Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Mac 02, 2009

#176. Berita TV : GA sentuh isu lesbian?

PEMENANG Drama Bersiri Terbaik di Anugerah Golden Globe, Grey's Anatomy (GA), semakin hangat dan agak kontroversi untuk musim baru dengan perubahan kepada beberapa watak. Watak utama, Callie Torres lakonan Sara Ramirez digambarkan menjalin hubungan lesbian dengan pakar bedah, Dr. Erica Hahn (Brooke Smith) selepas bercerai dengan George O'Malley (T.R. Knight) juga rakan setugasnya di Seattle Grace Hospital.

Ditemui di sidang akhbar yang berlangsung di Prospect Studios, Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini, Sara akui berasa kaget apabila diminta menjelaskan perkembangan watak dilakonkan.Begitupun sebagai pelakon, Sara yang yang mula diperkenalkan penerbit GA pada musim kedua berasa satu cabaran besar dan mengharapkan ia dapat memberikan perkembangan baik pada perjalanan keseluruhan cerita drama diminati ramai ini untuk musim kelima.

"Tidak banyak yang boleh saya perkatakan mengenai Callie. Lagipun jika saya terlalu bercerita, bimbang penonton yang mengikuti perjalanan drama ini dari mula hingga sekarang tidak lagi berasa teruja.

"Bagaimanapun sebagai pelakon ini adalah cabaran yang memang dinantikan dan saya percaya penerbit dan penulis skrip cuba menyingkap bagaimana segelintir masyarakat yang fobia dengan hubungan homoseksual atau lesbian berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan ini.

"Walaupun musim baru menyentuh isu sensitif, apa yang berlaku terhadap Callie bukanlah seperti apa yang dibayangkan penonton. Untuk mengetahuinya, penonton harus mengikuti GA musim kelima. Terutama apa yang berlaku selepas Callie dan Erica berkucupan untuk kali pertama.

"Perlu saya ingatkan di sini bahawa banyak perkara terpaksa dilalui Callie termasuklah kenyataan bekas suaminya menjalin hubungan dengan teman sekerjanya, Izzie Stevens (Katherine Heigl) sehingga membawa kepada penceraian. Mungkin juga situasi dilaluinya mempengaruhi tindakan diambil," katanya.

Mengenai Brooke yang digandingkan dengannya kali ini, kata Sara, dia amat menghormati pelakon itu dan menggambarkannya sebagai seorang yang sangat profesional dan komited.

"Walaupun ada beberapa watak baru diperkenalkan musim ini, kami tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama kerana masing-masing mempunyai latar kerjaya yang baik dalam dunia lakonan dan tahu apa yang harus dilakukan apabila berada di lokasi. Kami turut saling membantu dan bekerja sebagai satu keluarga," katanya.

Menyentuh dunia kedoktoran digambarkan dalam GA, kata Sara yang turut dikenali sebagai penyanyi klasikal dan pelakon drama pentas, dia tidak menghadapi masalah kerana sering melakukan penyelidikan membabitkan sebutan dan budaya kerja mereka yang terbabit dalam dunia perubatan.

"Bapa saya pakar dalam bidang sains, jadi saya mempunyai tempat untuk merujuk. Apatah lagi sekiranya ada perkataan perubatan yang susah untuk disebut, biasanya saya sendiri akan mencari dalam laman web dan belajar bagaimana untuk mengeja dan menyebutnya.

"Sepanjang terbabit dalam GA, banyak perkara menarik saya pelajari. Waktu sama pihak produksi GA sendiri menyediakan pakar perubatan bertauliah sebagai bahan rujukan dan melihat sama ada lakonan yang digambarkan para pelakon drama bersiri ini betul atau tidak," katanya.

Turut menjadi perhatian, watak Dr Mark Sloan lakonan Eric Dane digambarkan setia terhadap kekasihnya Dr. Lexie Grey lakonan Chyler Leigh oleh penulis skrip drama yang mula disiarkan setiap Sabtu, jam 10 malam di ntv7 bermula 7 Mac ini.

Menyifatkan watak dilakonkan berkembang dengan baik, Dane berkata, sebagai pelakon dia sangat gembira apabila Mark sudah mula meninggalkan sifat lamanya yang 'kaki' perempuan.

"Pada musim ini penonton akan melihat perangai Mark banyak berubah dan semakin matang. Pada saya watak yang saya mainkan berada di landasan sepatutnya," katanya.

Begitu juga dengan Chyler yang kini mengandung tujuh bulan, makin selesa bergandingan dengan semua pelakon GA yang jauh lebih senior, terutama apabila harus mencari keserasian untuk melakonkan wataknya di samping Eric.

"Sejak diperkenalkan dalam musim lalu, semua pelakon menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka. Seperti yang dikatakan Sara memang benar kami bekerja dalam semangat kekeluargaan.

"Di lokasi GA, tidak ada seorang pun pelakon yang bersikap dingin dengan orang baru seperti saya. Semua memberi kerjasama dan melakonkan watak masing-masing dengan bersungguh-sungguh.

"Secara peribadi, saya gembira apabila untuk musim baru ini watak Lexie digambarkan jatuh cinta dengan Mark. Walaupun waktu sama ia menimbulkan sedikit ketegangan dengan kakak tirinya, Meredith Grey (Ellen Pompeo).

"Saya juga tidak menghadapi masalah memegang watak doktor pelatih dalam GA walaupun terpaksa berhadapan dengan darah dan gambaran suasana yang menggerunkan seperti kemalangan dan kehilangan nyawa.

"Sebagai ibu kepada empat orang anak dan seorang lagi dalam kandungan, pada saya darah bukanlah isu besar. Apatah lagi anak-anak saya agak lasak. Boleh dikatakan saya sudah biasa melihat darah dan luka. Anak-anak turut membuatkan saya berani untuk melihat darah," katanya sambil ketawa.

Sumber :
Utusan Malaysia
Oleh Rudy Imran Shamsudin (Yang mengikuti Sidang Akhbar Media Antarabangsa Disney/ABC/ESPN di Los Angeles, Amerika Syarikat)
imran@hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP