#54. Cinema : Sifu & Tongga - Komedi Kitar Semula
30hb Januari, 2009
Utusan Malaysia
METRA SYAHRIL MOHAMED
PERJALANAN ceritanya bermula apabila Mila, lakonan Fouziah Gous, anak kepada Piee yang membawakan watak Chief iaitu penjaga suku Watson telah diculik sekumpulan wartawan yang diketuai Tammy.Tammy, lakonan Erra Fazira bersama Izaq (Azad Jazmin) adalah wartawan yang mahu membuktikan kewujudan masyarakat yang masih hidup seperti di zaman batu. Simpati dengan kesedihan yang dialami Chief, dua sahabat, Sifu (Saiful Apek) dan Tongga (Nabil Raja Lawak) nekad memulakan pengembaraan untuk menjejaki Mila.
Berpandukan keupayaan Sifu yang mampu berkomunikasi dengan dunia ghaib, kedua mereka keluar dari kepompong dan menjelajahi dunia asing, Kuala Lumpur.
Dari hutan ke kota, dari kedamaian ke dunia penuh kesibukan di kotaraya, pengembaraan Sifu dan Tongga penuh dengan pelbagai dugaan.
Segalanya serba baru dan pelik bagi mereka. Masakan tidak, selama berpuluh tahun, generasi demi generasi suku Watson hidup terasing di belantara.
Begitulah serba sedikit sinopsis filem terbaru arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen berjudul Sifu & Tongga yang mula ditayangkan di pawagam semalam (29 Januari).
Filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., dengan kerjasama Lineclear Motion Pictures itu merupakan filem ke-26 bagi A. Razak yang menggabungkan pelawak daripada tiga generasi iaitu Piee, Saiful Apek dan Nabil.
Bertambah menarik, Sifu & Tongga adalah filem pertama lakonan Nabil yang ditayangkan di pawagam.
Tentu ramai yang ingin menyaksikan kemunculan Nabil di layar perak selepas dinobatkan Raja Lawak Astro musim kedua, tahun lalu.
Sementelah, ini juga adalah filem pertama Nabil bergandingan bersama Saiful Apek serta Piee.
Berkonsepkan komedi, malangnya, sepanjang menonton Sifu & Tongga yang berdurasi 104 minit, ia sekadar menghidangkan lawak yang dikitar semula.
Biarpun menggabungkan tiga generasi pelawak, adakalanya, lawak yang ditampilkan tidak seperti yang diuar-uarkan melalui iklan promosinya iaitu 'kelucuan tahap kritikal'.
Namun, sebagai pendatang baru, Nabil patut dipuji kerana lakonannya amat bersahaja.
Sifu & Tongga juga memperlihatkan kemantapan lakonan Erra yang sememangnya tidak perlu dipertikaikan apabila membawakan sisi jahat bernama Tammy.
Bicara A. Razak terhadap Sifu & Tongga
Sementara itu, tatkala diajak bicara tentang Sifu & Tongga, A. Razak menjelaskan bahawa filem yang menelan kos sebanyak RM1.6 juta itu mempunyai mesejnya yang tersendiri.
"Kalau diperhatikan, setiap babak juga ada diselitkan dengan sindiran-sindiran tertentu dan mengajak penonton memikirkan senario dunia tanpa teknologi," katanya pada majlis pratonton Sifu & Tongga di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama, Penerbit Eksekutif Sifu & Tongga, Ahmad Puad Onah.
Menurut A. Razak, filem ini menjalani penggambaran selama 25 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Gua Kajang di Lenggong, Perak.
Ditanya tentang lakonan Nabil, A. Razak menjelaskan bahawa jejaka yang berasal dari Negeri Sembilan itu cukup komited dan pantas belajar.
Kepada soalan mengenai paparan lawak dalam Sifu & Tongga, A. Razak berkata; "Memang kita ada skrip (lawak). Namun, Nabil dan Saiful Apek punyai pandangan mereka tersendiri untuk membawakan watak masing-masing.
0 ulasan:
Catat Ulasan