#248. Skoop : 'Saya tak buat cerita merepek' - Bade
SELEPAS drama bersiri 40 episod, Dinasti Bilut, Kejar adalah drama kedua arahan pengarah berkaliber di layar perak, Bade Azmi. Kata Bade, dia terima tawaran buat cerita Kejar kerana skripnya bagus. "Sebenarnya, saya teringin bekerja dengan ramai orang dalam industri seni, tapi filem tetap pilihan pertama saya.
Sudah dua tahun saya tidak buat filem dan secara kebetulan, projek filem saya, Wasiat ditangguhkan buat sementara waktu. "Sejak dulu, saya memang tidak buat cerita merepek kerana setiap karya saya mesti meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
"Justeru, apabila ditawarkan buat cerita Kejar yang mengisahkan perebutan harta pusaka ini, saya terus tertarik kerana ia drama yang serius dan ramai orang kita tidak tahu kepentingan wasiat ini," katanya.
Kata Bade, Kejar adalah drama genre 'thriller' kerana membabitkan banyak kes pembunuhan.
"Tapi, saya pastikan tidak terlalu banyak babak pembunuhan kerana di sini, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memaparkan babak seperti itu.
"Sebab itu, saya kawal supaya tidak paparkan banyak babak pembunuhan supaya cerita ini boleh diterima masyarakat," katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Betty menggantikan pelakon Haliza Misbun sebagai watak utama, Sofia dalam Kejar,
Bade berkata, ia diputuskan penerbit sendiri selepas Haliza menghilangkan diri begitu saja.
"Sebenarnya, saya hanya mencadangkan nama Haliza kepada penerbit berdasarkan reputasinya yang bagus ketika bekerja dengan saya sebelum ini.
"Haliza juga sempat menyiapkan beberapa episod cerita ini sebelum dia menghilangkan dirinya.
Sepanjang pengetahuan saya, dia tidak ada masalah dengan produksi dan kru drama ini. Sebagai pengarah, saya juga tidak mahu masuk campur hal peribadi pelakon yang bekerja dengan saya.
"Apabila dia tidak muncul di lokasi seperti dijadualkan, saya terus beritahu penerbit dan dia terus menggantikan watak Sofia dengan Betty.
"Apapun, Haliza sudah membuat kenyataan kenapa dia menarik diri daripada Kejar, baru-baru ini. Alasannya, dia sibuk dan boleh menarik diri kerana belum menandatangani sebarang kontrak.
Kata Bade lagi, penarikan diri Haliza tidak menjejaskan fokusnya bersama pelakon lain dan kru untuk meneruska penggambaran drama itu.
"Saya sedar risiko yang terpaksa diambil kerana terpaksa membuat penggambaran babak yang sama sekali lagi dengan Betty yang mengambil alih tempat Haliza.
"Bagaimanapun, perkara remeh seperti itu tidak mengganggu tumpuan untuk berkarya. Maklumlah, saya sudah lebih 30 tahun terbabit dalam bidang ini dan masak dengan asam garam dunia seni," katanya.
Mengenai komitmen pelakon lain dalam cerita itu, kata Bade, semua pelakon memberikan komitmen terbaik mereka setakat ini.
"Pemilihan Betty sebagai watak utama kerana lakonannya sudah terbukti sebelum ini. Ini juga kali kedua saya bekerja dengan Ezany. Bagi saya dia seorang yang ringkas tapi serius ketika bekerja," katanya.
Sumber :
Harian Metro
12hb March, 2009
0 ulasan:
Catat Ulasan