Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Akhbar Berita Harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhbar Berita Harian. Papar semua catatan

Khamis, Mac 05, 2009

#208. Berita TV : Drama bersiri terbaik daripada TV3 bulan ini

NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3. (Foto).

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.



Sumber :
Berita Harian
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

Rabu, Mac 04, 2009

#200. Isu : Peranan TV bangunkan industri animasi negara


SOKONGAN awal daripada stesen TV tempatan banyak membantu kejayaan program dan filem animasi seperti Geng: Pengembaraan Bermula.

Stesen swasta wajar mainkan peranan secara aktif bantu pasarkan, promosi karya tempatan.

SEHINGGA Ahad lalu, filem animasi buatan tempatan, Geng: Pengembaraan Bermula mencatatkan kutipan kasar RM4.8 juta iaitu selepas dua minggu ditayangkan iaitu pada 12 Februari lalu.Nampaknya sasaran penerbitnya untuk mencatatkan kutipan RM5 juta hampir tercapai. Mereka kini mengharapkan filem Geng: Pengembaraan Bermula mampu mencatatkan kutipan lebih baik lagi berdasarkan kepada permintaan orang ramai yang masih tinggi.

Dalam perbualan dengan Pengarah Kreatif & Pemasaran Les Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Nizam Abd Razak, sasaran untuk mencapai kutipan RM10 juta masih jauh kerana pihak panggung sudah mengurangkan jumlah panggung yang menayangkan filem ini. Malahan, di sesetengah tempat, pihak panggung sudah menukar dewan tayangan yang lebih kecil, untuk memberi laluan kepada filem lain.

Bagaimanapun, katanya, kalau permintaan masih tinggi sehingga musim cuti sekolah pada minggu depan, pemilik panggung bersetuju untuk menambah dewan tayangan.

“Sebenarnya, pihak panggung juga mengakui filem Geng ini masih mendapat permintaan yang tinggi. Mereka mengatakan kutipan filem Geng ini jauh lebih baik daripada filem luar negara.

“Tapi disebabkan sudah ada perjanjian dengan pengedar filem luar, menyebabkan pihak panggung terpaksa mengurangkan dewan tayangan atau menukar ke dewan tayangan lebih kecil,” kata Nizam.

Kita tumpang bangga dengan pencapaian filem Geng: Pengembaraan Bermula. Tahniah kepada Nizam dan tenaga produksinya dan syarikat Les’Copaque kerana berjaya tidak putus asa untuk menyiapkan filem animasi itu walaupun mengambil masa lama dan menghadapi masalah kewangan.

Kita mula mengenai Nizam dan dua rakannya, Muhammad Usamah Zaid iaitu penyelia teknikal dan Mohd Anas Abdul Aziz yang bertindak sebagai pengarah, dalam satu jamuan ringan selepas Anugerah Filem Pendek Malaysia (AFP) anjuran Filem Negara dan RTM pada tahun 2006.

Ketika menyertai AFP 2006, mereka menggunakan judul Geng: The Beginning. Filem ini menang Filem Terbaik bagi kategori Filem Animasi, manakala Mohd Anas sebagai Pengarah Animasi Terbaik. Filem ini juga dipilih sebagai Filem Pendek Terbaik Keseluruhan pada anugerah itu.

Dalam perbualan dengan Nizam dan Mohd Anas ketika itu, mereka mengatakan judul itu berbentuk sementara kerana judul sebenarnya mungkin Geng: Misteri Hantu Durian, bukan Pengembaraan Bermula seperti sekarang.

Pertemuan kali kedua juga pada tahun yang sama di Shah Alam apabila melihat Nizam dan rakannya memberikan sesi ceramah mengenai teknologi animasi anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia.

Teras kekuatan filem Geng: Pengembaraan Bermula sudah tentulah kepada watak Upin & Ipin. Kedua-dua watak budak comel berkepala botak ini cukup diminati.

RTM sebenarnya memainkan peranan penting kerana menjadi stesen TV yang memberi peluang kepada Les’Copaque untuk mempromosikan watak Upin & Ipin apabila kedua-duanya muncul secara khas dalam beberapa minit saja menjelang waktu berbuka puasa.

Waktu itu, gelagat Upin & Ipin ketika hendak bersahur, berpuasa dan berbuka puasa cukup memeningkan kakaknya, Ros. Selepas RTM, tahun lalu watak Upin & Ipin ‘berhijrah’ ke TV9.

Dalam tempoh dua tahun, nama dan watak Upin & Ipin sudah popular menerusi promosi dan publisiti yang dimainkan oleh stesen TV.

Dalam hal ini, RTM adalah stesen TV yang kita lihat paling membantu pembangunan dan perkembangan dunia animasi tempatan.

Siri animasi seperti Keluang Man, Kampung Bola, Anak Anak Sidek, Kacang adalah produk buatan tempatan yang diberi peluang oleh RTM.

Sesetengahnya boleh dikembangkan untuk menjadi filem animasi. Kita melihat siri kartun Kacang, misalnya, berpotensi untuk diangkat sebagai sebuah filem kerana karakter atau watak-wataknya yang bagus dan asli. Stesen TV swasta pula belum lagi memainkan peranan secara aktif untuk membantu memasarkan dan mempromosikan bidang animasi, terutama tempatan.

Memanglah kalau kita lihat standard atau piawaian animasi tempatan tidak setanding dengan program animasi luar negara. Tetapi kita kena realistik. Penerbitan siri animasi dilihat masih baru hendak berkembang. Ia masih kekurangan dari aspek teknologi dan modal.

Bagaimanapun, dari sudut kreativiti, kita mempunyai ramai animator berkaliber. Mereka masih muda dan berkelulusan daripada pelbagai universiti dan kolej tempatan dan luar negara. Buat masa ini pembabitan mereka lebih kepada penghasilan produk iklan.

Untuk melihat bidang animasi ini berkembang sebagai satu industri, semua stesen TV juga perlu memberi sokongan sepenuhnya.

Kejayaan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula adalah satu contoh bagaimana stesen TV boleh memainkan peranannya dengan berkesan. Peluang harus diberikan kepada penggiat dan pembikin program animasi ini.

Kita berharap Astro dapat membantu atau mempunyai perancangan untuk menjadikan siri animasi Kampung Boy karya Datuk Lat dan kini disiarkan di Astro Ceria boleh diangkat sebagai sebuah filem. Kampung Boy yang diadaptasi daripada siri komik popular Lat yang sudah terkenal hampir seluruh dunia dan diterjemahkan pelbagai bahasa.

Malahan Astro dan rangkaian televisyen kumpulan Media Prima juga boleh mencipta watak tertentu dengan menyediakan slot khas bagi program animasi yang dibuat dan diterbitkan oleh pengkarya tempatan. Membeli dan menyiarkan program animasi dari luar negara memang mudah dan murah, tetapi akhirnya kita tidak memiliki apa-apa kerana ia ibarat barangan ‘pakai dan buang’. Selepas digunakan atau disiarkan, program animasi import tidak dapat dijadikan bahan dagangan yang boleh dipasarkan keluar negara.

Memang membuat produk tempatan mahal, tetapi kosnya tinggi kerana kita baru hendak bermula. Kalau segala-galanya sudah ada, kos boleh dikurangkan. Bila hendak mulakan? Sepatutnya sekarang.

Sumber :
Berita Harian
zainuri@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

#199. Skoop : Hype - Bukan kejayaan mudah


David Teo pernah gagal kali pertama buat produksi untuk program TV

AKTIF menerbitkan drama yang meraih jumlah tontonan cemerlang setiap kali bersiaran, namun tiada siapa menyangka penerbit gigih, David Teo pernah menempuh kegagalan ketika hendak memulakan produksi untuk siaran televisyen. “Saya salahkan diri sendiri dan seluruh warga produksi apabila drama pertama gagal. Silap saya kerana memilih orang yang salah untuk menggalas tanggungjawab dalam produksi itu,” imbas David mengenai penerbitan drama sulung, D:10 Forensik sedikit masa lalu.

Belajar daripada kesilapan itu, David semakin teliti dalam penerbitan drama. Dia menjadi lebih berhati-hati kerana tidak mahu prestasinya sebagai penerbit tercemar.
Disebabkan itu, apabila drama bersiri, Mertua vs Menantu terbitannya mencecah jumlah tontonan tertinggi untuk, David tidak melihat pencapaian itu sebagai tuah.

Barangkali ada beranggapan nasibnya baik kerana mendapat khidmat pelakon wanita popular, Erra Fazira selain Aqasha, Raja Farah dan Rozie Othman yang sinonim dengan penerbitan drama tetapi dia mempunyai pandangan sebaliknya.

“Sudah lapan tahun saya menerbitkan filem membuatkan saya cuba beralih ke penerbitan drama TV pula. Malangnya tidak mendapat peluang kerana ramai tidak yakin dengan kemampuan kami.

“Saya berterima kasih kepada Astro kerana memberi peluang besar menerusi drama bersiri, Jangan Pandang Belakang. Siri itu tidak mengecewakan dengan jumlah tontonan antara 350,000 hingga 400,000 setiap kali bersiaran.

“Apabila mendapat peluang, saya cuba buktikan saya mampu memberikan yang terbaik. Syukur kerana Mertua Vs Menantu memberi persepsi baru kepada MIG dengan jumlah penonton tertinggi untuk drama tayangan saluran Astro,” katanya.

Dengan jumlah penonton selesa sekitar 800,000, David yakin siri itu akan mencecah sejuta dan mencatat jumlah penonton lebih tinggi apabila musim keduanya disiarkan pertengahan tahun ini.

David berkata, kejayaan itu tidak datang bergolek. Sebaliknya, pengalaman lapan tahun dalam penerbitan filem dimanfaatkannya ketika memulakan produksi drama bersiri popular itu.

“Seperti juga filem, saya turut melakukan kajian kehendak penonton untuk penerbitan drama bersiri ini. Saya cuba mencari formula yang dimahukan penonton.

“Kalau ia tidak mencapai sasaran penonton yang dimahukan, saya memilih untuk tidak menerbitkan sesuatu drama itu walaupun menyukainya. Penonton membayar untuk menonton drama yang disiarkan Astro, jadi saya perlu memberikan produk yang mereka mahukan. Ia sama seperti pembikinan filem dan saya bangga kerana formula itu berjaya,” katanya.

Tidak lepas tangan kerana selesai penghasilan disusuli dengan siri promosi agresif hasil persefahaman dengan Astro, David menyifatkan Mertua vs Menantu adalah antara drama paling sempurna pernah dibuatnya.

Genre yang dipilih kata David, sesuai ditonton semua kelompok masyarakat dan ia juga menepati cita rasa penggemar masa kini.

“Saya cuba keluar daripada kepompong drama biasa yang disiarkan di televisyen. Realiti yang dipaparkan dalam Mertua vs Menantu ada berlaku dalam kehidupan kita. Mungkin itu yang membuat drama ini lebih mudah diterima penonton,” katanya.

Tambah David lagi, pencapaian Mertua vs Menantu agak di luar jangkaan kerana ketika mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, jumlah penontonnya hanya sekitar 400,000.

“Banyak faktor lain membantu antaranya ia adalah drama bersiri pertama lakonan Erra membuatkan ramai yang ingin menyaksikan bagaimana dia beraksi apabila di layar kaca. Astro bertuah kerana mendapatkan Erra sebagai Bintang Eksklusif Megadrama membuatkan penonton ternanti-nanti drama ini.

“Saya juga berbangga kerana semua pelakon yang dibariskan membawakan watak mereka dengan berkesan. Aqasha juga meraih perhatian luar biasa hingga berjaya memboloskan diri dalam Top 5 untuk Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

“Watak ibu mentua sombong yang dibawakan Rozie Othman menjadi, begitu juga dengan Raja Farah membuatkan drama ini cukup sempurna apabila ditayangkan di televisyen,” katanya.

David berkata, untuk musim kedua yang akan memulakan penggambarannya Mei nanti, pihaknya sedang berusaha mendapatkan persetujuan suami Erra, Engku Emran Engku Zainal Abidin untuk membawa bersama bayi mereka dalam siri terbaru itu.

“Kami sedang berusaha untuk meyakinkan mereka, namun setakat ini belum ada apa-apa keputusan dibuat. Kami pun tidak mahu mendesak kerana ketika ini apa yang penting Erra selamat melahirkan cahaya mata sulungnya itu,” katanya.

David juga meletakkan sasaran untuk melonjakkan musim terbaru Mertua vs Menantu mencecah jumlah tontonan 1.5 juta, malah mahu menjadikan drama popular itu ditonton paling ramai di semua stesen televisyen.

Komitmen Astro untuk produksi tempatan

PENGURUS Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, komitmen Astro dalam menyajikan produksi hebat dan bermutu untuk penonton setia drama tempatan tidak berubah meskipun ketika ini negara berdepan kegawatan ekonomi.

Astro katanya, akan terus melabur untuk produksi tempatan malah mereka juga mengambil langkah berani dengan menambah jumlah jam untuk siaran drama.

Katanya, Astro mempertingkatkan jumlah jam penyiaran drama membabitkan empat saluran Melayu kepada 500 jam berbanding 250 jam sebelum ini untuk membuka ruang kepada produksi tempatan menghasilkan karya bermutu.

Merumuskan kejayaan Mertua vs Menantu, Nizam berkata, mereka sentiasa memastikan hanya yang terbaik diberikan kepada penonton yang mempunyai pelbagai pilihan drama ketika ini.

Penyusunan drama berdasarkan yang menemui peminat setiap Isnin hingga Khamis juga memudahkan penonton untuk mengikuti cerita kegemaran mereka.

“Ketetapan ini juga membuatkan khalayak lebih memahami peranan saluran ini dan secara tidak langsung membantu kami untuk menyelaras program berdasarkan kehendak penonton.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kami yakin drama akan terus berkembang malah menjadi sajian tontonan seisi keluarga menerusi produk yang dipilih,” katanya.

Sumber :
Berita Harian
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Mac 03, 2009

#188. Isu Filem : Muallaf Lulus! & Keizinan Bawa Filem ke Luar Negara

YASMIN bersama dua pelakon filem Mualaf, Sharifah Amani dan Sharifah Aleesha.(foto)

LPF ingatkan karyawan filem yang mahu bawa filem ke luar negara mesti dapatkan surat kebenaran kerajaan

PENERBIT dan pengarah filem yang mahu menayangkan atau menyertai mana-mana festival filem di luar negara sepatutnya mendapatkan surat kebenaran daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).Walaupun peraturan itu bukan bermakna sesebuah filem mesti melalui proses penapisan terlebih dahulu, tetapi ia adalah satu undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap pengkarya tempatan jika bercadang untuk membawa karya mereka keluar negara.

Timbalan Pengerusi LPF, Mohd Helmi Abdullah berkata, walaupun tiada tindakan dikenakan ke atas mereka tetapi ia tidak bermakna karyawan filem hendak mengabaikan peraturan dan undang-undang negara.Beliau ditanya mengenai kecenderungan karyawan filem yang lebih gemar menayangkan filem terbitan mereka ke luar negara sama ada untuk tujuan menyertai festival atau pasaran serta promosi.

“Undang-undang dan peraturan kita jelas. Mana-mana filem yang hendak ditayangkan di negara ini mesti mendapat kelulusan daripada LPF terlebih dulu.

“Bagaimanapun, filem tempatan yang hendak di bawa ke luar negara, memang tidak perlu melalui proses penapisan. Mereka hanya perlu mematuhi undang-undang di negara yang mereka kunjungi.

“Kita tidak halang karyawan filem kita untuk bawa filem mereka ke luar negara. Tapi negara kita ada peraturan dan undang-undangnya. Jadi, mereka kena mematuhi peraturan ini sebagai tanda Malaysia ‘membenarkan’ filem mereka di bawa untuk ditayangkan ke luar negara, iaitu mendapatkan surat kebenaran atau permit dari LPF,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kewujudan LPF sebagai menyekat kreativiti pengkarya, Mohd Helmi berkata ia hanya sekadar persepsi umum saja kerana hakikatnya lembaga karyawan filem bebas berkarya.

“LPF tidak menyekat kreativiti karyawan filem. Tetapi setiap kreativiti itu mestilah ada batasan dan disesuaikan dengan peradaban kita. “Merakamkan gambar orang yang tidak berpakaian di tepi jalan mungkin dianggap sebagai satu kreaktiviti, tetapi dari sudut moralnya apakah ia sesuai dengan budaya dan sensitiviti masyarakat kita.

“Dari sudut lain, karyawan filem juga sepatutnya bertanggungjawab dengan karya yang mereka hasilkan. Mereka juga patut memahami peranan LPF dan mengapa ia diwujudkan,” katanya selepas mesyuarat dengan wakil media untuk membincangkan kandungan Deraf Garis Panduan Isi Kandungan Filem, Lembaga Penapisan Filem (LPF) di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya baru-baru ini.

Mesyuarat itu adalah untuk mendapatkan pandangan daripada wakil media sebagai usaha proses penambahbaikan garis panduan LPF.

Mualaf lulus dengan dua potongan

Terdahulu ditanya mengenai filem Mualaf arahan Yasmin Ahmad kononnya tersadai di LPF, Mohd Helmi menjelaskan, ia tidak benar sama sekali dan ketika laporan itu disiarkan oleh sebuah akhbar, penerbit filem berkenaan belum membuat permohonan untuk menapisnya.

Katanya, mengikut piagam LPF, sesebuah syarikat perfileman yang sudah mengemukakan permohonan kepada LPF, proses untuk penapisan akan dilakukan dengan segera.

“Kita di LPF tidak pernah memerap atau membiarkan sesebuah filem itu tersadai. Apabila permohonan sudah dibuat, proses penapisan dibuat dengan secepat mungkin.

“Kebiasaannya, kita akan bagi keputusan dalam masa antara tiga hari hingga seminggu. Kita akan bagi keputusan secara bertulis, sama ada ia lulus tanpa tapisan, lulus dengan potongan atau lulus dengan klasikafikasi tertentu,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, filem Mualaf sudah diluluskan dengan dua potongan untuk tayangan oleh LPF pada Januari lalu. Ini menafikan kononnya LPF sudah membuat potongan sehingga tujuh babak ke atas filem itu.

“Yasmin sendiri mengaku terkejut dengan dakwaan kononnya filem Mualaf tersadai di LPF sedangkan ketika itu dia sendiri belum membuat sebarang permohonan di LPF.

“Apabila kita sudah luluskan tayangannya dengan dua potongan, saya dimaklumkan filem Mualaf tidak ditayangkan di panggung sebaliknya disiarkan oleh sebuah stesen TV,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Helmi juga menjelaskan pegawai yang terbabit dalam proses penapisan filem sebenarnya sentiasa bersikap terbuka dan berpandukan kepada keadaan semasa ketika menjalankan tugas masing-masing.

“Mereka tidak rigid, tidak terlalu terikat dengan garis panduan. Selagi sesebuah filem itu memaparkan kebaikan mengatasi kejahatan, tidak ada masalah untuk kita luluskan.

“Filem tempatan selalunya jarang menghadapi potongan babak yang banyak. Malahan pegawai kita tidak pernah membuat keputusan untuk tidak membenarkan sesebuah filem terbitan tempatan ditayangkan kepada umum.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena, kita akan panggil penerbit untuk memperbaikinya. Pendekatan kita dalam hal ini adalah untuk membantu karyawan filem kita,” jelasnya.

Sumber :
Berita Harian
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

#187. Skoop : Hype - Lakonan bukan punca barah


Azean Irdawaty tidak pernah salahkan kerjaya seni sebagai punca penyakit yang dialaminya.

Azean Irdawaty tidak pernah sesekali menjadikan kerjaya lakonannya yang diceburi sejak 30 tahun lalu sebagai punca barah payu dara yang dihidapinya ketika ini.

“Saya kurang selesa dengan laporan itu. Ketika berceramah, saya memang ada memberi beberapa sebab mengenai punca barah dan satu daripadanya ialah berkaitan dengan tekanan. Selepas habis sesi ceramah itu diadakan satu sidang media, tetapi bukan untuk saya. Ia dibuat oleh sebuah syarikat yang hendak mempromosikan sebuah mesin berteknologi tinggi untuk menguji barah payu dara.

“Apabila ada wartawan bertanya kepada saya mengenai tekanan, saya memang ada mengatakan berlakon juga boleh mendatangkan tekanan. Tapi saya tidak bermaksud untuk mengatakan saya menghidap barah kerana berlakon.

“Lakonan memang kerjaya saya. Saya besarkan anak-anak dengan duit lakonan. Mungkin wartawan berkenaan salah faham dengan penjelasan saya kerana saya memang tak kata lakonan jadi punca (barah yang dihidapinya),” katanya.

Pelakon berpengalaman luas itu menghubungi Hip untuk menjelaskan satu laporan akhbar yang mendakwa kononnya beliau seolah-olah menyalahkan tekanan yang dialaminya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan menjadi punca kepada barah payu dara yang dihidapinya sekarang.

Laporan itu dipetik ketika Azean membuat ceramah Program Kempen Pengesanan Awal Barah Payu Dara bulan lalu yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Faizah Mohd Tahir.

Azean berkata, berdasarkan pengetahuannya menerusi pelbagai maklumat yang diperoleh, memang doktor pakar onkologi masih belum dapat memastikan apa sebenarnya punca barah.

“Kalau diikutkan barah ini boleh daripada pelbagai punca. Ia mungkin berpunca daripada pemakanan, gen keturunan, tinggal di tempat yang tercemar atau ada radiasi tinggi dan tekanan.

“Tekanan pun ada macam-macam. Ada tekanan emosi, fizikal, tekanan kerja, mental dan kehidupan. Dalam pada itu, ahli psikologi memang ada cakap dalam badan setiap manusia wujud gen kanser. Bezanya ada sel kanser yang doman atau diam yang tiba-tiba boleh hidup dan terus merebak dan membiak dengan pantas.

“Dan saya pernah terbaca, ahli psikologi mengatakan apa yang mencetuskan pembiakan gen kanser yang doman tadi ialah tekanan, apabila kita terlalu tertekan mungkin menyebabkan gen kanser itu jadi cergas,” katanya.

Azean berkata, memanglah sepanjang kehidupannya sebagai pelakon, kadang-kadang berada tertekan tetapi tidak perlulah hendak menghebahkannya kepada umum kerana sesetengah tekanan itu berkait dengan soal peribadi dan keluarga.

“Kita tidak mahu melemahkan semangat peserta yang menghadiri ceramah itu. Jadi saya sebut dengan cara lain iaitu apabila seseorang itu tidak bersyukur dalam hidupnya atau banyak masalah, inilah yang menjadikan berlakunya tekanan,” katanya.

Menurutnya, secara peribadi beliau memang terkilan dan ralat kerana penerangannya mengenai punca barah disebabkan tekanan itu sudah disalah tafsir.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menyalahkan bidang lakonan sebagai punca barah. Saya tak mahu perkara ini melekat dalam pemikiran setiap orang iaitu saya hidap barah kerana lakonan.

“Saya langsung tidak menuding mana-mana pihak untuk dikaitkan dengan penyakit yang saya hadapi ini. Saya pasrah dan reda dengan apa yang saya lalui sekarang.

“Memang tidak pernah sesekali menyalahkan bidang lakonan. Tekanan atau stress itu dialami oleh semua orang dan dalam semua kerja bukan saja lakonan. Apa yang penting ialah kita perlu ada jaga pemakanan yang seimbang,” jelasnya lagi.

Saya masih hidup

Azean juga mengakui terkejut apabila dihebohkan dengan khabar angin kononnya sudah meninggal dunia masih tersebar hingga ke hari ini walaupun sudah beberapa kali beliau memberikan keadaan sebenar dirinya.

“Kali pertama saya dapat berita kononnya saya meninggal dunia pada 30 Januari lalu. Pagi-pagi lagi saya dapat panggilan telefon daripada seseorang. Apabila saya jawab, dia terus menangis sambil mengucapkan syukur Alhamdulillah. Dia terus cakap ya Allah, syukur kak Yan selamat sebab dapat berita kononnya kak yan meninggal dunia.

“Habis saja perbualan itu, adik saya pula buat panggilan, bercerita perkara yang sama. Selepas itu Nash dari Melodi juga hubungi saya. Suara Nash macam lemah, macam tak percaya saya yang menjawab panggilannya. Disusuli dengan TV9 yang kemudian meminta saya menyiarkan secara langsung untuk mengatakan saya masih hidup.

“Selepas itu wartawan Harian Metro, Malay Mail juga tanya. Apabila semua berita sudah keluar di akhbar dan TV, saya anggap cerita itu (Azean meninggal dunia0 sudah selesai. Tapi terbaru, cerita itu masih tersebar lagi,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya beliau tidak mempedulikan khabar angin itu tetapi apabila besannya bertanyakan perkara itu membuatkan terfikir apakah motif individu terbabit menyebarkan cerita kononnya dirinya sudah meninggal dunia.

“Entahlah, saya pun tidak tahu apa yang hendak bolehkan katakan dengan orang yang sebarkan berita kononnya saya sudah mati. Ini macam kerja orang tidak siuman. Saya tidak tahu apa niat orang ini.

“Macam manapun, saya maafkan orang ini. Cuma hentikanlah cerita yang tak betul. Bertaubatlah sebab ini membuatkan pihak lain jadi susah hati,” kata Azean sambil menjelaskan khabar angin itu tidak membuatkan dirinya tertekan.

Bercerita mengenai perkembangan kesihatannya, Azean berkata, beliau bersyukur kerana sudah boleh banyak bergerak dan melakukan pelbagai aktiviti kegemarannya.

“Saya sudah boleh berkebun. Selepas solat subuh, saya sudah boleh menyediakan sarapan, masak untuk makan tengah hari atau buat makanan ringan untuk minum petang.

“Alhamdulillah, saya boleh menghayun penyapu untuk menyapu halaman rumah atau menghias pokok. Ini berbeza dengan beberapa bulan lalu apabila saya tidak terdaya untuk melakukan itu semua.

“Cuma saya tak boleh kena panas. Saya kena buat kerja berkebun itu sebelum matahari naik. Kalau tidak, saya boleh lembik sebab sistem ketahanan dalam badan boleh terjejas akibat terkena panas matahari.

“Pernah terkena panas matahari kerana terlalu asyik berkebun. Akibatnya, saya jadi layu, lembik,” katanya.

Sumber :
Berita Harian
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

#186. Berita TV : Filem menarik di 8TV sepanjang bulan ini

SEPANJANG Mac ini, slot Popcorn N’ Wednesday menerusi 8TV akan menyiarkan empat filem terbaik Hollywood meliputi semua genre filem.

Ia bermula dengan Funky Monkey yang akan disiarkan setiap Rabu, jam 10 malam. Ceritanya mengisahkan seorang agen CIA, Jack McCall yang ingin melepaskan seekor cimpanzi bernama Clemens dari sebuah makmal.Clemens adalah haiwan yang dilatih dengan seni mempertahankan diri. Banyak aksi menarik dan lucu berlaku lebih lagi apabila Jack dan Clemens mendapat perlindungan dari sebuah rumah selepas melarikan diri dari makmal itu. Filem ini dibintangi oleh Matthew Modine, Roma Downey dan Seth Adkins.

Filem hebat lakonan Jennifer Lopez dan Ben Affleck berjudul Gigli pula akan disiarkan pada 11 Mac yang mengisahkan seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk menculik adik kepada pegawai pendakwa raya California yang terencat akal.

Gigli melarikan beliau dari hospital mental dan menyembunyikannya di apartmen miliknya. Ricki yang juga seorang pembunuh upahan dihantar untuk memerhatikan pekerjaan Gigli supaya segalanya berjalan dengan lancar. Peristiwa lucu mula berlaku apabila kedua-duanya mula jatuh cinta.

Seterusnya pada 18 Mac pula, Secondhand Lions membawa anda mengikuti perjalanan seorang budak lelaki bernama Walter yang pemalu. Dia ditinggalkan oleh ibunya di rumah pakciknya yang agak pelik. Semua ini gara-gara ibunya ingin Walter menyiasat di mana kedua pakciknya menyembunyikan wang mereka. Ia dibintangi pelakon seperti Haley Joel Osment, Michael Caine dan Robert Duvall.
Filem terakhir untuk Mac ini ialah How to Eat Fried Worms yang akan disiarkan pada 25 Mac ini. Billy Forrester berpindah ke rumah baru bersama dengan ibu bapa dan adik lelakinya Woody. Selepas berpindah, Billy enggan ke sekolah kerana takut dibuli tetapi ibunya berjanji yang segalanya pasti berjalan dengan baik apabila beliau dapat menyesuaikan diri nanti.

Apabila tiba di sekolah, Joe Guire, Benjy, Bradley, Plug, Techno Mouth, Donny dan Twitch memberi nama baru kepada Billy iaitu Billy F. Plug dan Bradley mencuri bekal makanan Billy. Mereka kemudiannya masuk semula ke kelas dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sewaktu rehat, Plug datang ke arah Billy dan memberinya sebuah botol air yang berisi cacing tanah. Billy yang berasa tercabar memakan kesemua cacing itu.

Jangan lupa untuk menyaksikan empat filem menarik ini setiap Rabu jam 10 malam menerusi 8TV yang juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro 708.

Sumber : Berita Harian

Baca Sepenuhnya...

Isnin, Mac 02, 2009

#174. Berita Filem : Anu Dalam Botol bukan sembarangan


Raja Azmi angkat kisah benar yang berlaku dalam masyarakat

MELIHAT kepada judul filemnya, Anu Dalam Botol, tentu ramai yang beranggapan, penerbitnya, Raja Azmi Raja Sulaiman sengaja hendak mengundang kontroversi.

Apatah lagi apabila kontroversi sememangnya sinonim dengan wanita gigih ini. Sejak awal pembabitannya dalam dunia penerbitan dan penulisan, Raja Azmi tidak sunyi daripada pelbagai cerita panas membabitkan kerjayanya.

Namun bagi isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek ini, kontroversi sememangnya ada di mana-mana. Persoalannya kini, sama ada kita menyukai kontroversi terbabit atau sebaliknya.

"Di rumah sekalipun, kontroversi tetap ada. Saya menganggapnya sebahagian daripada kehidupan. Jika kontroversi tidak wujud, tentu hidup ini membosankan," katanya ketika ditemui pada sesi uji bakat memilih pelakon utama filem keempat terbitannya di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, penerbit itu meminta orang ramai menonton filem berkenaan terlebih dahulu apabila ia ditayangkan kelak, sebelum membuat andaian buka-bukan.
ADLIN memperkatakan sesuatu kepada pelakon ketika sesi uji bakat.

"Jika dilihat kepada judulnya serta perkataan ‘anu’ itu sendiri, tentulah bunyinya boleh mengundang pelbagai andaian. Sebab itu, saya mahu peminat menontonnya dulu. Tengok apa yang ingin saya tonjolkan menerusi filem berkenaan," kata Raja Azmi yang sekali lagi menggunakan khidmat Shadan Hashim sebagai pengarah.

Sebelum ini Shadan pernah mengarahkan dua filem terbitan Pengedaran J.A.S Sdn Bhd, iaitu Cinta 200 Ela dan Haru Biru. Manakala filem pertama terbitannya, Black Widow Wajah Ayu diarahkan U-Wei Haji Shaari.

Bukan untuk menonjolkan sisi hitam kehidupan golongan homoseksual, sebaliknya Raja Azmi berminat mengangkat kisah benar itu ke filem bagi berkongsi kesedaran betapa sikap keterlaluan dalam percintaan sehingga boleh membawa musibah yang amat memeritkan.

Baginya, filem itu menunaikan impiannya untuk menyalurkan dakwah yang sudah dipendam sekian lama.

Anu Dalam Botol bercerita mengenai sepasang lelaki gay yang dilamun cinta, Rubidin dan Ghaus. Rubidin sangat menyintai Ghaus sehingga sanggup berkorban dengan melakukan pembedahan jantina hanya kerana mengesyaki lelaki itu semakin menggemari wanita. Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima Rubidin dan menyingkirkan lelaki itu daripada hidupnya.

Rubidin yang kecewa kembali ke identiti asalnya iaitu sebagai lelaki. Kemudian, dia jatuh cinta pada seorang gadis, Dina. Gadis itu juga menerima cinta Rubidin dengan seadanya. Namun, kebahagiaan mereka tidak kekal lama apabila Dina mendapati, Rubidin tidak mempunyai anggota kelelakiannya.

Dina enggan membuat kesilapan sama seperti Rubidin yang berkorban kerana cinta secara membabit buta. Kini, hanya penyesalan tidak berkesudahan yang menemani hidup Rubidin kerana ‘anu’nya berada dalam balang.

Filem serius

Raja Azmi berkata, dengan mengetepikan isu perkataan ‘anu’, Anu Dalam Botol mengangkat persoalan yang serius iaitu mengenai amalan kehidupan songsang dalam segelintir masyarakat hari ini.

"Ia sebuah cerita cinta yang sangat berat. Ia bukan filem mengenai golongan "adik-adik" sebaliknya judul yang cukup serius. Saya ingin berdakwah menerusi filem ini. Ia memaparkan sisi hitam dalam percintaan apabila kita bersikap berlebihan.

“Dalam agama kita sendiri, kita tidak digalakkan berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Begitu juga apabila bercinta, usah menjadikannya begitu ekstrim kerana padahnya bukan kecil," katanya.

Mengenai pemilihan judul yang dilihat mampu menarik perhatian orang ramai untuk memperkatakannya, Raja Azmi menjelaskan, sudah tentu dia berharap setiap filemnya mendapat perhatian ramai peminat.

"Cuma kali ini saya tidak akan menggunakan ahli sukan sebagai pelakon utamanya. Justeru kami mengadakan uji bakat untuk mencari pelakon, tidak kira baru atau lama, bagi memegang watak utama. Satu ketika dulu saya menggunakan Misbun dalam filem pertama, diikuti Rashid dalam filem kedua. Malangnya, kedua-dua filem itu gagal di pasaran. Sekarang saya sedar, orang sukan bukan tarikan yang kuat untuk peminat berpusu ke panggung.

"Kemudian saya hasilkan pula Haru Biru, yang menggunakan isu dadah sebagai pertaruhan. Orang bertanya, kenapa saya suka menggunakan unsur negatif?

"Bagi saya, unsur negatif boleh menjadi tarikan yang kuat. Lagipun, unsur negatif itu ditonjolkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat. Begitu juga dengan Anu Dalam Botol, yang diharap dapat menyedarkan orang ramai betapa jangan bersikap ekstrim dalam bercinta," kata produser ini, yang turut mengalu-alukan syarikat pengeluar kondom untuk bekerjasama dalam penghasilan filem berkenaan..

Mengenai bakat yang diundang ke sesi uji bakat, Raja Azmi memberitahu, dia menjemput beberapa pelakon untuk menghadiri uji bakat khas terbabit.

Antara nama yang disebutnya termasuk Jehan Miskin, Farid Kamil, Que Haidar dan Adi Putra. Pada hari berkenaan, Adi kelihatan menghadirinya pada sesi sebelah pagi, manakala pelakon baru, Firdaus (adik pelakon Zul Huzaimy) muncul pada sebelah petang.

Selain pengarahnya sendiri, pelakon Adlin Aman Ramlie yang dilantik sebagai pengarah kasting ialah panel penilai sesi uji bakat terbabit.

Sumber :
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

Sabtu, Februari 28, 2009

#162. Cinema : Street Fighter penuh dengan aksi



Mula ditayangkan serentak seluruh dunia 26 Februari lalu

DIADAPTASI daripada siri popular permainan video berunsur pertarungan dari Camcom, filem Street Fighter: The Legend of Chun-Li menonjolkan kisah seorang ejen penyiasatan Interpol wanita, Chun Li yang berusaha menegakkan keadilan bagi ayahnya yang mati dibunuh dengan kejam.Penggambaran filem ini dilakukan di pelbagai lokasi seperti Bangkok, Thailand, Hong Kong dan Vancouver. Filem Street Fighter: The Legend Of Chun-Li di bawa ke Malaysia oleh RAM Entertainment untuk ditayangkan pada 26 Februari 2009.

Filem ini diarahkan oleh AndrzejBartkowiak dengan barisan pelakonnya terdiri daripada Kristin Kreuk yang pernah membintangi siri drama TV popular, Smallville; Michael Clarke Duncan (The Scorpio King), Neal McDonough (The Guardian), Taboo (anggota kumpulan Black Eye Peas), Chris Klein (American Pie) dan Moon Bloodgood (Terminator Salvation).

Filem Street Fighter: The Legend of Chun-Li mengenai satu kuasa kuasa hebat sedang menyelubungi Bangkok. Mereka adalah pahlawan, yang mana sebahagiannya memiliki kebolehan luar biasa, masing-masing memegang kuasa dan mengalahkan pasukan yang satu lagi.

Bison (Neal McDonough), ketua penjenayah dengan kuasa tiada tandingan. Dia dan Shadaloo merancang menguasai sepenuhnya ibu negara Thai, dengan usaha jahat tersebut diawasi oleh Balrog (Michael Clarke Duncan), seorang penguat kuasa kejahatan dan pembunuh yang memiliki ukuran badan yang teramat sasa.

Bersama-sama mereka ialah Vega (Taboo) seorang pahlawan bertopeng dengan bersenjatakan cakar tajam yang direka khas untuk tujuan merobek dan menikam lawan, manakala Cantana (Josie Ho) pula ialah pembantu kanan Bison yang cantik tetapi berbahaya.

Tatkala Bison mula menyebarkan gelombang keganasannya di kawasan penuh sesak di bandaraya untuk merampas kuasa dan tanah milik penduduk tanpa mengira sesiapa, sekumpulan adiwira muncul untuk menentangnya.

Kumpulan itu diketuai oleh Chun-Li (Kristin Kreuk), yang meninggalkan kehidupan penuh keselesaan demi menjadi pejuang jalanan, bertarung untuk mereka yang tidak mampu melindungi diri masing-masing. Dia mendapat latihan seni bela dari Gen (Robin Shou) yang suatu ketika dahulu adalah seorang penjenayah yang digeruni, namun kini berjuang untuk kebaikan.

Seorang lagi yang memiliki kesungguhan untuk menghentikan kerja jahat Bison dan konco-konconya adalah seorang polis Interpol, Charlie Nash (Chris Klein), yang dapat mengesan ketua penjenayah tersebut di merata dunia, bersama-sama rakan sekerjanya, iaitu Maya Sunee (Moon Bloodgood) iaitu Detektif Homisid Jenayah Berkumpulan.

Aksi permainan dan adegan pertarungan yang sangat imaginatif sememangnya sangat bersesuaian untuk diterjemahkan ke layar lebar, satu hakikat yang diakui oleh penerbit terkenal dan Pengerusi bagi Hyde Park Entertainment, Ashok Amritraj - itupun setelah mendapat inspirasi daripada anak-anaknya yang ketika itu berumur 13 dan 1 tahun.

“Mereka begitu menggemari permainan video tersebut dan meminta saya menghasilkan filem berdasarkannya,” menurut Amritraj. “Saya harus berterima kasih kepada mereka kerana mengilhamkan Street Fighter: The Legend Of Chun-Li,” katanya.

Mengekalkan aspek aksi dan unsur pengembaraannya, penerbit Amritraj dan Patrick Aiello bercadang menambah aspek emosi yang lebih mendalam dan lebih perwatakan ke atas permainan video yang sudah sediakala berwarna-warni dengan watak-wataknya, serta jaringan kejujuran dan pengkhianatan yang wujud di dalam jalan ceritanya. Untuk itu, mereka bekerjasama dengan pendatang baru Justin Marks bagi memperelok lakon layar bersama-sama dengan pembikin filem terkenal Andrzej Bartkowiak untuk pengarahan.

Bartkowiak, dahulunya adalah sinematografi terkenal (The Verdict, Terms of Endearment), pakar dalam menghasilkan filem aksi dan seram seperti Romeo Must Die dan Cradle 2 the Grave. “Saya mahu filem Street Fighter: The Legend Of Chun Li ini nampak biasa”, ujarnya.

Sumber :
28hb Februari, 2009
Berita Harian

Baca Sepenuhnya...

Rabu, Februari 25, 2009

#145. 10 filem pendek rebut hadiah RM100,000

25hb Februari, 2009
Berita Harian
Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Peraduan Astro Kirana Short Film Awards buka penyertaan selama tiga bulan tentukan pemenang Jumaat ini.HANYA 10 filem pendek terbaik bakal bersaing untuk menerima geran bernilai RM100,000 bagi memulakan penerbitan filem.

Pertandingan Astro Kirana Short Film Awards 2008/2009 yang membuka penyertaan selama tiga bulan bagi mencari 10 yang terbaik bakal menemui pemenangnya pada 27 Februari ini jam 8 malam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Pertandingan ini juga akan disiarkan menerusi Astro Kirana pada 28 Februari jam 9 malam.

Astro Kirana dengan kerjasama Tayangan Unggul Sdn Bhd dan XFM selaku radio rasmi menganjurkan pertandingan ini khusus menghargai serta mengiktiraf hasil seni kreatif bakal pengarah berbakat negara untuk diketengahkan di persada seni perfileman negara.

Ketua Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd, Zainir Aminullah berkata, anjuran tahun kedua kali ini ternyata menerima sambutan yang menggalakkan dengan mencatatkan peningkatan dari segi jumlah penyertaan.

“Kami amat berbangga dengan jumlah penyertaan yang amat memberangsangkan pada tahun ini. Ini membuktikan bahawa terdapat ramai bakat di luar sana yang sentiasa menanti peluang untuk mengetengahkan hasil karya mereka ke peringkat yang lebih tinggi menerusi platform yang kami sediakan.

“Kami berharap dengan pendekatan yang diambil Astro selama ini dalam menyokong industri pembikinan filem dapat menjana inspirasi dan membuka ruang kepada pengarah tempatan untuk terus menghasilkan karya yang lebih kreatif dan inovatif.

“Kami juga akan terus menyokong apa juga usaha untuk menerbitkan hasil karya yang cemerlang dengan menggunakan segala ruang yang ada kerana pembekalan pengisian yang bermutu dan berkualiti tinggi sentiasa menjadi tonggak dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan Astro,” katanya.

Menurut Zainir, penyertaan akan dinilai oleh barisan panel juri yang dilantik khas bagi menentukan filem pendek yang bakal dicalonkan sebagai finalis.

“Peserta akan dinilai lima juri profesional yang bertanggungjawab dalam pemilihan ini termasuk Gayatri Su-lin Pillai, Osman Ali, Wong Tuck Cheong, Afdlin Shauki dan James Lee. Kriteria pemilihan berdasarkan cerita asal, pengarahan, videografi, suntingan, lakonan, seni pengarahan dan juga penataan bunyi.

“Daripada 10 peserta ini juga, sebanyak tiga filem pendek terbaik akan dipilih untuk dinobatkan sebagai yang terbaik,” katanya.

Sepuluh filem pendek yang berjaya terpilih akan diumumkan menerusi laman web di www.astro.com.my/astrokirana. Orang ramai dijemput untuk mengundi filem pendek kegemaran mereka menerusi laman web itu bermula 20 Februari lalu sehingga 26 Februari ini.

Penyertaan yang menerima undian tertinggi akan memenangi Anugerah Pilihan Penonton. Kategori lain yang dipertandingkan termasuklah Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Suntingan Terbaik, Videografi Terbaik, Cerita Terbaik, Lakonan Terbaik dan juga Pengarahan Terbaik.

Pemenang hadiah utama akan menerima peruntukan sehingga RM100,000 untuk menerbitkan filem, wang tunai bernilai RM5,000. Manakala pemenang hadiah kedua dan ketiga akan menerima menerima wang tunai RM3,000 dan RM2,000. Masing-masing turut menerima trofi.

Saksikan siaran tertunda malam penuh berprestij Astro Kirana Short Film Awards 2008/2009 yang akan disiarkan pada 28 Februari ini jam 9.00 malam menerusi Astro Kirana (saluran 122) serta siaran ulangan pada 1 Mac depan jam 3 petang.

INFO: 10 Finalis Terbaik

# Eyefinger - Margaret Bong
# Mirror - Christopher Low
# Burp - Tayanithi Ramanujem
# Satu - Zulman Zeki Supardi
# Aku - Shuhaimi Zulkefli
# Qalam - Mohd. Shahrezahadi Koh
# Permata Bonda - Fikri Jermadi
# ”Odoi Odu” (Oh Grandma - Farizie Morinding
# Kalsom - Sheikh Munasar Abdullah
# Khilaf - Noor Emelly Mohd Saad

Penataan Seni Terbaik

# Burp - Tayanithi Ramanujem
# Eyefinger - Margaret Bong
# The Last Supper - Normen J.Arule
# Pauh - Azkee Mohd Yahaya
# Semangat Padi - Fathin Alliza Jamal

Penataan Bunyi Terbaik

# Michelle - Sia Yaw Yie
# The Last Supper - Normen J.Arule
# Mirror - Christopher Low
# Eyefinger - Margaret Bong
# Burp - Tayanithi Ramanujem

Lakonan Terbaik

# Sinkronis - Jaja Kadir
# Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Bin Morinding
# Wintersweet - Rorn Lew Cheen Khung
# Mirror - Christopher Low
# Permata Bonda - Fikri Jermadi

Videografi Terbaik

# The Last Supper - Normen J.Arule
# Burp - Tayanithi Ramanujem
# Eyefinger - Margaret Bong
# Mirror - Christopher Low
# Aku - Shuhaimi Zulkefli

Cerita Terbaik

# Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Morinding
# Mirror - Christopher Low
# Eyefinger - Margaret Bong
# Aku - Shuhaimi Zulkefli
# Qalam - Mohd. Shahrezahadi Koh

Pengarahan Terbaik

# Qalam - Mohd. Shahrezahadi Koh
# Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Bin Morinding
# Mirror - Christopher Low
# Eyefinger - Margaret Bong
# Aku - Shuhaimi Zulkefli

Suntingan Terbaik

# Qalam - Mohd. Shahrezahadi Koh
# Amin - Cut Mutia Teuku Iskandar
# Machai - Shanjhey Kumar Perumal
# Burp - Tayanithi Ramanujem
# Mirror - Christopher Low

Baca Sepenuhnya...

#144. Upin, Ipin semakin popular

25hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


NUR FATHIAH (kanan) bersama karakter yang menggunakan suaranya, Upin dan Ipin.

Wajah comel bintang filem animasi ini mampu pungut hampir RM4 juta dalam tempoh dua minggu.SEHINGGA Ahad lalu, filem animasi terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Geng: Pengembaraan Bermula, sudah pun berjaya memungut RM3.7 juta selepas 11 hari tayangan.

Ia dilihat berada pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamat syarikat berkenaan yang meletakkan angka RM5 juta sebagai kutipan sasaran. Dengan kutipan yang baik diterima sejak hari pembukaan, 12 Februari lalu, tidak mustahil pihak pempamer akan menyambung tempoh tayangan walaupun sesudah tempoh wajib tayang berakhir nanti.

Jika boleh, pengarah filem itu, Mohd Nizam Abd Razak mahu melihat Geng terus diputarkan di pawagam seluruh negara sehingga cuti sekolah bermula tidak lama lagi.

Katanya, jika tempoh tayangan filem terbabit dipanjangkan, dia berkeyakinan kutipan sasaran akan berjaya dicapai.

"Dengan sambutan baik yang diterima sehingga kini, kami percaya jumlah RM4 juta dapat dipungut dalam dua minggu. Lebih-lebih lagi, lebih banyak sesi tayangan diadakan oleh pihak pempamer pada minggu kedua," kata Nizam yang ditemui pada siri promosi filem terbabit di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Ketika ini, filem yang menelan belanja sekitar RM4.2 juta untuk disiapkan itu menemui penonton di kira-kira 56 panggung seluruh negara. Ia mengambil masa dua tahun setengah untuk dihasilkan.

Menurut Nizam, Geng juga akan memasuki pasaran Indonesia pada 16 September depan. Pada tarikh yang sama, dia turut berharap filem terbabit dapat ditayangkan di Singapura dan Brunei.

"Kami terpaksa menunggu sehingga September sebelum dapat menayangkan Geng di negara luar kerana Les’ Copaque ingin membawa Geng menyertai Festival Animasi Annecy di Perancis, Jun ini. Antara syarat penyertaan ialah filem yang dicalonkan tidak boleh ditayangkan di luar negara pengeluar sebelum Jun.

"Kami sudah pun menghantar filem terbabit kepada pihak penganjur dan dalam masa beberapa bulan kami akan mendapat tahu jawapannya, sama ada ia terpilih untuk pertandingan atau sebaliknya. Rasanya, inilah kali pertama filem animasi Malaysia yang ditayangkan di panggung menyertai pertandingan ini," ujarnya.



Pada ketika ini, Les’ Copaque turut mengadakan perbincangan dengan pengedar dari Korea Selatan dan India. Permintaan juga turut diterima daripada pengedar dari Amerika Syarikat dan Argentina, hasil kunjungan syarikat terbabit ke Festival Filem Cannes di Perancis dan acara Pasaran Filem Amerika di Santa Monica.

Geng dilakonkan Amir Izwan sebagai Badrol, Balqis (Ros), Kee Yong Pin (Lim), Kannan (Rajoo) dan Nur Fathiah (Upin & Ipin).

Kisahnya bermula apabila ada sesuatu mengganggu ketenteraman Kampung Durian Runtuh. Penduduk kampung menyebarkan cerita mengenai kewujudan makhluk yang menggerunkan menjelang waktu malam, namun tiada siapa yang berani mencari kebenaran di sebalik cerita itu.

Sehinggalah Badrol, Lim serta rakan baru mereka terjerumus ke dalam misteri terbabit tanpa disengaja. Seekor haiwan aneh yang tidak diketahui asalnya, menjalin persahabatan bersama Rajoo, lantas membawa mereka mengembara jauh ke dalam hutan hujan Malaysia yang penuh dengan hidupan liar, termasuk ular gergasi mistik.

Apabila filem sulung Les’ Copaque ini menunjukkan prestasi yang baik, sudah tentu syarikat berkenaan mempunyai projek susulan, bagi menyambung kejayaan yang dicatat judul pertama mereka.

Nizam sendiri mengiyakan hakikat itu dengan memaklumkan, ketika ini dia dan pasukannya sedang membangunkan sebuah lagi projek filem animasi.

Kali ini, watak utamanya bukan lagi manusia sebagaimana dapat disaksikan menerusi Geng. Sebaliknya, watak haiwan akan mengambil alih sebagai tarikan utama, dengan watak manusia muncul sebagai pembantu saja.

"Filem kedua ini seakan hikayat lama yang diangkat ke layar lebar dengan memasukkan tema sejagat," dedah Nizam yang menganggap filem kedua itu nanti cukup berbeza daripada arahan pertamanya.

Sebagaimana Geng, projek kedua ini akan terlebih dulu menemui peminat dalam bentuk siri televisyen. Selepas dua atau tiga tahun, barulah ia muncul pula dalam versi layar lebar pula.

Baca Sepenuhnya...

Selasa, Februari 24, 2009

#138. Tercapai impian

24HB FEBRUARI, 2009
BERITA HARIAN
Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my



Selepas lima kali dicalonkan baru sekarang Kate Winslet menggenggam trofi Oscar bagi Aktres Terbaik

TANPA perlu membariskan pelakon popular dan dikategorikan sebagai filem murah, Slumdog Millionaire mengulangi kejayaan pernah diraihnya ketika Anugerah Golden Globe ke-66 dan British Academy Film Awards (Bafta) yang lalu apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy ke-81 yang berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang di Kodak Theatre, Los Angeles, semalam.

Malah, filem arahan David Boyle itu berjaya mengungguli lapan anugerah daripada sepuluh kategori dipertandingkan malam itu. Selain dipilih filem terbaik, Boyle diiktiraf sebagai pengarah terbaik dan filem Slumdog Millionaire dilengkapi Lakon Layar Adaptasi, Skor Asal Muzik, Sinematografi Terbaik, Lagu Terbaik, Adunan Muzik Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Kemenangan besar filem yang berkisar mengenai kehidupan seorang budak lelaki yatim piatu dan miskin di Mumbai yang kehidupannya berubah apabila dia memenangi program gameshow Who Wants To Be A Millionaire versi India itu bukan sesuatu yang mengejutkan, malah memang disebut-sebut bakal memang besar pada malam itu berdasarkan komen diberikan kebanyakan karyawan seni di Hollywood.

Kemarau penantian Kate Winslet yang lima kali dicalonkan dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Academy berakhir apabila wanita berusia 34 tahun ini akhirnya berjaya juga menggenggam trofi Oscar bagi kategori Aktres Terbaik.

Kate yang diiktiraf bagi peranannya sebagai bekas tahanan kem Nazi dalam filem The Reader kelihatan cukup terharu apabila namanya diumumkan sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Melissa Leo (Frozen River).

Baca Sepenuhnya...

Khamis, Februari 19, 2009

#129. Sambutan Geng luar biasa

19hb Februari, 2009
Berita Harian
Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my



Permulaan menggalakkan apabila catat kutipan kasar RM1.75 juta dalam empat hari

BARANGKALI sasaran mengumpul kutipan RM5 juta dalam tempoh dua minggu bakal menjadi kenyataan apabila filem Geng: Pengembaraan Bermula meraih RM1.75 juta selepas empat hari ditayangkan bermula 12 Februari lalu.Sambutan membanggakan pada minggu pertama tayangan itu memutik keyakinan kepada penerbitnya, Les’ Copaque Production Sdn Bhd filem animasi 3D pertama tempatan itu mampu mencatat kutipan lebih tinggi lagi, mungkin RM10 juta.

Pengarahnya, Mohd Nizam Abdul Razak ketika ditanya mengenai sambutan hangat penonton terutama apabila filem itu mencatat kutipan tertinggi RM650,000, sehingga Sabtu lalu berharap, penerimaan penonton terhadap Geng: Pengembaraan Bermula berlanjutan sehingga musim cuti sekolah, Mac depan.

Pencapaian itu, katanya, adalah di luar jangkaan meskipun mereka yakin ia mampu mencatat jumlah memberangsangkan selepas pengkritik memuji filem yang dihasilkan pada bajet berpatutan.

“Dibandingkan filem animasi Barat yang menelan belanja antara RM15 juta sehingga RM40 juta, filem Geng dihasilkan dengan jumlah kecil iaitu RM4 juta. Namun, itu bukan halangan kami untuk menghasilkan filem yang berkualiti serta diterima umum.

“Mungkin ada beranggapan mustahil untuk, tetapi jika Transformers mampu mengumpul lebih RM18 juta di negara ini, tidak mustahil Geng: Pengembaraan Bermula juga mampu mencapai sasaran yang kita diimpikan,” katanya.

Mohd Nizam, 25, berkata kekuatan filem yang menampilkan watak utama seperti Badrol, Lim, Rajoo, Ros serta Upin dan Ipin bergantung kepada jalan ceritanya yang menarik perhatian pelbagai kelompok penonton.

Mensasarkan Geng: Pengembaraan Bermula kepada khalayak merangkumi profesional hingga kanak-kanak berbilang bangsa, Nizam yakin filem itu mencapai standard filem yang berjiwa Malaysia.

“Ketika promosi di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, kami mendapat tahu permintaan penonton cukup memberangsangkan.

“Ramai penonton kecewa apabila gagal mendapatkan tiket untuk menontonnya. Kami turut dimaklumkan filem Geng pantas mendaki tangga pertama carta pecah panggung di situ dan pencapaian ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Dengan sambutan hebat itu, Nizam berharap pawagam akan memberi laluan kepada Geng: Pengembaraan Bermula untuk bertahan lebih lama dan ditonton lebih ramai pencinta filem animasi yang berjiwa Malaysia.

Katanya, pada permulaan mereka mensasarkan filem ini ditayangkan pada musim cuti persekolahan Disember lalu, malangnya hasrat itu tidak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.

“Bagaimanapun, selepas menimbang pelbagai faktor kami memberanikan diri untuk menayangkannya bulan ini. Jika kami menangguhkan tayangan, filem ini hanya akan menemui penonton sekitar Mei.

“Justeru, untuk mengelak ia tertangguh lebih lama, kami memberanikan diri untuk merebut peluang yang ada. Alhamdulillah, percaturan kami tidak salah dan berharap kejayaan awal ini akan mengekori kegemilangan yang dicipta filem seperti Transformers yang ditayangkan lebih dua bulan,” katanya.

Segala kerja keras mereka selama hampir tiga tahun untuk menyempurnakan Geng: Pengembaraan Bermula terbayar dengan sambutan hangat diberikan penonton.

“Ketika memulakan projek ini ramai meragui kemampuan kami, malah ada yang kurang mempercayai kerana pada masa itu saya baru berusia 23 tahun. Saya tidak ambil hati dengan pandangan skeptikal itu kerana apa yang diusahakan ini sesuatu yang baru di negara kita.

“Tetapi kini usaha keras itu menjadi satu jenama yang cukup besar di negara ini dan penerimaan khalayak membuatkan kami yakin untuk memulakan projek baru, Jun ini,” katanya berterima kasih kepada penerbit Burhanuddin Md Radzi yang mempercayai kemampuan mereka.

Bakal mengembara ke negara luar

TIDAK sekadar menjadi sebutan di negara sendiri, Geng: Pengembaraan Bermula bakal memulakan kembaranya di bumi asing apabila menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Andai segalanya berjalan lancar, filem ini akan memulakan tayangannya di Argentina tidak lama lagi disusuli 50 pawagam di seluruh Indonesia pada musim Aidilfitri nanti. Kata sepakat hampir tercapai dan Nizam percaya, filem itu akan merantau lebih jauh andai diberi sokongan kuat.

“Antara negara yang menyatakan minat untuk menayangkan filem ini termasuk Korea, India dan Amerika Syarikat. Kami juga cuba membawa Geng Pengembaraan Bermula menyertai Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy, Jun ini di Annecy, Perancis.

“Syarat penyertaan yang melarang filem dipertandingkan ditayangkan di negara luar sebelum pertandingan berlangsung membuatkan kami menangguhkan dulu tayangan di Singapura dan Brunei meskipun mempunyai permintaan besar.

“Berdasarkan maklum balas ketika petikan filem ini dibawa ke Amerika Syarikat, November lalu kami yakin ia diterima kerana mereka tertarik dengan keunikan budaya yang dipakejkan menjadi mesej global,” katanya.

INFO: Karektor Utama

* Badrol - BERSAHAJA dan gemar bersenang-senang dan bertindak mengikut gerak hati. Badrol sering cuba berlagak macho dan berani. Sewaktu kecil dia menetap dengan datuknya di kampung sebelum ibu bapanya berpindah bersamanya ke bandaraya. Lama menetap di kota, dia semakin lupa suasana hidup di kampung. Gara-gara satu pengalaman mengerikan yang tidak diketahui ketika kecil, Badrol merahsiakan rasa takutnya terhadap katak dan kodok.

* Lim - BUDAK paling pintar dalam geng dan lebih banyak membuat pertimbangan dan perancangan berbanding yang lain. Dia suka bersiap sedia setiap kali pergi bercuti. Disebabkan sifat paranoidnya, dia kerap membawa alatan yang tidak perlu. Ia menjadikan Lim sukar dipisahkan daripada beg galasnya.

* Rajoo - BUDAK kecil yang cergas, periang, mesra dan jujur. Dia suka bersiar-siar dengan lembu peliharaannya, Sapy selain gemar menyanyi dan menari ikut rentak muzik. Rajoo mengaku dirinya berkebolehan berkomunikasi dengan haiwan, meskipun diragui oleh temannya yang lain.

* Ros - Gadis paling jelita di kampung tetapi dia tidak selurus yang disangka. Dia perlu membantu neneknya menjual makanan ringan sambil mengawasi adik-adiknya yang sering membabitkan diri mereka dalam masalah. Kedegilan adik-adiknya itu sering membuatnya marah. Dia gemar menonton drama Melayu lama serta melakonkan semula watak yang ditonton.

* Upin dan Ipin - ADIK beradik kembar botak yang suka berkeliaran dengan kaki ayam sambil mencari keseronokan dan keghairahan di mana saja mereka ada. Mereka sering dimarahi kakak mereka, Ros kerana nakal dan degil. Gemar menonton filem aksi dan ke mana pergi tidak lupa membawa pistol mainan. Upin yang lebih tua mempunyai sehelai rambut di kepalanya membuatkan dia begitu berbangga. Upin pula agak pelat menyebut perkataan yang mempunyai abjad S.

Baca Sepenuhnya...

#128. Epilog: Apabila FFM beralih ke Kota Kinabalu

19hb Februari, 2009
Berita Harian
Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

FESTIVAL Filem Malaysia (FFM) untuk edisi ke-22 dirancang untuk diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada awal Ogos ini. Inilah kali pertama penganjuran FFM sejak kali pertama diadakan pada 1980 kini ia bakal diadakan pula di Malaysia Timur, bersesuaian dengan semangat integrasi nasional.

Secara peribadi, apabila mendapat tahu mengenai FFM22 bakal diadakan di Sabah tahun ini, ia mengingatkan saya betapa ketika era 1970-an, pada ketika suasana filem Melayu makin suram dan jumlah penerbitannya makin menyusut, muncul satu syarikat filem bernama Sabah Film Productions tampil berani melabur membantu memeriahkan penerbitan filem tempatan. Atas inisiatif produsernya, Deddy M Borhan yang datang dari Sabah, maka lahirlah filem komedi, Keluarga Si Comat pada 1975 menerusi arahan Aziz Sattar (Datuk).

Sabah Film Productions bagaikan memberi rangsangan baru kepada produser filem lain ketika itu untuk berani melabur dalam penerbitan filem dan lebih manis kehadiran filem sulung Sabah Film Productions itu telah membuka mata pihak pengurusan Cathay Organisatons yang mempunyai puluhan pawagam di negara ini untuk sedia membuka dewan panggungnya kepada filem dari syarikat kecil seperti Sabah Film Productions. Nama syarikat itu juga menarik kerana ia satu-satunya nama syarikat filem yang ada sejak dari dulu mahupun kini yang menggunakan nama sebuah negeri di Malaysia sebagai nama syarikat.

Sabah Film Productions juga aktif menghasilkan filem cereka lain selepas itu dan sekali gus merangsang semula banyak penerbitan filem Melayu. Filem lain keluarannya selepas Keluarga Si Comat yang mendapat sambutan baik ialah beberapa judul hebat era pertengahan 1970-an dan awal 1980-an. Antara nya ialah filem Hapuslah Air Matamu, Kisah Seorang Biduan, Si Badul, Si Luncai, Pendekar, Sumpah Semerah Padi, Mat Salleh Pahlawan Sabah, Di Ambang Kasih, Talak, Si Jantung Hati dan Gila-Gila. Sabah Film Procutions turut mencipta sejarah dan menjadi terkenal menerusi filem unggul terbitannya dari segi komersial hasil lakonan Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud dengan judul Azura (1984).

Jadi, sesuai sangatlah FFM untuk musim ini dibawa ke Sabah - sekurang-kurangnya tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa syarikat dan anak Sabah dulu yang membantu memeriahkan dan memberi impak terhadap semangat filem Melayu dan industri filem kita.

FFM22 iaitu untuk musim 2009 dijadualkan bakal berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos ini, menerusi penganjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Kerajaan Negeri Sabah. Penganjuran FFM kali ini nampaknya dirancang lebih awal supaya ia lancar dan teratur kerana kita sedar bukan mudah untuk membuat persiapan dan menguruskan penyertaan delegasi apatah lagi beratus-ratus warga filem termasuk wakil media massa dari Kuala Lumpur akan berkunjung ke Kota Kinabalu untuk meraikan FFM22 nanti.

Sebelum ini bukan tidak pernah FFM diadakan di luar Kuala Lumpur seperti di Ipoh, Melaka, Shah Alam, Johor Bahru dan Pulau Pinang tetapi apabila kali pertama ia bakal berlangsung di luar Semenanjung, ia memberi sesuatu yang mungkin menarik dan mampu merakyatkan festival itu sendiri. Barangkali penganjur ada sebab tersendiri kenapa kali ini ia mahu diadakan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Tentu ramai juga warga filem bertanya apa relevan FFM22 bakal diadakan di Kota Kinabalu? Kenapa nak buat sampai jauh ke sana yang tentunya akan membabitkan kos tinggi terutama dari segi perbelanjaan penerbangan dan logistik? Tentunya juga ia akan mengambil banyak masa dan tenaga kepada peserta dan untuk jawatan kuasa membuat persiapan. Apapun alasannya kita harus melihat penganjuran di Kota Kinabalu adalah satu usaha yang baik dan wajar, selain ia memberi daya tarikan baru supaya acara ini dapat dikongsi dengan masyarakat Sabah dan tahap sambutan dan sokongan daripada rakyat negeri itu tentunya mampu menjadikan FFM22 lebih meriah dan mencapai matlamatnya.

Usaha merakyatkan filem yang dibuat kerajaan menerusi Finas wajar berterusan. Penganjuran festival empat hari di Kota Kinabalu adalah usaha untuk berkongsi dengan rakyat Sabah bagi meraikan filem tempatan, selain mendekatkan mereka dengan industri filem yang selama ini dilihat ia seolah-oleh menjadi milik orang di Semenanjung. Perlu juga ingat bahawa kutipan filem Melayu di beberapa pawagam di Sabah ada kalanya juga begitu baik dan ini membuktikan rakyat Sabah menerima filem tempatan dengan positif. Selain masyarakat berpeluang bertemu bintang filem, seniman dan karyawan yang hadir di sana nanti, kita harap FFM22 akan dapat mengajak lebih ramai rakyat di negeri itu untuk sama-sama meningkatkan apresiasi terhadap filem dari negara kita sendiri, selain mencambah semangat dan inspirasi kepada bakat muda yang ada di negeri itu.

Kita wajar menghayati semula maksud festival filem itu sendiri, iaitu bukan sekadar untuk melihat apa judul filem yang bertanding dan karya mana yang menang, atau siapa pelakon dan pengarah berjaya kali ini. Festival seperti FFM penting untuk dijadikan landasan ke arah membudayakan filem di kalangan masyarakat, iaitu sentiasa peka dan sedar dengan perkembangan industri filem tempatan dan pada masa sama harus menyokong setiap filem yang memasuki pawagam mahupun ia ditayangkan menerusi kaca televisyen.

Menerusi FFM, ia bukan saja acara pertandingan tetapi hal berkaitan dunia filem itu sendiri harus didedahkan kepada masyarakat menerusi pameran, tayangan, seminar dan pelbagai acara lain yang boleh memberi peluang untuk memesrakan dunia filem dengan masyarakat di sana. Kita juga harus memberi pujian kepada pemimpin Kerajaan Negeri Sabah kerana sudi dan sedar untuk melihat FFM tahun ini diraikan di negeri itu. Kita yakin penganjurannya di Kota Kinabalu akan memberi satu tanda aras baru yang lebih meyakinkan untuk melihat FFM begitu penting ke arah memartabatkan masa depan dan nasib filem tempatan.

Kita juga berharap, penganjur akan lebih teliti untuk menyusun atur cara dan membuat perancangan serta persiapan terbaik bagi menjayakan FFM22 supaya acara itu nanti akan memberi kenangan manis dan berharga kepada semua yang terbabit. Jangan lagi kedengaran rungutan yang berupa rumah siap pahat berbunyi.

Kata orang, usah dikejar gunung balam, hilang kabus nampaklah ia...

Baca Sepenuhnya...

Rabu, Februari 18, 2009

#126. Fragmen: Peranan Filem Negara perlu diperkukuhkan, perluas

18hb Februari, 2009
Berita Harian
Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my


Janet Khoo dalam Filem Paloh

Kementerian Penerangan patut gerakkan agensi untuk hasilkan filem, program TV bertema sejarah negara.

FILEM Negara adalah antara agensi di bawah pentadbiran Kementerian Penerangan yang peranannya adalah menjadi pusat penyimpanan dokumen atau arkib dalam bentuk visual yang membabitkan kepentingan kerajaan.Begitupun, Filem Negara juga sebenarnya boleh menjadi agensi penting untuk menyebar propaganda atau dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. Memang sehingga hari ini kita masih boleh melihat peranan Filem Negara dalam menyebarkan atau menghebahkan pelbagai program kerajaan seperti yang diumumkan dalam pembentangan belanjawan negara bagi tahun 2009.

Dalam erti kata lain, Filem Negara adalah satu lagi alat penting di bawah Kementerian Penerangan selepas Jabatan Penyiaran untuk menghebahkan program atau propaganda kerajaan. Jabatan Penyiaran adalah agensi yang mentadbir Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Bagaimanapun, disebabkan terlalu memberi tumpuan terhadap RTM, Kementerian Penerangan agak terlupa bahawa Filem Negara boleh memainkan peranan besar dalam menyebarkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan nasional. Cuma cara dan pendekatannya mungkin agak berbeza sikit.

Peranan dan fungsi Filem Negara sejak dua dekad kebelakangan ini tidaklah begitu menonjol, lebih-lebih lagi dengan kemunculan stesen TV dan radio swasta. Apabila Kementerian Penerangan menaungi Filem Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kedua-dua agensi ini pernah dilihat sebagai bergerak agak seiringan. Ketika Finas berperanan sebagai pentadbir segala aktiviti perfileman tanah air, Filem Negara pula menjadi institusi yang mampu menerbitkan filemnya sendiri.

Pernah pada satu ketika Kementerian Penerangan memperuntukkan sehingga RM12 juta kepada Finas untuk menerbitkan filem bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan. Finas kemudian bekerjasama dengan Filem Negara dan akhirnya terhasillah filem Embun dan Paloh.

Sebenarnya, Kementerian Penerangan masih boleh menyediakan peruntukan khusus kepada Filem Negara untuk terus menerbitkan filem-filem kenegaraan walaupun Finas sudah berada di bawah kementerian lain. Walaupun berbeza kementerian, kita berpandangan bukanlah susah sangat untuk Finas dan Filem Negara berpadu tenaga menerbitkan filem khusus untuk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menekankan betapa pentingnya sejarah kepada rakyat Malaysia. Penekanan terhadap aspek sejarah tidak semata-mata disebarkan di sekolah atau institusi pengajian tinggi iaitu dalam bentuk teks atau bertulis saja, tetapi juga sepatutnya diiringi dalam medium visual.

Filem atau program TV adalah satu daripada medium yang boleh mempopular mata pelajaran Sejarah, terutama sejarah membabitkan negara kita.

Bagaimanapun, berapa banyak program TV kita yang memaparkan sejarah kenegaraan? Dalam filem pula, selepas 1957: Hati Malaya arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, belum ada lagi pengarah yang sudah menyiapkan filem sejarah negara.

Kekosongan dalam menghasilkan filem, program TV atau dokumentari sejarah negara ini sepatutnya dimulakan oleh Filem Negara. Ini kerana Filem Negara bukan saja agensi kerajaan tetapi juga mempunyai banyak bahan yang dapat dieksploitasikan sebagai bahan untuk tatapan umum.

Melihat kepada keadaan semasa, apabila generasi muda semakin lupa dan lalai dengan sejarah negara, sudah tiba masanya Kementerian Penerangan menggerakkan atau sekurang-kurangnya mengkaji semula peranan Filem Negara.

Proses ini bukanlah bermakna Kementerian Penerangan perlu mengambil semula Finas seperti yang dihebahkan sebelum ini, tetapi boleh diadakan satu bentuk kerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk menghasilkan program TV, dokumentari atau filem bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan.

Dalam sejarah Filem Negara, agensi ini memang pernah menerbitkan filem cereka yang bertemakan kemasyarakatan. Harus diingat apabila menyebut filem kenegaraan atau patriotik, ia tidak semestinya cerita mengenai perjuangan askar, polis atau cerita berkaitan dengan perjuangan politik menuntut kemerdekaan saja. Cerita seperti itu memang penting, tetapi dalam perspektif sekarang, kita harus ada cerita dalam filem, TV atau apa saja program TV yang mencerminkan pencapaian negara kita sehingga hari ini yang patut jadi kebanggaan dan kemegahan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita juga perlu ada cerita yang memperlihatkan betapa kita sebenarnya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara luar. Kita juga berasa bangga dan bersyukur dengan apa yang ada serta yang sudah dicapai oleh negara kita berbanding negara ornag lain.

Pada tahun 1982, Filem Negara menerbitkan filem Gelombang iaitu filem cereka yang mengisahkan kehidupan nelayan. Filem ini cuba mengangkat cara untuk memperbaiki kehidupan masyarakat nelayan dengan menubuhkan koperasi supaya hasil jualan ikan dapat dipasarkan dengan sistematik.

Filem Bila Hati Telah Retak yang diterbitkan oleh Filem Negara pada tahun 1983 adalah satu contoh mengenai sebuah filem yang memaparkan kegigihan dan kecekalan jururawat desa menjalankan tugasnya di kampung dengan penduduknya belum terdedah dengan dunia perubatan moden sepenuhnya.

Filem Negara mungkin mungkin mempunyai tenaga kreatif yang mencukupi, manakala Finas pula memiliki kemudahan produksi yang moden. Kita percaya dua agensi kerajaan ini apabila bergabung, sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk menghasilkan filem-filem cereka yang berlatarkan sejarah negara.

Kita bukan saja ketandusan, bahkan tidak ada filem atau program TV bercorak sejarah, patriotik dan kenegaraan. Apa yang kita ada atau tonton adalah filem atau program lama yang asyik di ulang tayang saja. - zainuri@bharian.com.my

Baca Sepenuhnya...

Isnin, Februari 16, 2009

#117. Tak rugi buat filem Senario

16hb Februari, 2009
Berita Harian
Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my




David belanja besar untuk sambungan filem Senario The Movie Episode 2

KEJAYAAN membuat kutipan kasar sebanyak RM4.5 juta tahun lalu ditambah perjanjian awal untuk menerbitkan filem Senario sebanyak tiga episod mendorong Metrowealth Movie Production (MMP) menerbitkan sebuah lagi filem sekuel iaitu Senario The Movie Episode 2: Beach Boys. Biarpun sebelum ini ramai yang mempertikaikan apakah kumpulan trio ini masih lagi mempunyai taring kerana sudah lebih sedekad mereka berada dalam bidang anak seni, namun kejayaan filem itu mencapai tahap pecah panggung membuktikan Senario masih belum ada pencabarnya.

Malahan kejayaan itu membuatkan kepercayaan penerbit filem ini, David Teo terhadap kumpulan Senario terus kukuh sehingga sanggup berkorban wang ringgit demi kumpulan ini. Buktinya, untuk filem terbaru yang diarahkan Ahmad Idham ini, David sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar.

Bukan kenyataan sembarangan tetapi perkara ini diakui sendiri David pada majlis pelancaran filem Senario The Movie Episode 2:Beach Boys, di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

“Untuk filem ini kita mengeluarkan belanja yang agak besar berbanding terdahulu. Jika filem pertama bajet kita RM1.5 juta, kali ini jumlahnya meningkat menjadi RM1.7 juta. Ini kerana dalam filem ini kita juga menampilkan tiga pelakon wanita yang menjadi pasangan kepada Senario.

“Menambah bilangan pelakon, selain watak utama sudah pasti sedikit sebanyak turut meningkatkan kos. Tapi tak apa, kerana saya percaya untuk hasilkan filem yang baik, kita tidak perlu terlalu berkira,” kata David.

Tambahnya, walaupun keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan ketika ini, namun perkara itu bukanlah persoalan utama untuk dia mengurangkan perbelanjaan bagi pembikinan filem ini.

“Bagi saya filem Senario Episod 1 sudah meletakkan satu tanda aras cukup tinggi dan mencapai kutipan tahap pecah panggung. Jadi sebagai penerbit, saya harus meningkatkan lagi kualiti sedia ada atau sekurang-kurangnya kekalkan apa yang sudah kita sajikan kepada penonton.

“Jadi sebab itu saya tidak kisah mengeluarkan peruntukan lebih untuk filem ini kerana kita tidak mahu peminat kecewa apabila hanya filem pertama saja yang bagus manakala untuk bahagian berikutnya, kita buat ala kadar saja. Saya mahu jadi seorang produser yang bertanggungjawab,” jelas David memperlihatkan kesungguhannya.

Selain Datuk Jamali Shadat, Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet memegang watak utama, filem ini juga turut didukung oleh Maria Farida, Marsha, Nik Sayyidah, Riezman Khuzaimi dan Munir.

Ditanya apakah ada potensi untuk filem Senario akan disambung lagi sekiranya filem ini terus mendapat sambutan menggalakkan, David berkata sebagai penerbit filem, dia tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kerjasama itu namun bersyarat.

“”Dalam kontrak kita cuma ada tiga episod. Namun kalau selepas ini hendak buat sampai 10 episod pun saya tak kisah asalkan mereka kekal dengan keadaan sikap seperti sekarang, tak buat perangai dan boleh terus beri kerjasama dengan produksi saya,’ tegasnya.

Mengenai kemunculan Senario dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG yang dilihat boleh memberi kesan kepada jenama filem Senario itu sendiri, David tidak melihat perkara itu sedemikian.

“Dalam filem ini, kami mengundang Azlee dan Lan Pet Pet saja untuk berlakon. Jadi saya tidak rasa ia boleh mengelirukan penonton di kemudian hari,” katanya.

Mengulas lanjut tema filem ini, Ahmad berkata untuk Senario Episod 2, dia mengetengahkan tema pengembaraan cinta yang sebelum in i jarang diketengahkan dalam filem tempatan.

“Jika sebelum ini kami memaparkan mengenai biografi kumpulan Senario sebelum mereka menjadi terkenal seperti sekarang, kali ini kita bawakan kisah percutian mereka di sebuah pulau yang akhirnya membawa kepada tragedi.

“Dalam filem ini nanti, mereka akan mempunyai pasangan masing-masing. Di situlah nanti akan berlaku konflik dan pelbagai kejadian lucu terjadi,” katanya sambil memberitahu filem ini menjalani penggambaran sebanyak 95 peratus di Pulau Pangkor, Perak.

Program diiktiraf MBOR

LEBIH sedekad mengharungi hidup sebagai anak seni, nampaknya bintang kumpulan yang dicungkil bakatnya menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan terus mengerdip sehingga kini. Pelbagai kumpulan lawak seperti mereka, datang dan pergi namun Senario masih kekal di situ tanpa sebarang pengganti.

Malahan, populariti mereka tetap utuh di kalangan kanak-kanak hinggalah yang sudah berumur. Program televisyen mereka juga masih bertahan sehingga kini.

“Kami bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada kami. Kami harap, Senario akan terus bertahan sampai bila-bila. Mungkin apabila kami sudah tiada lagi, kami harap peminat terus ingat seperti mana mereka mengenang Bujang Lapok. Kami mahu menjadi lagenda dalam industri seni,” ujar Azlee.

Bukan mahu mendabik dada, sebaliknya Azlee berkata dia terharu kerana ketika ini masih ada insan yang menghargai bakat dan usaha mereka sebagai anak seni apabila program Senario yang disiarkan di TV3 sejak 12 tahun lalu bakal mendapat pengiktirafan.

“Saya dapat tahu program Senario itu bakal dimasukkan dalam Malaysian Books Of Records (MBOR) sebagai program paling lama ditayangkan di Malaysia. Pengiktirafan itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya yang akan menampilkan komedi lebih matang dalam filem ini.

Baca Sepenuhnya...

Sabtu, Februari 14, 2009

#112. @Sinepleks: Demam Academy ke-81 bermula

14hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff

The Curious Case of Benjamin Button bakal jadi tumpuan pengkritik filem

DILIHAT sebagai calon pilihan pada Anugerah Academy Ke-81, The Curious Case of Benjamin Button sudah semestinya sebuah filem yang kuat, bukan hanya dari segi pengarahan, lakonan, cerita dan sinematografi, malah solekan serta rekaan pakaiannya juga mengagumkan. Maka tidak hairanlah apabila kesemua aspek itu mendapat perhatian juri Academy.

Lebih membanggakan, filem arahan David Fincher yang sebelum ini pernah tampil bersama Se7en, The Fight Club, Panic Room dan Zodiac ini rata-rata mendapat kritikan positif daripada penulis filem antarabangsa.

Ditayangkan penghujung tahun lalu di Amerika, sebanyak 79 kali filem terbabit muncul dalam senarai Top 10 daripada 286 kritikan berbeza bagi tahun 2008.

Menurut CriticsTop10, filem ini muncul dalam lebih 136 kritikan filem Top 10, dengan 12 daripadanya mengisi kedudukan pertama. Ia juga diletakkan pada kedudukan keenam daripada segi kemunculan dalam kritikan filem 10 terbaik.

Dari sudut itu saja sudah membayangkan betapa filem yang dibuat bersumberkan cerita pendek tulisan F Scott Fitzgerald pada 1921 itu mendapat tempat yang baik di kalangan penulis filem, seterusnya muncul calon pilihan untuk menggondol beberapa Oscar pada majlis anugerah paling berprestij di dunia.

Peminat juga memberikan sambutan baik kepada filem ini apabila kutipannya sudah pun menjangkau RM564 juta di seluruh dunia.

Filem yang memulakan produksi sekitar November 2006 itu dibintangi bintang hebat seperti Brad Pitt, Cate Blanchett serta Julia Ormond. Turut menjayakannya ialah Taraji P. Henson, Tilda Swinton, Mahershalalhashbaz Ali, Jared Harris, Jason Flemyng dan ramai lagi.

Filem The Curious Case of Benjamin Button mengisahkan seorang lelaki dilahirkan dengan keadaan yang cukup luar biasa. Benjamin Button dilahirkan pada usia 80 tahun. Berbeza dengan insan lain di sekelilingnya, semakin dia dewasa semakin bertambah muda.

Diletakkan dalam kategori drama fantasi, ia bukan saja bercerita mengenai perjalanan hidup Benjamin itu sendiri, yang dibuang bapanya ketika masih bayi. Malah filem ini melihat kepada beberapa karakter yang wujud di sekitar kehidupan lelaki terbabit.

Antaranya seorang wanita kulit hitam yang mengambilnya sebagai anak angkat, seorang wanita tua yang mengajarnya bermain muzik, seorang lelaki Afrika yang memperkenalkannya kepada dunia luar, serta seorang kapten yang membawanya mengenali dunia sebenar termasuk Peperangan Dunia Kedua.

Tidak dilupakan tentunya kisah cinta Benjamin sendiri dengan sekurang-kurangnya dua wanita yang dilihat begitu bererti. Pada awalnya muncul Tilda Swinton sebagai Elizabeth Abbott, isteri seorang pegawai tinggi British yang menjalinkan hubungan cinta dengannya.

Kemudian hadir Cate Blanchett sebagai Daisy Fuller, wanita yang dicintai lelaki itu sejak awal hingga akhir.

Pertemuan yang berlaku ketika Daisy masih kanak-kanak (begitu juga dengan Benjamin, walaupun dalam fizikal yang begitu tua) berlarutan sehingga ke akhir cerita. Oh! ya, jangan lupa sediakan tisu kerana penghujungnya memang menusuk jiwa.

Brad Pitt sendiri menampilkan lakonan yang memberangsangkan, sebagai lelaki yang dilahirkan amat luar biasa. Penonton akan dapat melihat perubahan wataknya, daripada lelaki berusia 80 tahun sehingga usianya sekarang, seterusnya menjadi bayi dalam dukungan. Solekan yang hebat membolehkan aktor itu melihat sendiri bagaimana rupanya nanti, kira-kira 34 tahun dari sekarang.

Taraji yang memegang watak ibu angkatnya pula mencuri perhatian dengan lakonan meyakinkan. Tidak hairanlah apabila namanya turut tersenarai sebagai calon akhir Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Academy, 23 Februari ini (tarikh di Malaysia).

Di negara ini, filem The Curious Case of Benjamin Button mula ditayangkan pada 12 Februari.

Info

Pencalonan The Curious Case of Benjamin Button pada Anugerah Academy Ke-81:

Filem Terbaik

Pengarah Terbaik: David Fincher

Pelakon Lelaki Terbaik: Brad Pitt

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Taraji P. Henson

Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Eric Roth

Sinematografi Terbaik: Claudio Miranda

Suntingan Filem Terbaik

Skor Asal Terbaik: Alexandre Desplat

Arahan Seni Terbaik

Rekaan Pakaian Terbaik

Solekan Terbaik

Adunan Bunyi Terbaik

Kesan Visual Terbaik



Carta pecah panggung:

1 - Ong Bak 2

2 - The Pink Panther 2

3 - Look For A Star

4 - Sifu And Tangga

5 - Naan Kadavul

6 - Underworld: Rise Of The Lycans

7 - All's Well End's Well 2009

8 - The Wedding Game

9 - Red Cliff Part 2

10 - Inkheart

Baca Sepenuhnya...

Khamis, Februari 12, 2009

#101. Epilog: Perlukah dianjur festival filem, drama seram?

12hb februari, 2009
Berita Harian
Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

BARU-BARU ini ketika saya menghadiri satu acara di Filem Negara Malaysia, beberapa kenalan dalam industri filem yang ditemui meluahkan rasa gusar mereka mengenai perkembangan masa depan filem Malaysia ketika ini kerana trend filem seram semakin menjadi-jadi di Malaysia. Tidak cukup dengan itu, stesen televisyen juga ghairah menyiarkan banyak drama bersiri atau telemovie mengenai kisah hantu dan dunia mistik yang ada kalanya menjadi karut dan tidak memberi faedah kepada masyarakat.

Antara hujah mereka ialah memang tidak salah untuk memenuhi selera masyarakat, tetapi jika dibiarkan secara berlebih-lebihan keadaan akan menjadi tidak terkawal kerana filem berkonsep seram ketika ini sudah terlalu banyak dan ia tidak memberi impak besar dalam industri filem khususnya dari segi pembinaan kualiti minda, sahsiah dan

Ini disebabkan filem seram selalunya sukar untuk diukur dari segi mutu dan idea kerana topik mengenai hantu selalunya dianggap sebagai filem yang rendah pemikirannya kerana mengajak penonton menghayati kisah yang mengkhayalkan dan tidak logik, meskipun teknik pembikinan, aspek naratif mahupun elemen dramatik berjaya dari segi memikat ramai penonton.

Seorang daripada mereka dengan tegas tetapi berseloroh berkata: “Semua jenis hantu di Malaysia dan dibuat filem dan drama, tak ada lagi hantu yang tidak dibuat filem... sebutlah apa lagi hantu yang tinggal?” kata orang itu yang juga pengarah drama terkenal.

Berikutan perbualan itu, seorang daripada mereka yang juga ahli jawatan kuasa Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mencadangkan sudah tiba masanya Malaysia ada festival khusus untuk memberi perhatian kepada filem dan drama serta program dokumentari TV yang berkaitan mengenai dunia mistik, seram dan cerita hantu supaya penilaian dibuat untuk mencari yang mana contoh karya yang baik.

Walaupun cadangan itu nampak seperti lawak tetapi sekali fikir ada logiknya kerana memang ketara industri perfileman tempatan dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini diisi dengan banyak filem cereka, drama dan program TV yang menyentuh mengenai dunia paranormal yang ada kalanya ia keterlaluan hingga mencipta paradoks.

Namun, dari segi sambutan di pawagam, bukan calang-calang kutipan yang sering diperoleh menerusi filem seram seperti kita pernah dikejutkan dengan kutipan bersejarah yang dicatat menerusi Jangan Pandang Belakang yang mencapai lebih RM7 juta, begitu juga filem Histeria yang baru saja selesai tayangannya dikatakan mencapai kutipan lebih RM3 juta.

Jika dikumpulkan dari awal filem seram generasi baru dihasilkan bermula dengan Pontianak Harum Sundal Malam dan Pontianak Menjerit, rasanya sudah ada hampir 20 judul filem cereka yang berkisar mengenai dunia misteri dan hantu sudah diterbitkan. Ini termasuklah beberapa lagi judul cereka seram yang bakal ditayangkan tahun ini termasuk Rasukan Ablasa yang dijadualkan ditayang bermula 26 Februari ini, selain menyusul nanti ialah Jin Hutan, Jin Notti, Skrip 7707, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak, Momok The Movie, Eee... Hantu!, Misteri Dendam Balan-Balan dan Serrrem.

Melihat dari sudut positif, ada baiknya juga satu penganugerahan khas mengenai karya berkaitan dunia mistik, kisah seram dan cerita hantu diwujudkan untuk mengumpul semua filem cereka seram yang diterbitkan di negara ini khususnya pada dekad ini termasuklah juga anugerah khas bagi kategori drama TV mengkhusus mengenai kisah seram. Di luar negara seperti juga sudah ada beberapa festival filem seram yang dianjurkan di peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Seram & Fantasi Estepona di Sepanyol. Meskipun ia bukan anugerah berprestij tetapi kelainan itu menarik kerana menghimpunkan filem bercorak seram dari seluruh dunia untuk dinilai dan mengumpulkan karyawan filem genre sedemikian.

Kita tidak wajar melihat penerbitan filem seram yang berterusan ketika ini sebagais esuatu yang negatif semata-mata kerana apa yang berlaku ini sekadar trend dan selagi ada permintaan di kalangan penonton. lagipun ia dihasilkan bukan sekadar untuk suka-suka atau merapu kosong sebaliknya ada juga kebaikan yang boleh dilihat kerana selain elemen seram dan ada unsur tahyul tetapi aspek keagamaan juga dikaitkan untuk membuktikan bahawa selagi kita berpegang teguh pada tauhid, yakin pada Tuhan dan Islam, selagi itulah kita usah takut pada hantu mahupun orang yang berperangai hantu. Filem seram juga banyak mencabar kreativiti karyawan filem kita untuk menjadi lebih kreatif dan mahir bermain dengan visual dan mood karya genre seram, begitu juga pelakon tentunya ia juga mencabar mereka untuk beraksi dalam filem sedemikian seperti mana kita pernah lihat penampilan Maya Karin sebagai pontianak dan Ruminah Sidek sebagai wanita tua yang menjelma sebagai hantu belaan.

Filem seram tetap relevan dengan dunia filem bukan saja di Malaysia malah di Thailand, Indonesia dan Brunei juga bersepah dengan filem seram yang ada kalanya melonjakkan nama dan bakat seseorang pengarah. Filem seram di Malaysia bukan saja muncul pada dekad ini tetapi pada era kegemilangan filem Melayu juga sudah ada beberapa judul mengenainya dihasilkan tetapi ia tidak pernah pun menjejaskan pemikiran penonton sehingga ada yang boleh dianggap sebagai terpesong akidahnya. Filem seram yang dihasilkan di Malaysia tetap dikawal oleh badan penapisan filem dan selalunya selepas ia menjadi riuh dan disukai ramai kemudian ia juga akan ditinggalkan begitu saja kerana tetap dianggap sebagai sebuah karya sekadar untuk hiburan semata-mata.

Sebagai sebuah karya, lambaklan filem seram tempatan bukan seasuatu yang membimbangkan sebaliknya ia cuma trend bermusim dan suatu ketika nanti mungkin dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi, trend ini akan pudar dan karyawan filem kita pastinya beralih pada trend yang lain pula seperti aksi padat, epik sejarah, komedi, muzikal mahupun melodrama. Selepas itu, suatu ketika untuk jangka panjang, trend ini akan kembali dan begitulah seterusnya dunia filem ayng akan berkait dengan suasana dan selera semasa.

Kata orang, sementara mendapat rotan, akar pun berguna juga...

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP