Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Mac 16, 2009

#263. Skoop : Kutipan filem Geng boleh cipta rekod baru

DALAM industri filem ketika ini, sebenarnya ramai terkejut dan tidak menyangka kutipan filem animasi, Geng: Pengembaraan Bermula mampu mencapai kutipan lebih RM6 juta sehingga tayangannya pada Jumaat lalu. Filem yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda ini juga kini mampu mengalahkan filem box-office lain sebelum ini iaitu Sembilu 2 yang pernah meraih kutipan tertinggi di Malaysia - RM6.2 juta pada era pertengahan 1990-an serta dua lagi filem lain, Jangan Pandang Belakang serta filem Cicakman.

Filem itu bertahan lebih sebulan di pawagam sejak ia mula memasuki pawagam di seluruh negara sejak 12 Februari lalu. Usah terkejut kerana filem animasi ini masih terus ditayangkan termasuklah sempena musim cuti persekolahan yang bermula esok. Maknanya, kutipannya juga akan lebih meningkat lagi dan tidak mustahil sehingga selesai tayangannya kelak, ia mampu meraih hampir RM7 juta. Jika berhasil, ia satu rekod baru dan sejarah baru juga tercipta dalam industri filem kita iaitu sebagai filem tempatan paling tinggi kutipannya berdasarkan tayangan di pawagam dalam negara dan mengikut skim Syarat Wajib Tayang.

Filem yang berkisar daripada animasi siri TV, Upin dan Ipin itu terus mendapat sambutannya dengan purata sehari kutipannya sekitar RM100,000. Inilah penangan hasil anak muda kita. Walaupun baru setahun jagung berada dalam industri filem tetapi mereka yang terdidik menerusi ilmu filem dan teknologi ICT mempunyai idea bagus dan hasil filem ini juiga bermutu dan menarik ramai penonton. Ia mampu mengalahkan kutipan filem lain yang dihasilkan oleh profesional yang jauh lebih berpengalaman.

Syabas buat team produksi atas kejayaan ini. Tahniah juga kepada masyarakat kita yang memberi penghargaan dan sokongan cukup baik untuk filem ini dengan membantu mencatat kejayaan menerusi kutipan. Kejayaan ini bukan sekadar box-office tetapi jauh lebih bererti kerana hasil kerja filem animasi 3D ini boleh dibanggakan, malah mampu memperkenalkan industri filem Malaysia di pasaran luar negara.

Meskipun sewaktu tayangan filem ini bermula pada tengah bulan dan ia bukan dalam musim cuti perayaan tetapi hasilnya memang mengejutkan. Bayangkan kalau filem ini ditayangkan musim cuti panjang persekolahan pada Disember lalu, barangkali kutipannya tentu jauh lebih bagus, mungkin mencecah sampai RM10 juta, siapa tahu?

Saya sendiri yang menonton filem ini di pawagam pada minggu ketiga tayangannya di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, juga terkejut kerana mendapati masih ramai penonton yang memenuhi pawagam, malah saya sekeluarga terpaksa menunggu tayangan sebelah malah malam kerana tiket tayangan untuk sebelah siang sudah habis ditempah.

Jelas, penangan Geng: Pengembaraan Bermula bukan sembarangan. Perhatian harus diberikan kepada team anak muda yang hasilkan produksi filem animasi ini kerana mencipta sesuatu yang tidak dijangka. Ramai yang tak jangka ia boleh mendapat sambutan begitu hebat memandangkan filem animasi sebelum ini seperti silat Legenda, Putih dan Budak lapok kecundang di pawagam. Finas sebagai badan pembangunan filem nasional, harus membuka mata dan memberi sokongan padu kepada mereka untuk menghasilkan karya seterusnya apatah lagi mereka kini bersiap sedia untuk menghasilkan pula judul Upin & Ipin The Movie.

Kejayaan Geng: Pengembaraan Bermula membuktikan bukan ukuran pengalaman yang menjadi isu, bukan juga bajet besar menjadi taruhan untuk melihat hasil filem yang baik dan diterima ramai penonton. Ada pihak yang memperlekeh sesuatu filem apabila karya itu mendapat kutipan box-office tetapi box-office yang diperoleh Geng: Pengembaraan Bermula membuktikan jika filem yang dihasilkan ada daya tarikan, elemen budaya, menghiburkan dan bersifat cerdik, masyarakat akan beri sokongan dan pengkritik juga akan memberi pujian.

Kejayaan filem terbitan Les Copaque ini menandakan masa depan perfileman nasional yang terus meyakinkan apatah lagi ketika ini juga beberapa filem bertemakan sejarah, mitos dan legenda semakin rancak untuk diterbitkan lagi. Semoga kejayaan manis ini akan dikongsi dengan filem berkenaan.

Sumber : Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP