Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Januari 22, 2009

#34. Skoop : Jantan Masuk Alam Bunian

22hb Januari, 2009
Harian Metro
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Walaupun bergenre epik purba, tetapi ada sesuatu rahsia sangat istimewa dan menarik di sebaliknya.Justeru, menyedari tanggungjawab besar digalas, Jantan tidak hanya menyelidik menerusi pembacaan, tetapi sanggup menerokai alam ghaib.Bertitik tolak pada sifat ingin tahu mendalamnya, pengarah drama Tarantula berkenaan sudah ‘melangkah’ ke alam bunian sekitar Ramadan lalu.

Semuanya atas bantuan seorang ustaz selepas dia menyuarakan hasrat untuk melihat kebenarannya.Jantan berkata alam bunian memang wujud.

Pada pengembaraan singkatnya selama 45 minit di alam itu, dugaan sangat besar.

Katanya, mujur ustaz terbabit sudah memberi peringatan awal dan dia berpegang dengannya demi keselamatan.

“Ketika di alam itu (bunian), saya diingatkan banyak perkara. Umpamanya, tidak boleh menoleh ke belakang untuk menyahut suara yang memanggil saya. Ini kerana ditakuti niat hati akan berubah dan sesuatu tidak baik akan menimpa diri.

“Apapun, mengembara di alam itu juga sangat menginsafkan diri saya betapa besarnya keagungan Tuhan Maha Pencipta. Bahkan, paling tidak dapat saya lupakan ialah dapat bertemu dengan puteri dan pendekar bunian. Memang cantik dan kacak.

“Namun, saya juga diingatkan supaya apa yang dilihat di alam mereka tidak dipaparkan secara langsung dalam filem ini nanti dan cuma jadikan panduan saja. Oleh itu, perasaan saya sangat berdebar menghitung hari penggambaran Bunian: Mahkota Seri Helang,” katanya.

Menurut Jantan lagi, dia sebenarnya pernah menolak pelawaan penerbit, Adnan Abu Hassan sebanyak tiga kali untuk mengarahkan filem pertama terbitan produksi Fantasy Films Sdn Bhd itu.

Akuinya, ia gara-gara jalan cerita skripnya yang dirasakan amat berat.

“Bagaimanapun, atas persahabatan yang lama dengan Adnan dan kepercayaannya terhadap bakat pengarahan saya menyebabkan akhirnya diterima juga. Malah, jika tiada aral Bunian: Mahkota Seri Helang akan mula masuk lokasi penggambaran Februari ini.

“Dijangkakan penggambaran berlangsung selama dua bulan di lokasi seperti Gunung Kinabalu, Sabah, Perak serta New Zealand.

“Malah, mengikut tuntutan skrip 10 hingga 15 peratus menggambarkan membabitkan alam nyata manakala 85 peratus alam bunian,” katanya.

Menyentuh mengenai visinya pula, tanpa berselindung Jantan mengakui dia mahu melihat filem tempatan maju. Justeru, dia akan berusaha merealisasikan Bunian: Mahkota Seri Helang dengan baiknya bersandarkan pilihan pelakon yang mantap.

Terdahulu, majlis pelancaran filem Bunian: Mahkota Seri Helang dilakukan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Hotel Legend, kelmarin.

Hadir sama, barisan pelakon yang menjayakan filem itu.

Antaranya, Nasha Aziz sebagai Puteri Manja Sakti, Rusdi Ramli (Rosman), Mimi Rahzia (Puteri Mawar Putih), Ary Putra (Salman), Beego (Zack) dan Ridzuan Hashim (Jugra Maut).

Tidak ketinggalan tiga artis baru iaitu Sheila Abdull, Ian Helmy dan Nurul yang dipilih menyanyikan lagu runut bunyi filem.

Sementara itu, dalam sidang media diadakan juga Adnan memaklumkan Bunian: Mahkota Seri Helang menelan belanja pembikinan sebanyak RM3.5 juta.

Katanya, itu tidak termasuk lagi dengan kos promosi filem yang dianggar mencecah RM2 juta.

Katanya komposer terkenal itu, dia tidak mampu mengelak kos tinggi kerana banyak benda perlu disediakan seperti mewujudkan perkampungan bunian, mereka cipta senjata khas bunian, menggunakan khidmat persatuan silat dan paling utama, teknik janaan komputer (CGI).

“Inilah pengorbanan saya untuk menghasilkan filem Bunian: Mahkota Seri Helang yang menjadi impian selama ini. Saya sudah menyiapkan skripnya tiga tahun lalu dan syukur akhirnya ia terlaksana juga. Selain cipta lagu, saya suka menulis cerpen.

“Seingat saya, seawal usia lapan tahun lagi saya sudah mula menulis. Saya sukakan cerita epik seperti bunian ini kerana percaya karya sebegini memang mempunyai kelompok peminat tersendiri. Bukan saja diminati kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga.

“Saya yakin semua orang mahu tahu apa dia alam bunian itu. Jadi, diharapkan filem ini berhasil dengan kos pembikinan sedia ada. Apa yang pasti, saya berani ambil risiko ini selepas melihat kos yang ada. Andai kata hanya RM1.5 juta saja, saya takkan buat,” katanya.

Adnan berkata menghasilkan filem bukan perkara mudah dan boleh dibuat main.

Selain kos pembikinan tinggi, ia juga harusnya mengikut citarasa penonton.

Katanya, jika jalan cerita filem itu bagus berserta garapannya yang menarik, pasti orang ramai akan datang menonton.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP