Until Death Do Us Part - Jonas

Sabtu, Februari 14, 2009

#114. David masih yakini Senario

14hb Februari, 2009
Harian Metro
Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

IDEA produser David Teo untuk menghasilkan tiga filem yang dijayakan kumpulan Senario pada mulanya mengundang persoalan sama ada filem versi baru ini berjaya atau tidak ?Ada yang berpandangan Senario tidak lagi berada di kemuncak kegemilangan selepas filem kelima mereka, Senario Pemburu Emas Yamashita ditayangkan tiga tahun lalu.

Namun, David sebaliknya yakin Senario masih kekal sebagai kumpulan pelawak nombor satu negara dan mempunyai ramai peminat. Atas keyakinan itu, dia memberi peluang kepada anggota Senario iaitu Wahid Mohd, Azlee Jaafar dan Mazlan Ahmad untuk bekerjasama menerusi filem Senario The Movie: Episode 1 yang menemui penonton tahun lalu. Nyata, percaturan David menjadi hingga mengaut keuntungan RM4.5 juta.

Menerusi Senario The Movie: Episode 2 Beach Boys yang mula menjalani penggambaran 9 Februari lalu di Pulau Pangkor, Perak, David sanggup membelanjakan wang RM1.7 juta untuk pembikinan filem sekuel kedua ini. Berbanding filem Senario pertamanya, kos filem kali ini meningkat RM50,000.

Kata David, kos terpaksa ditambah kerana tiga pelakon pembantu filem ini iaitu Maria Farida, Marsha AF3 dan Nik Sayyidah mempunyai 30 adegan, menyamai Senario dengan 40 adegan.

Walaupun kos meningkat tetapi dia berasakan pelaburan seperti ini perlu untuk menjadikan filem ini mempunyai tarikan baru.

"Seperti yang pernah saya katakan, kejayaan Senario The Movie: Episod 1 umpama besi karat jadi emas. Lalu, untuk mempertahankan status Senario, saya perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi tarikan baru pada filem ini. Walaupun tiga pelakon pembantu ditampilkan menerusi filem ini tetapi bayaran mereka menyamai pelakon utama.

"Saya juga yakin dengan sambutan filem kedua ini kerana sebelum ini perancangan dibuat rapi. Sebagai produser, saya tidak mahu fikir lakonan filem ini hanya cukup dengan kemunculan tiga anggota Senario saja. Sukar sebenarnya untuk mempertahankan populariti Senario menerusi filem dan ia tanggungjawab berat buat saya.

"Ikut kontrak, Senario mempunyai tiga filem bersama saya. Jika mereka jaga perangai, saya yakin Senario terus diterima peminat. Soal komedi, ia tidak mengira umur dan walaupun pelakon itu sudah berkahwin, ia bukan isu kerana mereka boleh berlawak sampai tua.

"Namun, tahun ini adalah paling mencabar buat saya untuk menghasilkan filem baru kerana kegawatan ekonomi menyaksikan ramai yang dibuang kerja dan harga bahan asli seperti getah juga jatuh.

" Bagaimanapun, golongan pertengahan sebenarnya masih berminat untuk menonton filem kita di pawagam. Filem saya mempunyai kekuatan dan mampu bersaing dengan filem lain apabila ditayangkan kelak," katanya.

Bagi pengarah filem ini, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, plot cerita filem sekuel kali ini adalah sambungan kisah kehidupan anggota Senario yang bekerja di Zoo Negara kemudian pergi bercuti di sebuah pulau. Lalu, pelbagai peristiwa berlaku di sana hingga bekas kekasih Azlee iaitu Qasidah diculik.

"Dulu, kisah tertumpu pada biografi tiga watak ini tetapi kini mereka melalui kisah pengembaraan cinta. Sebanyak 95 peratus penggambaran dilakukan di Pulau Pangkor dan elemen komedi situasi ditampilkan menerusi perjalanan tiga watak ini di sana.

"Berbeza dengan Wahid dan Mazlan, karakter Azlee lebih serius tetapi aksinya tetap memberikan komedi pada penonton. Tiga watak pembantu diperkenalkan untuk menambah tarikan pada cerita kali ini," katanya.

Azlee pula mengakui melakonkan karakter komedi adalah tugas paling sukar walaupun mempunyai banyak pengalaman sebagai pelawak sebelum ini. Katanya, usaha Senario membuatkan penonton gelak menjadi cabaran besar tetapi mereka akan berasa puas bila penonton terhibur.

"Saya masih gembira dengan apa yang saya lakukan dan syukur dengan anugerah Tuhan pada saya. Setakat ini, kami masih mendapat sokongan peminat dan ia dapat dilihat daripada program bersiri Senario di TV hingga filem yang mencatat kutipan box office.

"Saya pernah berkata pada anggota Senario yang lain, jika kita jaga persahabatan sebagai satu keluarga, saya percaya satu hari nanti Senario akan menjadi legenda. Buat masa ini, Senario dalam proses untuk disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records sebagai kumpulan pelawak yang mempunyai program TV bersiri terpanjang iaitu dari 1996 hingga kini.

"Kami berharap ia menjadi kenyataan dan Senario diiktiraf sebagai kumpulan pelawak nombor satu negara. Meskipun ada lawak, kami dikatakan sama tetapi ia sebenarnya bukan secara tepat. Namun, ada juga komedi yang berpatah balik pada komedi asal," katanya.

Wahid berkata perbincangan antara produser dengan pengarah sebelum penggambaran bermula penting agar lakonan memberi kesan pada penonton. Menerusi skrip, mereka dapat membayangkan komedi bagaimana yang harus dilakonkan.

"Tidak mungkin Senario lupakan komedi kerana ia adalah asal usul kumpulan kami ditubuhkan. Sebagai pelakon, kami mahu kembangkan lakonan kami agar lebih memberi kepuasan pada diri dan penonton. Kami sendiri percaya pengarahan Idham berjaya membawakan cerita kami dengan menarik walaupun ada adegan sebenar ketika saya bersama Hamdan dan Ilya dulu ketika mula hadir pada uji bakat satu program TV terpaksa disorokkan.

"Ramai yang tanya pada saya mengenai adegan itu itu hingga saya terpaksa tahan malu. Bagaimanapun, saya berpendapat Idham tahu apa yang penonton mahukan kerana dia juga adalah pelakon seperti kami," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP