Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Februari 16, 2009

#117. Tak rugi buat filem Senario

16hb Februari, 2009
Berita Harian
Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my




David belanja besar untuk sambungan filem Senario The Movie Episode 2

KEJAYAAN membuat kutipan kasar sebanyak RM4.5 juta tahun lalu ditambah perjanjian awal untuk menerbitkan filem Senario sebanyak tiga episod mendorong Metrowealth Movie Production (MMP) menerbitkan sebuah lagi filem sekuel iaitu Senario The Movie Episode 2: Beach Boys. Biarpun sebelum ini ramai yang mempertikaikan apakah kumpulan trio ini masih lagi mempunyai taring kerana sudah lebih sedekad mereka berada dalam bidang anak seni, namun kejayaan filem itu mencapai tahap pecah panggung membuktikan Senario masih belum ada pencabarnya.

Malahan kejayaan itu membuatkan kepercayaan penerbit filem ini, David Teo terhadap kumpulan Senario terus kukuh sehingga sanggup berkorban wang ringgit demi kumpulan ini. Buktinya, untuk filem terbaru yang diarahkan Ahmad Idham ini, David sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar.

Bukan kenyataan sembarangan tetapi perkara ini diakui sendiri David pada majlis pelancaran filem Senario The Movie Episode 2:Beach Boys, di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

“Untuk filem ini kita mengeluarkan belanja yang agak besar berbanding terdahulu. Jika filem pertama bajet kita RM1.5 juta, kali ini jumlahnya meningkat menjadi RM1.7 juta. Ini kerana dalam filem ini kita juga menampilkan tiga pelakon wanita yang menjadi pasangan kepada Senario.

“Menambah bilangan pelakon, selain watak utama sudah pasti sedikit sebanyak turut meningkatkan kos. Tapi tak apa, kerana saya percaya untuk hasilkan filem yang baik, kita tidak perlu terlalu berkira,” kata David.

Tambahnya, walaupun keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan ketika ini, namun perkara itu bukanlah persoalan utama untuk dia mengurangkan perbelanjaan bagi pembikinan filem ini.

“Bagi saya filem Senario Episod 1 sudah meletakkan satu tanda aras cukup tinggi dan mencapai kutipan tahap pecah panggung. Jadi sebagai penerbit, saya harus meningkatkan lagi kualiti sedia ada atau sekurang-kurangnya kekalkan apa yang sudah kita sajikan kepada penonton.

“Jadi sebab itu saya tidak kisah mengeluarkan peruntukan lebih untuk filem ini kerana kita tidak mahu peminat kecewa apabila hanya filem pertama saja yang bagus manakala untuk bahagian berikutnya, kita buat ala kadar saja. Saya mahu jadi seorang produser yang bertanggungjawab,” jelas David memperlihatkan kesungguhannya.

Selain Datuk Jamali Shadat, Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet memegang watak utama, filem ini juga turut didukung oleh Maria Farida, Marsha, Nik Sayyidah, Riezman Khuzaimi dan Munir.

Ditanya apakah ada potensi untuk filem Senario akan disambung lagi sekiranya filem ini terus mendapat sambutan menggalakkan, David berkata sebagai penerbit filem, dia tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kerjasama itu namun bersyarat.

“”Dalam kontrak kita cuma ada tiga episod. Namun kalau selepas ini hendak buat sampai 10 episod pun saya tak kisah asalkan mereka kekal dengan keadaan sikap seperti sekarang, tak buat perangai dan boleh terus beri kerjasama dengan produksi saya,’ tegasnya.

Mengenai kemunculan Senario dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG yang dilihat boleh memberi kesan kepada jenama filem Senario itu sendiri, David tidak melihat perkara itu sedemikian.

“Dalam filem ini, kami mengundang Azlee dan Lan Pet Pet saja untuk berlakon. Jadi saya tidak rasa ia boleh mengelirukan penonton di kemudian hari,” katanya.

Mengulas lanjut tema filem ini, Ahmad berkata untuk Senario Episod 2, dia mengetengahkan tema pengembaraan cinta yang sebelum in i jarang diketengahkan dalam filem tempatan.

“Jika sebelum ini kami memaparkan mengenai biografi kumpulan Senario sebelum mereka menjadi terkenal seperti sekarang, kali ini kita bawakan kisah percutian mereka di sebuah pulau yang akhirnya membawa kepada tragedi.

“Dalam filem ini nanti, mereka akan mempunyai pasangan masing-masing. Di situlah nanti akan berlaku konflik dan pelbagai kejadian lucu terjadi,” katanya sambil memberitahu filem ini menjalani penggambaran sebanyak 95 peratus di Pulau Pangkor, Perak.

Program diiktiraf MBOR

LEBIH sedekad mengharungi hidup sebagai anak seni, nampaknya bintang kumpulan yang dicungkil bakatnya menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan terus mengerdip sehingga kini. Pelbagai kumpulan lawak seperti mereka, datang dan pergi namun Senario masih kekal di situ tanpa sebarang pengganti.

Malahan, populariti mereka tetap utuh di kalangan kanak-kanak hinggalah yang sudah berumur. Program televisyen mereka juga masih bertahan sehingga kini.

“Kami bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada kami. Kami harap, Senario akan terus bertahan sampai bila-bila. Mungkin apabila kami sudah tiada lagi, kami harap peminat terus ingat seperti mana mereka mengenang Bujang Lapok. Kami mahu menjadi lagenda dalam industri seni,” ujar Azlee.

Bukan mahu mendabik dada, sebaliknya Azlee berkata dia terharu kerana ketika ini masih ada insan yang menghargai bakat dan usaha mereka sebagai anak seni apabila program Senario yang disiarkan di TV3 sejak 12 tahun lalu bakal mendapat pengiktirafan.

“Saya dapat tahu program Senario itu bakal dimasukkan dalam Malaysian Books Of Records (MBOR) sebagai program paling lama ditayangkan di Malaysia. Pengiktirafan itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya yang akan menampilkan komedi lebih matang dalam filem ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP