#74. Isu : Kaji cadangan Festival Filem OIC
04hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
ISU penganjuran festival filem yang membabitkan para karyawan dari kalangan negara-negara Islam dengan memaparkan karya-karya yang berteraskan intipati daripada kemurnian agama Islam bukanlah suatu perkara baru.
Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) misalnya, pernah mencadangkan agar diadakan festival filem di kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada persidangan pertubuhan itu di Kuala Lumpur pada 2002.
Terbaru, usul yang hampir sama turut disuarakan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Mesyuarat Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Islam yang berlangsung di Rabat, Maghribi 27 Januari lalu.
Sesungguhnya, idea itu tercetus atas rasa kesedaran bahawa umat Islam tidak kira daripada apa juga bidang, kini haruslah bersatu tenaga bagi menggerakkan kekuatan demi mempertingkatkan lagi syiar Islam.
Justeru, medium perfileman merupakan antara cara yang berkesan bagi kalangan pembikin filem dari negara-negara Islam mengetengahkan mesej-mesej mereka menerusi filem supaya ia dapat disebarluaskan ke seluruh dunia.
Tidak dinafikan, idea dan hasrat murni itu mendapat reaksi yang positif daripada hampir keseluruhan para penggiat perfileman di negara ini di mana terdapat banyak manfaat yang akan diperolehi daripada festival tersebut.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Razali Ibrahim turut menyambut baik cadangan itu yang dilihatnya mampu mempertingkatkan kerjasama dalam bidang perfileman di kalangan negara anggota OIC.
Menurutnya, festival filem seperti itu secara tidak langsung mampu untuk memperkembangkan lagi filem-filem berunsur keislaman tanpa terlalu bergantung kepada dominasi dan pengaruh filem-filem dari Hollywood.
"Festival seperti itu boleh membantu kita menyebarluaskan lagi ajaran Islam di mana ia juga sebagai salah satu alternatif untuk meningkatkan kualiti filem dan berdaya saing dengan filem-filem dari negara-negara bukan Islam.
"Dalam hal ini, Finas sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada cadangan seperti itu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Apatah lagi, festival seumpama itu antara lain mampu untuk membuka ruang kepada para karyawan kita supaya saling bantu membantu dalam usaha memasarkan filem-filem mereka di kalangan negara-negara anggota OIC.
Ini kerana, OIC yang dianggotai lebih 30 negara menyediakan pasaran filem yang amat luas termasuklah di negara-negara Timur Tengah serta Asia Barat seperti Iran, Jordan dan Mesir.
Bagaimanapun, sebelum festival filem itu diadakan, pelbagai kajian haruslah dilakukan oleh pihak penganjur supaya matlamat nya jelas dan mampu memberi kesan kepada semua pihak.
Penganjur festival itu haruslah mendapatkan kerjasama daripada kalangan pemimpin OIC supaya ia dapat dijalankan seiring dengan matlamat pertubuhan itu antara lain mahu merapatkan hubungan sesama anggota.
Kita tidak mahu filem-filem dari negara-negara Islam yang bagus mesejnya tetapi tidak dapat diketengahkan kepada umum seperti yang berlaku ke atas filem-filem yang bertanding pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filem dari Jordan berjudul Captain Abu Raed yang muncul sebagai Filem Asia Terbaik pada festival itu tidak dapat diketengahkan secara meluas termasuklah di negara ini kerana kurangnya sokongan.
0 ulasan:
Catat Ulasan