#192. Berita TV : Betty temui cinta baru
GADIS hodoh tetapi bijak dan bercita-cita tinggi, Betty lakonan America Ferrera dalam siri Ugly Betty, makin menambat penonton untuk terus mengikuti kisah hidupnya yang penuh cabaran dan ranjau.
Untuk musim ketiga nanti tambah menarik apabila Betty cuba melupakan cinta silamnya dengan dua lelaki, Gio dan Henry serta menumpukan perhatian kepada kerjaya untuk menjadi penulis majalah fesyen ternama, Mode. Betty juga berusaha menangani permasalahan timbul dalam keluarganya yang tidak berkesudahan.
Lebih menarik apabila bintang remaja yang penuh dengan kontroversi, Lindsay Lohan turut diundang menjayakan lima episod Ugly Betty. Pada musim kedua sebelum ini, Lindsay pernah menjadi pelakon jemputan untuk satu episod.
America Ferrera mengakui perubahan yang berlaku kepada Betty pada musim ketiga lebih ketara, terutama apabila ketuanya, Daniel Meade (Eric Mabius) turun pangkat sementara Wilhelmina Slater berjaya mencapai impian menjadi pengarang kumpulan Mode.
Katanya, dia tertarik dengan perkembangan watak Betty yang kembali fokus kepada perkara peribadi dan apa yang ingin dicapainya.
"Hendak diikutkan, Betty tidak jauh beza dengan watak antagonis dalam drama bersiri ini, Wilhelmina kerana kedua-duanya bercita-cita tinggi dan berusaha gigih mencapai apa yang diimpikan. Cuma apa yang membezakan dua watak ini ialah bagaimana mereka mendapatkannya.
"Satu lagi perkara menarik dalam Betty untuk musim baru ialah Wilhelmina mengatakan kepada Betty bahawa gadis hodoh itu lambat laun akan bertukar menjadi sepertinya kerana bekerja dalam dunia penerbitan yang penuh persaingan dan mampu mengubah sikap seseorang.
"Wilhelmina juga menyatakan suatu ketika dulu dia seperti Betty tetapi apa yang berlaku sekarang mengubah dirinya. Saya secara peribadi ingin melihat adakah apa yang dikatakan Wilhelmina akan turut digambarkan penulis skrip dalam episod ini. Atau Betty terus dengan caranya bagi mengejar apa yang diinginkan?" katanya sewaktu ditemui ketika sidang akhbar khas.
Begitupun, elemen cinta dalam Ugly Betty turut menjadi penggerak jalan cerita, lebih-lebih lagi apabila tiba episod ketiga, penonton diperkenalkan dengan watak baru, seorang wartawan sukan yang mula berkawan rapat dengan Betty. Apakah mereka akan bercinta di pertengahan cerita?
"Memang benar kali ini ada watak baru yang rapat dengan Betty, tetapi sama ada bercinta atau tidak, itu penonton sendiri perlu saksikan nanti," katanya.
Memberikan perspektif baru pada drama yang berkisar mengenai dunia fesyen, produksi Ugly Betty memindahkan lokasi penggambaran keseluruhannya dari Los Angeles ke New York pada musim ini.
Sebagai pelakon, kata pemenang anugerah Emmy dan Golden Globe ini, seharusnya dari awal penggambaran drama bersiri Ugly Betty dilakukan di New York, lebih-lebih lagi Betty digambarkan berasal dari Queens, satu daerah penempatan penduduk golongan rendah dan pertengahan di bandar yang turut popular dengan gelaran 'Big Apple'.
"Bayangkan di Los Angeles kami terpaksa melakukan penggambaran bagi menggambarkan kawasan Queens dalam studio, tetapi apabila lokasi dipindahkan ke New York, ia terus dilakukan di tempat terbabit. Bagi saya, sebagai pelakon ia seakan-akan memberikan satu suasana dan tenaga baru untuk produksi drama ini.
"Bukan itu saja. Sebagai pelakon, saya turut berkesempatan merasai bagaimana minggu fesyen yang terkenal dan popular dilakukan di sana. Produksi kami turut menjadi sebahagian daripada produksi penting untuk minggu fesyen itu dengan beberapa babak utama turut dilakukan di sana.
"Pada saya, ia sangat hebat dan menakjubkan. Kami boleh rasai sendiri apa yang cuba kami gambarkan dalam dua musim drama Ugly Betty sebelum ini," katanya.
Mengenai pengalaman bekerja dengan Lindsay, America berkata, dia tiada masalah dengan pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem terbitan Disney itu kerana memberi kerjasama sangat baik dan bersikap profesional.
"Bagaimanapun, saya tidak banyak menghabiskan masa dengannya kerana tak banyak babak kami berdua. Masa untuk Lindsay berada di lokasi juga tidak panjang dan ada ketikanya mengambil masa sehari saja," katanya.
Bagaimanapun, timbul cerita kurang menyenangkan antara America dan Lindsay sebagaimana dilaporkan di laman web mengatakan mereka berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan sepanjang berada di lokasi. Bagaimanapun, punca perkara itu tidak dijelaskan.
Menjelaskan perkara itu, America menasihati wakil media supaya tidak mempercayai apa yang dilaporkan di Internet kerana ia disiarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Katanya, tindakan mereka itu mempunyai niat peribadi yang tidak baik sama ada kepada dirinya dan juga Lindsay.
"Jangan sesekali mempercayai berita yang disiarkan di laman web kerana ia tidak mempunyai kenyataan daripada saya mahupun Lindsay sendiri. Ia hanyalah khabar angin. Malah apa yang berlaku di lokasi antara saya dan Lindsay adalah seperti apa yang saya jelaskan tadi," katanya.
Ugly Bety musim kedua kini disiarkan setiap Selasa, jam 9 malam di 8TV.
Sumber :
Harian Metro
Oleh Rudy Imran Shamsudin (Yang mengikuti Sidang Akhbar Media Antarabangsa Disney/ABC/ESPN di Los Angeles, Amerika Syarikat)
imran@hmetro.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan