#370. Cerita Keluarga Yang Mengasyikkan
Jaclyn Victor menampilkan lakonan mantap dalam filem Talentime
Filem: Talentime
Pengarah: Yasmin Ahmad
Pelakon: Azean Irdawaty, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Mohd Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor, Pamela Chong, Sukania Venu Gopal dan Susan Chong
Genre: Drama & Romantik
Tarikh tayangan: 26 Mac 2009
JIKA anda penggemar karya pengarah Yasmin Ahmad, mungkin filem Talentime patut ditonton dan hayatilah sendiri di sebalik apa yang mungkin boleh dilabelkan sebagai cap dagangnya selama ini.
Hasil manifestasi pengarah ini penuh dengan aspek kemanusiaan seperti cinta yang paling asas perlu ada dalam setiap manusia. Malahan paksi majmuk seperti filem terdahulunya masih dikekalkan.
Ingat lagi anda pada cinta gadis Melayu dan lelaki Cina menerusi filem Sepet. Buah tangan terbarunya ini sudah ditayangkan sejak Khamis lalu. Ia mengetengahkan cinta versi lelaki India bernama Mahesh lakonan sulung Mahesh Jugal Kishor dan Melur (Pamela Chong, adik kepada Vince AF1), gadis Melayu berdarah campuran Inggeris.
Percubaan sulung Mahesh di layar perak sebagai lelaki bisu mungkin dilihat agak senang kerana tidak perlu berdialog atau menghafal skrip. Namun, lakonannya masih boleh dianggap membanggakan kerana biarpun tanpa sebarang pengucapan dialog, mainan emosi tetap perlu dijaga kesinambungannya.
Lakonan Pamela pula dianggap biasa saja. Dia kadang-kadang dilihat sebagai gadis yang memberontak tidak tentu fasal. Namun begitu, ia masih dianggap permulaan yang baik kepada Pamela.
Paling mengesankan ialah lakonan sulung juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor yang nampaknya patut diberi perhatian. Nampaknya ada sisi lain yang sudah mula diserlahkan penyanyi bersuara lantang ini. Memegang watak Bhavani, bakat lakonannya berjaya dibentuk dengan baik oleh Yasmin.
Dalam filem ini, Jaclyn memikul tanggungjawab sebagai kakak yang sangat menyayangi adiknya iaitu Mahesh. Disebabkan keadaan adiknya, Bhavani cuba mengelak soal perkahwinan seperti mana yang dikehendaki oleh ibunya. Lakonannya memang nampak bersahaja. Bahkan pertuturannya dalam bahasa Tamil atau bercakap bahasa Melayu dengan pelat Tamil, membuatkan kita terlupa seketika bahawa itu adalah Jaclyn.
Seperti kebiasaan Yasmin masih mengekalkan pelakon yang selalu muncul dalam setiap naskhah skripnya contoh seperti Adibah Noor, Harith Iskander, Ida Nerina termasuk Mohd Syafie Naswip yang dipuji lakonannya oleh Azean Irdawaty.
Rentak jalan cerita yang indah ini dicacatkan sedikit dengan babak Melur tidur sebantal dengan Mahesh di ruang tamu. Ia sebenarnya sangat kontras dan tiada ada apa alasan kukuh mengapa ia perlu diadakan. Ini kerana emak Melur digambarkan sebagai seorang ibu yang alim dengan pegangan Islam, manakala Mahesh pula adalah seorang lelaki yang tidak ada masalah untuk pulang ke rumahnya.
Entah kenapa Yasmin perlu menyelitkan babak tidak perlu ini, apatah lagi secara realitinya adegan itu tidak molek untuk dipaparkan.
Aspek lain yang cukup menarik perhatian ialah lagu latar yang menghiasi filem ini terutamanya lagu Ore Piya dendangan penyanyi Bollywood, Rahat Fateh Ali Khan. Sekali pandang, filem ini saling tak tumpah seperti filem Bollywood yang sinonim dengan adegan air mata dan meruntun jiwa. Ada adegan yang mungkin membuatkan air mata anda akan jatuh tertumpah.
Meneliti bait-bait lirik ini yang diterjemahkan dalam sari kata bahasa Melayu, ia cukup melankolik dan indah susunan bahasanya. Tidak dilupakan hasil komposisi penyanyi dan pencipta lagu, Pete Teo. Hasil ciptaannya dipersembahkan cukup baik oleh kedua penyanyi tanah air kita, Aizat dan Atilia.
Sumber : Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan