#12. Cinema : Filem Maut Bawa Mesej Islam
10 Januari, 2009
Harian Metro
LAMBAKAN filem seram tahun lalu memberikan idea kepada pengarah berkaliber Bade Azmi untuk mengetengahkan filem berunsur Islam berjudul Maut sebagai kelainan kepada peminat filem tempatan.
Maut terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) dan membabitkan kos RM1.6 juta ini dijangka menjanjikan kepuasan kepada peminat filem tempatan yang dahagakan filem berunsur keagamaan.Apa yang menarik ia mengupas tiga cerita berlainan dengan memaparkan masalah sosial dalam masyarakat seperti kumpulan black metal, gaya hidup bebas dan pemakaian tatu.
Bade yang juga penulis lakon layar dan skrip filem Maut berkata, selepas sering tampil dengan filem ringan, kini, sampai masanya dia buat cerita yang lebih berat pula."Sebagai pengarah, saya juga buat cerita merapu pada usia 20-an dan pada usia sekarang, saya ingin hasilkan karya yang serius pula. Filem ini juga tidak sukar untuk difahami dan ia bukan sesuatu yang terlalu serius sangat pun.
"Saya buat fiem ini untuk mengingatkan diri sendiri dan orang lain juga menerusi mesej yang ingin disampaikan. Sesuatu yang serius, tetapi tetap boleh menghiburkan orang kerana ada penampilan karekter anak muda yang terbabit dalam masalah sosial seperti black metal, gaya hidup bebas, tatu dan sebagainya," katanya.
Ditanya mengenai pertukaran judul asal Malaikat Maut kepada Maut, Bade berkata, ia diputuskan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) sendiri.
"Saya sedar, ramai yang tahu judul asal Malaikat Maut sebelum ini kerana subjek cerita ini juga mengenai malaikat maut.
Tapi nasib saya kurang baik kerana apabila saya menghantar filem ini untuk dnilai LPF, mungkin judulnya mendatangkan masalah kepada mereka.
"Peringkat awal, saya hantar filem ini untuk dinilai LPF, tiada jawapan daripada mereka. Sebagai pengarah, saya teruskan saja pembikinan filem dan biarlah mereka (pihak LPF) menilainya kemudian.
"Ada yang kata judul asal okay dan ada kata tidak. Justeru, LPF cadangkan saya untuk menukar judulnya.Terlalu banyak cadangan hingga membosankan saya dan penerbit TUSB. Akhirnya, Maut yang paling hampir dengan judul asal filem ini dan saya terpaksa menerimanya," katanya.
Bade berkata, dia juga terpaksa buat rombakan sedikit dari aspek suntingan selepas filem berkenaan ditukar judulnya.
"Memang ada banyak potongan shot oleh pihak LPF, tetapi bukan babak. Contohnya, shot yang panjang itu dipendekkan dan ia memang patut dipotong pun.
"Saya yakin jalan ceritanya tidak terjejas dan penonton faham cerita ini. Penonton tempatan juga cukup bijak untuk menilainya
Subjek dalam filem berunsur Islam tidak banyak yang boleh diberitahu dan saya cuba kupas sedikit saja.
"Sebagaimana yang kita maklum, kita tidak boleh tunjuk banyak sangat mengenai roh dan malaikat serta bagaimana wujudnya malaikat untuk mencabut nyawa dalam filem kita.Tapi, subjek yang dipersembahkan juga beri lebih ruang kepada penonton untuk mencari jawapannya sendiri," katanya.
Bade ditemui ketika sidang media selepas pratonton filem Maut di GSC Mid Valley di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Penerbit Eksekutif Kanan TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai.
Gayatri berkata, selepas filem Syaitan arahan Bade yang mendapat pujian dari peminat bukan Melayu, dia yakin Maut juga menerima maklum balas positif daripada mereka nanti.
"Filem ini juga akan diterima peminat bukan Melayu kerana semua agama juga mempunyai kepercayaan yang sama iaitu mereka yang berbuat baik menerima balasan baik dan begitu juga sebaliknya.
"Ia juga mampu menarik golongan generasi muda dengan isu black metal yang diketengahkan. Mungkin filem ini dari sudut pandangan Bade, tetapi kami bersedia menerima kritikan sama ada positif atau negatif kerana komen seperti itulah yang membantu kami untuk terus berada dalam industri seni," katanya.
Ditanya mengenai sasaran dari segi kutipan untuk filem itu, Gayatri berkata, dia berharap Maut membawa tuah kepada syarikat dan Bade selaras sebagai pembuka tirai filem 2009.
"Saya harap filem ini mencatat kutipan pecah panggung tahun ini dan memberi impak positif pada penonton.
Kalau orang tanya mengenai kutipan, semua penerbitpun inginkan filem mereka mencatat kutipan sebanyak RM5 juta.
"Apa yang penting, saya mahukan filem ini memberi impak kepada penonton dan saya mensasarkan ia mampu mencatat kutipan sebanyak RM2.5 juta nanti," katanya.
Sementara itu, seorang teraju utama filem ini, Liyana Jasmay yang membawa watak gadis naif bersama Sue berkata, dia mendapat pendedahan yang bagus dalam filem itu.
"Saya tertarik bawa watak ini kerana ia ada kelainan buat saya. Bade juga pengarah yang mementingkan kesempurnaan.
"Antara ilmu yang saya dapat timba darinya dalam filem ini ialah mengerut dahi adalah tabiat yang buruk dalam lakonan.
Watak Sue juga memerlukan banyak ekspresi dan mimik muka.
"Saya perlu kawal mimik muka dan lembutkan suara kerana Sue digambarkan sebagai gadis naif dan lemah lembut.
"Filem ini memang bagus untuk ditonton kerana mesejnya kuat dan bergerak dari bulan Syaaban, Ramadan dan Syawal dan penutup filem ini juga sangat menarik," katanya.
Maut adalah filem kedua Liyana bersama TUSB selepas Histeria arahan James Lee.
Selain Liyana, filem ini dibintangi Sabrina Hassan (Farah), Que Haidar (JJ/Jamil), Siti Shahrizah (Jasmin), Hasnul Rahmat (Ahmad), Awal Ashaari (Fendi), Nana Era (Sabrina), Sherry Ibrahim (Anne), Diana Danielle (Umie), Mohamad Bathich (Duke), Raja Farah (Baby) Emy Nadia (Fadilah), Reza era (Azam), Danny X-Factor (Ikram) dan Noniswara (ibu Farah).
Selain itu, Hafizuddin Fazil (Ayah Farah), Zack Taipan (Ayah Fadilah), Fouziah Ghaus (Hana), Ridzuan Hashim (Ayah JJ), Hamidah Wahab (ibu JJ), Fauziah Nawi (nenek JJ), Rabeecca Al-Islam (Salina) dan Khairul Fahmizwan.
Maut yang juga pembuka tirai sinema filem tempatan bagi 2009 menjengah pawagam tempatan bermula 15 Januari ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan