori ini pada tahun 2005 juga mampu memberikan kejutan pada malam Oscar nanti.

Dicalonkan menerusi filem Doubt, Amy telah berjaya membawakan watak Sister James dengan penuh berkeyakinan sehingga pengkritik menyifatkan lakonannya merupakan antara yang terbaik pada tahun lalu.

Dalam filem Doubt, Amy merupakan seorang rahib yang baru sahaja dilantik dan tidak mempunyai sebarang pengalaman telah terlibat dalam kes yang telah mencemarkan kesucian institusi keagamaan di sebuah gereja.

Hanya kerana mempunyai pandangan yang negatif terhadap seorang paderi yang begitu mengambil berat tentang seorang pelajar, akhirnya, ia merubah menjadi satu kes yang cukup besar apabila Sister James telah melaporkannya kepada ketua rahib.

Seorang lagi pelakon filem Doubt yang dicalonkan, Viola Davis tidak kurang hebatnya. Pertama kali dicalonkan, lakonan Viola tidak seharusnya dipandang sebelah mata dan siapa tahu, rezeki mampu berpihak kepadanya pada malam bersejarah itu.

Lakonannya sebagai seorang ibu yang berdepan dengan situasi yang sungguh menyulitkan apabila mendapat tahu anaknya menjadi mangsa penderaan di sebuah gereja memang cukup dramatik.

Sebagai Queenie iaitu orang gaji kepada Benjamin Button dalam filem hebat, The Curious Case of Benjamin Button, ia sememangnya cukup menyerlahkan bakat pelakon berasal dari Washington ini.

Lebih menyerlah dalam bidang televisyen sebelum ini, Taraji membuktikan bahawa dia hadir dengan bakat yang tersendiri. Sememangnya, lakonannya dalam filem berkenaan cukup berkesan dan memperlihatkan sisi lain seorang yang bernama Taraji P. Henson.

Pilihan Hits: Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP