#174. Berita Filem : Anu Dalam Botol bukan sembarangan
Raja Azmi angkat kisah benar yang berlaku dalam masyarakat
MELIHAT kepada judul filemnya, Anu Dalam Botol, tentu ramai yang beranggapan, penerbitnya, Raja Azmi Raja Sulaiman sengaja hendak mengundang kontroversi.
Apatah lagi apabila kontroversi sememangnya sinonim dengan wanita gigih ini. Sejak awal pembabitannya dalam dunia penerbitan dan penulisan, Raja Azmi tidak sunyi daripada pelbagai cerita panas membabitkan kerjayanya.
Namun bagi isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek ini, kontroversi sememangnya ada di mana-mana. Persoalannya kini, sama ada kita menyukai kontroversi terbabit atau sebaliknya.
"Di rumah sekalipun, kontroversi tetap ada. Saya menganggapnya sebahagian daripada kehidupan. Jika kontroversi tidak wujud, tentu hidup ini membosankan," katanya ketika ditemui pada sesi uji bakat memilih pelakon utama filem keempat terbitannya di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, baru-baru ini.
Bagaimanapun, penerbit itu meminta orang ramai menonton filem berkenaan terlebih dahulu apabila ia ditayangkan kelak, sebelum membuat andaian buka-bukan.
ADLIN memperkatakan sesuatu kepada pelakon ketika sesi uji bakat.
"Jika dilihat kepada judulnya serta perkataan ‘anu’ itu sendiri, tentulah bunyinya boleh mengundang pelbagai andaian. Sebab itu, saya mahu peminat menontonnya dulu. Tengok apa yang ingin saya tonjolkan menerusi filem berkenaan," kata Raja Azmi yang sekali lagi menggunakan khidmat Shadan Hashim sebagai pengarah.
Sebelum ini Shadan pernah mengarahkan dua filem terbitan Pengedaran J.A.S Sdn Bhd, iaitu Cinta 200 Ela dan Haru Biru. Manakala filem pertama terbitannya, Black Widow Wajah Ayu diarahkan U-Wei Haji Shaari.
Bukan untuk menonjolkan sisi hitam kehidupan golongan homoseksual, sebaliknya Raja Azmi berminat mengangkat kisah benar itu ke filem bagi berkongsi kesedaran betapa sikap keterlaluan dalam percintaan sehingga boleh membawa musibah yang amat memeritkan.
Baginya, filem itu menunaikan impiannya untuk menyalurkan dakwah yang sudah dipendam sekian lama.
Anu Dalam Botol bercerita mengenai sepasang lelaki gay yang dilamun cinta, Rubidin dan Ghaus. Rubidin sangat menyintai Ghaus sehingga sanggup berkorban dengan melakukan pembedahan jantina hanya kerana mengesyaki lelaki itu semakin menggemari wanita. Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima Rubidin dan menyingkirkan lelaki itu daripada hidupnya.
Rubidin yang kecewa kembali ke identiti asalnya iaitu sebagai lelaki. Kemudian, dia jatuh cinta pada seorang gadis, Dina. Gadis itu juga menerima cinta Rubidin dengan seadanya. Namun, kebahagiaan mereka tidak kekal lama apabila Dina mendapati, Rubidin tidak mempunyai anggota kelelakiannya.
Dina enggan membuat kesilapan sama seperti Rubidin yang berkorban kerana cinta secara membabit buta. Kini, hanya penyesalan tidak berkesudahan yang menemani hidup Rubidin kerana ‘anu’nya berada dalam balang.
Filem serius
Raja Azmi berkata, dengan mengetepikan isu perkataan ‘anu’, Anu Dalam Botol mengangkat persoalan yang serius iaitu mengenai amalan kehidupan songsang dalam segelintir masyarakat hari ini.
"Ia sebuah cerita cinta yang sangat berat. Ia bukan filem mengenai golongan "adik-adik" sebaliknya judul yang cukup serius. Saya ingin berdakwah menerusi filem ini. Ia memaparkan sisi hitam dalam percintaan apabila kita bersikap berlebihan.
“Dalam agama kita sendiri, kita tidak digalakkan berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Begitu juga apabila bercinta, usah menjadikannya begitu ekstrim kerana padahnya bukan kecil," katanya.
Mengenai pemilihan judul yang dilihat mampu menarik perhatian orang ramai untuk memperkatakannya, Raja Azmi menjelaskan, sudah tentu dia berharap setiap filemnya mendapat perhatian ramai peminat.
"Cuma kali ini saya tidak akan menggunakan ahli sukan sebagai pelakon utamanya. Justeru kami mengadakan uji bakat untuk mencari pelakon, tidak kira baru atau lama, bagi memegang watak utama. Satu ketika dulu saya menggunakan Misbun dalam filem pertama, diikuti Rashid dalam filem kedua. Malangnya, kedua-dua filem itu gagal di pasaran. Sekarang saya sedar, orang sukan bukan tarikan yang kuat untuk peminat berpusu ke panggung.
"Kemudian saya hasilkan pula Haru Biru, yang menggunakan isu dadah sebagai pertaruhan. Orang bertanya, kenapa saya suka menggunakan unsur negatif?
"Bagi saya, unsur negatif boleh menjadi tarikan yang kuat. Lagipun, unsur negatif itu ditonjolkan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat. Begitu juga dengan Anu Dalam Botol, yang diharap dapat menyedarkan orang ramai betapa jangan bersikap ekstrim dalam bercinta," kata produser ini, yang turut mengalu-alukan syarikat pengeluar kondom untuk bekerjasama dalam penghasilan filem berkenaan..
Mengenai bakat yang diundang ke sesi uji bakat, Raja Azmi memberitahu, dia menjemput beberapa pelakon untuk menghadiri uji bakat khas terbabit.
Antara nama yang disebutnya termasuk Jehan Miskin, Farid Kamil, Que Haidar dan Adi Putra. Pada hari berkenaan, Adi kelihatan menghadirinya pada sesi sebelah pagi, manakala pelakon baru, Firdaus (adik pelakon Zul Huzaimy) muncul pada sebelah petang.
Selain pengarahnya sendiri, pelakon Adlin Aman Ramlie yang dilantik sebagai pengarah kasting ialah panel penilai sesi uji bakat terbabit.
Sumber :
Berita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan