#175. Berita Filem : Kesukaran Odoi Odu terbayar
TIGA wajah yang bakal menyemarakkan industri perfileman tempatan iaitu dari kiri; Shuhaimi, Farizie dan Christopher Low.
Anugerah Filem Pendek Astro Kirana beri pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan muda
KARYA yang hanya lengkap beberapa jam sebelum tarikh penyertaan ditutup selepas melalui pelbagai rintangan dan halangan hingga membuatkan Farizie Morinding hampir berputus asa, mencipta sejarah tersendiri kepada pemuda itu apabila diumumkan pemenang utama Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009, Jumaat lalu.
Anak kelahiran Ranau, Sabah ini berkata, pembikinan Odoi Odu (Oh Grandma) disempurnakan tanpa memiliki segala kemudahan diperlukan namun tetap berjaya mencuri hati juri profesional.
Farizie berkata, dia hanya memiliki sebuah handycam yang dibelinya ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyempurnakan pembikinan filem pendek yang menjadi impian serta harapannya selama ini.
“Saya membelinya pada 2003 dengan harga RM1,500. Ia tidak pernah rosak dan kamera ini banyak membantu untuk saya mendapatkan pelbagai visual menarik,” katanya.
Kata Farizie, pelbagai rintangan terpaksa ditempuhinya ketika melakukan proses penyuntingan. Disebabkan tidak memiliki komputer, dia mengharap ihsan beberapa teman untuk membantunya menyiapkan pembikinan filem pendek itu.
“Kawan yang pada mulanya membantu bagaimanapun lari, membuatkan saya terpaksa mengharap bantuan teman lain. Malangnya, komputer miliknya tidak dapat dihidupkan hingga saya hampir patah hati.
“Disebabkan berdepan terlalu banyak rintangan, saya membawa diri di satu tempat dalam gelap malam untuk mencari kekuatan. Dalam ketakutan, saya melihat diri sendiri dan mencari di mana kelemahan hingga saya diuji pelbagai halangan untuk menyiapkan Odoi Odu.
“Namun, saya sedar setiap manusia ada kekuatan tersendiri. Kita sebenarnya memiliki kekuatan dan saya kembali menemui kekuatan untuk menyempurnakan filem pendek ini,” imbas Farizie akan laluan sukar sebelum segala yang diimpikan menjadi kenyataan.
Warna suram perjuangannya berlalu apabila dia dipertemukan dengan seorang teman lama yang sudah hampir sedekad tidak ditemui.
Suntingan dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas untuk pembikinan filem.
“Semuanya dilakukan dalam serba kekurangan. Ketika itu saya nekad untuk menyempurnakannya juga dan alhamdulillah, ia sempat saya siapkan sebelum tarikh penyertaan ditutup.
“Selesai membuat salinan saya terpaksa berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos untuk menghantar penyertaan. Alhamdulillah, semua rintangan itu dibayar dengan penghargaan yang cukup berharga ini,” katanya terharu.
Sebagai pemenang utama, Farizie menerima geran sehingga RM100,000 untuk pengarahan filem serta wang tunai RM5,000 dan trofi.
Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.
Filem pendek menggunakan bahasa Dusun itu mengisahkan kisah sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya yang meninggal dunia. Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek ini sabar menempuh semua dugaan itu. Nenek itu hidup bertemankan seekor kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.
“Saya kini dalam perancangan untuk membuat kesinambungan filem pendek itu. Saya bercadang untuk mengekalkan pelakon yang sama kerana memberikan persembahan terbaik dalam Odoi Odu,” katanya.
Pemenang tempat kedua, Christopher Low juga terpaksa menempuh cabaran ketika hendak menyiapkan Mirror berkisarkan seorang gadis yang cuba membunuh diri kerana kecewa dengan hidupnya.
“Saya ke Terengganu selama enam hari untuk menyiapkan beberapa projek. Ketika di sana, saya belum ada jalan cerita. Saya membantu teman untuk menyiapkan ideanya. Pembikinan Mirror dibuat pada hari keempat dan saya cuma ada sehari untuk menyempurnakannya.
“Pelakon juga temui di sana. Agak sukar untuk melakukannya apatah lagi babak pertama memerlukan dia menangis sedangkan gadis yang dipilih itu berperwatakan ceria. Disebabkan ingin dirinya menghayati watak, saya juga menangis ketika di lokasi,” katanya yang menerima wang tunai RM3,000 dan trofi.
Selain hadiah tempat kedua, Mirror juga memenangi kategori Suntingan Terbaik.
Pengarah Aku, Shuhaimi Zulkefli yang memenangi tempat ketiga juga mempunyai ceritanya yang tersendiri. Bekas pelajar sebuah sekolah agama di Kedah ini melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana kecintaannya terhadap dunia perfileman.
Hasratnya itu pernah ditentang guru agama yang mendesak dia memilih antara dunia dan akhirat.
“Filem Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi. Ia menceritakan mengenai kehidupan dan pengalaman yang saya alami lalu diterjemahkan dalam Aku. Saya menjana idea untuk menghasilkan Aku selama setahun kerana perlu melakukan pelbagai kajian dengan membaca beberapa kitab agama.
“Dari segi peralatan, saya meminta bantuan ibu saudara. Ketika penggambaran, saya menggunakan kayu sebagai tripod.
“Mungkin saya tiada asas dalam filem kerana baru enam bulan mengikuti pelajaran di Aswara namun kerana minat, saya teruskan usaha dan alhamdulillah, ia memberikan hasil,” katanya yang turut memenangi kategori Videografi Terbaik.
Pemilihan mereka ditentukan lima juri yang terdiri daripada Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai; pengarah James Lee; pelakon dan pengarah Afdlin Shauki; pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.
Kembangkan idea dan bakat
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.
Katanya, Astro juga menyimpan hasrat untuk membangunkan kumpulan pembikin filem yang mampan untuk membawa mutu industri perfileman ke tahap lebih tinggi.
Pendekatan yang diambil Astro itu katanya, memberi inspirasi serta membuka ruang kepada penerbit tempatan untuk terus menghasilkan karya kreatif dan inovatif.
“Astro akan menyokong apa juga usaha untuk menerbitkan hasil karya cemerlang menerusi platform yang disediakan. Ini kerana pembekalan pengisian bermutu dan berkualiti tinggi menjadi tonggak dalam memberikan yang terbaik kepada penonton Astro,” katanya.
Zainir berkata, acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.
Menyentuh perancangan masa depan Astro untuk pemenang, Zainir berkata, geran yang diberikan menjadi asas untuk penggiat muda itu mengembangkan bakatnya dengan lebih giat lagi.
“Astro sudah menyediakan platform dan dengan ruang yang sudah mula dibuka ini diharap dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.
“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang bersemangat. Pilihan kini di tangan dan mereka wajar memanfaatkannya,” katanya.
Acara turut diserikan dengan persembahan daripada Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussain, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.
Senarai Pemenang Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009:
Hadiah Utama: Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Morinding
Hadiah Kedua: Mirror - Christopher Low
Hadiah Ketiga: Aku - Shuhaimi Zulkefli
Penataan Seni Terbaik: Burp - Tayanithi Ramanujem
Penataan Bunyi Terbaik - Michelle - Sia Yaw Yie
Lakonan Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Morinding
Videografi Terbaik: Aku - Shuhaimi Zulkefli)
Cerita Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Morinding
Pengarahan Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) - Farizie Morinding
Suntingan Terbaik: Mirror - Christopher Low
Anugerah Pilihan Penonton: Permata Bonda - Fikri Jermadi
Sumber :
Berita Harian
Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan