#553. Filem Kecil Berjiwa Besar
DARI kiri; Subash, Surenthar sebagai pengarah, Ibrahim dan Maimunah yang menjadi teraju utama Jomlah C.I.U.M!
Jomlah C.I.U.M buah tangan terbaru Genius Parade temui penonton 23 Julai.DEMI minatnya yang mendalam dalam penghasilan filem yang beridentiti Malaysia dengan rakyatnya yang kaya dengan nilai hidup mulia, M Subash menerusi syarikat produksi Genius Parade Sdn Bhd terus menghasilkan filem kecil berjiwa besar.Bermula dengan Pensil dan kemudiannya Syirik, Subash bersama penerbit, M Surenthar, terus bekerjasama untuk menghasilkan pula Jomlah C.I.U.M (Carilah Identiti Untuk Malaysia)! yang baru saja dipertontonkan kepada wakil media dan sebilangan pelajar di Kompleks Finas, baru-baru ini.
Difahamkan, mereka berdua sebenarnya sudah mempunyai sebuah lagi filem, berjudul Mannaan, untuk tayangan seterusnya selepas ini.
Jomlah C.I.U.M! bakal ditayangkan di empat panggung antarabangsa GSC bermula 23 Julai. Selain Subash sendiri, filem terbabit turut dijayakan Ibrahim Mat Isa, Kenchana Dewi, Maimunah Ahmad dan Wahi Aziz.
Menerusi filem terbaru itu, niat murni pengarah dan pelakon berbakat ini harus dipuji. Dia memperjuangkan filem Malaysia dengan acuan sendiri, yang bertunjangkan nilai hidup bangsa Malaysia yang tinggi. Penggiat seni ini tidak mahu menjadikan filem Barat yang bersifat komersial sebagai kiblat, lalu menekankan kepada nilai budaya Timur dalam setiap produknya.
Kali ini, Subash cuba bermain dengan topik agama, di mana tiga watak dan cerita berbeza sebenarnya bersatu dalam mengajak masyarakat hidup dengan penuh kasih sayang serta bersatu padu. Agama, bagi lelaki keturunan India yang baru saja memeluk Islam ini, bukan penghalang untuk penganutnya membantu antara satu sama lain, sebaliknya ia bisa menjadi pencetus kasih sayang sesama manusia.
Telahan Subash, Malaysia cukup bertuah kerana dihuni rakyat pelbagai bangsa dan agama. Kelebihan itu seharusnya dipertaruhkan untuk mencipta satu masyarakat saling menyayangi, berpandukan ajaran agama masing-masing. Dengan institusi agama juga, permasalahan sosial dapat diatasi.
Jomlah C.I.U.M! bercerita mengenai seorang ustaz cacat penglihatan yang menjadi tempat penduduk sekitar meminta tolong. Dia berpegang kepada fahaman, agama mampu mengubah masyarakat menjadi lebih baik. Lalu, impiannya adalah untuk membina surau agar kebaikan itu lebih mudah diperoleh.
Di sudut lain, seorang sami yang menunggu maut dek penyakit barah, cuba menyebarkan fahaman kasih sayang sesama insan, manakala seorang rahib Kristian pula membantu kanak-kanak yang tidak berkemampuan belajar dan mencari masa depan lebih sempurna.
Cita-cita ustaz tadi menarik kedua-duanya untuk turut membantu, walaupun pegangan agama mereka cukup berbeza. Mungkin nampak agak janggal pada satu sisi, tetapi Subash menyatakan, ia sesuatu yang tidak mustahil.
Tidak mahu mengusik tema yang sudah semestinya begitu baik, namun sedikit masalah tetap ada pada cara pembikinannya. Pada ketika jalan cerita sudah pun kelihatan, sayangnya ia dirasa sedikit mendatar, tanpa ada sedikit pun konflik yang umpamanya mampu menghalang niat suci tiga watak tadi daripada direalisasi.
Begitu juga wujud beberapa babak agak panjang dan meleret. Alangkah baiknya jika babak itu dipendekkan, supaya perjalanan cerita tampak lebih pantas dan kemas. Tidak semestinya filem yang panjang itu lebih baik kerana gaya penyampaiannya juga perlu dititikberatkan sekali.
Babak sami bersembahyang di kuil, babak bekas penagih mengerjakan solat buat kali pertama dan babak rahib meniup buih sabun dengan kanak-kanak perempuan memang meleret. Lebih manis rasanya jika ia disunting sedikit. Namun, kata Subash, dia mahu penonton sama-sama menghayatinya tatkala babak terbabit diputarkan di layar. Atas alasan itu, dia mahukan adegan berkenaan mempunyai durasi agak lama.
Berlaku juga pengulangan babak yang sebenarnya boleh digambarkan dalam sekali dua saja. Sami yang batuk dalam lima atau enam babak, kelihatan seperti diulang-ulang dengan sengaja, sedangkan penonton sudah tahu, nyawanya tidak panjang apabila kali pertama dia dipaparkan mengalami sakit batuk berdarah.
Subash juga tidak perlu mewujudkan babak di mana watak menuturkan mesej secara terang-terangan. Penonton sudah disogokkan dengan begitu banyak babak yang memberikan pesanan sedemikian. Lalu, penambahan babak seperti si ustaz menegur perbuatan ibu bapa mengabaikan anak di rumah kelihatan seperti program pendidikan televisyen saja.
Begitupun, pujian harus diberikan kepada pelakon yang menjayakan watak ustaz, Ibrahim, 49, yang kini mengusahakan pusat urut di Kajang. Pertama kali berlakon, persembahannya cukup bersahaja. Tidak ada lakonan berlebihan, tidak juga nampak kaku, sebaliknya Ibrahim menuturkan dialog sebagaimana dia bercakap di luar sana.
"Apabila Subash datang berjumpa, saya tidak tahu pun siapa dia sebenarnya. Dia memperkenalkan diri sebagai pembikin filem. Ketika dia menceritakan hajatnya untuk menghasilkan filem yang berunsur keagamaan, kemasyarakatan dan kasih sayang, saya cukup gembiralah.
"Saya sendiri sedia memberikan kerjasama, tanpa mengetahui pun saya juga kena berlakon. Ingatkan, mereka perlukan nasihat dalam bab keagamaan saja, maklumlah saya juga pernah mengajar di sekolah rakyat, selain mengajar di surau. Apabila dia membawakan skrip, barulah saya tahu saya juga perlu berlakon. Saya bersetuju berlakon dalam filemnya dengan satu matlamat, agar ia sedikit sebanyak dapat menyatukan hati masyarakat kita.
"Saya mendoakan agar Tuhan membuka hati kita semua manusia kerana asalnya kita adalah daripada punca yang satu saja, iaitu Nabi Adam," kata Ibrahim yang diberikan kebebasan untuk menuturkan dialognya, asalkan kena dengan kehendak cerita.
Jomlah C.I.U.M yang dirakam menggunakan teknologi definisi tinggi dan membabitkan perbelanjaan keseluruhan sekitar RM250,000 akan diedarkan sendiri Genius Parade.
Sumber : Berita Harian [18/06/09]
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff