Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mac 03, 2009

#187. Skoop : Hype - Lakonan bukan punca barah


Azean Irdawaty tidak pernah salahkan kerjaya seni sebagai punca penyakit yang dialaminya.

Azean Irdawaty tidak pernah sesekali menjadikan kerjaya lakonannya yang diceburi sejak 30 tahun lalu sebagai punca barah payu dara yang dihidapinya ketika ini.

“Saya kurang selesa dengan laporan itu. Ketika berceramah, saya memang ada memberi beberapa sebab mengenai punca barah dan satu daripadanya ialah berkaitan dengan tekanan. Selepas habis sesi ceramah itu diadakan satu sidang media, tetapi bukan untuk saya. Ia dibuat oleh sebuah syarikat yang hendak mempromosikan sebuah mesin berteknologi tinggi untuk menguji barah payu dara.

“Apabila ada wartawan bertanya kepada saya mengenai tekanan, saya memang ada mengatakan berlakon juga boleh mendatangkan tekanan. Tapi saya tidak bermaksud untuk mengatakan saya menghidap barah kerana berlakon.

“Lakonan memang kerjaya saya. Saya besarkan anak-anak dengan duit lakonan. Mungkin wartawan berkenaan salah faham dengan penjelasan saya kerana saya memang tak kata lakonan jadi punca (barah yang dihidapinya),” katanya.

Pelakon berpengalaman luas itu menghubungi Hip untuk menjelaskan satu laporan akhbar yang mendakwa kononnya beliau seolah-olah menyalahkan tekanan yang dialaminya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan menjadi punca kepada barah payu dara yang dihidapinya sekarang.

Laporan itu dipetik ketika Azean membuat ceramah Program Kempen Pengesanan Awal Barah Payu Dara bulan lalu yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Faizah Mohd Tahir.

Azean berkata, berdasarkan pengetahuannya menerusi pelbagai maklumat yang diperoleh, memang doktor pakar onkologi masih belum dapat memastikan apa sebenarnya punca barah.

“Kalau diikutkan barah ini boleh daripada pelbagai punca. Ia mungkin berpunca daripada pemakanan, gen keturunan, tinggal di tempat yang tercemar atau ada radiasi tinggi dan tekanan.

“Tekanan pun ada macam-macam. Ada tekanan emosi, fizikal, tekanan kerja, mental dan kehidupan. Dalam pada itu, ahli psikologi memang ada cakap dalam badan setiap manusia wujud gen kanser. Bezanya ada sel kanser yang doman atau diam yang tiba-tiba boleh hidup dan terus merebak dan membiak dengan pantas.

“Dan saya pernah terbaca, ahli psikologi mengatakan apa yang mencetuskan pembiakan gen kanser yang doman tadi ialah tekanan, apabila kita terlalu tertekan mungkin menyebabkan gen kanser itu jadi cergas,” katanya.

Azean berkata, memanglah sepanjang kehidupannya sebagai pelakon, kadang-kadang berada tertekan tetapi tidak perlulah hendak menghebahkannya kepada umum kerana sesetengah tekanan itu berkait dengan soal peribadi dan keluarga.

“Kita tidak mahu melemahkan semangat peserta yang menghadiri ceramah itu. Jadi saya sebut dengan cara lain iaitu apabila seseorang itu tidak bersyukur dalam hidupnya atau banyak masalah, inilah yang menjadikan berlakunya tekanan,” katanya.

Menurutnya, secara peribadi beliau memang terkilan dan ralat kerana penerangannya mengenai punca barah disebabkan tekanan itu sudah disalah tafsir.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menyalahkan bidang lakonan sebagai punca barah. Saya tak mahu perkara ini melekat dalam pemikiran setiap orang iaitu saya hidap barah kerana lakonan.

“Saya langsung tidak menuding mana-mana pihak untuk dikaitkan dengan penyakit yang saya hadapi ini. Saya pasrah dan reda dengan apa yang saya lalui sekarang.

“Memang tidak pernah sesekali menyalahkan bidang lakonan. Tekanan atau stress itu dialami oleh semua orang dan dalam semua kerja bukan saja lakonan. Apa yang penting ialah kita perlu ada jaga pemakanan yang seimbang,” jelasnya lagi.

Saya masih hidup

Azean juga mengakui terkejut apabila dihebohkan dengan khabar angin kononnya sudah meninggal dunia masih tersebar hingga ke hari ini walaupun sudah beberapa kali beliau memberikan keadaan sebenar dirinya.

“Kali pertama saya dapat berita kononnya saya meninggal dunia pada 30 Januari lalu. Pagi-pagi lagi saya dapat panggilan telefon daripada seseorang. Apabila saya jawab, dia terus menangis sambil mengucapkan syukur Alhamdulillah. Dia terus cakap ya Allah, syukur kak Yan selamat sebab dapat berita kononnya kak yan meninggal dunia.

“Habis saja perbualan itu, adik saya pula buat panggilan, bercerita perkara yang sama. Selepas itu Nash dari Melodi juga hubungi saya. Suara Nash macam lemah, macam tak percaya saya yang menjawab panggilannya. Disusuli dengan TV9 yang kemudian meminta saya menyiarkan secara langsung untuk mengatakan saya masih hidup.

“Selepas itu wartawan Harian Metro, Malay Mail juga tanya. Apabila semua berita sudah keluar di akhbar dan TV, saya anggap cerita itu (Azean meninggal dunia0 sudah selesai. Tapi terbaru, cerita itu masih tersebar lagi,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya beliau tidak mempedulikan khabar angin itu tetapi apabila besannya bertanyakan perkara itu membuatkan terfikir apakah motif individu terbabit menyebarkan cerita kononnya dirinya sudah meninggal dunia.

“Entahlah, saya pun tidak tahu apa yang hendak bolehkan katakan dengan orang yang sebarkan berita kononnya saya sudah mati. Ini macam kerja orang tidak siuman. Saya tidak tahu apa niat orang ini.

“Macam manapun, saya maafkan orang ini. Cuma hentikanlah cerita yang tak betul. Bertaubatlah sebab ini membuatkan pihak lain jadi susah hati,” kata Azean sambil menjelaskan khabar angin itu tidak membuatkan dirinya tertekan.

Bercerita mengenai perkembangan kesihatannya, Azean berkata, beliau bersyukur kerana sudah boleh banyak bergerak dan melakukan pelbagai aktiviti kegemarannya.

“Saya sudah boleh berkebun. Selepas solat subuh, saya sudah boleh menyediakan sarapan, masak untuk makan tengah hari atau buat makanan ringan untuk minum petang.

“Alhamdulillah, saya boleh menghayun penyapu untuk menyapu halaman rumah atau menghias pokok. Ini berbeza dengan beberapa bulan lalu apabila saya tidak terdaya untuk melakukan itu semua.

“Cuma saya tak boleh kena panas. Saya kena buat kerja berkebun itu sebelum matahari naik. Kalau tidak, saya boleh lembik sebab sistem ketahanan dalam badan boleh terjejas akibat terkena panas matahari.

“Pernah terkena panas matahari kerana terlalu asyik berkebun. Akibatnya, saya jadi layu, lembik,” katanya.

Sumber :
Berita Harian
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP