#67.Cinema : Kelucuan hasil pertembungan tamadun
03hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SUTRADARA A. Razak Mohaideen merupakan antara pengarah filem kita yang cukup prolifik.Biarpun filem-filem arahannya sering menjadi mangsa belasahan para pengkritik tetapi beliau tetap terus menghasilkan filem satu demi satu.
Filem-filem arahannya dianggap komedi ringan dan jarang mendapat perhatian pemerhati filem tetapi filem-filemnya sentiasa mendapat sambutan dan cukup berjaya di pasaran.
Barangkali, dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang kacau hari ini serta pasaran filem yang tidak menentu nampaknya hanya filem-filem komedi arahan A. Razak Mohaideen yang menjadi rebutan produser.
Barangkali juga, orang yang sudah semakin risau dan penat dengan segala permasalahan ekonomi hari ini hanya mahu ketawa dalam suasana gembira tanpa mahu mempedulikan atau risau dengan kandungan komedinya.
Filem Sifu dan Tongga arahan terbaru A. Razak Mohaideen merupakan komedi yang menampilkan Saiful Apek dan turut menampilkan Nabil pemenang program Raja Lawak sebagai pelakon utamanya.
Nabil yang dianggap pelawak paling popular masa kini segera menjadi 'pelakon baru' yang menjadi rebutan dan kini dalam masa yang singkat telah turut berlakon dalam beberapa buah filem.
Bagaimanapun, Sifu dan Tongga merupakan filem lakonannya yang pertama ditayangkan.
Pesona Nabil sudah pasti akan menarik lebih banyak khalayak untuk menonton filem ini.
Setelah menonton filem Sifu dan Tongga, kita tahu filem ini mengambil resepi daripada beberapa filem luar dengan subjek dan pendekatan yang hampir sama iaitu tentang salah faham akibat pertembungan dua kumpulan manusia daripada latar tamadun dan budaya yang berbeza.
Subjek mengenai salah faham akibat pertembungan tamadun yang sudah maju dan manusia daripada tamadun yang ketinggalan ini akan mengingatkan kita kepada sebuah filem komedi dari Botswana iaitu Gods Must Be Crazy (1981).
Ia mengupas mengenai kaum Bushman di Afrika yang bertembung dengan tamadun yang asing (barangan hasil kemajuan barat) dari mereka itu mendapat sambutan mengejutkan di Amerika.
Filem itu pernah ditayangkan di negara ini dengan sambutan yang juga hebat.
Malah filem slapstik dan dianggap mengarut arahan Jamie Uys itu kemudiannya dibuat sekuelnya beberapa kali.
Filem Sifu dan Tongga mengambil pendekatan seperti ini dengan mengisahkan Sifu (Saiful Apek) dan Tongga (Nabil) dari kaum Asli yang terpaksa pergi ke kota untuk mencari dan membawa pulang Mila (Fouziah Gaus) anak perempuan ketua mereka (Piee) yang berjaya ditangkap oleh Tammy (Erra Fazira) seorang wartawan dari sebuah akhbar.
Tujuan Tammy adalah untuk menjadikan Mila sebagai bahan rencana yang akan melariskan akhbarnya dan sekali gus memberikannya peluang dilantik sebagai ketua editor.
Sifu dan Tongga merupakan sebahagian daripada orang asli kaum Watson yang telah menyembunyikan diri dalam gua di hutan kerana takutkan kekejaman askar Jepun semasa perang dunia kedua dahulu.
Kaum ini terus bersembunyi dalam sebuah gua tersebut walaupun perang dunia kedua telah berakhir dan Tanah Melayu telah merdeka dan maju.
Telatah dan perlakuan dari Sifu dan Tongga yang melalui kejutan budaya apabila pertama tiba di kota (Kuala Lumpur) itulah yang melucukan kerana berlaku berbagai peristiwa salah faham disebabkan perbezaan budaya dan cara hidup mereka yang sudah begitu jauh ketinggalan dengan segala kemajuan di kota.
Barang, kenderaan dan kehidupan masyarakat kota menjadi sesuatu yang aneh bagi mereka.
Memang peristiwa-peristiwa yang timbul daripada pengalaman akibat perbezaaan tamadun yang bertembung itu serta dialek percakapan Sifu dan Tongga yang agak pelik itu wajar melucukan.
Bagaimanapun, menyaksikan Mila perlu dikurung dalam sangkar besi oleh seorang wartawan hanya untuk mendapatkan liputan media yang bakal melariskan akhbar mereka adalah suatu kebodohan yang tidak wajar pula dilakukan oleh pengarah seperti A. Razak Mohaideeen.
Seharusnya di sini, seorang wartawan membuat pendedahan berhubung kekejaman yang telah dilakukan oleh orang kota terhadap kaum pribumi sebegitu.
Malah kemudian menayangkan di televisyen dalam program pelik tapi benar langsung tidak melucukan.
Disinilah pengarah seperti A. Razak Mohaideen harus sensitif dan bijak memilih jalan cerita dan plotnya agar tidak sebarangan.
Memang tidak dinafikan filem seperti Sifu dan Tongga yang menggunakan Saiful Apek dan Nabil hanya untuk memancing ketawa penonton dan hiburan mudah tetapi bagi seorang pengarah yang sudah begitu berpengalaman A. Razak Mohaideen seharusnya telah membuat anjakan pemikiran.
Beliau boleh sahaja mengekalkan pendekatan komedinya tetapi seharusnya sudah melihat konsep jenaka dari sudut yang lain pula.
Pengarah seperti beliau juga tidak boleh hanya bergantung pada sudut emosi untuk memancing tawa yang mudah dengan membelakangkan elemen intelek.
Mengangkat pengalaman dari sifat jujur Sifu dan Tongga berdepan dengan perlakuan orang kota yang mempunyai pelbagai ragam kehidupan sebenarnya sebuah subjek yang menarik yang boleh diolah jalan ceritanya 'tunggang terbalik' yang bukan sahaja bertujuan menimbulkan kelucuan yang kasar tetapi menyampaikan unsur kritikan, protes dan sindiran.
Sayang sekali, unsur ini tidak terdapat dalam Sifu dan Tongga.
0 ulasan:
Catat Ulasan