Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Februari 25, 2009

#144. Upin, Ipin semakin popular

25hb Februari, 2009
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


NUR FATHIAH (kanan) bersama karakter yang menggunakan suaranya, Upin dan Ipin.

Wajah comel bintang filem animasi ini mampu pungut hampir RM4 juta dalam tempoh dua minggu.SEHINGGA Ahad lalu, filem animasi terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Geng: Pengembaraan Bermula, sudah pun berjaya memungut RM3.7 juta selepas 11 hari tayangan.

Ia dilihat berada pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamat syarikat berkenaan yang meletakkan angka RM5 juta sebagai kutipan sasaran. Dengan kutipan yang baik diterima sejak hari pembukaan, 12 Februari lalu, tidak mustahil pihak pempamer akan menyambung tempoh tayangan walaupun sesudah tempoh wajib tayang berakhir nanti.

Jika boleh, pengarah filem itu, Mohd Nizam Abd Razak mahu melihat Geng terus diputarkan di pawagam seluruh negara sehingga cuti sekolah bermula tidak lama lagi.

Katanya, jika tempoh tayangan filem terbabit dipanjangkan, dia berkeyakinan kutipan sasaran akan berjaya dicapai.

"Dengan sambutan baik yang diterima sehingga kini, kami percaya jumlah RM4 juta dapat dipungut dalam dua minggu. Lebih-lebih lagi, lebih banyak sesi tayangan diadakan oleh pihak pempamer pada minggu kedua," kata Nizam yang ditemui pada siri promosi filem terbabit di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Ketika ini, filem yang menelan belanja sekitar RM4.2 juta untuk disiapkan itu menemui penonton di kira-kira 56 panggung seluruh negara. Ia mengambil masa dua tahun setengah untuk dihasilkan.

Menurut Nizam, Geng juga akan memasuki pasaran Indonesia pada 16 September depan. Pada tarikh yang sama, dia turut berharap filem terbabit dapat ditayangkan di Singapura dan Brunei.

"Kami terpaksa menunggu sehingga September sebelum dapat menayangkan Geng di negara luar kerana Les’ Copaque ingin membawa Geng menyertai Festival Animasi Annecy di Perancis, Jun ini. Antara syarat penyertaan ialah filem yang dicalonkan tidak boleh ditayangkan di luar negara pengeluar sebelum Jun.

"Kami sudah pun menghantar filem terbabit kepada pihak penganjur dan dalam masa beberapa bulan kami akan mendapat tahu jawapannya, sama ada ia terpilih untuk pertandingan atau sebaliknya. Rasanya, inilah kali pertama filem animasi Malaysia yang ditayangkan di panggung menyertai pertandingan ini," ujarnya.



Pada ketika ini, Les’ Copaque turut mengadakan perbincangan dengan pengedar dari Korea Selatan dan India. Permintaan juga turut diterima daripada pengedar dari Amerika Syarikat dan Argentina, hasil kunjungan syarikat terbabit ke Festival Filem Cannes di Perancis dan acara Pasaran Filem Amerika di Santa Monica.

Geng dilakonkan Amir Izwan sebagai Badrol, Balqis (Ros), Kee Yong Pin (Lim), Kannan (Rajoo) dan Nur Fathiah (Upin & Ipin).

Kisahnya bermula apabila ada sesuatu mengganggu ketenteraman Kampung Durian Runtuh. Penduduk kampung menyebarkan cerita mengenai kewujudan makhluk yang menggerunkan menjelang waktu malam, namun tiada siapa yang berani mencari kebenaran di sebalik cerita itu.

Sehinggalah Badrol, Lim serta rakan baru mereka terjerumus ke dalam misteri terbabit tanpa disengaja. Seekor haiwan aneh yang tidak diketahui asalnya, menjalin persahabatan bersama Rajoo, lantas membawa mereka mengembara jauh ke dalam hutan hujan Malaysia yang penuh dengan hidupan liar, termasuk ular gergasi mistik.

Apabila filem sulung Les’ Copaque ini menunjukkan prestasi yang baik, sudah tentu syarikat berkenaan mempunyai projek susulan, bagi menyambung kejayaan yang dicatat judul pertama mereka.

Nizam sendiri mengiyakan hakikat itu dengan memaklumkan, ketika ini dia dan pasukannya sedang membangunkan sebuah lagi projek filem animasi.

Kali ini, watak utamanya bukan lagi manusia sebagaimana dapat disaksikan menerusi Geng. Sebaliknya, watak haiwan akan mengambil alih sebagai tarikan utama, dengan watak manusia muncul sebagai pembantu saja.

"Filem kedua ini seakan hikayat lama yang diangkat ke layar lebar dengan memasukkan tema sejagat," dedah Nizam yang menganggap filem kedua itu nanti cukup berbeza daripada arahan pertamanya.

Sebagaimana Geng, projek kedua ini akan terlebih dulu menemui peminat dalam bentuk siri televisyen. Selepas dua atau tiga tahun, barulah ia muncul pula dalam versi layar lebar pula.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP