#42. Cinema : Penculikan Orang Asli
19hb Januari, 2009
Harian Metro
SEBELUM menonton karya terbaru sutradara Razak Mohaideen ini, harapan penulis biar ia dilapik jalan cerita menarik. Sudah berkali-kali Razak menghasilkan filem komedi, namun apa yang kita lihat, semuanya masih berlandaskan sentuhan sama.Begitupun, selepas 10 minit tayangan, hati penulis mula dilanda gelisah. Perasaan teruja sebelum ini bertukar hampa. Sebenarnya, tidak terniat mahu menidakkan kredibiliti pengarahnya. Sebaliknya, penulis berasakan bagai ada yang tidak kena terhadap filem ini. Jalan cerita yang cuba dipaparkan juga kurang pengisiannya.
Menyentuh mengenai pelakonnya, lakonan Erra Fazira dan Azad Jasmin kurang memberi impak kepada filem ini. Watak dibawa juga tidak terlalu meninggalkan kesan. Maafkan penulis, tetapi apa yang dibawa mereka bagai melepaskan batuk di tangga.
Watak digalas Saiful sedikit hambar sekalipun watak dibawanya sering mencuit penonton. Rasanya, Saiful mampu menampilkan lakonan lebih baik daripada biasa.
Sifu Dan Tongga mengisahkan dua wartawan dari Kuala Lumpur melakukan pengembaraan bagi mencari suku sakat kaum Watson (Orang Asli) yang hampir hilang ditelan zaman.
Namun apabila menemui kaum ini, seorang daripada mereka menculik Mila, anak ketua kaum itu, lalu membawanya ke Kuala Lumpur.
Di sini, bermulalah pengembaraan Sifu dan Tongga apabila mereka menawarkan diri untuk ke Kuala Lumpur bagi mencari Mila.
Melihat jalan ceritanya, penulis mengagak pengembaraan Sifu dan Tongga ke kota besar akan menggeletek penonton. Bermacam-macam imaginasi terbayang apabila membayangkan gelagat dua sahabat baik yang tinggal jauh di pedalaman, datang ke bandar besar. Pendek kata, apa yang mereka lakukan pastinya serba tidak kena dan melucukan.
Namun, ia hanya sekadar imaginasi penulis dan mungkin ada penonton turut beranggapan sama. Hakikatnya, visual dipaparkan kurang memuaskan.
Babak Sifu mampu berkomunikasi dengan makhluk halus mungkin boleh dipuji. Menerusi humor dan interaksi bersama makhluk halus sedikit sebanyak menghiburkan.
Begitupun, setakat mahu berhibur, Sifu dan Tongga masih lagi boleh ditonton. Tidak semua bahagian menghampakan, lebih-lebih lagi aksi Apek yang sentiasa melucukan.
0 ulasan:
Catat Ulasan