Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Februari 19, 2009

#129. Sambutan Geng luar biasa

19hb Februari, 2009
Berita Harian
Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my



Permulaan menggalakkan apabila catat kutipan kasar RM1.75 juta dalam empat hari

BARANGKALI sasaran mengumpul kutipan RM5 juta dalam tempoh dua minggu bakal menjadi kenyataan apabila filem Geng: Pengembaraan Bermula meraih RM1.75 juta selepas empat hari ditayangkan bermula 12 Februari lalu.Sambutan membanggakan pada minggu pertama tayangan itu memutik keyakinan kepada penerbitnya, Les’ Copaque Production Sdn Bhd filem animasi 3D pertama tempatan itu mampu mencatat kutipan lebih tinggi lagi, mungkin RM10 juta.

Pengarahnya, Mohd Nizam Abdul Razak ketika ditanya mengenai sambutan hangat penonton terutama apabila filem itu mencatat kutipan tertinggi RM650,000, sehingga Sabtu lalu berharap, penerimaan penonton terhadap Geng: Pengembaraan Bermula berlanjutan sehingga musim cuti sekolah, Mac depan.

Pencapaian itu, katanya, adalah di luar jangkaan meskipun mereka yakin ia mampu mencatat jumlah memberangsangkan selepas pengkritik memuji filem yang dihasilkan pada bajet berpatutan.

“Dibandingkan filem animasi Barat yang menelan belanja antara RM15 juta sehingga RM40 juta, filem Geng dihasilkan dengan jumlah kecil iaitu RM4 juta. Namun, itu bukan halangan kami untuk menghasilkan filem yang berkualiti serta diterima umum.

“Mungkin ada beranggapan mustahil untuk, tetapi jika Transformers mampu mengumpul lebih RM18 juta di negara ini, tidak mustahil Geng: Pengembaraan Bermula juga mampu mencapai sasaran yang kita diimpikan,” katanya.

Mohd Nizam, 25, berkata kekuatan filem yang menampilkan watak utama seperti Badrol, Lim, Rajoo, Ros serta Upin dan Ipin bergantung kepada jalan ceritanya yang menarik perhatian pelbagai kelompok penonton.

Mensasarkan Geng: Pengembaraan Bermula kepada khalayak merangkumi profesional hingga kanak-kanak berbilang bangsa, Nizam yakin filem itu mencapai standard filem yang berjiwa Malaysia.

“Ketika promosi di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, kami mendapat tahu permintaan penonton cukup memberangsangkan.

“Ramai penonton kecewa apabila gagal mendapatkan tiket untuk menontonnya. Kami turut dimaklumkan filem Geng pantas mendaki tangga pertama carta pecah panggung di situ dan pencapaian ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Dengan sambutan hebat itu, Nizam berharap pawagam akan memberi laluan kepada Geng: Pengembaraan Bermula untuk bertahan lebih lama dan ditonton lebih ramai pencinta filem animasi yang berjiwa Malaysia.

Katanya, pada permulaan mereka mensasarkan filem ini ditayangkan pada musim cuti persekolahan Disember lalu, malangnya hasrat itu tidak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.

“Bagaimanapun, selepas menimbang pelbagai faktor kami memberanikan diri untuk menayangkannya bulan ini. Jika kami menangguhkan tayangan, filem ini hanya akan menemui penonton sekitar Mei.

“Justeru, untuk mengelak ia tertangguh lebih lama, kami memberanikan diri untuk merebut peluang yang ada. Alhamdulillah, percaturan kami tidak salah dan berharap kejayaan awal ini akan mengekori kegemilangan yang dicipta filem seperti Transformers yang ditayangkan lebih dua bulan,” katanya.

Segala kerja keras mereka selama hampir tiga tahun untuk menyempurnakan Geng: Pengembaraan Bermula terbayar dengan sambutan hangat diberikan penonton.

“Ketika memulakan projek ini ramai meragui kemampuan kami, malah ada yang kurang mempercayai kerana pada masa itu saya baru berusia 23 tahun. Saya tidak ambil hati dengan pandangan skeptikal itu kerana apa yang diusahakan ini sesuatu yang baru di negara kita.

“Tetapi kini usaha keras itu menjadi satu jenama yang cukup besar di negara ini dan penerimaan khalayak membuatkan kami yakin untuk memulakan projek baru, Jun ini,” katanya berterima kasih kepada penerbit Burhanuddin Md Radzi yang mempercayai kemampuan mereka.

Bakal mengembara ke negara luar

TIDAK sekadar menjadi sebutan di negara sendiri, Geng: Pengembaraan Bermula bakal memulakan kembaranya di bumi asing apabila menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Andai segalanya berjalan lancar, filem ini akan memulakan tayangannya di Argentina tidak lama lagi disusuli 50 pawagam di seluruh Indonesia pada musim Aidilfitri nanti. Kata sepakat hampir tercapai dan Nizam percaya, filem itu akan merantau lebih jauh andai diberi sokongan kuat.

“Antara negara yang menyatakan minat untuk menayangkan filem ini termasuk Korea, India dan Amerika Syarikat. Kami juga cuba membawa Geng Pengembaraan Bermula menyertai Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy, Jun ini di Annecy, Perancis.

“Syarat penyertaan yang melarang filem dipertandingkan ditayangkan di negara luar sebelum pertandingan berlangsung membuatkan kami menangguhkan dulu tayangan di Singapura dan Brunei meskipun mempunyai permintaan besar.

“Berdasarkan maklum balas ketika petikan filem ini dibawa ke Amerika Syarikat, November lalu kami yakin ia diterima kerana mereka tertarik dengan keunikan budaya yang dipakejkan menjadi mesej global,” katanya.

INFO: Karektor Utama

* Badrol - BERSAHAJA dan gemar bersenang-senang dan bertindak mengikut gerak hati. Badrol sering cuba berlagak macho dan berani. Sewaktu kecil dia menetap dengan datuknya di kampung sebelum ibu bapanya berpindah bersamanya ke bandaraya. Lama menetap di kota, dia semakin lupa suasana hidup di kampung. Gara-gara satu pengalaman mengerikan yang tidak diketahui ketika kecil, Badrol merahsiakan rasa takutnya terhadap katak dan kodok.

* Lim - BUDAK paling pintar dalam geng dan lebih banyak membuat pertimbangan dan perancangan berbanding yang lain. Dia suka bersiap sedia setiap kali pergi bercuti. Disebabkan sifat paranoidnya, dia kerap membawa alatan yang tidak perlu. Ia menjadikan Lim sukar dipisahkan daripada beg galasnya.

* Rajoo - BUDAK kecil yang cergas, periang, mesra dan jujur. Dia suka bersiar-siar dengan lembu peliharaannya, Sapy selain gemar menyanyi dan menari ikut rentak muzik. Rajoo mengaku dirinya berkebolehan berkomunikasi dengan haiwan, meskipun diragui oleh temannya yang lain.

* Ros - Gadis paling jelita di kampung tetapi dia tidak selurus yang disangka. Dia perlu membantu neneknya menjual makanan ringan sambil mengawasi adik-adiknya yang sering membabitkan diri mereka dalam masalah. Kedegilan adik-adiknya itu sering membuatnya marah. Dia gemar menonton drama Melayu lama serta melakonkan semula watak yang ditonton.

* Upin dan Ipin - ADIK beradik kembar botak yang suka berkeliaran dengan kaki ayam sambil mencari keseronokan dan keghairahan di mana saja mereka ada. Mereka sering dimarahi kakak mereka, Ros kerana nakal dan degil. Gemar menonton filem aksi dan ke mana pergi tidak lupa membawa pistol mainan. Upin yang lebih tua mempunyai sehelai rambut di kepalanya membuatkan dia begitu berbangga. Upin pula agak pelat menyebut perkataan yang mempunyai abjad S.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP