Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Januari 22, 2009

#31. Isu : Finas Perlu Rangsang Penonton Baru

22hb Januari, 2009
Berita Harian
Rozdan Mazalan

PENCAPAIAN filem cereka tempatan pada tahun lalu agak baik apabila menerusi 25 judul filem yang ditayangkan, kutipan kasar yang diperoleh mencecah RM41 juta berbanding 2007, kutipannya sekitar RM30 juta menerusi 21 judul filem. Tahun ini, dianggarkan ada 30 filem cereka bakal mengisi pawagam dengan sasaran kutipan kasar ialah RM45 juta.

Perkembangan sinema Malaysia ketika ini agak memberangsangkan bukan saja dari segi kutipan dan jumlah penerbitan yang semakin meningkat dan konsisten tetapi juga bertambahnya penerbit baru yang melabur dalam bidang penerbitan filem dan adanya usaha daripada kerajaan untuk membantu dari segi dana sama ada secara pinjaman mahupun geran.

Suasana yang semakin baik untuk industri filem tempatan ini seharusnya digerakkan lagi dengan pelbagai usaha gigih daripada pihak karyawan filem sendiri dengan menghasilkan filem yang menarik ditonton dan bermutu, selain pada masa untuk mempelbagai genre dan pengisian yang segar dan mampu memikat penonton filem tempatan supaya terus rajin ke pawagam.

Pentadbir pengurusan industri filem khususnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga seharusnya melihat situasi ini adalah satu suasana baik dan perlu merancang sesuatu supaya keyakinan penonton terhadap filem Melayu atau tempatan sentiasa berterusan, bukan lagi seperti beberapa tahun sebelum ini keadaan pasarannya sering tidak menentu. namun, keadaan selesa seperti ini bukan bererti kita tidak perlu lagi buat apa-apa untuk menambah penonton filem tempatan.

Sasaran untuk mencari sejuta penonton untuk filem tempatan tidak akan tercapai selagi kita tidak ada usaha untuk membina keyakinan masyarakat supaya kenali, hargai dan sayangi filem tempatan. Selain perlu mewujudkan semangat ‘Beli Barang Malaysia’ kempen seperti ini juga wajar diserapkan kepada masyarakat kita untuk memberi minat terhadap filem tempatan dan bersedia untuk ke pawagam. Kita tidak boleh lagi hanya mengharapkan sekitar 250,000 hingga 400,000 penonton saja yang rajin ke pawagam untuk menyokong filem tempatan. Dari dulu, jumlah penonton ini saja yang ada dan silih berganti tetapi bilangannya masih tidak meningkat.

Sewajarnya kena ada usaha dan idea bagaimana untuk memikat lebih ramai rakyat Malaysia supaya rajin ke pawagam dan menjadikan pawagam sebagai tempat riadah minda, bersantai dan berhibur sambil menyokong filem tempatan. Finas perlu mencari jalan untuk merangsang masyarakat yang bukan penonton filem tempatan atau yang tidak pernah menyokong filem tempatan untuk membawa mereka meraikan filem tempatan di pawagam. Misalnya, boleh adakan kempen Jom Tengok Wayang! atau mengadakan semula kempen Cintai filem Malaysia secara agresif dan meluas ke seluruh negara.

Dari segi promosi, selain penerbit sendiri terpaksa menyediakan kos untuk membuat pengiklanan dan kegiatan publisiti, seharusnya Finas juga harus menyediakan peruntukan untuk membantu promosi filem tempatan, iaitu mana-mana filem yang mahu ditayangkan. Sudah tiba masanya juga Finas mampu membeli slot siaran atau iklan di stesen TV untuk rancangan mempromosikan filem tempatan dengan cara tertentu.

Dari segi skim Wajib Tayang, memang ia sangat membantu penerbit dan sesuatu filem itu apabila memasuki pawagam. Tempoh tayangan dua minggu menerusi skim ini boleh dilanjutkan menjadi tiga minggu supaya memastikan jangka hayat filem Melayu atau tempatan sentiasa terjamin apatah lagi filem kita sering berdepan saingan filem import terutama filem mega dari Hollywood. Finas seharusnya berani bertegas dengan pemilik pawagam kerana tempoh tiga minggu Skim Wajib Tayang perlu atas rasa tanggungjawab untuk pasaran filem dari negara sendiri berbanding jika tindakan kurang popular diambil seperti menaikkan harga tiket filem import, levi mahupun beberapa sekatan lain. Kita tidak mahu sampai tahap begitu kerana mengamalkan pasaran terbuka tetapi pada masa sama kita harus tegas melindungi dan memudahkan produk dari negara kita.

Usaha yang dibuat Finas setakat ini untuk membantu promosi filem tempatan masih lemah. Ia tidak cukup sekadar mewujudkan tayangan filem lama di pawagam Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada setiap Sabtu dan melahirkan beberapa kelab pencinta filem di sekolah, kemudian mengadakan beberapa acara mengenai kegiatan filem lain. Seharusnya ada dana khas untuk geran promosi filem tempatan yang mahu memasuki tayangan pada tahun ini dan seterusnya. Promosi dan hebahan meluas penting.

Setakat ini penerbit terpaksa membelanjakan duit mereka untuk membuat promosi sesuatu filem sedangkan pemilik pawagam dikatakan langsung tidak mahu mengeluarkan modal untuk membuat promosi filem sedangkan hasil kutipan di pawagam dikongsi dua antara dua pihak. Sepatutnya, Finas perlu mendesak dan mengenakan peraturan kepada pemilik pawagam untuk turut sama membantu membuat promosi untuk filem tempatan. Mungkin juga wajar dibina pawagam kecil di beberapa bandar kecil supaya pusingan kedua tayangan sesuatu filem dapat diadakan selepas selesai tayangan di pawagam popular.

Masalah kepenontonan filem Melayu di pawagam bukan kerana tidak ada filem yang menarik atau bermutu sebaliknya masih ramai lagi masyarakat kita yang prejudis terhadap filem bangsa sendiri, malah ada yang secara terang memang langsung tidak berminat untuk menonton filem tempatan kerana taksub terhadap filem asing. Mereka ini harus kita sedarkan dengan mengadakan pelbagai usaha dan kempen memperlihatkan filem tempatan juga mempunyai ada daya tarikan tersendiri bak kata orang tak kenal maka tak cinta.

Finas wajar mencari jalan untuk membudayakan semula kegiatan menonton filem di pawagam terutama kepada semua lapisan masyarakat supaya persepsi negatif ke pawagam dapat dikurangkan dan melihat semula kegiatan menonton filem adalah satu aktiviti murni, bersifat kekeluargaan dan satu riadah minda yang boleh berkongsi rasa dan emosi.

Filem tempatan perlukan penonton baru supaya masa depannya terpelihara dan terjamin. Kita tidak mahu lagi suasana sebelum ini yang sering tidak menentu dan ada ketikanya filem tempatan hampir hilang penonton. Ini penting kerana jika penerbitan filem tempatan semakin bertambah, tetapi penonton tidak bertambah dan jumlah penonton sedia ada pula tidak mampu untuk mengikuti semua judul yang memasuki pawagam, ini menyebabkan sokongan terhadap filem tempatan akan kembali lemah. Sekali gus ia memberi risiko tinggi kepada penerbit terutama mereka yang baru membabitkan diri dalam penerbitan filem tidak lagi berminat untuk melabur.

Adalah sesuatu yang rugi jika produk filem tempatan terutama yang ada daya tarikan dan bermutu tetapi tidak dapat dikongsi dengan masyarakat di pawagam kerana sikap negatif mereka terhadap filem tempatan dan kurangnya promosi. Contohnya, selepas ini akan ditayangkan filem animasi 3D tempatan pertama dari negara ini, Geng: Pengembaraan Bermula yang seharusnya menjadi kebanggaan masyarakat dan wajar ramai menontonnya di pawagam untuk meraikannya. Begitu juga selepas ini beberapa judul filem serius ceritanya dan ada elemen sejarah akan dihasilkan. Tetapi, mampukah kita mengharapkan penonton baru dan sedia ada untuk menghargainya kerana seperti mana berlaku sebelum ini, jika ada filem yang menampilkan cerita serius seperti filem Kala Malam Bulan Mengambang, Wayang dan 1957: Hati Malaya, masyarakat kita tidak tahu nak menghargainya sedangkan filem terbabit mendapat pujian ramai dan diiktiraf di festival nasional. Soalnya, sampai bila kita mahu biarkan keadaan ini terus berlaku dan merugikan industri filem sendiri.

Kata orang, gelang di tangan orang nak dirampas, cincin di jari sendiri tercabut hilang...

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP