Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Jun 02, 2009

#495. Upin & Ipin Terap Nilai 1 Malaysia

KARAKTER animasi kembar Upin dan Ipin yang menjadi kegilaan ramai bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa ternyata berjaya mencetus satu lagi revolusi baru terhadap seni hiburan tempatan.Dua watak comel tersebut telah mula diperkenalkan di TV9 menerusi mini siri yang berdurasi selama tujuh minit di rangkaian itu sepanjang bulan Ramadan sejak dua tahun lalu.Kekuatan jenamaUpin dan Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama yang turut menampilkan dua watak tersebut, Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Kejayaan berganda apabila filem terbitan Les' Copaque Productions (LCP), arahan Mohd. Nizam Abdul Razak itu menerima sijil Malaysia Book Of Records setelah muncul sebagai filem animasi 3D pertama diterbitkan di negara ini.Di atas permintaan ramai , siri yang berjaya mencatat rating melebihi 1.5 juta itu sekali lagi bakal menemui peminat setianya sebanyak 42 episod untuk musim ketiga yang bakal memulakan siarannya di TV9 mulai Ogos ini.

Berbeza dengan tayangan dahulu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda, selain penayangan mini siri selama tujuh minit pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, ada penambahan satu lagi slot ulang tayang selama 30 minit.

Tambah menarik, siaran untuk musim ketiga itu mendapat tajaan daripada syarikat telekomunikasi terbesar negara, Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Bazlan Osman pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan LCP memberitahu, kerjasama tersebut dilakukan kerana pihaknya percaya dengan kandungan nilai-nilai budaya yang diterapkan dalam siri tersebut sejak mula disiarkan.

"Siri tersebut yang mengetengahkan kehidupan kanak-kanak kembar dan rakan-rakannya yang berbilang bangsa di kampung melambangkan konsep 1 Malaysia.

"Malah, lebih separuh daripada tenaga kerja di belakang tabir siri tersebut merupakan graduan daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU), milik TM," katanya.

Tambah Bazlan, TM yang menyokong penerbitan produk-produk animasi turut merancang penggunaan high speed broadband bagi memudahkan tujuan mempromosi siri tersebut.

"Selain itu, ia dapat membantu membina jenama TM di kalangan kanak-kanak dan remaja, perkhidmatan tersebut membuka ruang jalur komunikasi untuk mendekati mereka," katanya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie ketika berucap pada majlis yang sama berkata, sudah tiba masanya para penerbit animasi menghasilkan produk 'berwajah' tempatan.

"Animasi merupakan medium yang mampu mempengaruhi minda kanak-kanak. Nilai-nilai moral produk animasi barat tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"Upin dan Ipin diselitkan dengan kandungan asas budaya serta nilai-nilai kehidupan yang sesuai dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Upin & Ipin: Angkasa pada 2011

Belum lagi reda khalayak memperkatakan tentang kehebatan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula, LCP sudahpun merancang untuk penerbitan filem yang menampilkan si kembar Upin dan Ipin sebagai subjek utama.

Menariknya, filem yang bakal menerima sentuhan teknologi stereoscopic 3D yang dikatakan bakal menelan belanja RM6 juta itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 2011.

Pengarah Eksekutif LCP yang juga pengarah Upin & Ipin, Nizam ketika ditemui memberitahu, filem yang bakal membawa pengembaraan Upin dan Ipin di angkasa lepas itu masih lagi dalam proses penulisan skrip.

Malah, katanya filem tersebut bakal diterbitkan dalam dwi bahasa (Melayu dan Inggeris) untuk memudahkan pasaran di peringkat global.

"Kalau boleh untuk filem akan datang ini kita (LCP) nak buat sebaik mungkin. Ramai yang gemarkan watak Upin dan Ipin dan ramai juga peminat yang mahukan kedua-dua watak itu dijadikan watak utama dalam filem sebab untuk filem Geng, Upin dan Ipin hanyalah sebagai watak tambahan.

"Atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menghasilkan Upin dan Ipin dalam bentuk filem pula," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia [28/05/2009]
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

Baca Sepenuhnya...

#494. Modal, Ilmu Terbit Filem Bermutu

TIGA pelakon utama Tiga Budak Melayu (dari kiri) Syahiera Abu Hassan, Aizam Othman dan Noor Fariza Hisamuddin.TIDAK dinafikan, untuk menghasilkan sesebuah filem yang berkualiti dan mampu menghiburkan para penonton, kalangan pembikinnya mestilah mempunyai ilmu serta kepakaran dalam bidang tersebut.Dua faktor itu, menurut Dekan Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif (FACT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Hatta Azad Khan, juga haruslah disokong oleh dana kewangan yang mencukupi jumlahnya.

Bagaimanapun, tambah pengarah filem Wayang ini, gabungan dua elemen itu belum dipraktikkan sepenuhnya dalam industri perfileman tempatan menyebabkan mutu filem yang diterbitkan setakat ini belum mencapai tahap sepatutnya."Kalau kita dapat formula khusus cara-cara untuk membangunkan filem kita, ia akan menjadi mudah bagi mencapai hasrat tersebut. Caranya ialah dengan menggabungkan ilmu para pembikin filem kita dengan golongan pemodal yang ada banyak duit."Kerjasama seperti itu perlu ada," katanya pada sidang media selepas pratonton filem Tiga Budak Melayu terbitan FACT di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Senario itu jelas Dr. Hatta sering berlaku dalam industri perfileman tanah air apabila ada pembikin filem yang mempunyai modal besar gagal menerbitkan filem bermutu ekoran kurang ilmu dalam bidang itu.

Sebaliknya kata beliau, ada juga di kalangan pembikin filem daripada golongan terpelajar yang mahu menghasilkan filem-filem bermutu tetapi ia terbantut kerana adanya kekangan daripada segi kewangan.

Pendapat Dr. Hatta itu turut dipersetujui oleh pelakon Tiga Budak Melayu, Zaidi Omar yang tidak menafikan peri pentingnya pendidikan formal di kalangan pembikin filem di negara ini.

"Untuk menghasilkan filem, kita mesti ada keberanian tetapi pada masa sama pendidikan formal tetap diperlukan. Soal bajet mungkin perkara yang berasingan tetapi ilmu dalam bidang ini amat diperlukan," ujarnya.

Kerjasama erat

Justeru, para karyawan terutamanya graduan perfileman haruslah menjalin kerjasama erat dengan golongan pemodal bagi menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu pada masa akan datang.

Jika pendekatan itu diambil secara serius, tidak mustahil katanya, industri perfileman tanah air mampu untuk menghasilkan filem-filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga lebih berkualiti tinggi pada masa depan.

Tiga Budak Melayu merupakan filem terbaru terbitan FACT yang membariskan para pelajar fakulti itu dengan kos penerbitan sekitar RM15,000, 40 tenaga kerja selama 12 hari penggambarannya dijalankan di Shah Alam, baru-baru ini.

Pengarah Tiga Budak Melayu, Mohd. Faizal Lockman Hakim berkata, beliau bangga kerana mempelajari bidang perfileman dan mahu membabitkan diri secara serius dalam industri tersebut.

"Saya merupakan muka baru yang akan menghiasi industri perfileman di negara ini pada masa depan. Sebagai 'cawan kosong', dan ini juga filem pertama arahan saya, maka saya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menerbitkan filem-filem berkualiti.

"Mujurlah selain krew, para pelakon berpengalaman seperti Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid yang berlakon filem ini banyak membantu kami semua. Dengan adanya gabungan tenaga pengajar di FACT yang bagus dan pelakon berpengalaman ia mampu merealisasikan hasrat tersebut," ujarnya.

Selain gabungan tenaga kerja profesional dalam penerbitan semasa di lokasi penggambaran, Tiga Budak Melayu juga menyelitkan banyak mesej serta sindiran semasa dalam industri perfileman yang harus direnungi bersama oleh semua penggiatnya.

Filem itu antara lain menyindir dengan menggunakan watak-watak seperti penagih dadah yang memberi cadangan kepada watak Epol (lakonan Aizam Othman) iaitu seorang pengarah muda tentang cara-cara membikin filem.

Zaidi Omar turut mengulas senario itu yang sering berlaku dalam industri perfileman di negara hingga menyebabkan usaha menerbitkan sesebuah filem bermutu sukar untuk dilaksanakan.

"Untuk menerbitkan filem di Malaysia, banyak kacau bilaunya. Ramai sangat yang beri nasihat daripada golongan penagih dadah hinggalah kepada mereka yang langsung tidak ada kena mengena dalam bidang ini," katanya dalam nada kecewa.

Di samping, Aizam Othman, dua lagi pelajar FACT yang berlakon dalam filem ini ialah Syahiera Abu Hassan yang melakonkan watak Zurin dan Noor Fariza Hisamuddin (Nana).

Sumber : Utusan Malaysia [28/05/2009]
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Baca Sepenuhnya...

#493. Jauh Hati Tidak Diundang Ke Sarawak

Salmah Ibrahim bawa diri ke Padang, hembuskan nafas terakhir pada minggu kedua April lalu.MUNGKIN tidak ramai mengenali pelakon veteran Salmah Ibrahim. Barangkali kerana pelakon yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada awal era 50-an itu tidak sepopular Latifah Omar mahupun Saadiah.Bagi generasi muda yang pernah menonton filem arahan Datuk Shuhaimi Baba, Layar Lara, mungkin ada yang perasan kehadiran pelakon itu di dalam filem berkenaan.Mengenali Salmah di dalam filem itu tidak sukar kerana pelakon berasal dari Padang, Indonesia itu berkulit hitam manis dan bersuara agak garau.

Mungkin kalangan generasi muda juga tidak mengetahui, pelakon itu adalah balu kepada pelakon hebat era 50-an yang terkenal dengan ketampanannya, Nordin Ahmad. Namun perkahwinan mereka tidak berpanjangan apabila Nordin menghembuskan nafas terakhir 1971 ketika berusia 39 tahun akibat demam kuning.Setelah 38 tahun pemergian Nordin, akhirnya Salmah Ibrahim atau dipanggil Salmah Hitam di kalangan rakan terdekat yang berusia hampir 80 tahun mengikut jejak langkah arwah suaminya itu. Bagaimanapun, tidak banyak cerita mengenai pemergian Allahyarham Salmah dicanang.

Allahyarham yang bermastautin di Singapura sejak berhijrah dari kampung halamannya untuk bergiat dalam dunia seni dikatakan menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya di Kampung Paya Kumbuh, Padang, pada minggu kedua April lalu. Dia dikatakan pulang ke kampung halaman kerana kecewa dengan industri seni tanah air.

Seminggu selepas pulang ke kampung halamannya, Allahyarham meninggal dunia dan jenazahnya disemadikan di sana. Tidak ramai mengetahui mengenai berita pemergiannya kerana anak-anak Allahyarham seramai tiga orang yang hanya dikenali sebagai Asmah, Tuah dan Asnor enggan berita mengenai pemergian ibu mereka diperbesarkan.

Rakan karib yang juga teman sekampung Allahyarham, Datin Rosnani Jamil memberitahu, dia juga terlambat mendapat berita mengenai pemergian rakannya itu. Kata Rosnani, setahunya Allahyarham sihat cuma dia ada menghidapi beberapa penyakit biasa seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Allahyarham jauh hati kerana tidak diundang ke Sarawak menjayakan Anugerah Seniman. Dia mahu ke sana kerana ingin bertemu dengan sahabat-sahabat lama tetapi mereka asyik bawa orang yang sama. Akibat daripada kekecewaan itu, dia bawa hati ke kampung halamannya.

“Seminggu setelah tiba di sana, dia meninggal dunia tetapi anak-anaknya tak mahu beritahu sesiapa kerana semasa hayat ibu mereka, tidak ada siapa yang peduli dengannya. Jadi mereka tidak mahu besar-besarkan kerana kata mereka persatuan kita selalunya akan ambil tahu apabila artis sudah meninggal dunia.

“Saya ada juga cuba menghubungi anak-anak Allahyarham tetapi gagal. Jadi cerita ini saya dapat tahu daripada Momok Latif saja sebab anak-anaknya juga kecewa dengan nasib ibu mereka,” kata Rosnani yang mengakui sudah lama tidak bertemu dengan Allahyarham.

Katanya yang tinggal berhampiran dengan Salmah ketika menetap di Singapura sekitar 1952, setiap kali ke sana, dia tidak pernah gagal menghubungi Salmah tetapi baru-baru ini ketika berkunjung ke negara itu, dia tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu sibuk. Seingatnya, kali terakhir dia dapat meluangkan masa yang lama bersama Allahyarham adalah ketika penggambaran Layar Lara kerana Salmah menumpang di rumahnya di Janda Baik.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Salmah terkenal dengan watak jahat dan penggoda serta pernah membintangi kira-kira 12 buah filem antaranya Takdir Illahi, Sedarah, Juwita dan yang terakhir Layar Lara. Allahyarham juga pernah adalah bekas penari dan pemain dram kumpulan Seni wanita. Selain itu, dia dan arwah suaminya juga pernah mengusahakan kedai makan nasi padang.

Sumber : Berita Harian [28/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Baca Sepenuhnya...

#492. Epilog : Sesudah 36 Tahun Pemergian P.Ramlee

ESOK genap 36 tahun Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee meninggal dunia. Menyentuh mengenai jasa, sumbangan dan khazanah seni yang ditinggalkan Allahyarham, ia tidak pernah jemu diperkatakan dan saban tahun menjelang ulang tahun pemergiannya kita akan berasa kehebatannya berkarya dalam filem dan muzik nyata tiada tolok bandingnya.

Ada orang kata mereka sudah muak bercakap mengenai P Ramlee. Ada juga kata sudah bosan tonton filem P Ramlee kerana kerap sangat disiarkan menerusi kaca TV. Hakikatnya P Ramlee terus hidup dalam jiwa ramai insan dan mereka yang tidak pernah kenal dan lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya. Apapun alasannya, P Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan. Pujian dan kebanggaan terhadap karya P Ramlee bukan sekadar retorik. Seniman Agung itu adalah insan genius dalam bidang seni dan budaya yang dikurniakan Tuhan kepada bangsa Malaysia.

P Ramlee akan terus menjadi perhatian kepada generasi muda hinggakan generasi baru seperti kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah juga kenal siapa P Ramlee. Semuanya kerana filemnya yang boleh menjerat hati kanak-kanak untuk menonton dan menghayati cerita yang disampaikan P Ramlee. Ia bukan semua filem lakonan P Ramlee tetapi kebanyakan filem arahan dan lakonan P Ramlee yang dikategorikan popular seperti komedi Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Nasib Labu Labi, Do Re Mi, Nasib Do Remi, Masam Masam Manis, Anak Bapak, Keluarga 69, Laksamana Do Re Mi dan banyak lagi. Tiga filem agung P Ramlee yang terus menjadi kajian mereka yang belajar filem di universiti ialah Semerah Padi, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat.

Kehebatan P Ramlee sentiasa diperkatakan tanpa jemu. Begitu juga dialog dan keletah dalam filem lakonannya juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya. Ada orang filem juga mencedok idea dan konsep filem P Ramlee. Ia juga dibuat secara tribute dalam bentuk pementasan muzikal dan teater serta orkestra.

Beberapa buku berkisar kisah hidup dan karya P Ramlee juga sudah banyak ditulis dan diterbitkan termasuklah menerusi tulisan Tun Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Hussain, Nasir P Ramlee, Aimi Jarr, Ramli Ismail dan Yusnor Ef. Filem P Ramlee kini juga kerap dan makin rancak ditayangkan menerusi TV2, TV3, TV9 dan Astro Prima. Acara berkaitan P Ramlee juga terus diadakan termasuklah sambutan ulang tahunnya yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia.

Begitu juga penghargaan untuk Allahyarham. Ia terus diberikan. Terbaru, pada awal April lalu kerajaan Sarawak menganugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Amar Bintang Kenyalang kepada Seniman Agung itu. Penyerahan anugerah itu dibuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis Anugerah Perdana Seniman 2009 di Stadium Perpaduan, Kuching.

Baru-baru ini juga seorang timbalan menteri dalam Dewan Rakyat membuat kenyataan pihak kementerian berkaitan kebudayaan menyokong penuh gelaran Tun untuk P Ramlee setelah mengambil kira jasa besarnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan di negara ini, malah ia terus dihargai dan dikenang sehingga kini. Cadangan itu juga sebagai menjawab saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat yang berpendapat gelaran Tan Sri untuk P Ramlee ketika ini tidak mencukupi kerana gelaran itu juga sudah diberikan kepada beberapa seniman lain walaupun sumbangan mereka tidak sebesar Allahyarham. Cadangan pemberian darjah Tun untuk P Ramlee mula diusulkan oleh Presiden Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan menerusi rancangan Fenomena Seni di TV1 pada tahun lalu.

Ini bererti jika saranan kementerian itu diterima pihak berkenaan, maka gelaran Tun kepada kepada P Ramlee akan dibuat secara posthumous, iaitu selepas hampir 36 tahun beliau meninggal dunia. Gelaran Tan Sri yang diperoleh Allahyarham dulu pun diberikan secara posthumous, selepas 17 tahun kematian beliau, diberikan pada 1990 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah.

Memperkatakan legasi P Ramlee kita tidak dapat mengelak mengenai legasi Bujang Lapok, Do Re Mi dan Labu Labi. Ia judul filem yang memberi kekuatan tersendiri hingga menjadi sebutan ramai dan watak yang dicipta dalam komedi terbabit juga menjadi terkenal kerana filem berkenaan. Sayangnya, sebahagian mereka juga sudah meninggal dunia seperti AR Tompel dan Ibrahim Din menerusi trilogi Do Re Mi, begitu juga M Zain yang berganding dengan Seniman Agung itu menerusi Labu Labi. Dua sahabat baik P Ramlee menerusi trilogi Bujang Lapok kini masih hidup iaitu Aziz Sattar (kini Datuk) dan S Shamsuddin atau Sudin.

Aziz dan Sudin ialah legasi P Ramlee dari segi pelakon komedi hebat yang ditinggalkannya. Mereka masih hidup. Sejauh mana industri filem dan masyarakat termasuk anak seni sekarang memberi penghargaan kepada legasi P Ramlee ini. Aziz mungkin bernasib baik kerana dia masih aktif dalam kerjaya seni meskipun usianya lebih 70 tahun dan kerap menerima penghargaan termasuk kurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Malangnya, Sudin yang kini menetap di Singapura bagaikan terpinggir dan khabarnya berada dalam keadaan uzur di kediamannya di sebuah flat di negara itu. Sesuatu harus dibuat untuk membantu Sudin.

Kita akui, generasi baru sekarang memang kenal P Ramlee lewat filemnya tetapi mereka cuma kenal fizikal serta gelagat P Ramlee menerusi lakonan dan tidak tahu latar belakang, asal usul, jasa dan pemikiran P Ramlee. Meskipun ada buku biografi mengenai P Ramlee diterbitkan dulu tetapi ia sukar diperoleh di pasaran sekarang. Ada sebahagiannya sudah lama tidak dicetak semula dan ada yang langsung tiada lagi di pasaran. Kenapa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengambil inisiatif untuk terbitkan buku biografi khusus secara menyeluruh dan ilmiah mengenai P Ramlee. Malah sewajarnya juga DBP atau pihak lain seperti Finas, Persatuan Seniman Malaysia atau kementerian berkaitan seni budaya ada kesedaran mengambil inisiatif untuk terbitkan biografi P Ramlee dalam versi naskhah mewah atau buku coffee table yang boleh dijadikan rujukan untuk generasi sekarang. Malangnya kita selalu gagal dalam menerbitkan bahan dokumentasi seperti ini.

Pustaka Peringatan P Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang adalah simbol pengiktirafan kerajaan dan rakyat terhadap Seniman Agung itu. Muzium berkenaan menjadi rujukan penting masyarakat kita, orang luar dan pelancong asing kenal lebih dekat siapa P Ramlee. Seharusnya juga pihak Arkib Negara menyediakan buku biografi pendek dan bersaiz kecil dan nipis untuk dijual kepada pengunjung - mungkin serendah harga RM15 senaskhah supaya ia boleh dibawa pulang untuk dijadikan rujukan.

RTM dan Filem Negara juga wajar menghasilkan satu dokumentari khusus untuk disiarkan di TV bagi mengenang jasa dan sumbangan hebat P Ramlee kerana banyak bahan rakaman mengenai perbualan dan temubual bersama P Ramlee dulu ada dalam simpanan rekod stesen itu dan Filem Negara. Malangnya, pihak berkenaan tidak ada usaha ke arah itu, malah lebih suka membiarkan rakaman visual dan audio dulu terperap dan berhabuk....

Kata orang, bukan retak dek panas, bukan pecah dek sengaja... - akmel@bharian.com.my

Sumber : Berita Harian [28/05/2009]
oleh Akmal Abdullah

Baca Sepenuhnya...

#491. Sedia Tukar Judul Filem

Bagaimanapun, kata David, setakat ini, dia tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak untuk menukar judul filem berkenaan."Filem Remp-It yang juga genre aksi komedi ini sudah mendapat Sijil Perakuan Penggambaran filem daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), 22 Mei lalu.Jika filem ini tidak mendapat sijil berkenaan, ia juga menyukarkan pihak saya untuk mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) selepas filem ini siap nanti.

"Justeru, sokongan daripada pihak berkuasa sangat penting untuk saya merealisasikan filem ini," katanya.David berkata, filem ini juga bukan sambungan filem Remp-it dulu, sebaliknya kisah Mat Rempit yang sudah ditangkap polis dan insaf dengan perbuatannya."Bekas Mat Rempit ini juga sudah berkahwin dalam filem Remp-it Nan Sempit. Apa yang dipaparkan dalam filem ini ialah keperitan hidup yang dilalui golongan Mat Rempit ini."Mesej yang disampaikan dalam filem ini juga mudah difahami penonton dan ia berpandukan garis panduan ditetapkan pihak LPF. Sebelum menghasilkan sesebuah filem, saya memang mengikut garis panduan ditetapkan pihak mereka terlebih dulu," katanya.

Apapun, kata David, setakat ini, semua filem yang diterbitkan MIG tidak pernah menunjukkan babak ragut, sekali gus menggalakkan lagi gejala ini berleluasa sekarang.

"Malah, kes ragut tetap meruncing sebelum filem berkaitan Mat Rempit dihasilkan lagi. Sebenarnya, tidak adil bagi kita menganggap semua orang yang menaiki motor sebagai Mat Rempit? Ada juga peragut yang melakukan jenayah ini menaiki kereta.

"Sepatutnya, kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapapun kerana kebanyakan penjenayah ragut ini berasal dari Indonesia dan bukannya dari Malaysia," katanya ketika mengulas cadangan pihak polis untuk menggantikan istilah Mat Rempit kepada samseng jalanan bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan, baru-baru ini.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof juga menyeru semua pihak termasuk media supaya tidak menggunakan istilah Mat Rempit kerana ia seolah-olah menunjukkan mereka jaguh di jalan raya.

Tambah David lagi, walaupun isu rempit hangat diperkatakan semua pihak sejak kebelakangan ini, pihaknya mengambil langkah menjawab semua persoalan berkenaan melalui filem Remp-it Nan Sempit.

"Filem ini masih mengekalkan konsep rempit tetapi disampaikan secara komedi. Apa yang penting, filem ini juga mempunyai mesej berguna untuk disampaikan kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Filem Remp-it Nan Sempit arahan Ahmad Idham dan membabitkan bajet sebanyak RM1.5 juta ini baru saja memulakan penggambarannya di sekitar Lembah Klang, 24 Mei lalu.

Barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Norliana Samsudin, Along Cham, Zack X-Factor, Shahfiez, Cat Farish dan Julia Hana.

Sementara itu, kata David, tiga filem terbitan MIG Production Sdn Bhd yang menanti tayangan di pawagam tempatan ialah Jangan Pandang Belakang Congkak, Senario The Movie 2, Remp-it V3 manakala filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham menjengah pawagam bermula 21 Mei lalu.

Sumber : Harian Metro [28/05/2009]
Oleh Ramlah Zainal

Baca Sepenuhnya...

#490. Finas Bantu Artis Sakit

Menerusi Skim Belaan Artis yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu, usaha ini menarik perhatian dan disambut baik artis yang disifatkan dapat meringankan beban mereka.Ini juga secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu artis tempatan agar mereka tidak berasa terpinggir daripada mendapat bantuan kerajaan.Selepas skim ini diberikan kepada 21 penerima sebelum ini, pada awal tahun ini pula enam artis yang menganggotai Persatuan Artis India Warganegara Malaysia (Miewa) menerima sumbangan yang sama.

Meneruskan usaha ini, Finas turut mengadakan lawatan turun padang ke rumah artis untuk menghulurkan sumbangan. Kelmarin, Finas yang diwakili Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd Aziz bersama beberapa pemimpin persatuan iaitu Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dan wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pelakon Abu Bakar Omar, Zulkifli Ismail dan Rina Tan berkesempatan berkunjung ke rumah tiga artis yang sebelum ini ditimpa masalah kesihatan iaitu Shukery Hashim, Yusof Chong dan Kamal Pendek.

Pada lawatan itu, Finas menghulurkan sumbangan RM10,000 dari Skim Belaan Artis kepada tiga artis ini.

Bagi Shukery yang terkejut dengan kunjungan itu, menyatakan dia sangat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan itu.

Katanya, sumbangan itu memberi makna besar pada dirinya untuk pulih selepas menjalani pembedahan barah pankreas di Hospital Selayang pada 24 April lalu.

Shukery, 55, yang pernah meraih anugerah Pelakon TV Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1995, Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1990), kini berehat daripada aktiviti lakonan selepas pembedahan pertama kali itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor, dia isteri, Faridah Mat Desa mampu bercakap dan berdiri.

Kata Shukery, kesihatannya bertambah baik cuma dinasihatkan banyak berehat kerana kesan pembedahan menyukarkan dia bergerak bebas.

"Sejak sakit, selera makan saya berkurangan. Namun, saya paksa makan sedikit untuk mendapat tenaga. Selain tiada selera makan, saya sukar untuk tidur malam kerana badan sering gelisah dan panas.

"Akibat penyakit yang saya hadapi, berat badan yang sebelum ini 85 kilogram turun 10 kilogram. Buat masa ini, saya masih mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Ampang.

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih pada Finas khususnya Menteri, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim atas keprihatinan dalam memberi sumbangan ini ," katanya.

Pelawak veteran, Yusof Chong atau nama sebenar Yusof Mat Said pula berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan padanya yang membantu meringankan beban untuk merawat penyakit yang dihidapinya.

Yusof, 62, yang mengidap sakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu, masih menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Katanya, dia perlu menanggung perbelanjaan sebanyak RM2,000 sebulan untuk kos rawatan dan ubat.

Katanya, sebelum ini dia pernah menerima bantuan dari Seniman dan bayaran pencen RM500 setiap bulan yang diberikan Karyawan.

Sungguhpun ditimpa masalah kesihatan, dia masih bersemangat untuk bekerja dan memenuhi jemputan persembahan pentas.

"Saya perlu berkerja untuk menyara hidup. Bagaimanapun, saya bekerja bila kesihatan mengizinkan. Apabila ada pihak yang prihatin untuk memberi sumbangan, saya berasa terharu dan bersyukur kerana masih ada yang ambil berat mengenai saya.

"Pada saya, sumbangan membantu artis veteran diharap dapat diteruskan. Jika boleh, ada kalangan artis veteran yang tidak berkemampuan mendapat bantuan rumah sebagai menghargai sumbangan mereka pada bidang hiburan tempatan," katanya.

Pelakon Kamal Pendek atau nama sebenar Nurul Kamal Mohamad Zainuddin berkata dia tidak menyangka kerana mendapat sumbangan daripada kerajaan.

Kamal, 57, mengidap sakit tulang belakang sejak tiga tahun lalu hingga sukar untuk bangun dan berjalan. Penyakit itu berpunca dari satu kemalangan ketika dia terjatuh dari ketinggian lebih 12 kaki ketika membaiki wayar di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Akibat kemalangan itu, dia menjalani pembedahan tengkuk di Hospital Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai perkembangan diri, dia berkata kesihatan beransur pulih bila dia kini mampu berjalan menggunakan tongkat. Kamal yang turut aktif bersama Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berharap kesihatannya bertambah baik dan mahu terus berlakon. Dia mula berlakon sejak 1973 menerusi filem pertama, Penagih Dadah arahan Mat Sentul.

"Kesan daripada penyakit saya sukar untuk tidur dengan selesa. Bayangkan setiap 10 minit saya perlu mengubah kedudukan tidur untuk mengelak sakit.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sumbangan ini dapat menampung kos perbelanjaan pembedahan tulang belakang saya RM20,000.

"Sebelum ini ada juga sumbangan daripada orang ramai tetapi wang yang ada masih belum cukup untuk saya menjalani pembedahan ini.

"Saya memohon sumbangan orang ramai termasuk syarikat korporat untuk tampil membantu membiayai kos pembedahan saya ini. Jika wang ini dapat dikumpulkan, pembedahan dapat dijalankan dengan segera," katanya.

Sumber : Harian Metro [28/05/2009]
Oleh Elrafaei Sapi

Baca Sepenuhnya...

#489. Borak Lokasi : Khalid Pastikan Penggambaran Sempurna

Biarpun Zati sudi menerima lamaran Iskandar sebagai isterinya tetapi lelaki itu masih terfikir sama ada sumpahan menjadi makhluk berbulu seperti mawas yang dikenakan padanya akan hilang selamanya. Itu antara adegan menarik yang dipaparkan menerusi drama terbaru arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri iaitu Zati & Si Mawas yang mula ditayangkan di slot Lagenda TV3 pada 12 Mei lalu, jam 4.30 petang.

Drama sebanyak 20 episod ini yang menjalani penggambaran di Taman Dagang Ampang, Selangor, baru-baru ini menampilkan pelakon remaja Liyana Jasmay dan Kamal Adli sebagai teraju utama.Turut menjayakan drama ini, Ruminah Sidek, Dian P Ramlee, Sharifah Shahorah Syed Akil, Hairie Othman, Den Wahab dan dua bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Zarina Zainoordin (musim kedua) dan Ika Nabila Abdul Rahim (musim keenam).Kata Ahmad Idham, drama ini dihasilkan mengikut kesesuaian slot berkenaan yang mengangkat cerita dongeng atau fantasi menjadi drama. Berbeza dengan senario drama di Indonesia yang sudah banyak menghasilkan konsep sebegini, penerbitan drama tempatan yang menggunakan konsep cerita sama masih dianggap baru. Sebelum ini, beberapa drama tempatan yang pernah dihasilkan seperti Merah Puteh dan Puteri Salju.

Untuk drama kali ini, konsep cerita ini direka berdasarkan filem Hollywood iaitu Beauty And The Beast yang mengisahkan percintaan antara seorang gadis dengan manusia yang mempunyai rupa haiwan berbulu seperti mawas. Mengikut sejarah, filem Beauty And The Beast mula dihasilkan menerusi drama TV pada 1946 oleh pengarah, Jean Cocteau yang berasal dari Perancis.

“Sungguhpun konsep cerita ini diambil seperti filem Hollywood tetapi ia juga direka mengikut kesesuaian dalam versi tempatan. Pada saya, filem ini tidak terlalu berat untuk ditonton, apatah lagi skop penonton menerusi slot Lagenda tertumpu pada golongan seperti suri rumah, pencen dan pelajar sekolah.

“Dalam meraih sambutan penonton, saya berusaha menyediakan cerita yang menarik untuk ditonton walaupun ia adalah fantasi. Namun, jika merujuk pada sambutan drama terbitan produksi saya sebelum ini, saya yakin drama ini juga mampu meraih sambutan positif penonton.

“Berbeza dengan drama yang pernah ditayangkan di TV, saya berpandangan drama yang mempunyai slot khas seperti drama ini yang ditayangkan untuk slot Legenda, memainkan peranan penting pada sambutan yang diterima. Sebagai contoh, drama saya yang lalu seperti Impak Maksima The Series yang ditayangkan pada slot Aksi mencatat empat juta penonton.

“Begitu juga dengan drama Puaka Niyang Rapik menerusi slot Seram yang mencecah 3.7 juta penonton manakala slot Akasia menampilkan drama Exora meraih dua juta penonton.

“Bagi produser, kejayaan filem berdasarkan kutipan box-office manakala kejayaan dan kepuasan menghasilkan drama pula bergantung pada rating penonton. Pada saya, penerbitan drama tempatan perlu pelbagai agar memberikan selera berbeza pada penonton.

“Bagaimanapun, apa yang penting, asas Melayu tidak dilupakan seperti adat resam dan tutur kata. Saya sendiri belajar daripada pengalaman produser Mohd Noor Kadir suatu ketika dulu yang menyatakan penerbitan sesebuah drama tempatan perlu mempunyai ciri-ciri Melayu dan jangan terlalu ghairah dengan aspek lain seperti kesan khas untuk menarik perhatian penonton,” katanya.

Drama Zati & Si Mawas mengisahkan Iskandar, lakonan Kamal Adli iaitu anak Sultanah Baginda (Dian) dari kerajaan Maisulu di Sulu terkena sumpahan Nenek Kebayan (Ruminah) ketika dilahirkan hingga bapanya meninggal dunia. Nasib malang juga menimpa Zati (Liyana) yang kehilangan ibunya ketika dilahirkan. Sejak kecil, kehidupan Iskandar dan Zati tidak sama dengan kanak-kanak lain.

Iskandar sering dikurung di dalam rumah manakala Zati dibuli Mak Cik Anita (Sharifah Shahorah) dan adik-beradiknya lain iaitu Joey (Zarina AF2) dan Rina (Ika AF6). Hingga watak Iskandar, Zati, Joey dan Rina menjadi remaja, Zati dengan Iskandar bertemu di kolej dan mereka jatuh cinta. Bagaimanapun, hubungan mereka dicemburui Joey dan Rina yang ingin merosakkan kebahagiaan itu.

Kata Idham, sumpahan yang terkena pada Iskandar bertukar menjadi mawas dianggap unik. Watak itu hanya menjadi mawas apabila dia mempunyai perasaan cinta pada seseorang. Bagaimanapun, sumpahan itu hanya hilang jika ada wanita yang sanggup berkahwin dengannya tetapi dalam rupa mawas.

Borak Lokasi

JUDUL: Zati & Si Mawas

TERBITAN: Excellent Pictures Sdn Bhd

PENGARAH: Ahamad Idham Ahmad Nadzri

PENOLONG PENGARAH: Ismail Hashim

PENOLONG PENGARAH 2: Ahmad Khalid Ahmad Nadzri

KESINAMBUNGAN: Rozniza Zainal

PENGURUS PRODUKSI: Azaromi Ghazali

PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Rosnalee Khalil

PROP MASTER: Ridzwan Mat Hussin

PROPMAN: Mohd Nur Rafiuddin Abd Sani

JURUSOLEK: Jamal Mohd

RUNNER: Mustafa Fikri Mohd

WARDROBE: Harry Frankie Albert Hills

PENOLONG WARDROBE: Rosli Mohd Taib

PEMBANTU PERIBADI: Mohd Rohaizad Abd Aziz

JURUKAMERA: Khairrunizam Abdul Manan

BOOMMAN: Norhisham Jaludin

PENATA CAHAYA: Mohd Shahril Mohd Saad

PENOLONG PENATA CAHAYA: Akhbar Abdul Manan

JURU AUDIO: Saiful Azlan Jaludin

PELAKON: Liyana Jasmay sebagai Zati, Ahmad Kamal Ahmad Adli (Iskandar), Sharifah Shahorah Syed Akil (Anita), Hairie Othman (Ehsan), Zarina Zainoordin (Joey), Ika Nabila Abdul Rahim (Rina), Farish Ramli (Bagio), Dian P Ramlee (Sultanah), Ruminah Sidek (Kebayan), Zaharudin Abd Wahab (Ikbal), Farisha Irwayu (Fara), Aliza Abdullah (Kak Mah), Adeline Anthony (Zizi) dan Rosli Mohd Taib (Kassim)

Sumber : Harian Metro [28/05/2009]
Oleh Elrafaei Sapi

Baca Sepenuhnya...

#488. Dian Turut Rasa DiHargai

MALAM kemuncak Anugerah Perdana Seniman 2009 (APSM 2009) yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada 4 hingga 6 April lalu menyaksikan waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dian P. Ramlee mewakili keluarga Allahyarham untuk menerima anugerah Pingat Kebesaran Kedua Tertinggi Kerajaan Sarawak, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar P. Ramlee.Dian menerima plak berbentuk bintang itu daripada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Bagaimanapun, pelakon ini menyerahkan pingat berkenaan kepada Jabatan Arkib Negara sekali gus dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee untuk tatapan generasi akan datang.

Dian atau nama sebenarnya, Salfarina Mum, 51, dilahirkan pada 9 Ogos 1958 di Singapura. Dia adalah antara anak kesayangan P. Ramlee dan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.Kini Dian yang berlakon secara sambilan, hidup bahagia bersama suami, Md Amanti Ahmad, 56, dan tiga anak, Mohd Al Safrin, 26; Siti Arianti, 21 dan Siti Adianti, 14.Secara peribadi, Dian mengakui tidak banyak kenangan manis yang dikongsinya bersama bapa ketika hayatnya dulu kerana dia tidak rapat dengan Allahyarham berbanding anak yang lain.

Apapun, Dian tetap berbangga membawa nama P. Ramlee sampai hari ini. Pada masa sama, dia bersyukur kerana tidak pernah mencalarkan nama baik P. Ramlee sepanjang 33 tahun berkecimpung sebagai anak seni.

Ikuti temu bual wartawan Rap, Ramlah Zainal dengan Dian berkongsi suka dukanya menjadi antara anak P. Ramlee, sekali gus berkongsi pandangan mengenai tarikh memperingati pemergian Allahyarham tanggal 29 Mei ini.

SOALAN (S): Bagaimana reaksi keluarga P. Ramlee termasuk anaknya yang lain apabila anda menjadi waris yang menerima pingat bagi pihak keluarga Allahyarham sempena APSM 2009, April lalu?

JAWAPAN (J): Sebenarnya, saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Apa yang saya tahu, saya diundang kerajaan Sarawak yang diwakili persatuan Seniman untuk datang ke majlis itu. Saya juga memberitahu mereka, P. Ramlee ada waris yang lain iaitu Sazali. Tapi mereka memberitahu Sazali bekerja pada hari itu dan dia juga tidak sihat.

Justeru, pihak berkenaan meminta saya mewakili keluarga P. Ramlee untuk menerima pingat berkenaan. Saya juga hanya datang sehari saja dan selepas habis majlis, terus kembali ke Kuala Lumpur pada malam itu juga.
S: Apa perasaan anda ketika naik ke pentas menerima pingat bagi Seniman Agung P. Ramlee?

J: Ini kali pertama dalam hidup saya naik ke pentas menerima pingat bagi pihak bapa. Saya berasa terkejut dan terharu hingga air mata saya menitis ketika itu kerana berasa dihargai. Bagi saya, ia kenangan paling manis dalam hidup sebagai anak P. Ramlee.

Sebelum ini, selain Allahyarham ibu saya, Saloma, anak kandungnya, Allahyarham Nasir P. Ramlee juga pernah menerima penghargaan bagi pihaknya. Sudah pasti saya berasa bangga bagi pihaknya. Malah, saya masih ingat lagi ketika menziarahi kubur P. Ramlee lebih 20 tahun pemergiannya dulu, ada budak berusia 10 tahun yang tahu di mana kubur termasuk filem lakonannya sekalipun tidak hidup pada zamannya.

S: Selaku waris P. Ramlee, adakah anda berasa anugerah dan pengiktirafan yang diberikan kepada Allahyarham sudah cukup setakat ini berdasarkan sumbangannya kepada seni tanah air?.

J: Pada pandangan saya, gelaran Tan Sri P. Ramlee sedia ada sebenarnya sudah cukup bagi mengenang jasanya selama ini kerana beliau sudah lama meninggal dunia. Bagi saya, pengiktirafan lebih wajar diberikan kepada anak seni yang masih hidup. Maklumlah, pada zaman dulu orang memandang rendah pada anak seni, justeru, jika anak seni yang sudah lama berkecimpung ini diberikan pengiktirafan, mereka berasa diri lebih dihargai dan pada masa sama, mereka juga akan menghargai P. Ramlee.

Anugerah adalah satu nama dan gelaran yang sepatutnya diberikan ketika anak seni itu masih hidup. Saya gembira kerana ramai anak seni kita yang mendapat anugerah ketika masih hidup. Apa yang penting bagi saya, orang terus menghargai P Ramlee sampai bila-bila. Malah, selepas 36 tahun pemergiannya, orang masih meminati dan menghargai karyanya sampai hari ini.

S: Ada juga cadangan pihak tertentu menganugerahkan gelaran Tun kepada P. Ramlee? Komen anda?

J: Saya tidak kisah jika kerajaan ingin menganugerahkan gelaran Tun kepada P. Ramlee. Ia terpulang kepada mereka. Bagi saya, P. Ramlee sudah lama tiada. Sekarang orang sebut Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi yang masih hidup adalah kaum keluarganya saja. Ketika orang nak beri gelaran Datuk pada P. Ramlee sebelum ini, ada orang suka dan ada pula sebaliknya.

S: Mengapa tidak banyak cerita mengenai pengalaman anda bersama bapa ketika hayatnya dulu?

J: Sebenarnya, saya tidak rapat dengan P. Ramlee berbanding anaknya yang lain. Saya tinggal di Singapura dan bersekolah di sana. Saya juga dibesarkan nenek, Umi Kalthom (ibu Saloma) di Singapura. Malah, saya juga hanya berjumpa daddy ketika musim cuti sekolah dan ketika itu saya masih kecil. Mungkin kerana saya memang pendiam orangnya dulu.

Terus terang, saya tidak banyak kenangan manis dikongsi dengan daddy kerana P. Ramlee meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun. Apa yang saya tahu, saya berasa takut dengan daddy kerana dia garang orangnya. Bagaimanapun, saya sangat rapat dengan mama (Saloma) kerana selepas berusia 17 tahun, Saloma membawa saya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur sehinggalah mama meninggal dunia.

S: Sempena mengenang 36 tahun pemergian P. Ramlee pada 29 Mei ini, mungkin anda dan waris keluarga Allahyarham merancang sesuatu majlis khusus pada tarikh berkenaan?

J: Saya tidak merancang sebarang majlis untuk mengenang pemergian bapa pada tarikh itu kerana tahu sudah banyak pihak termasuk Arkib Negara merancang majlis khusus termasuk majlis tahlil buat Allahyarham. Apapun, saya membaca Surah Yasin setiap hari selepas solat Subuh dan Maghrib untuk disedekahkan kepada semua umat Islam yang sudah meninggal dunia termasuk untuk P. Ramlee bermula Februari lalu. Pada masa sama, saya juga membuat majlis doa selamat untuk Allahyarham setiap kali Ramadan bersama kaum keluarga lain.

S: Selepas P. Ramlee meninggal dunia, bagaimana hubungan anda dengan ahli keluarga dan waris Allahyarham yang lain?

J: Hubungan kami sekeluarga tetap rapat sampai sekarang. Saya memang rapat dengan Allahyarham Nasir dan adik- beradik lain termasuk Allahyarham Armali Aman Ramlie, Sazali dan Allahyarham Badin. Namun, selepas berkeluarga dan ada komitmen sendiri, kami jarang berjumpa. Tapi, setiap kali ada kelapangan, kami tetap berjumpa dan bertanya khabar sekal igus mengeratkan tali kekeluargaan sedia ada.

S: Boleh komen soal pembahagian royalti kepada waris P. Ramlee selepas anak kandungnya, Nasir meninggal dunia?

J: Saya difahamkan, selepas Nasir meninggal dunia, royalti P. Ramlee diberikan kepada anak Allahyarham yang juga waris berhak. Sama ada mereka dapat atau tidak royalti itu, saya tidak tahu. Sekalipun, saya juga anak P. Ramlee, saya tidak pernah bertanya soal royalti itu kerana sedar tidak rapat dengannya. Anak angkat Allahyarham yang lain seperti Sazali lebih rapat dengan Allahyarham kerana mereka tinggal dengannya.

S. Siapa yang memberi dorongan kepada anda menceburi bidang seni?

J: Sebenarnya, arwah nenek yang meminta saya menceburi bidang seni manakala mama menjadi sumber inspirasi sampai sekarang. Malah, nama Dian P. Ramlee juga diberikan mama kepada saya.

S: Bagaimana perasaan anda ketika mula-mula membawa nama P. Ramlee dulu?

J: Pada mulanya berat bagi saya untuk membawa nama P. Ramlee yang besar ini. Namun, saya bersyukur kerana selepas 33 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah mencalarkan nama baiknya itu.

Sumber : Harian Metro [27/05/2009]
Oleh RAMLAH ZAINAL

Baca Sepenuhnya...

#487. Hatta Pertaruh Filem Aman

Filem yang menelan belanja RM1.8 juta ini akan memulakan penggambaran pada 28 Mei ini di sekitar Ijok, Kuala Selangor.Filem ini adalah usaha sama antara Syarikat Sinaredha Sdn. Bhd, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Filem Negara Malaysia.Selaku pengarah, Hatta berkata tenaga produksi filem ini membabitkan pelajar dan pensyarah FACT.Kehadiran pelajar dalam filem ini adalah untuk memberi pendedahan sebelum mereka menempuh alam pekerjaan.Syarikat Sinaredha hanya menyediakan peralatan produksi untuk filem pertama syarikat itu.

"Tidak berguna pelajaran yang diajar seperti penulisan, animasi, pengarahan dan sebagainya jika pelajar tidak mempraktikkannya."Kebanyakan syarikat bersandarkan kepada kepakaran. Justeru saya melihat gandingan syarikat produksi dengan universiti adalah kerjasama yang amat bagus," katanya.Menurutnya, untuk filem Aman ini akan membabitkan seramai 26 orang pelajar termasuk pelajar yang menjalani latihan amali. Tujuannya adalah memberikan pelajar pendedahan secara praktikal serta menggabungkan mereka dengan golongan profesional.Proses pasca produksi dijalankan selama enam bulan lalu bagi melakukan kajian dan mengenalpasti segala kelemahan untuk diperbaiki. Proses ini dilakukan oleh pelajar kerana ia adalah salah satu langkah pendedahan penting untuk pelajar.

"Kelainan yang cuba saya tonjolkan di sini ialah filem ini bukan filem komedi yang dibuat-buat. Saya percaya bahawa komedi sebenarnya terhasil dari situasi serius. Oleh itu, saya panggil komedi ini elektronik komedi.

"Dalam menghasilkan filem, kita perlu bersikap terbuka. Filem ini adalah gabungan daripada kebaikan dari filem-filem yang terbaik. Kalau boleh, semua yang baik dalam semua filem hendak saya gabungkan menjadi sebuah filem," katanya.

Aman dibarisi nama besar seperti Eman Manan, Rozita Che Wan, Harun Salim Bachik, Senario, Adibah Noor serta adik Shafimie Saedon (Fimie) pelakon utama drama kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan.

Lebih istimewa, apabila Wartawan Alam Sekitar TV3, Karam Singh Walia, pelawak Satya dan Seniman veteran, Datuk Aziz Sattar membuat penampilan istimewa dalam filem ini.

Komedi elektronik yang dimaksudkan Hatta ialah komedi yang terhasil selepas direka dan koreografi supaya komedi itu tidak dibuat sesuka hati. Ini bererti komedi ini tidak keterlaluan. Pengawalan seperti ini bagus kerana terdapat sesetengah komedi dihasilkan tidak terkawal.

Filem Aman mengisahkan hidup budak lelaki berusia 12 tahun bernama Aman (Fimie). Dia tinggal bersama bapa saudaranya, Uncle Lock (Eman Manan) selepas kematian ibunya dan bapanya kahwin lain.

Aman adalah seorang budak yang gemar mencipta alat elektronik hasil daripada barang terbuang.

Uncle Lock sering diganggu oleh pesaingnya dalam bidang pembinaan, Mel (Harun Salim Bachik).

Kehadiran Aman banyak membantu Uncle Lock menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sumber : Harian Metro [27/05/2009]
Oleh Ahmad Shazwan Md Yusof

Baca Sepenuhnya...

#486. Toyol Curi Komputer

Pengarah drama ini, Abdul Azizi Awang Ghazali berkata, toyol versi baru ini juga mempunyai kelainan dari cerita toyol yang pernah dihasilkan sebelum ini."Sebelum menerima projek drama ini, saya juga banyak membuat kajian mendalam termasuk membaca buku dan menonton filem berkaitan toyol terlebih dulu."Maklumlah, penonton sekarang sudah bijak membuat penilaian dan sebagai pengarah, sudah pasti saya tidak mahu cerita ini nampak tidak logik serta dipertikaikan orang bila bersiaran nanti."Apa yang menarik, toyol dalam cerita ini nampak comel dan bukan menakutkan seperti yang dipaparkan dalam drama atau filem sebelum ini. Ia juga membabitkan sedikit teknik CGI untuk memberi kesan khas pada wajah toyol dalam cerita ini. Toyol versi komedi ini juga tidak mencuri wang sebaliknya mencuri komputer atau permainan PS2.

"Ia berkisar mengenai budak bernama Dogol/Iwan yang dibuli di sekolah dan menghasilkan laman webnya sendiri untuk membalas dendam," katanya.Abdul Azizi berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran drama bersiri e-toyol.com di Restoran Lemon, Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo.Bagaimanapun, Abdul Azizi yang juga 'anak didik' pengarah Ahmad Idham mengakui berhadapan cabaran tersendiri untuk mengarahkan drama berkenaan.

"Ini drama kedua arahan saya selepas JPB The Series. Sebelum ini saya banyak menjadi penolong pengarah kepada Ahmad Idham menerusi projek filem dan dramanya seperti JPB Congkak, Impak Maksima dan Puaka Ni Yang Rapik untuk TV3.

"Bersandarkan ilmu pengarahan sedia ada, saya yakin boleh memberikan yang terbaik untuk drama bersiri ini.

"Saya tidak menafikan berhadapan dengan cabaran untuk mengendalikan enam pelakon kanak-kanak yang juga watak utama dalam cerita ini. Selain itu, cerita ini juga membabitkan seramai 30 pelakon pembantu," katanya.

Menurut Abdul Azizi, pihaknya juga membuat uji bakat mencari pelakon sesuai untuk bawa watak toyol versi komedi berkenaan.

"Akhirnya, kami bertemu pelakon sesuai untuk watak toyol dan Iwan iaitu Muhd Azhari Azizam. Pelakon kanak-kanak yang lain pula rata-rata ada pengalaman berlakon dan tidak sukar untuk menjiwai watak masing-masing.

"Penggambaran dibuat sekitar Kuala Lumpur bermula 15 Mei lalu. Kami juga memilih menjayakan penggambaran pada musim cuti sekolah kerana drama ini membabitkan ramai pelakon kanak-kanak dan kami tidak mahu penggambaran drama ini menjejaskan persekolahan mereka.

"Buat permulaan, saya perlu menyiapkan penggambaran sebanyak empat episod terlebih dulu yang mula bersiaran bermula 15 Jun nanti," katanya.

Cerita bermula dengan budak lelaki berkepala botak, pendek dan comel yang digelar kawan-kawannya di sekolah dengan nama Dogol kerana fizikalnya yang sama dengan watak Pak Dogol dalam wayang kulit. Nama sebenarnya ialah Erwan Hamidi yang juga anak pengusaha restoran.

Dogol ingin mengubah dirinya yang sering berasa rendah diri dan dibuli di sekolah kepada lebih yakin dan berani sertab mendapat kasih sayang secukupnya dari keluarga.

Sekalipun bukan murid pintar, Dogol sangat mahir dalam komputer dan internet. Dia juga menyimpan kemarahan dalam dirinya kerana sering menjadi bahan usikan di sekolah.

Justeru, dia mula menyebarkan kabar angin di internet dan mencipta laman web seram yang fokusnya adalah toyol.

Dia juga melakarkan rupa toyol yang kononnya pernah ditemui. Ramai orang terpedaya dengan cerita dongengnya itu sekali gus memudahkan rancangannya itu.

Sehinggalah pada suatu malam, toyol sudah memberontak dan berjaya melepaskan diri dari tuannya dan mencari Dogol/Iwan. Toyol juga leka melihat Dogol yang sering mengadap komputer seorang diri pada waktu malam dan akhirnya, bersemukalah Dogol dan Toyol.

Drama menarik ini dibintangi barisan pelakon seperti Norliana Shamsudin (Syamila), Nurul Abd Wahab (Mazlin), Muhd Azhari Azizam (Dogol/Iwan), Ifa Raziah (Kalsom), Erry Putra (Adlan), Fauzi Nawawi (Hamidi Busu), Rafidah Ibrahim (Ustazah Sarah), Ery Sulaiman (Man), Ahmad Ezzrin Loy (Haslam), Mohamad Azwan Azmi (Cikgu Razlan), Haszmi Abd Aziz (Cek), Nurdatul Fazillah (Rina) dan Iskandarsah Hashim (Bob).

Drama e-toyol.com akan menemui penonton menerusi slot lagenda untuk TV3 bermula 15 Jun nanti.

Sumber : Harian Metro [27/05/2009]
Oleh Ramlah Zainal

Baca Sepenuhnya...

#485. Semangat Penuntut Perfileman

Beranikan diri hasilkan filem 3 Budak Melayu dengan kos RM15,000

MEREKA umpama cangkir kosong yang cuba mengisi ruang dalam industri perfileman tempatan.Berbekalkan minat serta ilmu yang digali sepanjang menuntut di Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, mereka berpakat untuk berkongsi idea, lalu muncullah filem cereka dengan judul 3 Budak Melayu.Bukan sedikit halangan terpaksa mereka tempuh. Namun dengan kesungguhan serta kecintaan yang mendalam, impian itu berjaya direalisasikan dan filem 3 Budak Melayu akan menjadi kebanggaan 40 penuntut semester akhir fakulti berkenaan.

Pembikinan filem yang menampilkan tiga pelakon utama iaitu Aizam Othman, Syahiera Abu Hassan dan Noor Fariza Hisamuddin arahan Mohd Faizal Lockman Hakim atau Mamu pada dasarnya dihasilkan sebagai memenuhi keperluan subjek, Honour Showcase di bawah seliaan Profesor Dr Hatta Azad Khan.Ditangani 40 tenaga produksi, filem 3 Budak Melayu dihasilkan dengan bajet kecil iaitu kurang RM15,000 serta waktu penggambaran yang cuma memakan masa 12 hari.

Dalam usaha menyiapkan filem itu, mereka juga berdepan pelbagai cabaran besar kerana pada sama harus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan beberapa projek lain yang berkaitan.

“3 Budak Melayu adalah cerita kami, gambaran kesungguhan kami yang masih menuntut untuk membikin filem. Ia membanggakan kami sebagai muka baru yang bakal menghiasi industri perfileman,” kata Mamu.

Katanya, peruntukan bajet, waktu, tenaga kerja serta kelengkapan yang terhad selain tekanan dalam pelajaran memberikan cabaran dalam menyiapkan filem itu.

Justeru, melihat produksi itu direalisasikan, kata Mamu, memberikan mereka kepuasan kerana segala halangan mampu dihadapi dan akhirnya filem itu dapat dipertontonkan.

Besar harapannya untuk membawa 3 Budak Melayu ke ruang lebih luas. Justeru katanya, dia tidak akan sesekali berkecil hati dengan kritikan bakal diterima.

“Tidak mengapa jika filem ini dilihat lemah supaya orang lain dapat belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dari situ industri kita akan lebih berjaya dan berkembang baik,” katanya positif.

Sekali pun masih kurang jelas ke mana arah penerbitan pertama itu, mereka tetap menaruh harapan projek sulung itu akan dapat ditonton umum sama ada di layar lebar atau televisyen.

“Ia bukan projek terakhir kami kerana kami akan terus memberikan yang terbaik untuk membangunkan industri. Di luar ramai yang cuba meruntuhkan semangat dan moral namun kami bertekad untuk meneruskan segala usaha bagi mencapai kejayaan,” katanya.

Bakat pelajar kreatif perlu 'dijual'

MENGULAS mengenai karya anak didiknya, Profesor Dr Hatta berkata, kumpulan pelajar itu cuma dibekalkan dengan skrip kasar tulisannya kerana dia mahukan terjemahan serta interpretasi terhadap filem itu datang daripada diri mereka sendiri.

Akui Hatta, beliau tidak banyak campur tangan dalam pembikinan filem 3 Budak Melayu sebaliknya cuma membantu dari belakang untuk memastikan usaha itu menjadi satu kenyataan.

“Saya memegang amanah ibu bapa mereka hingga satu peringkat saya berasakan bakat pelajar ini perlu ‘dijual’ untuk dinilai oleh mereka yang berminat menerbitkan filem.

“Saya melihat perlu ada gabungan antara mereka yang profesional dan berkemampuan dengan pelajar yang berilmu untuk membawa industri ke peringkat kecemerlangan.

“Pada masa sama saya berharap usaha ini dibantu dan bakat serta kreativiti mereka dapat dijual untuk membangunkan industri perfileman kita,” katanya.

Filem 3 Budak Melayu turut disokong tiga nama hebat dalam lakonan iaitu Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid yang jelas berbangga dengan iltizam kesemua penuntut berkenaan.

Zaidi yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai pelakon berkata, dalam setiap apa juga pekerjaan yang dilakukan, ilmu penting kerana usaha semata-mata tidak memadai.

Turut meluahkan perasaan kesal kerana disiplin industri perfileman tempatan tidak dititikberatkan, Zaidi menyelar sikap sambil lewa mereka yang berada di bahagian teknikal sesebuah produksi.

“Tidak sepatutnya berlaku kesilapan dalam aspek teknikal kerana mereka bermain dengan objek mati, sedangkan luahan lakonan seseorang aktor itu banyak bermain dengan jiwa dan emosi.

“Malangnya di negara ini, kebanyakan penggiat industri tidak mengenali tugasan masing-masing. Luahan mesej dalam 3 Budak Melayu harus dilihat pada sudut positif,” katanya.

Liza pula melihat pendekatan filem itu sebagai luahan penceritaan jiwa anak muda, malah berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan barisan peneraju 3 Budak Melayu.

“Bagaimanapun, saya kurang berpuas hati dengan sudut teknikal terutama di bahagian akhir filem yang sedikit memeningkan kepala. Tekstur sebegitu wajar dielakkan,” katanya memberikan pandangan.

Sinopsis: 3 Budak Melayu

DICERITAKAN daripada sudut pandangan tiga anak muda Melayu iaitu Epol, Nana dan Zurin yang juga penuntut tahun akhir jurusan perfileman. Mereka menumpang di sebuah rumah kampung milik sepasang suami isteri yang mengusahakan kedai runcit. Epol, Nana dan Zurin berdepan pelbagai ragam manusia di sekitar kehidupan mereka. Tiga anak muda ini berusaha keras berjimat cermat mengumpul wang untuk membiayai projek filem mereka. Pelbagai cara dilakukan di samping terpaksa menangani pelbagai masalah.

Sumber : Berita Harian [26/05/2009]
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Baca Sepenuhnya...

#484. Hikayat KRU

AWAL penubuhan syarikat adik beradik — Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim — dikenali sebagai KRU Capital. Ketika itu mereka bergerak lebih ke arah bidang seni suara. Begitupun, selepas kejayaan berterusan, skop mereka lebih luas, malah turut merangkumi pelbagai bidang, termasuk perfileman dan animasi.Menyedari hakikat itu, pusat operasi mereka yang ditubuhkan selama 12 tahun di Taman Setiawangsa dirasakan tidak sesuai untuk menampung keseluruhan bidang berkenaan.

Kerana itu, keseluruhan operasi syarikat mereka bakal dipindahkan ke lokasi baru yang lebih luas di Cyberjaya.Memikirkan keadaan semasa dan perniagaan yang semakin meluas, mereka akhirnya menyedari keperluan sebuah kompleks studio untuk menempatkan pelbagai peralatan penerbitan berteknologi tinggi, bukan saja untuk perfileman tetapi juga dalam penghasilan produk muzik.

Jelas Norman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, penubuhan KRU Studios Cyberjaya bakal menjadi sebuah kompleks yang dilengkapi peralatan canggih bidang penerbitan dan multimedia.

“Studio ini akan menggunakan 100 peratus peralatan digital. Secara tidak langsung, penggunaan sistem berteknologi tinggi ini dapat menjimatkan kos dan meningkatkan kualiti produk kami.

“Malah dengan adanya studio ini, produk kami tidak terhad terhadap pasaran tempatan saja, sebaliknya ia boleh dipasarkan ke pasaran serantau.

“Studio berkeluasan enam hektar ini akan dilengkapi lima studio penerbitan audio, lima studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas. Jika tiada aral, ia akan mula beroperasi selewat-lewatnya Januari 2010,” katanya.

Tambah Norman, KRU Studios turut menempatkan peralatan produksi digital seperti sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) berteknologi tinggi yang digunakan secara meluas dalam industri penerbitan antarabangsa ketika ini.

“Tidak ketinggalan set penggambaran luar yang berkeluasan 1.8 hektar, kafeteria, pusat rekreasi dan blok pejabat yang mampu menempatkan seramai 100 petugas pada satu masa.

“Kami juga kini mencari jalan untuk menyediakan sistem yang mampu memudahkan segala kerja berkaitan tanpa mengabaikan kualiti,” katanya.

Meskipun studio berkenaan masih dalam proses pembinaan, beberapa filem seperti Magika, My Spy dan Hikayat Merong Mahawangsa menjadi antara produk yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Ketiga-tiga filem ini dalam proses terakhir sebelum ia dimainkan di layar perak. Jika tiada aral, ia akan ditayangkan tidak lama lagi selepas semua prosesnya selesai.

“Menariknya, Hikayat Merong Mahawangsa yang menjadi karya sulung Yusry juga dalam proses pasca produksi. Filem epik ini pasti menampilkan kelainan.

“Selain itu, kami mempunyai dua skrip untuk filem seterusnya. Setiap satunya berkonsepkan komedi dan seram. Insya-Allah, apabila ketiga-tiga filem ini dipertontonkan, baru kami akan meneruskan proses penggambaran dua filem berkenaan,” katanya.

Tambah Norman, syarikatnya juga menjalin kerjasama dengan tiga agensi pemasaran di luar negara dengan tujuan produk mereka akan dapat dipasarkan di sana.

“Untuk filem berbahasa Inggeris, kami melantik sebuah ejen di Amerika Syarikat sebagai syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kami di sana.

“Selain itu, filem berbahasa Melayu pula akan diserahkan kepada agensi sama di Kanada, manakala dokumentari dihasilkan syarikat kami akan dipasarkan di Australia,” katanya.

Sumber : Harian Metro [25/05/2009]
Oleh FIRDAUS SAHAT

Baca Sepenuhnya...

#483. P.Ramlee Tiada DiMata, Tidak Dilupa

Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan, oleh itu buatlah bersungguh- sungguh dengan penuh kejujuran,” itu antara bait kata-kata yang pernah keluar daripada mulut Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Siapa yang tidak mengenali P. Ramlee? Walaupun sudah meninggalkan kita, karya-karya yang dihasilkannya sering disiarkan di radio mahupun di kaca televisyen.Saban hari muzik mahupun filem yang pernah dihasilkan ditonton tanpa jemu. Walaupun pelbagai karya baru cuba bersaing dengannya, peminat masih lagi mendambakan karya-karyanya seolah-olah tiada pengganti.

Jumaat ini 29 Mei, genap 36 tahun pemergian P. Ramlee. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kalangan insan seni untuk sama-sama menghargai jasa P. Ramlee kepada bidang seni.Dilahirkan dengan nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang. P. Ramlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Francis Light sehingga darjah lima.Sikapnya yang kurang berminat dalam pelajaran dan lebih kepada bidang seni telah membuka jalan untuk mengambil peluang dalam apa jua pesta yang ada.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Bermula pada tahun 1948, lagu Azizah telah melonjakkan nama P. Ramlee kerana bakatnya menyanyikan lagu tersebut telah dilihat oleh oleh pengarah filem B.S. Rajhans.

Bertolak dari situ, P. Ramlee mengorak langkah dalam bidang seni dan memulakan kerjayanya secara serius. Berlakon, berlawak dan menyanyi serta turut sama berpeluang bekerja di belakang tabir.

Walaupun pada permulaan kerjayanya hanya ditawarkan sebagai pelakon pembantu, namun akhirnya P. Ramlee diberi peranan sebagai hero dalam filem Bakti bersama aktres Kasma Booty.

Pada waktu itu P. Ramlee juga telah menyumbangkan bakti dalam filem Penghidupan, Sejoli, Antara Senyum Dan Tangis, Ibu, Hujan Panas, Salah Siapa, Panggilan Pulau, Merana, Abu Hassan Pencuri, Hang Tuah dan banyak lagi.

Kecemerlangan P. Ramlee dalam bidang lakonan terus diuji pada tahun 1955 dengan menjadi pengarah filem Penarik Beca seterusnya diangkat sebagai Filem Terbaik Seluruh Tanah Melayu setahun selepas itu.

Kejayaan tersebut juga telah menjadi azimat kepada P. Ramlee untuk mengarahkan filem kedua, Semerah Padi yang ditunjangi oleh Nordin Ahmad, Saadiah, A. Rahim dan Normadiah.

Bakat yang dimiliki olehnya tidak sekadar pada filem bercorak drama, malah buat pertama kalinya P. Ramlee mengarahkan filem komedi Bujang Lapok pada 1957, menyusul Pendekar Bujang Lapok, 1959 seterusnya terpilih sebagai Filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia di Kuala Lumpur.

*Menguasai bidang muzik

Kecemerlangan dalam bidang lakonan tidak sedikitpun mematikan minat dalam bidang muzik. P. Ramlee yang dikurniakan bakat bermain alat muzik juga boleh mencipta dan menggubah lagu dengan baik. Sehingga kini banyak lagu-lagu sama ada yang dicipta atau dinyanyikannya masih lagi diputarkan sehingga kini.

Studio Jalan Ampas di Singapura menjadi saksi bahawa P. Ramlee telah pun mencipta beratus- ratus buah lagu semenjak berpeluang menjadi penyanyi latar kepada S. Romai Noor pada tahun 1948 sehinggalah berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1967.

Selain mengarahkan filem, P. Ramlee juga turut sama menggubah lagu seterusnya dimuatkan sebagai lagu latar atau lagu tema. P. Ramlee menganggap muzik adalah nadi kepada sesebuah filem. Tanpa muzik, filem tidak berjiwa.

Secara kebetulan, kebanyakan lagu-lagu yang dicipta oleh P. Ramlee ini pasti bergandingan dengan penulis lirik S. Sudarmaji. Gabungan antara mereka berdua sangat berhasil dan Sudarmaji memahami jiwa P. Ramlee.

Lagu-lagu seperti Maafkan Kami, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Tolong Kami, Pukul Tiga Pagi dan sebagainya sentiasa mendapat tempat di hati peminat dari dahulu lagi. Kebiasaannya setiap bait lirik yang terkandung dalam sesebuah lagu adalah terjemahan sisi kehidupan yang dilalui sama ia benar-benar terjadi mahupun apa yang berlaku dalam sesebuah filem yang sedang dihasilkan.

*Pergi buat selamanya

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itu janji Tuhan kepada setiap hambanya. Tidak ada yang kekal di dunia ini selama-lamanya. Perjalanan yang diselusuri oleh P. Ramlee yang menutup usia pada 29 Mei 1973.

Ramai yang masih tidak percaya dengan berita mengenai pemergian P. Ramlee pada subuh itu. Berita mengenai pemergian Seniman Agung itu disiarkan melalui radio. Teman-teman rapat di Jalan Boon Teck, Singapura juga mula gelisah dan sedih dengan berita yang mereka terima. Tapi hakikat itu terpaksa diterima oleh setiap peminatnya.

Pada tarikh itu juga ribuan peminat mengiringi jenazah insan istimewa itu untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Baru.

Sehingga kini pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan setiap kali hari ulang tahun memperingati pemergian seniman tersebut. Walaupun sudah tiada, nama P. Ramlee terus kekal subur dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Bagi seniman Datuk Aziz Sattar, nama P. Ramlee tidak pernah luput dalam ingatannya setiap masa dan ketika. Setiap kenangan indah bersama sahabat baiknya itu akan muncul dalam fikiran dan hatinya bertambah sayu setiap kali tiba tarikh 29 Mei.

“Saya sentiasa mengingati beliau. Bagi saya P. Ramlee tiada galang gantinya. Setiap karya yang dihasilkan terus kekal sehingga kini.

“Saya selalu teringat pesan beliau kepada saya: Ajis, kalau gua mati hari ini, nama gua tetap akan hidup 1000 tahun lagi. Itulah ungkapan yang saya ingat sampai sekarang,” kata Aziz Sattar ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Aziz berbangga apabila pihak kerajaan mengiktiraf jasa yang telah dicurahkan oleh seniman tersebut dengan pelbagai anugerah dan gelaran yang diterima oleh P. Ramlee.

Bagi pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, P. Ramlee merupakan insan seni yang paling disanjungi dan dihormati sehingga kini.

“29 Mei 1973 hanyalah tarikh yang memisahkan kita dan dia. Tapi bagi saya dia masih lagi ‘hidup’ dengan karya-karya yang kita tonton seharian.

“Saya tak rasa orang Malaysia akan terus melupakan jasa dan keringat yang telah dicurahkan oleh P. Ramlee dalam membangunkan industri seni kita sejak dahulu lagi.

“Walaupun secara zahirnya saya tidak pernah berkenalan dan berjumpa dengannya, segala kenangan yang ditinggalkan menerusi lagu dan filem masih terpahat dalam ingatan saya sehingga kini,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Lain pula bagi Ashraf Muslim. Selaku pelakon baru dia sangat menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh P. Ramlee selama ini dalam apa juga medium.

Ashraf juga menganggap P. Ramlee sebagai legenda sepanjang zaman dan sehingga kini dia masih lagi melihat lakonan-lakonan seniman tersebut sebagai rujukan dan landasan untuknya.

“Tidak semua pelakon mempunyai x factor seperti seninam tersebut. Itulah keistimewaan beliau dan sehingga kini penonton tidak pernah jemu melihatnya.

“Jasa dan pengorbanan beliau kepada seluruh industri hiburan tidak pernah padam sehingga bila-bila,” kata Ashraf.

Sumber : Utusan Malaysia [24/05/2009]
Oleh SY MUSSADDAD MAHDI

Baca Sepenuhnya...

#482. Jarum Mas : Usah Kaya Bergaya

Filem Malaysia). Sebutan Profima mengingatkan saya pada Perfima yang diwujudkan pada 1970.Generasi baru filem Melayu tidak ramai tahu makna Perfima manakala Profima belum setahun jagung, namun saya percaya lambat laun kita maklum Profima pejuang ‘periuk nasi’ pekerja filem.Dulu Perfima atau Perusahaan Filem Malaysia Sdn Bhd diasaskan oleh Tan Sri P Ramlee, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk HM Shah, Salleh Ghani dan Jaafar Abdullah.

Tujuannya untuk memajukan filem tempatan, menerbitkan filem, menjadi pengedar filem selain membina pawagam sendiri.Perfima yang tapak terakhirnya di No 281, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kini menjadi ‘kubur tidak bertanda’. Profima pula yang belum ada ‘kubur’ dan mendapat suntikan daripada presiden baru, Khir Mohd Noor, pasti membara-bara memperjuangkan nasib pekerja filem supaya tidak hidup segan mati tidak mahu.Terlalu awal untuk mengukur kemampuan Khir, tetapi maaf cakap, asal mengaitkan hal pekerja filem, yang terlintas adalah Anugerah Oskarnya. Bukan mempertikaikan kredibiliti bekas presiden, Syed Mohamed Hassan Benyahyah, tetapi selama 16 tahun PPFM diwujudkan, yang saya ingat hanya anugerah itu.

Ini yang bahayanya jika anugerah menenggelamkan apa yang diperjuangkan selama ini. Kita yang bukan setahun dua dalam dunia hiburan cukup maklum, apa saja disebut anugerah mesti ada unsur glamor.

Pengiktirafan untuk pekerja filem tidak salah. Siapa tahu ia boleh memotivasikan lagi prestasi kerja mereka, tetapi jika anugerah saja yang dikejar, dikhuatiri pekerja filem cuma kaya bergaya.

Setakat ini belum dengar apakah Khir akan meneruskan lagi anugerah yang sewaktu dengannya itu. Cuma sebagai presiden baru sekali gus setaraf dengan status profesionalisme Profima, saya lebih tertarik jika Khir merangka pelbagai strategi supaya pekerja filem tidak dilabel sebagai ‘kuli batak’.

Dalam keadaan krisis ekonomi global, langkah berjimat cermat lebih afdal daripada ghairah menganjurkan anugerah. Profima kena fokus pada kenaikan bayaran pekerja filem yang tidak seragam.

Mengait pekerja filem, ia menyorot pengalaman saya bekerja dengan EPA Film Productions yang menerbitkan filem Pertentangan pada 1983. Syarikat itu yang dimiliki Sham Tun Salleh, anak bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Salleh Ismael sebelum itu menerbitkan filem Ribut Barat.

Satu hal yang buat saya tertarik ketika itu, pekerja filem seperti saya disediakan elaun khas jika ‘shooting’ di luar Lembah Klang. Agak menarik kerana selama tiga bulan penggambaran filem itu, ia membabitkan lokasi di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Johor Bahru dan di Singapura.

‘Lebatlah’ juga kocek untuk saya yang baru belajar mencari duit sendiri. Malang pula sekarang ini produser tidak lagi mengeluar elaun untuk lokasi luar dari Kuala Lumpur.

Mungkin soal elaun khas shooting luar ini kecil saja isunya, tetapi bagi saya jika Profima yang diterajui Khir dapat memperjuangkan, sudah pasti dia akan diangkat sebagai hero pekerja filem.

Apa saja yang kita perjuangkan, ia tidak boleh sendiri-sendiri. Melalui persatuan, ia akan memperoleh kekuatan ibarat pesan orang tua-tua, sebatang lidi dengan seikat penyapu lidi, mana lebih kuat?

Kelangsungan perjuangan persatuan pula, tidak dapat menidakkan betapa pentingnya sokongan media. Bagi saya, permulaan langkah terpuji pada Khir apabila menyenaraikan sembilan orang, termasuk dua orang media, iaitu saya sendiri selaku Pengarang Hiburan Harian Metro dan Pengarang Bintang Popular (sisipan Berita Minggu), Akmal Abdullah, untuk menerima sijil Ahli Kehormat Profima.

Ahli kehormat lain yang menerima sijil adalah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sime Darby Insurance Brokers Sdn Bhd, Mohd Yahya Mohd Ibrahim, Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie Bp Mammal, Ahmad Puad Onah, Richard Ung, Baharuddin Omar dan Jurey Latiff.

Malang pula kerana sibuk menguruskan majlis pertunangan adik, saya tidak dapat hadir di majlis berkenaan, sebaliknya cuma menghantar wakil. Timbul juga desas-desus apa perlu pihak media menerima sijil itu.

Saya terkejut juga apabila nama disenaraikan. Cuma orang menghargai, apa salah diterima. Barangkali juga ia luahan terima kasih Khir kepada media yang banyak membela nasib pekerja filem.

Bukan nak mengangkat dulang, tetapi di RAP, Harian Metro setiap Khamis, kita sediakan kolum khas di muka tengah, Borak Lokasi, yang tujuannya untuk pekerja filem berbangga dengan pekerjaan mereka.

Daripada pengarah, pengarah fotografi hingga juru mekap, juru gegas mahupun tukang bancuh air, nama mereka kita abadikan yang tidak dibuat di mana-mana akhbar pun kecuali di RAP, Harian Metro.

Implikasinya jelas, boleh dikatakan saban minggu ada saja syarikat produksi mahukan produk mereka dimuat di ruangan itu. Malah, ada yang sanggup mengajak ke lokasi luar negara, selain menempah iklan pada muka tengah yang kosnya ada yang melebihi lima kali menerbitkan telemovie.

Cuma satu hal yang saya kira Profima terlepas pandang, agak aneh apabila sijil Ahli Kehormat itu diberi serentak pada sembilan orang dalam satu masa. Lebih molek, pengiktirafan begitu hadir selang tiga tahun, seorang demi seorang, kerana Ahli Kehormat itu statusnya umpama kita dikurniakan ‘Tun’.

Sumber : Harian Metro [24/05/2009]
Adam Salleh

Baca Sepenuhnya...

#481. Mesti Tonton : Syurga Cinta Bawa Mesej Menghiburkan

Filem: Syurga Cinta
Genre: Komedi Romantik
Pengarah: Ahmad Idham

APABILA filem Syukur 21 kurang diterima pencinta filem tempatan, syarikat penerbitannya MIG Production mengambil masa hampir 10 tahun untuk kembali menerbitkan sebuah filem berunsurkan keagamaan dan kerohanian.Setelah mengumpul kekuatan dan melalui pelbagai kajian dan pemerhatian, akhirnya MIG bersedia menerbitkan kembali filem berunsurkan sedemikian tetapi kali ini disuntik elemen romantik serta komedi iaitu Syurga Cinta, filem ke-30 terbitan MIG.

Filem Syurga Cinta mengisahkan Irham anak orang berada yang menetap lama di luar negara sehingga terbawa-bawa cara hidup kebaratan. Arak dan bertukar-tukar perempuan adalah biasa baginya, termasuk kedua orang tuanya. Mereka adalah keluarga yang jahil mengenai ilmu agama.Irham memandang rendah wanita bertudung, malah wanita sebegitu langsung tidak tersenarai sebagai calon pilihannya. Bagaimanapun dua sahabat baiknya lakonan Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam, mencabar Irham memikat wanita bertudung. Ganjaran ribuan ringgit menantinya jika dia berjaya membuat wanita bertudung jatuh cinta kepadanya tetapi ada syarat dikenakan.

Irham diberi tempoh sebulan memikat hati wanita bertudung tetapi perlu memutuskan hubungan itu selepas tempoh sebulan di hadapan mereka. Wanita malang yang menjadi permainan tiga sahabat itu ialah cikgu Syuhada, guru yang mengajar di sekolah adik Irham, Ikmal.

Tugas memikat Syuhada menjadi mudah dengan adanya Ikmal lakonan Haziq. Perkara itu menjadikan hubungan Irham dan adik angkatnya Ikmal yang sebelum ini mempunyai jurang menjadi rapat. Gelagat mencuit hati Haziq ternyata berjaya mewarnai filem ini.

Pelbagai adegan lucu dan mengusik jiwa berlaku sepanjang tempoh perkenalan Irham dengan Syuhada. Adegan lucu berlaku disebabkan kejahilan Irham terhadap agama. Tidak tahu dengan niat jahat Irham yang hanya ingin mempermainkannya, Syuhada yang tidak pernah mengenali erti cinta kepada insan bernama lelaki, melayan Irham dengan baik.

Persahabatan yang terjalin antara mereka banyak menyedarkan Irham. Secara tidak langsung, dia mula sedar dirinya sudah jauh tersimpang dari landasan agama. Sedikit demi sedikit, Irham mula berubah dan perasaan suka kepada Syuhada mula berputik dalam dirinya.

Bagaimanapun, tempoh sebulan diberikan dua rakannya amat meresahkan Irham kerana perasaan sayang kepada Syuhada sudah mula wujud. Dia cuba menerangkan perkara sebenar kepada Syuhada pada malam terakhir namun gagal.

Hari yang dinantikan tiba, walaupun berat hatinya untuk menyatakan ungkapan putus tetapi ejekan dan desakan rakan-rakan mempengaruhi keputusan Irham. Perkara itu amat mengejutkan Syuhada yang menyangka Irham selama ini jujur kepadanya.

Maka bermulanya konflik antara Irham dan Syuhada yang berjaya dibawakan dua pelakon ini dengan berkesan. Penghayatan baik oleh Awal mampu membuatkan hati penonton tersentuh. Ini juga adalah antara lakonan terbaik Awal kerana berjaya menukar mood dengan mudah. Selain Awal dan Heliza, Fizz dan Shaheizy juga tidak kurang menariknya. Biarpun muncul untuk beberapa babak, mereka berjaya memikat penonton.

Jadi bagaimanakah kesudahan kisah Irham dan Syuhada? Jika ingin mengetahui apakah Syuhada menerima Irham kembali, saksikan Syurga Cinta arahan Ahmad Idham.

Sumber : Berita Harian [23/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP