Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Februari 16, 2009

#118. Dokudrama 13 episod

16hb Februari, 2009
Harian Metro
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

PERKARA berkaitan hukum agama perlu difahami dengan baik supaya kehidupan kita diredai Allah. Sebagai umat Islam yang hidup berjiran kita juga perlu menunaikan tanggungjawab sesama manusia.Dalam hidup bermasyarakat, ada keperluan tertentu yang kita perlu laksanakan yang disebut sebagai fardu kifayah.Sehubungan itu untuk memberi lebih kefahaman kepada masyarakat Islam apa yang dikatakan fardu kifayah dan apa yang patut dilakukan,

Astro Oasis menerbitkan program Bicara Kifayah dihoskan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Program 13 episod itu mula bersiaran penghujung tahun lalu. Semua episod siap dirakam. Ia bersiaran setiap Jumaat, jam 7.30 malam.

Menurut Abu Hassan, Bicara Kifayah memaparkan adab berjiran, pengurusan jenazah, adab menziarahi orang sakit, urusan anak yatim, faraid dan hal berkaitan ekonomi.

"Program ini menceritakan kepada penonton perbezaan fardu kifayah dan fardu ain kerana barangkali ada yang masih belum tahu membezakan antara kedua-duanya. Selepas itu barulah saya mengupas topik fardu kifayah yang akan dibicarakan pada episod tersebut diikuti drama pendek untuk lebih memberi kefahaman kepada penonton.

"Bicara Kifayah adalah program bercorak dokudrama untuk menjadikan persembahannya lebih menarik. Program ini diilhamkan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar dan beliau memberi tanggungjawab kepada saya untuk melaksanakannya.

"Izelan tahu saya banyak buat skrip drama jadi dia berasakan lebih baik jika diselitkan sedikit drama dalam program itu. InsyaAllah program ini akan disambung kerana mendapat sambutan baik terutama pada episod pertama dan kedua yang memaparkan mengenai pengurusan jenazah kerana selama ini ramai kurang faham cara pengurusan jenazah yang sempurna.

"Bagaimanapun topik mengenai kifayah agak terhad tidak seperti fardu ain. Jika program ini disambung saya akan kekalkan konsep sama tetapi diberi tajuk baru, Bicara Ahkam (Hukum).

"Misalnya hukum menutup aurat, termakan duit haram atau duit hasil curi dan puja kubur. Setiap topik akan dibahas berdasarkan al-Quran, nas dan dalil," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita.



Sebelum ini Abu Hassan muncul dalam program Bicara Haji, Bicara Sunnah, menjadi panel Jemputan Umrah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Al Kulliyah, Al Halakah dan program televisyen di Singapura dan Brunei. Program terbaru, Tanyalah Ustaz yang dipancarkan di TV9, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 7 hingga 8 pagi.

"Kemunculan ahli panel dalam Program Tanyalah Ustaz secara bergilir dan khabarnya kemunculan saya berjaya menambah jumlah penonton. Penonton suka program bual bicara yang disiarkan secara langsung kerana mereka boleh menghubungi terus ahli panel.

"Saya ingin cadangkan kepada Astro Oasis untuk menerbitkan program serupa demi mendidik masyarakat," katanya.

Menyorot pembabitan Abu Hassan dalam penulisan skrip, jelas Abu Hassan beliau bermula dengan drama radio bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Waktu itu Atondra menjadi pengawal drama RTM dan beliau Hassan banyak belajar daripadanya.

"Saya jadi bagus dalam penulisan skrip kerana tunjuk ajar Atondra. Saya pernah tulis skrip Drama Minggu Ini untuk RTM. Selepas itu saya terus berdakwah menerusi drama.

"Yang terbaru saya buat skrip untuk drama Astro Oasis iaitu Jazauzna, Taqarrub dan Meniti Senja.

"Bukan semua skrip saya berdasarkan kisah benar tetapi setiap karya saya mempunyai mesej. Saya berdakwah menerusi drama sebab itu skrip saya banyak membabitkan soal moral dan kekeluargaan. Skrip terbaru, Suara Dari Kubur untuk Astro Prima.

"Dalam berkarya saya suka bekerja dengan Jurey Latif kerana saya tahu kemampuannya. Jurey faham apa saya mahukan. Jika ada masa saya akan ke lokasi untuk memastikan jalan cerita dan apa yang ingin saya sampaikan tidak lari.

"Sebelum ini saya pernah menyerahkan skrip saya kepada pengarah lain. Kecewa saya kerana cerita itu jadi lain tetapi apa daya saya. Bekerja dengan Jurey dia memberi kebebasan kepada saya untuk menyunting drama itu dan saya boleh tambah mana yang patut. Jurey faham cara saya.

"Saya tak mahu pengarah menyampaikan mesej salah kepada masyarakat. Saya juga tidak berapa gemar banyak paparan cerita seram di televisyen yang merosakkan minda kanak-kanak. Penonton cilik ini memang suka tengok cerita sebegitu tetapi sudahnya ia melekatkan dalam minda minda mereka dan jadi penakut sehingga hendak ke tandas pun perlu berteman," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP