#112. @Sinepleks: Demam Academy ke-81 bermula
14hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
The Curious Case of Benjamin Button bakal jadi tumpuan pengkritik filem
DILIHAT sebagai calon pilihan pada Anugerah Academy Ke-81, The Curious Case of Benjamin Button sudah semestinya sebuah filem yang kuat, bukan hanya dari segi pengarahan, lakonan, cerita dan sinematografi, malah solekan serta rekaan pakaiannya juga mengagumkan. Maka tidak hairanlah apabila kesemua aspek itu mendapat perhatian juri Academy.
Lebih membanggakan, filem arahan David Fincher yang sebelum ini pernah tampil bersama Se7en, The Fight Club, Panic Room dan Zodiac ini rata-rata mendapat kritikan positif daripada penulis filem antarabangsa.
Ditayangkan penghujung tahun lalu di Amerika, sebanyak 79 kali filem terbabit muncul dalam senarai Top 10 daripada 286 kritikan berbeza bagi tahun 2008.
Menurut CriticsTop10, filem ini muncul dalam lebih 136 kritikan filem Top 10, dengan 12 daripadanya mengisi kedudukan pertama. Ia juga diletakkan pada kedudukan keenam daripada segi kemunculan dalam kritikan filem 10 terbaik.
Dari sudut itu saja sudah membayangkan betapa filem yang dibuat bersumberkan cerita pendek tulisan F Scott Fitzgerald pada 1921 itu mendapat tempat yang baik di kalangan penulis filem, seterusnya muncul calon pilihan untuk menggondol beberapa Oscar pada majlis anugerah paling berprestij di dunia.
Peminat juga memberikan sambutan baik kepada filem ini apabila kutipannya sudah pun menjangkau RM564 juta di seluruh dunia.
Filem yang memulakan produksi sekitar November 2006 itu dibintangi bintang hebat seperti Brad Pitt, Cate Blanchett serta Julia Ormond. Turut menjayakannya ialah Taraji P. Henson, Tilda Swinton, Mahershalalhashbaz Ali, Jared Harris, Jason Flemyng dan ramai lagi.
Filem The Curious Case of Benjamin Button mengisahkan seorang lelaki dilahirkan dengan keadaan yang cukup luar biasa. Benjamin Button dilahirkan pada usia 80 tahun. Berbeza dengan insan lain di sekelilingnya, semakin dia dewasa semakin bertambah muda.
Diletakkan dalam kategori drama fantasi, ia bukan saja bercerita mengenai perjalanan hidup Benjamin itu sendiri, yang dibuang bapanya ketika masih bayi. Malah filem ini melihat kepada beberapa karakter yang wujud di sekitar kehidupan lelaki terbabit.
Antaranya seorang wanita kulit hitam yang mengambilnya sebagai anak angkat, seorang wanita tua yang mengajarnya bermain muzik, seorang lelaki Afrika yang memperkenalkannya kepada dunia luar, serta seorang kapten yang membawanya mengenali dunia sebenar termasuk Peperangan Dunia Kedua.
Tidak dilupakan tentunya kisah cinta Benjamin sendiri dengan sekurang-kurangnya dua wanita yang dilihat begitu bererti. Pada awalnya muncul Tilda Swinton sebagai Elizabeth Abbott, isteri seorang pegawai tinggi British yang menjalinkan hubungan cinta dengannya.
Kemudian hadir Cate Blanchett sebagai Daisy Fuller, wanita yang dicintai lelaki itu sejak awal hingga akhir.
Pertemuan yang berlaku ketika Daisy masih kanak-kanak (begitu juga dengan Benjamin, walaupun dalam fizikal yang begitu tua) berlarutan sehingga ke akhir cerita. Oh! ya, jangan lupa sediakan tisu kerana penghujungnya memang menusuk jiwa.
Brad Pitt sendiri menampilkan lakonan yang memberangsangkan, sebagai lelaki yang dilahirkan amat luar biasa. Penonton akan dapat melihat perubahan wataknya, daripada lelaki berusia 80 tahun sehingga usianya sekarang, seterusnya menjadi bayi dalam dukungan. Solekan yang hebat membolehkan aktor itu melihat sendiri bagaimana rupanya nanti, kira-kira 34 tahun dari sekarang.
Taraji yang memegang watak ibu angkatnya pula mencuri perhatian dengan lakonan meyakinkan. Tidak hairanlah apabila namanya turut tersenarai sebagai calon akhir Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Academy, 23 Februari ini (tarikh di Malaysia).
Di negara ini, filem The Curious Case of Benjamin Button mula ditayangkan pada 12 Februari.
Info
Pencalonan The Curious Case of Benjamin Button pada Anugerah Academy Ke-81:
Filem Terbaik
Pengarah Terbaik: David Fincher
Pelakon Lelaki Terbaik: Brad Pitt
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Taraji P. Henson
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Eric Roth
Sinematografi Terbaik: Claudio Miranda
Suntingan Filem Terbaik
Skor Asal Terbaik: Alexandre Desplat
Arahan Seni Terbaik
Rekaan Pakaian Terbaik
Solekan Terbaik
Adunan Bunyi Terbaik
Kesan Visual Terbaik
Carta pecah panggung:
1 - Ong Bak 2
2 - The Pink Panther 2
3 - Look For A Star
4 - Sifu And Tangga
5 - Naan Kadavul
6 - Underworld: Rise Of The Lycans
7 - All's Well End's Well 2009
8 - The Wedding Game
9 - Red Cliff Part 2
10 - Inkheart
0 ulasan:
Catat Ulasan