#72.Skoop : Ku Seru ke layar perak
04hb Februari, 2009
Berita Harian
Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Karya hebat pikat Kabir Bhatia yang kini gigih hasilkan drama bersiri Hartamas untuk ntv7.SELEPAS drama bersiri Ku Seru mendapat sambutan baik daripada penonton, pengarah berasal dari Bombay, India, Kabir Bhatia, bercadang untuk mengangkatnya ke layar perak pula.Katanya, Ku Seru dianggap sebagai satu karya yang bagus dan menjadikan sebuah filem pula mungkin satu langkah yang baik disebabkan drama bersiri itu kini sudah ada penontonnya sendiri.
“Memang kita akan mengangkatnya ke layar perak. Malahan kalau semuanya berjalan lancar, filem Ku Seru akan memulakan penggambaran Mei ini dengan kerjasama Grand Brilliance dan Filmscapes.
“Lagi pun, sejak dihasilkan dalam bentuk drama lagi, hari demi hari ia mula mengumpul kelompok peminatnya tersendiri. Strategi menghasilkan Ku Seru ke format filem ini membolehkan apa yang menjadi kekangan sebelum ini dilebarkan lagi, misalnya, dalam soal tempoh masa tayangan,” katanya ketika ditemui selepas penggambaran drama bersiri Hartamas untuk ntv7 di Taman Tasik Prima, Puchong, baru-baru ini.
Kabir berkata, dia berusaha untuk mengekalkan barisan pelakon asal drama Ku Seru itu apabila ia dibuat dalam filem.
“Besar kemungkinan kita akan kekalkan pelakon asal dan ini secara tidak langsung menerusi filem ini, kita dapat mengajak penonton TV ke pawagam selain peminat filem sedia ada.
“Tidak mustahil kalau filem ini (Ku Seru) mendapat sambutan kelak,” katanya.
Kabir Bhatia yang mula mengarah sejak 10 tahun lalu, sudah lebih 30 drama dihasilkan sejak mula berkecimpung tahun 1997 di syarikat Antah UTV. Ketika itu, dia mula mengarahkan drama beberapa buah drama TV seperti City Of Rich dan Astana Idaman.
Langkahnya disusun rapi dengan terus mengorak langkah dalam pengarahan filem. Filem Cinta dan Sepi antara filem yang terus mengukuhkan kerja seninya dalam dunia perfileman tanah air.
Konflik dua beradik
SEMENTARA itu, siri drama Hartamas arahan Kabir akan mula disiarkan di ntv7 pada 8 Februari ini, jam 8.30 malam. Drama ini menampilkan pelakon Rashidi Ishak, Ida Nerina, Rusdiana Rusdi dan Faezah Elai sebagai peranan utama.
Drama Hartamas adalah drama kedua kerjasama Kabir bersama ntv7 selepas Frontpage yang disiarkan tahun lalu.
Idea menghasilkan drama yang dikelaskan sebagai komedi situasi ini terbit ilham isterinya Mira Mustaffa. Drama ini sepatutnya dijalankan penggambaran tahun lalu namun disebabkan kesibukan pengarahnya menjadikan ia hanya dapat dilakukan tahun ini.
Menurut Kabir, drama ini menggunakan khidmat Alfie Palermo sebagai penulis skrip. Alfie turut menghasilkan skrip untuk drama Frontpage. “Ceritanya mengenai kehidupan dua keluarga tunggal yang masing-masing mempunyai dua anak belajar di kolej sama. Apa yang cuba ditonjolkan ialah bagaimana untuk mewujudkan keserasian jika mempunyai pertentangan tarikan dalam pelbagai aspek. Ia menceritakan bagaimana dua jantina, lelaki dan perempuan, janda dan duda yang jatuh cinta dan berkahwin dan harus berdepan dengan kerenah anak mereka. Kekecohan melanda apabila kesemuanya tinggal di sebuah rumah,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru arahannya berjudul Stamp, Mac ini.
Pada masa yang sama, Kabir juga akan mengarahkan siri drama, Nur Kasih sebanyak 24 episod bagi siaran TV3. Drama seperti filem Ayat Ayat Cinta akan disiarkan selama dua kali seminggu.
Di lokasi penggambaran, Faezah Elai antara yang terus menghidupkan suasana dengan loghat pekat Utaranya. Lucunya, hampir semua krew dan pelakon turut terikut-ikut loghat pelakon dari Pulau Pinang ini.
Drama ini juga yang pertama menggandingkan Faezah dan Rusdiana Rusdi, masing-masing memegang watak Edrina dan Juita. Bagi Faezah, ini adalah drama kedua lakonannya di bawah arahan Kabir, selepas Sutera Maya.
Senang bekerja dengan Kabir, Faezah menganggap drama Hartamas sebagai sebuah naskhah yang menyeronokkan.
“Sewaktu membaca skripnya lagi cerita ini sudah membuatkan saya ketawa sendirian. Ia adalah satu gabungan mantap dengan skrip dan corak pengarahan yang baik,” katanya yang pernah muncul dalam filem Otai.
Begitu juga dengan Rusdiana, Hartamas adalah drama kedua, dia mendapat peluang bekerja di bawah pengarahan Khabir Bhatia. Sebelum ini, Rusdiana berlakon di bawah arahan Kabir menerusi drama Kasih Suci. Kebelakangan ini, namanya sering meniti bibir di stesen ntv7 kerana dua buah drama yang dilakonnya iaitu Ampang Medikal dan Hartamas disiarkan di saluran itu.
Tidak menjadikan kerjaya lakonan sepenuh masa, Rusdiana sepatutnya menyambung pengajiannya di dalam bidang Perhubungan Awam.
Menurutnya, bidang itu sudah sebati di dalam dirinya apatah lagi pernah membuat latihan praktikal di sebuah syarikat mempraktikkan bidang yang sama.
“Saya sedar juga mengenai perkara ini bagaimanapun ia satu kebetulan. Saya selesa dengan ntv7 kerana mula terbabit sebagai pengacara Whoa! di stesen itu sejak 2006,” kata Rusdiana.
Sinopsis Hartamas
Drama ini berlatar belakangkan kawasan Hartamas yang terletak di pinggir kota. Johari (Rashidi Ishak) dari Sri Hartamas mula berkenalan dengan Amelia (Ida Nerina). Tertarik dengan perwatakan dan rupa paras Amelia, Johari cuba untuk menawan hatinya dan akhirnya mereka bersatu di jinjang pelamin. Konflik dan situasi lucu muncul apabila anak mereka, Edrina (Faezah Elai) dan Juita (Rusdiana Rusdi) yang belajar di kolej yang sama namun mempunyai pertentangan karakter hingga sering mengundang perbalahan di antara mereka. Apakah akan berlaku apabila mereka tinggal sebumbung dan berjayakah perkahwinan kedua ibu bapa mereka
0 ulasan:
Catat Ulasan